Alhamdulillah, segala puji hanyalah bagi Allah, tuhan sekalian alam. Setelah seminggu "menghilang", akhirnya hari Ahad ini, berkesempatan juga untuk saya mengemas kini blog yang nampaknya mulai bersawang ini.
"Kehilangan seketika" ini adalah bagi memenuhi tuntutan tugas di luar kota iaitu mengikuti trip penyelidikan ke negeri Pahang Darul Makmur bersama beberapa sahabat.
Walaupun ini bukanlah kali pertama saya terlibat dengan aktiviti penyelidikan, pun begitu, perjalanan kali ini saya sifatkan amat menarik selain berinformatif kerana turut disokong dan disertai ramai pihak.
Saya juga merasakan kumpulan penyelidik kali ini adalah yang paling pelbagai (berbilang agensi, latar kepakaran dan negara).
Kumpulan penyelidik ini dikepalai oleh Prof. Dr. Ibrahim Ngah dari Centre for Innovative Planning and Development (CIPD, UTM Skudai), bersama-sama Prof. Madya. Dr. Hamid Saad (FAB, UTM Skudai), En. Abd. Rahim Ramli (CIPD), saya sendiri (UTM Razak School), Prof. Emeritus Dr. Kunio Igusa (Ritsumeikan Asia Pacific University; Malaysia-Japan International Institute of Technology, MJIIT-UTM).
Selain warga UTM, kumpulan penyelidik turut disokong wakil UNDIP iaitu Bapak Holi Bina Wijaya (Dr. Joesron Alie Syahbana dan Dr. Imam Buchori menyertai kami di KL).
(nota: penyelidik dari UTM dan UNDIP ini juga merupakan anggota dalam Rural Research and Planning Group, RRPG).
Penyelidikan di negeri Pahang ini merupakan kolaborasi dengan Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET), sebuah NGO berteraskan Alam Sekitar dan Pembangunan Ekonomi Setempat (local economic development, LED), mengkhusus bagi negeri Pahang.
SASET dinaungi oleh Tuanku Sultan Pahang sendiri dan dipengerusikan oleh Sultanah Pahang. Lawatan kami kali ini juga turut disertai Dato' Aida Jusuf (CEO SASET) bersama-sama En. Ezan Ahmad (Pengurus bagi Kluster Heritage and Community Development) dan En. Muhd Firdaus Dev Abdullah (Pengurus bagi Kluster Environment Management Projects).
(nota: daripada kesemua yang terlibat, nyatalah yang saya adalah ahli yang paling muda. Manakala Prof. Igusa, 71 tahun adalah yang paling senior).
Bagi peringkat awal, dua buah daerah telah dikenalpasti untuk kajian (kampung lestari dan teknologi hijau bagi luar bandar) iaitu daerah Pekan dan Raub.
Hari pertama (Isnin) kami berkunjung ke Pejabat Daerah Pekan dan mengadakan pertemuan dengan Dato Mohd Fadzli Mohd Kenali, DO Pekan. Tujuan pertemuan adalah bagi menjelaskan hasrat menjalankan kajian dan menerangkan dengan lebih jelas berkenaan kajian yang sedang dijalankan. Kami mendapat kerjasama yang baik sepanjang berada di daerah Pekan.
foto: tinjauan di perkampungan nelayan di Skokoh. Dahulunya kampung ini didiami 5% Kemboja dan 95% Melayu. Hari ini (selepas 35 tahun), anda terbalikkan angka itu. Orang Kemboja di sini sememangnya memiliki daya keusahawanan yang tinggi.
Di daerah Pekan, kumpulan kami yang dipandu oleh Dev @ Firdaus telah dibawa meninjau beberapa kampung yang berpotensi bagi dijadikan kes kajian antaranya Skokoh, Kuala Pahang (perkampungan nelayan), Pahang Tua dan banyak lagi.
Daripada pemerhatian saya, kebanyakan kawasan kampung di daerah Pekan mengalami migrasi keluar (out-migration) yang ketara sehingga mengganggu program pembangunan kampung yang dirancang pihak kerajaan. Kekurangan belia, pemimpin pelapis yang keluar untuk mencari kehidupan menjadikan tanah ladang dan sawah padi telah tidak lagi diusahakan (terbiar). Bagi belia yang masih ada, tarikan kerja di bandar Pekan yang terletak dekat dengan kampung menambahkan lagi kerumitan bagi membangunkan sumber di kampung mereka sendiri.
Tinggallah pasangan pencen dan warga dewasa (dan tua) yang mencukupi dengan aktiviti ekonomi yang sedia ada terutama menoreh getah di kebun sendiri (cukup untuk sara hidup). Tanpa sokongan dan minat oleh golongan belia dan pemimpin pelapis (kumpulan aktif tenaga kerja), saya jangka menjadi cabaran besar terhadap mana-mana projek pembangunan untuk dijayakan di masa hadapan.
Tinggallah pasangan pencen dan warga dewasa (dan tua) yang mencukupi dengan aktiviti ekonomi yang sedia ada terutama menoreh getah di kebun sendiri (cukup untuk sara hidup). Tanpa sokongan dan minat oleh golongan belia dan pemimpin pelapis (kumpulan aktif tenaga kerja), saya jangka menjadi cabaran besar terhadap mana-mana projek pembangunan untuk dijayakan di masa hadapan.
Apapun, Pekan adalah daerah yang amat beruntung kerana menerima banyak projek pembangunan oleh berbagai agensi kerajaan (terutama pemberian rumah). Mana tidaknya, semua agensi ini tentulah mahu "impress" dan menyumbang jasa kepada daerah kelahiran Perdana Menteri Malaysia ini.
foto: tinjauan di kawasan projek penanaman nenas madu dan pusat aktiviti penjaja di Jalan Nenasi-Rompin. Kebanyakan peniaga merupakan "orang luar Pahang". Ada yang datang sejauh dari Terengganu dan Kedah. Manakala, sebilangan lagi dikendalikan oleh warga Kemboja yang tinggal berhampiran.
