Sunday, 4 November 2012

Pendapat: BUDAYA ENDOWMENT (Alumni IPTA perlu baca)

Akhbar Sinar (dalam talian) hari ini menerbitkan berita mengenai seruan YAB Perdana Menteri kepada alumni UiTM agar mereka menggiatkan usaha menderma kepada tabung alumni universiti sebagai sumbangan ke arah memperkasa UiTM sebagai sebuah IPT yang unggul dan hebat. Lihat keratan berita berkaitan:



YAB PM juga turut mengambil contoh universiti terkaya dunia, Harvard University yang menyediakan tabung endowment mereka, yang sehingga hari ini telah berjaya mengumpulkan dana mencecah USD32 billion.

(Sinar tersalah petik, bukan RM32b tetapi USD32b - lihat laporan wikipedia di bawah)




Sebagai sebuah universiti dan institusi penyelidikan paling ulung di dunia hari ini, pencapaian Harvard tidaklah boleh dibandingkan dengan IPTA kita. Ia ibarat "tidak mengukur baju ke badan sendiri". Apapun, apa yang baik sepertimana ditunjukkan oleh Harvard ini wajar untuk kita contohi dan terapkan pula untuk kesemua institusi pengaji tinggi di tanah air, seandainya kita berhajat menjadi terbaik seperti mereka. 

Maksud saya, bukanlah angka 32 billion dollar itu yang perlu kita kejar, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita dapat menyemarakkan lagi budaya endowment di kalangan warga Malaysia.

Apa itu endowment fund (EF) dan mengapa ianya perlu? Menurut apa yang saya faham, EF merupakan dana yang disumbangkan (didermakan) bagi tujuan menyediakan lebih banyak peluang pendidikan seterusnya mengurangkan pergantungan (atau beban) bagi kerajaan untuk bidang pengajian tinggi.




Dengan kata lain, EF yang "mengumpul dana" melalui sumbangan  alumni, wakaf korporat, keuntungan pelaburan strategik IPT dan derma orang kaya, akan "mengembalikan wang" terbabit ke dalam bentuk biasiswa kepada pelajar cemerlang yang terpilih masuk ke sesebuah IPT. 



Pelajar terpilih menerima biasiswa (percuma) ini juga tidak terikat kepada sebarang kontrak, di mana ia membenarkan mereka mencari pekerjaan yang sesuai apabila menamatkan pengajian kelak.

Saya lebih selesa menggambarkan konsep EF ini sebagai wadah ke arah menyediakan pendidikan percuma di Malaysia dan pengukur tahap kemajuan sistem pengajian tinggi kita sama ada mampu bergerak setanding dengan negara maju (seperti Jepun, US, Jerman dan UK), mahupun sebaliknya.


Salah sebuah IPTA yang giat membincangkan idea berkaitan EF ini adalah UTM dengan dikepalai Dato' NC nya sendiri. Mudah-mudahan langkah ini terus mendapat sambutan dan UTM berupaya menawarkan biasiswa dan seterusnya merealisasikan agenda "pendidikan percuma di peringkat universiti".




Kita akan berupaya untuk menambah jumlah biasiswa hasil EF setiap tahun, seterusnya bergerak makin hampir bagi menyediakan "pendidikan percuma", sekiranya lebih banyak pihak memahami hasrat dan aspirasi konsep EF ini.

Namun demikian, saya turut berpendapat sekalipun usaha ke arah membudayakan sumbangan bagi endowment fund ini perlu segera digiatkan, kita juga perlu mengenalpasti faktor-faktor yang menghalang atau melambatkan budaya endowment ini berkembang. 


Benar kalau menurut pengiraan Perdana Menteri, jika semua alumni UiTM menderma RM10/minggu, institusi tersebut akan berupaya mengumpul sejumlah RM50 juta sebulan. Bayangkan jika setahun....(RM50 juta x 12 bulan = RM600 juta!!).


Cuba bayangkan jumlah biasiswa yang dapat UiTM sediakan kepada pelajar baharu yang cemerlang dengan dana RM600 juta tersebut.....Katakan kadar lazim biasiswa seorang penuntut:


= RM15,000/pengajian.


RM600 juta / RM15,000 = 40,000 biasiswa setahun!

Ini bermakna, UiTM akan berupaya menampung sekurang-kurangnya 40,000 pelajar dengan biasiswa penuh setiap tahun! Tidakkah ini menguntungkan dan menjadikan ia mencapai agenda "pendidikan percuma"?



Apapun, kita perlu berbalik kepada realiti juga. Alumni Harvard dengan alumni UiTM malah dengan lain-lain IPTA kita mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Kita perlu fahami perbezaan ini agar kita dapat merangka penyelesaian "yang kena dengan masalah kita". Justeru, kita boleh menyesuai model EF ini supaya bertepatan dengan "acuan kita".

