Di dalam suasana ekonomi semasa yang kurang menentu, perancangan kewangan "yang asasnya baik" menjadi suatu keperluan, terutama kepada seseorang ketua rumahtangga (atau yang berhajat untuk berumahtangga).
Bagi anda yang seangkatan dengan saya, a.k.a suck at managing your financial book, panduan berikut, yang saya faham hasil pembacaan buku yang dikarang oleh jururancang kewangan, Rohani Mohd Shahir (2009) Ke mana wang anda? Selangor: Galeri Ilmu Sdn Bhd, barangkali mampu mendatangkan manfaat.
Sebagai permulaan, sila amati dan dapatkan gambaran keseluruhan maklumat dan isi penting pada rajah di bawah. Penerangan dan perincian akan saya sertakan selepas itu.
Penyediaan peta kewangan bolehlah diandaikan sebagai peta yang berfungsi untuk menunjuk arah kepada kita ke sesuatu destinasi yang hendak kita tuju. Dalam kes ini, beberapa destinasi telah disasarkan di dalam hidup kita, menurut peringkat dan sasaran kemampuan kewangan tertentu, hinggalah pemilikan tabung persaraan mencukupi (RM1 juta).
Baiklah, andaikan anda (saya sudah terbabas) memulakan peta kewangan di usia 25 tahun, dan gunakan jangka hayat 75 tahun (kalau hidup lebih panjang itu suatu "bonus" oleh Allah Taala). Lebih awal atau muda umur anda mulakan peta kewangan adalah lebih bagus.
Sasaran 1: Kahwin
Katakan ketika berusia 25 tahun, dan anda mensasarkan untuk berkahwin pada usia 27 tahun (2 tahun) dengan perbelanjaan dianggarkan RM25,000.
Maka apa yang perlu anda rancang adalah dengan melabur sejumlah RM850/bulan selama 2 tahun, dengan mengandaikan pulangan tahunan 15% dengan wang permulaan sebanyak RM1,000.
Sasaran 2: Kereta
Seterusnya, sasaran kedua adalah pemilikan kereta (2nd hand) berharga RM35,000, dalam tempoh 3 tahun selepas berkahwin (kesian, 3 tahun naik bas ni) (umur 30 tahun).
Setelah dikira menggunakan financial calculator, dengan mengandaikan pulangan tahunan 15% bagi saham amanah, anda perlu melabur RM744.25 sebulan selama 3 tahun, dengan menyediakan RM1,000 wang permulaan.
Sasaran 3: Rumah
Selepas memiliki kereta, sasaran ketiga yang anda rancang untuk miliki adalah sebuah rumah buat keluarga di usia menjejak 35 tahun. Nilai rumah yang anda inginkan ialah berharga RM100,000 (contoh).
Mengikut perkiraan di rajah di atas, anda perlu melabur sebanyak RM1,121.90/bulan selama 5 tahun dengan pulangan pelaburan tahunan setinggi 15% dan dengan permulaan RM1,000.
Sasaran 4: Tunai Haji
Pada usia 40 tahun, anda meletakkan sasaran untuk menunaikan ibadah Haji, dengan anggaran kos sebanyak RM50,000.
Bagi tujuan tersebut, anda perlu melabur RM434.94/bulan selama 5 tahun, dengan kadar pulangan 15% setahun bersama-sama wang permulaan RM1,000 bagi mencukupkan sasaran tabungan tersebut.
Sasaran 5: Tabung pencen (RM1,000,000)
Anda meletakkan sasaran untuk bersara di usia 55 tahun (15 tahun lepas tunai Haji) dengan kemampuan kewangan berjumlah RM 1 juta di dalam akaun atau tabung pencen tersebut.
Jumlah yang perlu dilabur setiap bulan hanyalah RM1,609.21 selama 15 tahun dengan kadar pulangan tahunan pelaburan 15% dan seperti biasa RM1,000 sebagai permulaan pelaburan.
Pelaburan untuk melengkapkan tabung pencen ini dilihat lebih mudah memandangkan anda telah merancang dengan baik sasaran sebelum ini terutama telah memiliki rumah, kereta dan menunaikan Haji secara tunai. Manakala pergerakan gaji tahunan juga memungkinkan pertambahan pendapatan buat anda.
Kiraan Tabung Pencen:
Bagi mendapatkan jumlah yang diperlukan dalam tabung di hari pencen, pertamanya anda perlu tetapkan jumlah wang pencen diperlukan setiap bulan.
Contoh, anda perlukan RM2,000 sebulan dan anda jangka dapat hidup sehingga usia 75 tahun. Ini bermakna anda perlu sediakan:
RM2,000 x 12 bulan x 20 tahun selepas pencen di usia 55 tahun = RM480,000.
Dengan kata lain, di usia 55 tahun, anda perlu pastikan memiliki sejumlah RM480,000 di dalam akaun sebagai persediaan sehingga "selesai" usia 75 tahun.
Walaupun kehidupan ini ada kalanya tidaklah sejelas hitam dan putih, jika anda seorang yang berdisiplin, rancangan-rancangan yang terkandung di dalam peta kewangan seperti contoh di atas tadi tidak mustahil untuk dicapai.
Di samping pentingnya seseorang ketua keluarga itu melakarkan peta kewangan, adalah perlu baginya mengambil polisi insuran perlindungan (takaful mungkin) sebagai persediaan dan manfaat isteri dan waris lain sekiranya berlaku kematian dan sebagainya.
Moga beroleh manfaat!
No comments:
Post a Comment