Hari berikutnya, kami meneruskan tinjauan ke sekitar Nenasi dan Pahang Tua. Setiap kali kami berkunjung ke penempatan yang didiami warga asing (dari Kemboja dan Vietnam), Dev akan terlebih dahulu turun kenderaan dan berkata "no photograph and don't get out of the car unless I did said so". Ini kerana masih terdapat beberapa perkara sensitif dan rumit melibatkan komuniti ini.
Sepanjang perjalanan ke Nenasi, kami sempat singgah meninjau projek sarang burung walit yang banyak terdapat di situ. Rata-rata pemilik sarang burung ini adalah orang luar yang tinggal di kota. Unit bangunan yang biasa lazimnya menelan kos sehingga RM700k, manakala ada yang dibina sehingga mencecah kos RM3 juta!
Kebanyakan rumah burung ini dilengkapi CCTV di mana pemiliknya yang tinggal di kota masih boleh mengaksess video yang dipasang daripada kediaman mereka (remote access).
foto: singgah di jalan Nenasi-Rompin membeli papan pemotong (kayu Tembesu) yang dihasilkan oleh Orang Asli (Jakun). Memang kreatif dan murah.
Pulang dari Nenasi, kami terus ke bahagian Selatan Pahang Tua meninjau aktiviti penternakan ikan Patin dalam sangkar di sepanjang Muara sungai Pahang.
"Sayup mata memandang" - itulah yang boleh saya gambarkan setelah melihat deretan sangkar-sangkar ikan di sepanjang sungai. Harap anda tidak terkejut kerana hampir keseluruhannya dimiliki dan dikendalikan oleh orang Vietnam. Mereka juga mengawal dan menentukan pasaran ikan Patin di sekitar kawasan ini.
foto: meninjau ternakan ikan dalam sangkar. Antara isu kritikal adalah pembuangan plastik makanan ikan terus ke Sungai Pahang selain petempatan di sepanjang sungai yang tiada sistem pembetungan dan pengurusan sampah yang teratur. Ancaman kepada alam sekitar dan hidupan sungai.
Hari seterusnya kumpulan kami dan SASET bergerak ke daerah Raub. Tiba di Pejabat Daerah Raub, rombongan kami disambut dan diberi taklimat pembangunan daerah oleh Dato' Haji Ismail Mohd Ali, DO Raub.
Berbeza dengan Pekan yang sibuk dengan "pelbagai projek", suasana di Raub sedikit aman dan rileks. Bagi daerah Raub, dua kawasan dikenalpasti berpotensi untuk dijadikan kes kajian iaitu di Mukim Batu Talam dan Mukim Dong.
foto: tinjauan ke Batu Talam (Lata Lembik), kawasan yang berpotensi bagi dibangunkan dengan Kluster ecotourism dan rural SMEs. Bergambar bersama "Pak" Igusa. Prof boleh berbicara dalam bahasa Indonesia dengan baik kerana pernah bertugas selama 4 tahun di sana.
Semasa di Raub kumpulan kami bermalam di Kampung Peruas, Dong. Kawasan rehat ini dimiliki dan dikendalikan oleh Haji Mustafa (pesara TNB dari Kelantan - orang Kg. Tan Sri Annuar Musa).
foto: setelah beberapa hari mengadu "tak bersenam" akhirnya Prof. Ibrahim memenuhi hajat saya untuk buat 'walking' di sekitar kampung Peruas. Sarapan pagi diisi dengan sesi sembang bersama Haji Mustafa. Usahawan dari Kelantan ini unik kerana membangunkan chalet berkapasiti lebih 200 pengunjung secara "sedikit demi sedikit" tanpa sesen pun pinjaman bank.
Bagi kami, adalah menjadi isu yang lazim di antara warga asal kampung dengan orang yang datang dari luar mengenai cara untuk membangun dan mengurus kampung.
Bagi individu seperti Haji Mustafa yang mana operasi chalet beliau amat bergantung kepada keaslian alam semulajadi (hutan dan sungai - ada kawasan bunga 'pakma' @ reflesia), sebarang penerokaan hutan dan pembangunan di kawasan sumber alam seperti pembukaan ladang sawit dan cadangan pembinaan jalan merentasi hutan, berkemungkinan besar untuk merosakkan alam sekitar dan sungai - pelancong tidak lagi datang andainya berlaku.
Manakala, di pihak orang kampung pula mereka perlu mengusahakan ladang dan membina jalan untuk merancakkan pembangunan ekonomi dan menaikkan taraf hidup mereka. Dilema bukan?
Manakala, di pihak orang kampung pula mereka perlu mengusahakan ladang dan membina jalan untuk merancakkan pembangunan ekonomi dan menaikkan taraf hidup mereka. Dilema bukan?
Dua hari di Pekan dan dua hari di Raub membuka mata dan minda kami akan isu dan situasi yang dialami oleh masyarakat luar bandar di kawasan yang kami lawati. Banyak pengalaman dikutip sepanjang perjalanan. Ramai orang baik dan berjasa telah kami temui dan kenali.
Moga Allah memberkati usaha dan tugas kami demi ilmu dan demi membawa kami lebih dekat kepadaMu (melalui pemerhatian terhadap ciptaan-ciptaanMu di sepanjang perjalanan).
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
InsyaAllah akan kita berjumpa lagi.
No comments:
Post a Comment