Saya dapati antara isu yang memerlukan perhatian ialah:

1) Siapa alumni kita dan apa status kewangan mereka. Tidak saya nafikan IPTA kita berjaya melahirkan tokoh korporat terkemuka dan kaya. Namun, kita juga tidak boleh menafikan keadaan di mana ramai graduan keluaran IPTA kita kembali bekerja di sektor kerajaan dengan "gaji sederhana" (jika tidak cukup makan).

Kita juga sedia maklum bahawa garis miskin bandar hari ini adalah melibatkan isirumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. Alumni juga perlulah mengkaji bayaran gaji buat fresh graduate workers di sektor awam mahpun swasta (apakah mereka menerima gaji yang lumayan >RM3,000/bulan)?

Tentu sekali dengan gaji yang sederhana (jika tidak jatuh ke dalam kategori miskin bandar), mereka turut memiliki bermacam hutang seperti hutang PTPTN, kereta sport, kad kredit, personal loans dan sebagainya, yang menjadikan mereka sangat berkira untuk menderma kepada EF.

Mungkin Harvard sudah lama menyelesaikan permasalahan ini....

2) Perubahan bermula dengan sikap kita. Kalau diikutkan saranan PM (RM10/minggu) tidaklah mustahil untuk dicapai. Namun, ianya berkait dengan sikap kita. Kita yang sudah bekerja ini perlu tanya diri sendiri, sebagai contoh; apakah kita boleh konsisten dengan derma RM10/Jumaat kepada masjid tempat kita bersolat? 

Kalaulah kita semua boleh berubah sikap kepada mudah menderma, rasa saya bukan sahaja IPT, malah masjid-masjid kita juga mampu memiliki wang lebih dan menyediakan biasiswa sendiri buat anak kariah yang cemerlang....Tapi, sampai sekarang kita perhatian kotak-kotak derma bertambah banyak pula di surau dan masjid kita..

3) Cara mendidik dan menggalak biarlah secara berhikmah. Saya pernah mendengar rungutan daripada pensyarah di sebuah IPT yang terlibat dengan gerakan menyediakan EF ini. Menurutnya, sewaktu idea tersebut mula digilai oleh pentadbir universiti (selepas pulang dari melawat Harvard), pihak universiti menyediakan perancangan seperti mandatori untuk setiap staf dipotong sejumlah kecil gaji mereka untuk dimasukkan ke dalam EF.

Memang, tindakan secara mandatori ini akan memberikan kesan besar lagi segera kepada jumlah wang di dalam EF (ibarat seperti potong gaji masuk KWSP). Tetapi ianya lebih menimbulkan "salah-sangka" terhadap niat murni tersebut. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Ini kerana staf di universiti berpendapat adalah menjadi hak mereka ke atas setiap sen wang pendapatan mereka. Apatah lagi sekiranya gaji staf baharu masih di bawah kumpulan miskin bandar. Mereka merasakan satu ketidakadilan buat mereka. Sekalipun matlamat akhirnya adalah murni (dikembalikan untuk generasi masa depan sebagai biasiswa), ianya perlu dilakukan secara berhikmah, perlahan-lahan kerana budaya Malaysia sukar menerima sesuatu yang mendadak (seperti penguatkuasaan kamera EAS juga).

Kesimpulan

Kita perlu meneruskan usaha yang telah dibina ini. Kita tidak boleh berhenti hanya kerana masih wujud beberapa halangan. Jika  berhenti, maka kita akan ketinggalan.  

Setiap kali kita bertangguh dan ketinggalan, kita akan kerugian masa. Ini menjadikan langkah dan usaha kita ke arah menyediakan pendidikan percuma di peringkat IPT akan menjadi semakin jauh daripada jangkauan.

Fikir-fikirkanlah.....

1 comment:

Wan said...

" ... RM600 juta / RM15,000 = 40,000 biasiswa setahun!"

Untuk EF, perkiraan ini tidak tepat. Kalau begini, sebanyak mana dan terkumpul pun akan habis. Yang saya faham, EF yang terkumpul perlu dilaburkan, dan hasilpelaburan ini akan dibahagikan sebagai biasiswa, atau dana pertolongan kebajikan untuk pelajar.

Dengan membahagikan hasil pelaburan dana EF, Dana yang dikutip tidak akan habis, malah akan sentiasa menambah. Kecuali pelaburan yang dilakukan itu terhapus secara mendadak. Tetapi pada pendapat saya pelaburan yang dipelbagaikan dan setelah dinilai dengan teliti, akan menghasilkan keuntungan yang berterusan.

Wan Zaidi