Thursday, 20 October 2011

Hidupkan Kembali Semangat 'Se-Kampung'

Lepas yang pertama

Syukur kepada Allah Taala kerana memberi kemudahan ke atas segala urusan saya minggu ini. Bantuan Allah telah datang di dalam pelbagai bentuk; sama ada kesihatan fizikal (tidak diserang penyakit), sihat mental (boleh berfikir dengan cepat, tajam dan berkesan), bantuan peneman setia (isteri), bantuan berperangai baik (Mawaddah) dan banyak lagi.

Kesemua rahmat dan kemudahan ini 'dihantar' Allah secara berasingan tetapi amat berkait rapat antara satu sama lain. Benarlah orang tua-tua kata "perancangan Allah". Alhamdulillah.

Begitupun, ini baru halangan pertama. Perjalanan masih berbaki dan hanya doa dan tawakkal mampu saya panjangkan.

Waktu saya sibuk 2-3 hari yang lepas jugalah muncul pelbagai kisah yang membuatkan saya 'gatal tangan' hendak memaki menulis (bayi kena liwat dengan bapak sendiri; budak kena langgar di China; bayi mati dikelar ibunya dan bermacam lagi), tetapi saya bersabar kerana tugasan di tangan juga penting.

Masyarakat sakit, apa pilihan kita ada?

Maka bermesyuaratlah saya dan isteri memikir idea-idea/pendekatan yang mungkin boleh diterapkan untuk membantu komuniti mengurangkan kadar penyakit mental dan sosial dalam masyarakat hari ini.

Ini kerana, mahu tidak mahu, kita setiap hari perlu berdepan dengan masyarakat. Anak-anak kita akan bersekolah, kita akan keluar rumah ke pasar, bercuti, bertemu rakan dan bermacam lagi kegiatan di luar yang mendedahkan diri kita dan keluarga kita dengan orang luar.

Contoh: "Ahhh...aku tak percayalah dia sanggup buat macam tu" - komen apabila orang yang kita kenal masuk paper pasal terlibat dengan jenayah.

Ini kerana sukar untuk kita menilai sifat dan perangai orang. Saya sendiri bukannya pandai membaca tingkah-laku orang. Mana nak tahu orang itu "betul atau tidak", "normal atau abnormal"?

Di antara perkara yang disentuh dalam "mesyuarat" tu adalah keperluan untuk masyarakat atau komuniti kita hidupkan semula semangat hidup se-kampung di kawasan kejiranan di bandar.

Contohnya, menganggap "anak jiran, anak kita juga". Ini benar. Mok saya di kampung menganggap anak-anak yang tinggal berjiran dengannya seperti anak-anak sendiri (kebetulan saudara-mara juga).

Maka, ada hari anak-anak mereka datang ke rumah belajar mengaji dengan Ayoh, diberi makan, minum dan bermain. Tetapi ada juga hari mereka dihambat dengan ranting Senduduk kerana buat bising, bergaduh, panjat pokok, kejar/dera itik atau degil tidak mahu dengar kata.

Walaupun anak-anak mereka di'ajar' oleh Mok, jiran-jiran tiada yang datang rumah marah-marah kerana kita kenal perangai dia (Mok) yang kalau dia pukul tiada niat selain nak bagi budak tu dengar cakap dan tidak buat benda-benda yang mengarut.

Maka agak terkawallah juga perangai anak-anak ini kerana dia tahu Mok anytime boleh report dan kantoikan mereka di depan mak-bapak mereka. Tambahan pula kalau nak harapkan mak bapak sendiri yang tegur, mungkin tak tegurlah (lebih sayang (biar jelah) dari nak membetul/untuk mengajar).

Dari pengalaman saya tinggal di bandar besar, memang kirim salamlah kita nak "jaga tepi kain orang". Bukan kita nak jadi "mami jarum" yang jaja kisah buruk jiran, tetapi lebih kepada "ambil cakna".

Padahal ramai juga yang tinggal di bandar, asal mereka ini adalah dari kampung, yang pernah ada pengalaman seperti yang saya sebutkan.

Tetapi apabila tiba di bandar, ramai yang mula luntur nilai-nilai kejiranan dan ambil cakna tersebut.

