Friday 21 September 2012

"Pig Cage Stronghold" (dalam movie Kung Fu Hustle) yang sebenar (foto)

Pernahkah anda menonton filem aksi bertajuk Kung Fu Hustle bikinan Stephen Chow? Saya pernah menontonnya tetapi kini saya tidak begitu mengingatinya. Anyway...bagi anda yang pernah menontonnya, barangkali masih ingat salah satu babak pada filem terbabit yang memaparkan kediaman yang padat penduduk yang diserang oleh geng samseng a.k.a kongsi gelap.

Salah sebuah adegan yang berlatar belakangkan "pig cage stronghold" dari filem Kung Fu Hustle.

Di dalam filem tersebut, kediaman lama (dan uzur?) ini digelarkan "Pig Cage Stronghold" (kubu kandang babi @ sebuah tempat yang memberikan perlindungan sehingga sanggup dipertahankan oleh penghuninya - lebih kurang begitu maksudnya), yang dibina mengelilingi sebuah ruang lapang (courtyard). Di bahagian ruang terbuka inilah menjadi tempat para penghuni, yang berbilang peringkat umur, menjalankan pelbagai kegiatan harian mereka.

Adalah tidak mengejutkan bahawa gambaran "Pig Cage Stronghold" dalam filem Stephen Chow ini sebenarnya wujud di sebuah tempat bernama Longchang Apartments yang terletak di 362 Longchang Road, Shanghai. Sesungguhnya, walaupun binaan kompleks perumahan ini nampak uzur, pada saya, ia sebenarnya kaya dengan karektor! (apakah ini kesan daripada mengajar kelas Urban Design?)

Perumahan Longchang ini penuh dengan keunikan kerana ianya masih bertahan sekalipun sudah beberapa dekad negara China, terutama bandar Shanghai menerima arus pembaharuan dan kemodenan. Bezanya, hari ini Longchang tidak lagi dikenali dengan panggilan Pig Cage Stronghold, tetapi diganti dengan panggilan "Tongzilou" yang bermaksud "bangunan dengan koridor panjang dengan balkoni di salah satu bahagian dan unit kediaman berbilik di bahagian yang satu lagi".

Koridor ini dikongsi kegunaannya, balkoni pula dibuat terbuka, manakala unit kediaman tidak mempunyai dapur mahupun tandas. Penduduk yang mendiaminya pula adalah golongan pekerja syarikat-syarikat milik kerajaan. Yang bujang mendapat unit 1 bilik manakala yang berkeluarga disediakan unit 2 bilik dengan jarak kepada dapur lebih dekat. 

Memandangkan ruang yang ada amatlah terhad, setiap penduduk perlu berebut menggunakannya. Sehingga terdapat suatu peraturan tidak bertulis (unwritten rules) iaitu setiap jiran perlu memastikan ampaian dan pasu bunga milik mereka tidak seincipun memasuki sempadan balkoni rumah jiran sebelah-menyebelah.

Manakala, tandas awam yang terpaksa dikongsi pula amatlah sesak dan insiden mengintai jiran juga kerap berlaku. Apa yang mereka hidang untuk makan, siapa tetamu yang datang, barang apa baru yang dibeli, kesemuanya tidak mampu disorokkan daripada jiran-jiran. Termasuk juga, jika ada kanak-kanak yang menangis kerana dihukum, pergaduhan suami-isteri, mendengar muzik kegemaran, semuanya menjadi rencah yang mewarnakan lagi kehidupan para penghuni flat Longchang Road ini.

Saya rasa tempat seperti ini adalah lively, memiliki karektor dan juga "peninggalan sejarah" yang penting kepada kawasan tersebut. Malah, ia mungkin boleh menjadi bukti "akar kepada kemajuan" dan pencapaian Shanghai hari ini. Ia mungkin cuma kurang diselenggara dengan baik. 

Jika bangunan "usang" sebegini masih terdapat di tempat anda, apa yang anda rasa boleh dilakukan? Baikpulih? Robohkan sahaja dan bina baharu? 

Dipetik dari sumber asal: ChinaSmack

No comments: