Wednesday, 11 January 2012

Mari ambil tahu mengenai 'Climate Change' (Siri 3) - Masa Depan Sumber Air dan Makanan Penduduk Dunia (3 Kes)

Jika pada siri yang pertama, saya telah mengupas fenomena pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan kesan daripada fenomena pemanasan global, siri kali ini akan mengupas fenomena pencairan Glaciers di Banjaran Himalaya dan kesannya kepada masa depan sumber air manusia. 

Turut dikupas adalah kehilangan Laut Aral di negara jajahan Soviet serta kebimbangan yang timbul kesan pengecilan Tasik Chad di Afrika yang bukan sahaja memberi kesan kepada sumber air malah kepada penghasilan makanan dan kelangsungan hidup penduduk di kawasan yang terjejas.

1) Kes I: Pencairan Glaciers di Tibetan Plateau

Glaciers di banjaran Himalaya (di dalam wilayah Tibetan Plateau) menjadi lokasi yang akan terjejas teruk akibat fenomena pemanasan global.

Kawasan di banjaran Himalaya menyimpan kira-kira 100 kali ganda jumlah ais berbanding di banjaran Alps dan glacier-nya telah membekalkan sumber air minuman kepada lebih separuh daripada 40% populasi dunia melalui 8 sistem sungai utamanya iaitu (rujuk rajah):

- Sungai Kuning (China)
- Sungai Yangtze (China)
- Sungai Mekong (Laos, Cambodia, Vietnam)
- Sungai Salween (Mynmar, Thailand)
- Sungai Irrawaddy (Mynmar)
- Sungai Brahmaputra (Bangladesh)
- Sungai Ganges (India, Bangladesh)
- Sungai Indus (India, Pakistan)

Sumber foto: google image (Tibetan Plateau)

Para saintis yang menjalankan kajian mengenai fenomena pencairan glaciers menggangarkan bagi tempoh 50 tahun yang akan datang, kira-kira 500 juta penduduk Asia dan 250 juta di China (yang bergantung kepada sumber air dari Banjaran Himalaya ini) akan berdepan dengan masalah yang serius bagi mendapatkan sumber air minuman bersih kesan daripada penurunan kadar aliran glaciers di Tibetan Plateau.

2) Kes II - Hilangnya Laut Aral

Pernah mencatat rekod sebagai tasik ke-4 terbesar di dunia (tahun 1960), laut Aral yang asalnya berkeluasan 68,900 kilometer persegi pada hari ini telah kehilangan 90% saiz asalnya akibat tindakan negara bekas jajahan Soviet memesongkan aliran air di dua sungai utama Aral iaitu Amu Dar'ya dan Syr Dar'ya bagi membekalkan air ke ladang-ladang kapas. 

Sumber foto: Google image

Laut Aral 1989 dan 2008 - Sumber foto: Wikipedia (sini)

Sungguhpun negara-negara pengeluar kapas seperti Uzbekistan memperoleh keuntungan besar melalui eksport kapas (masih pengeluar kapas terbesar dunia), kesannya terhadap alam sekitar dan manusia adalah begitu dahsyat sekali.

Apa yang tinggal hari ini hanyalah bot-bot nelayan yang terdampar di atas darat akibat tidak sempat mengejar paras air yang surut dengan cepatnya. Memilukan!

Pemandangan Laut Aral dari angkasa, kini tinggal sejarah

Bot-bot nelayan yang terdampar dan dibiarkan berkarat di "gurun pasir", yang dahulunya dasar tasik besar yang menjadi sumber air minuman dan menggerakkan industri perikanan


3) Kes III - Pengeringan Tasik Chad, Afrika

Pengeringan Tasik Chad merupakan di antara fenomena terbaharu yang membimbangkan dikesan para saintis kesan daripada pemanasan global.

Pada tahun 1960an, Tasik Chad merupakan tasik ke-4 terbesar di Afrika meliputi kawasan seluas 26,000 kilometer persegi, dengan paras air yang baik kerana faktor hujan yang tinggi. Namun, sekitar tahun 1970an, berlakunya penurunan jumlah hujan yang ketara di kawasan sub-Sahara Afrika sehingga menyebabkan tasik ini surut dan mulai mengecil. 

Kesannya kepada penduduk (majoritinya petani dan nelayan tasik) adalah serius di mana kegiatan pertanian di sekitar tasik Chad bergantung sepenuhnya kepada pengairan yang datang dari tasik ini. Pada tahun 1973, paras air turun lebih rendah sehingga menjadikan Tasik Chad "terbahagi dua" dengan wujudnya kawasan kering antara keduanya.

Tasik Chad, Arfika - Sumber foto: Wikipedia

Kajian oleh para saintis pada tahun 2000 mendapati keluasan Tasik Chad hanyalah kira-kira 2,500 kilometer persegi. Manakala masalah pengairan yang serius telah mengancam kawasan-kawasan tanaman padi (yang utama kepada kelangsungan penduduk). Apabila pertanian bermasalah, akibatnya, merebaklah  fenomena kebuluran seterusnya menyumbang kepada krisis kemanusiaan yang serius.

Penutup  

Sungguhpun perubahan iklim tidak akan memberi kesan segera terhadap pengeluaran makanan di peringkat global (kerana di sesetengah wilayah yang tandus turut menerima hujan dan menjadikan tanahnya subur untuk pertanian), kes seperti yang ditunjukkan di Aral dan Chad bagaimanapun telah meletakkan masa depan penduduk di negara yang sedia mundur dan miskin ke kancah yang lebih buruk lagi.

Nota: entri ini dibuat hasil pembacaan karya "an inconvenient truth", "saving planet earth", wikipedia dan lain-lain sumber berkaitan.

No comments: