Monday, 31 October 2011

Marah betol dengan Elton John

Semalam (Ahad) saya terbaca artikel ini (Elton John: PAS jangan tiru Taliban, kata Asri) di MalaysiaKini. 

Petangnya pula, saya menjemput 'pemberi pernyataan artikel itu' datang ke rumah untuk makan-makan dan sembang-sembang.

Semasa dok makan-makan tu saya usulkan topik Elton John (EJ) ini pada beliau, termasuklah komen-komen yang berjumlah ratusan itu, yang majoritinya menghentam pandangan beliau. 

Beliau hanya ketawa dan memberitahu bahawa apa yang ditulis itu tercetus dari Twitter beliau yang mana wartawan mengambilnya dan kemudian menjadikannya artikel.

Pandangan kita, tanggungjawab kita

Saya sedar bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pendapat masing-masing. Begitupun, mereka yang menyatakan pendapat juga perlu bertanggungjawab terhadap pendapat yang mereka keluarkan.

Inilah yang menjadi masalah di ruang-ruang bicara siber hari ini bilamana semua orang ghairah memberi atau melontarkan pandangan masing-masing. Baik yang menyokong mahupun yang menghentam 'tak ingat punya'.

Begitupun, tidak ramai saya lihat mampu mengeluarkan pendapat secara bertanggungjawab. 

Yang meluahkan pendapat dengan didorong oleh emosi yang amarah sudah terlalu biasa, itu belum lagi diambilkira mereka yang 'mereka-cipta cerita' dan lebih buruk lagi, menabur fitnah pula.

Sekalipun kita tidak setuju dengan sesuatu pendapat, nyatakanlah ia secara bertanggungjawab dan secara tidak menggelar atau memberi label kepada insan lain.

SOP: Konsert Artis Barat

Asri mempersoalkan tindakan sesetengah pihak di dalam isu hiburan terutamanya melibatkan persembahan ARTIS BARAT dengan pihak Pas (yang menentang konsert EJ ini) dilihat tidak mempunyai SOP (Standard Operation Procedures) untuk dirujuk.

Sebelum isu EJ, rakyat di Selangor pada 2006 telah menerima kunjungan the Pussy Cat Doll yang membuat persembahan di Sunway Pyramid. 

Apakah SOP yang digunakan ketika itu (baik oleh kerajaan Selangor di bawah Umno, mahupun pendirian Pas waktu itu)?

Sumber: pada foto

Makanya, ketiadaan SOP telah menimbulkan isu dan perdebatan seperti yang kita baca di ruang-ruang sembang siber hari ini. 

Semua pihak nampaknya ada 'SOP mereka sendiri', dan cuba mengetengahkan pendapat masing-masing, namun nampak menjurus kepada mengelirukan sesama sendiri.

Malang bukan?

Gay

Orang Melayu kita, kalau disebut saja Elton John, benda pertama yang terlintas di kepala adalah 'GAY'.

EJ rosak akhlak dan mengamalkan gaya hidup songsang iaitu Gay.

Maka saya nak minta pula anda tunjukkan atau berikan nama artis barat yang tidak bersekedudukan.

Apakah di dalam isu hiburan ini, kita ingin dilihat mempunyai anggapan bahawa artis barat yang bersekedudukan itu tidak rosak akhlak, tetapi artis barat yang mengaku Gay pula rosak akhlak?

Sila fahami bahawa saya bukanlah menyokong golongan Gay mahupun yang mengamalkan gaya hidup songsang, tetapi di sinilah timbulnya isu perlunya SOP diadakan dan digunapakai

Tambahan: Ramai orang yang nampaknya benci dengan EJ sekalipun mereka inilah yang membawa keluarga berduyun-duyun ke pawagan menonton filem 'the Lion King' (atau beli DVD) yang mana salah satu lagunya adalah dendangan EJ.

Pas akan berdepan cabaran lebih berat selepas ini andainya para pemimpin Pas tidak bercakap dengan berpandukan SOP kerana persembahan artis barat adalah fenomena global dan kehadiran artis barat seperti the Pussy Cat Doll dan EJ sentiasa dituntut oleh golongan yang gemarkan artis dan hiburan (sama sahaja, Islam dan bukan Islam).

Andainya permasalahan moral (Gay) dianggap menjadi punca kehadiran EJ ditentang Pas dan NGO Islam yang lain, bagaimana pula di masa hadapan andai ada artis barat yang diketahui umum, hidup bersekedudukan, mahu membuat persembahan di Malaysia?

Apakah Pas dan yang lainnya boleh bersikap konsisten, tetapi di masa yang sama tidak mengambil hak mereka yang bukan Islam untuk berhibur (agama mereka tidak menghalang hiburan)?

Penutup

Selagi kita tiada SOP, selagi itulah isu ini perlu diurus di dalam kerangka yang sensitif dengan keperluan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. 

Bak kata pepatah 'menarik rambut di dalam tepung. Rambut ditarik keluar dan tepung tidak berselerak'.

Mungkin inilah yang menyebabkan Asri berpendapat langkah segera yang boleh dibuat adalah memastikan supaya orang Islam ditegah daripada menghadiri konsert EJ ini. 

(Bagaimana dengan yang bukan Islam?)

Manakala, pihak-pihak yang tegar menentang penganjuran konsert ini haruslah terlebih dahulu memanfaatkan teknologi internet untuk menyalurkan maklumat demi mendidik dan menyedarkan masyarakat, terutama golongan muda-mudi Islam berkaitan perkara ini.

Apabila didikan telah kuat dan kesedaran juga tinggi, datanglah segala bentuk artis pun (Gay ka, Biseksual ka, Bersekedudukan ka), kita dan generasi muda-mudi kita akan dapat menilai apa yang ditegah dan apa yang dibolehkan dengan sekatan-sekatan tertentu untuk berhibur.

Wassalam.

2 comments:

Unknown said...

I like ur comments!

Dr Sepet said...

Terima kasih Puan di atas komen. Lama rasanya ruangan komen tidak diisi. Nampaknya Puan dan keluarga banyak mengembara (saya tengok blog). Tentunya seronok melihat tempat orang. Yang paling menggamit kenangan apabila saya lihat foto-foto di tanah suci, menambah lagi kerinduan kami untuk berkunjung ke sana lagi.

Minta izin untuk link ke blog DS.

Harap Puan terus membaca blog ini dan terima kasih sekali lagi. Ws.