Sunday, 16 September 2012

Update tanaman cili - "resilience" (foto)

Sudah agak lama saya tidak kemas kini kisah berkaitan pokok-pokok cili yang saya dan isteri tanam di sekitar rumah.

Selepas moral "dikalahkan" oleh Mok dengan pokok dan hasil cilinya yang banyak sewaktu pulang berhari raya di kampong tempoh hari, kami kini hanya mampu mencuba sedaya mungkin untuk memanjangkan hayat pokok-pokok cili yang kami tanam.

Bukannya apa, hampir 2 bulan tanaman cili kami berdepan dengan masalah penyakit dan serangan semut yang begitu kronik. Mana tidaknya, cili yang lebat berbunga akhirnya tiada satupun yang melekat kerana kesemuanya gugur akibat serangan sang semut. Lazimnya semut-semut ini berkumpul di kawasan bunga cili, selain bertelur di bawah daun pokok. Tidaklah saya tahu akan spesis semut tersebut tetapi serangannya memang terkesan sehingga banyak daun rosak, gugur dan pokok juga hampir botak dikerjakan.


Pun begitu, usaha melawan serangan semut dilakukan secara cermat di mana kami menggunakan racun organik (serai wangi) selain setiap helai daun perlu diperiksa bagi dibuang telur-telur semut yang ada. 

Begitupun, bau serai wangi didapati tidak sepenuhnya menghalang "kemaraan" semut-semut ini. Justeru, apa yang mampu dilakukan adalah dengan melawan serangan semut ini on daily basis - dengan kata lain, setiap hari saya akan periksa setiap helai daun untuk memicit telur-telur semut yang bersarang.

Kalau sang semut boleh melakukan (serangan) itu on daily basis, maka saya juga perlu melawannya on daily basis.

Alhamdulillah, setelah hampir 2 bulan "membelai" (dan memulih) daun-daun cili dengan pemeriksaan daun dan semburan baja organik ke daun dan batang, akhirnya bahagian dahan dan daun yang baharu mulai bertumbuh dan membesar.


Pemulihan yang mula membuahkan hasil ini menyuntik semula moral kami untuk terus membelai pokok-pokok cili ini. Kini, kesemua pokok mulai berbunga dan berbuah dengan banyaknya. Dua pokok yang saya periksa mula menghasilkan kira-kira 40 biji cili hijau.

Saya tiada tips mahupun petua untuk dikongsikan kepada mereka yang turut berdepan dengan masalah penyakit cili sebegini, melainkan berpesan supaya jangan berputus asa dan teruskan "membelai" pokok cili tersebut dengan menyiram (spray) air baja ke daun dan dahan pokok setiap hari. 

InsyaAllah di akhirnya nanti, akan ada berita gembira di atas segala usaha anda itu.

Selain itu, semasa meninjau cili-cili yang ditanam, saya turut ditemani oleh Mawaddah dan kucing. Saya suka mendedahkan Mawaddah dengan tugas-tugas mudah seperti membantu saya spray pokok, menyiram pokok bunga dan sapu daun kering (saya pegang plastik sampah). Tetapi dia cepat bosan dan mujurlah ada Mummy Cat untuk dia bergurau (kucing tu gurau 'betul' guna kuku!)...


Sekian dahulu, nanti kemas kini lagi. Wassalam.

1 comment:

Ana Ismail said...

perkongsian yang bagus. thanks