Apabila sesuatu yang perlu ada, ditiadakan, maka nilai-nilai baru (moden) akan mengisi ruang kosong itu. Dan yang sedihnya nilai-nilai ini bukanlah yang murni, tetapi yang berpenyakit.

Maka wujudlah taman-taman permainan yang tidak lagi menjadi tempat anak-anak bermain, bahkan menjadi medan orang berdating dan memadu kasih, etc.

Perangai buruk ini terkena pada hidung saya juga. Bukan nak jengah lagi anak-anak jiran dan dengan siapa mereka berkawan, dan bila mereka balik rumah. Bahkan makin tinggi pula tembok/pagar itu kita bina. 

Sudahnya, hidup moden tetapi tanpa kita sedari, kita kembali menjadi masyarakat yang hidup di dalam gua.

Surau aku, surau kita = kita bina komuniti cakna

Saya berazam (moga Allah bgi jalan untuk permudahkan), untuk mendekati masjid dan surau-surau di tempat saya tinggal (apabila pulang kelak), insyaAllah.

Pengalaman hidup di bumi UK ini membuatkan saya insaf betapa apabila kita (Islam) itu minoriti, cara untuk menggembirakan kita apabila kita berkumpul di masjid.

Dan setiap pound wang yang kita dermakan, dirasakan begitu bernilai untuk kegunaan masjid yang kita tumpang bersolat itu (bayar bil etc).

Sebenarnya, kebanyakan masjid dan tempat solat di sini (UK) dibina amat mirip dengan pembinaan dan pengisian masjid dan surau di kampung (dahulu-kala).

Mungkin generasi saya terlalu muda untuk ingat, mungkin generasi Ayoh dan pakcik-pakcik saya masih ingat bagaimana kalau di kampung waktu itu surau didirikan secara bergotong-royong, bersama seluruh penduduk kampung.

Bahkan kalau nak pindah surau (usung ramai-ramai) ke tapak baru, pun dibuat bergotong-royong. Masyarakat tidak mengeluh seperti hari ini, semua orang gembira dan terlibat dengan hati terbuka. Masya-Allah.

Sumber: google image for "gotong royong"

Kerana jerih-perih, keringat dan sumbangan (tenaga, wang, tanah wakaf) inilah timbulnya "strong sense of belonging" di kalangan orang kampung.

"Ini surau aku! Ini surau kami, yang didirikan hasil usaha dan susah-payah semua orang". Kerana itulah semua orang tidak kita tua-muda, besar-kecik, mereka ada "attachment" (pertalian rapat) dengan tempat rumah Allah itu.

Sayang. Tidak seperti hari ini. Segalanya disediakan kerajaan, masjid dan surau segalanya lengkap dan megah (bahkan ada yang berhawa dingin), tetapi surau dan masjid masih kosong dan tiada pengisian.

Tiada "sense of belonging" walaupun surau hanya selang 1-2 rumah. 

Alasan sibuk dengan kerja membuatkan orang susah ke surau, masjid apatah lagi. Tetapi perlu juga kita ingat bahawa ramai orang telah pergi bertemu Allah sebelum sempat pencen, sebelum sempat menunaikan niat mereka "aku nak ke masjid lepas pencen nanti"!

Bukan ke surau semua masalah selesai, tetapi ia adalah salah satu jalan untuk kita kuatkan keluarga dan komuniti kita. Kalau tidak ke surau, mana nak kenal jiran satu kariah. Mana nak minta tolong apabila ada kematian, kecemasan dan sebagainya.

Apa yang saya coretkan ini menjadi ingatan kepada diri saya. Harap anda yang membaca beroleh manfaat.

Bukannya apa, sekurang-kurangnya membina kesedaran untuk diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang lain, adalah langkah awal yang positif ke arah membina "komuniti cakna".

Banyak nilai-nilai murni komuniti kampung yang tidak kita manfaatkan. Gapailah nilai-nilai murni ini sebelum kampung-kampung kita lenyap ditelan arus kemodenan.

Sungguhpun ada ketikanya kita akui yang apa yang dinilaikan "moden" oleh komuniti kita hari ini telah membawa banyak keburukan, mengapa masih kita ingin bergayut pada "dahan yang rapuh" itu?

Wassalam.

No comments: