Thursday, 27 October 2011

Politik yang memberikan harapan

Memetik sebahagian artikel / 'buah tangan' terbaharu Dr MAZA bertajuk: Harapan dan Kebangkitan Arab (klik tajuk untuk baca artikel penuh)

Harapan

......Beliau (Benaissa) menyentuh tentang kepentingan ‘hope’ atau harapan dalam jiwa rakyat tentang politik. Apabila hilangnya harapan atau impian rakyat maka segalanya mungkin berlaku. Perkara penting bagi sesebuah pemerintahan adalah menempatkan harapan dalam jiwa rakyat.

Saya ingin mengembangkan nota ini. Ya, insan hidup dengan harapan atau cita-cita. Kecil atau besar tidak penting. Selagi ada harapan, insan akan cuba bangun dan meneruskan hidup. Jika putus asa mengambil tempat harapan, maka pelbagai perkara buruk akan dilakukan. Putus asa boleh membawa insan membunuh diri dan mengganas. Sanggup memusnahkan apa sahaja kerana segalanya sudah tidak bernilai lagi. 

Justeru, akidah Islam melarang putus asa terhadap Tuhan. Pintu harapan terhadap Tuhan sentiasa dibuka. Firman Allah (maksudnya):

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar:53).

Dalam politik, sesebuah kerajaan yang gagal memberikan harapan dan menimbulkan putus asa dalam jiwa rakyat -seperti di beberapa negara Arab sekarang- akan menyebabkan rakyatnya bangkit mengorbankan apa saja. 

Apabila harapan sudah tiada, kekecewaan menyelubungi hidup maka manusia akan bertindak dengan cara yang tidak dijangka. Mati dan hidup sudah tiada bezanya. Tiada siapa hendak mengadu, maka tindakan atas apa saja harga akan dilakukan. Inilah yang berlaku dalam Dunia Arab hari ini.

Kembalinya sebahagian rakyat kepada agama dalam tempoh kekecewaan politik juga hendaklah dinilai dengen teliti; apakah kerana mereka benar-benar memahami ajaran agama, atau kerana mereka sudah hilang harapan melainkan mengadu kepada Tuhan. 

Apabila mereka kembali mempunyai harapan, jika mereka kekal atas agama, itu pengembalian yang tulen. Jika tidak, itu sebaliknya.

Dalam negara kita, bagi saya mana-mana parti politik yang paling boleh memberikan harapan impian dalam kerangka hari ini, akan mendapat tempat dalam jiwa rakyat terutama golongan muda yang mempunyai banyak harapan dan cita.

No comments: