Lazimnya saya kritikal dengan UMNO, sekali-sekala elok juga lihat sejarah dan bagaimana UMNO diposisikan di dalam kisah sejarah negara dan bangsa Melayu.
Moga beroleh manfaat!
Dr sepet. Kuala Lumpur.
------------------------
Bersatu kita teguh
Berpegang kepada semangat "Unity" (Bersatu) pada namanya - United Malays National Organization - sejarah UMNO dipenuhi oleh usahanya membina perpaduan Melayu di bawah sebuah organisasi di peringkat Nasional.
Unity adalah tema terhadap perjuangan serta jerih-payah UMNO. Pada kongres parti Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada Mei 1946, UMNO telah dizahirkan sebagai wadah politik bagi penyatuan dan perpaduan Melayu. Malah, hubungan rapat antara UMNO-PAS sekitar awal 1970-an juga turut menjadi bukti bahawa objektif utama UMNO adalah untuk menyatu-padukan orang-orang Melayu.
Ini lambang UMNO (Sumber foto: google images)
"Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". UMNO tentunya dikenang di dalam lipatan sejarah negara sebagai satu kuasa pencetus untuk perpaduan dan kesepakatan orang-orang Melayu.
Walau bagaimanapun, sejarah juga membuktikan bahawa usaha ke arah menyatupadukan orang-orang Melayu bukanlah semudah yang disangka.
Sejarah juga membuktikan bahawa umat Melayu di Semenanjung khususnya dan Nusantara amnya, adalah lebih mudah atau cenderung kepada perpecahan berbanding perpaduan.
Sistem politik masyarakat Melayu adalah lebih mesra (cenderung) kepada perpecahan dan pengasingan. Sekalipun orang Melayu yang menetap di Semenanjung dan Nusantara dilihat lebih dekat kerana mereka berkongsi budaya, adat-resam dan bahasa yang seakan sama, penyatuan ummat di bawah satu gagasan dan satu negara-bangsa masih jauh daripada kenyataan.
Hal yang sama sebaliknya jauh berbeza jika kita meninjau bangsa-bangsa lain di dunia seperti di Eropah yang menjadi tempat lahirnya kuasa-kuasa besar dan berpengaruh dunia. Begitu juga dengan negara besar dengan penduduk yang ramai seperti China yang masih berupaya mengekalkan identiti "Ke-Chinaan" mereka di bawah satu negara dan satu bendera. Ini kerana mereka boleh bersatu melalui faktor persamaan keturunan atau asal-usul nenek-moyang mereka. Hal yang sama juga dapat kita perhatikan jika kita tinjau negara lain seperti Korea, Jepun mahupun Iran.
Namun bagi orang Melayu di Semenanjung dan Nusantara, persamaan bahasa dan budaya gagal mewujudkan satu bangsa dan satu negara. Sebaliknya, sistem politik Melayu yang wujud dan diterimapakai dilihat lebih menggalakkan kewujudan negeri-negeri kecil yang diperintah secara autonomi. Acheh di Sumatra pernah berpecah kepada lebih 300 wilayah dan negeri-negeri kecil, diperintah secara monarki (mempunyai Raja/Sultan), sehinggalah ia diserang, ditawan dan dijajah oleh bangsa Belanda.
Di Semenanjung pula, adalah tidak jelas jumlah sebenar kewujudan negeri-negeri kecil yang diperintah secara autonomi ketika zaman itu (iaitu sebelum penjajahan British). Begitupun, sejarah mencatatkan kawasan seperti Sungai Ujung, suatu ketika dahulu adalah sebuah negeri. Demikianlah juga dengan Naning. Dan di Kedah pula, Perlis turut dipecah dan menjadi negeri yang berasingan. Sementara daerah Kubang Pasu sendiri hampir menjadi sebuah negeri dengan ditadbir secara monarki.
Negeri-negeri Melayu yang sedia berpecah-belah ini kemudiannya menjadi lebih berpecah-belah setelah dijajah oleh kuasa asing (sama ada kuasa dari pemerintah negeri berdekatan mahupun kuasa asing). Sejarah juga turut menceritakan bahawa sentiasa wujud monarki tertentu yang sedia bersekongkol dengan kuasa asing demi memelihara kepentingan peribadi mereka. Pengasingan Singapura dan perpecahan Empayar Johor-Riau adalah sekadar contoh yang menunjukkan - monarki tertentu sanggup bersekongkol dan bersetuju untuk menerima naungan kuasa asing ke atas negeri mereka.
Hinggalah di penghujung era Perang Dunia ke-2, umat Melayu masih tebal dengan sikap kenegerian dan meletakkan kesetiaan mereka kepada negeri dan pemerintah (negeri) mereka. Setiap negeri juga menerapkan kriteria tertentu untuk mengiktiraf seseorang itu sebagai "warga negerinya". Malah, sistem kewarganegaraan di peringkat negara juga masih belum wujud.
Di atas dasar kenegerian juga, warga negeri yang berlainan tidak memiliki hak di negeri lain. Sebagai contoh, biasiswa Kedah hanya ditawar dan diberi kepada "warga Kedah". Begitu jugalah dengan jawatan dan pekerjaan oleh pemerintah negeri, yang terbuka hanya kepada "anak negeri" masing-masing.
Sungguhpun sebangsa (sama Melayu) tetapi dari negeri berlainan, masih tidak layak untuk memohon pekerjaan serta jawatan di kawasan yang 'bukan negerinya".
Adalah jelas bahawa daripada kronologi sejarah, pengasingan dan perpecahan orang-orang Melayu sudah diterima sebagai sesuatu yang lumrah (adat). Unity tidak digalakkan dan bukan suatu yang lumrah. Melayu di Semenanjung dan Nusantara juga masi htebal dengan sistem yang berasaskan pengasingan - iaitu pemecahan kepada kelompok atau puak-puak tertentu dan unit yang lebih kecil pula di bawahnya.
Namun begitu, "adat" Melayu yang terasing dan tidak bersatu-padu ini telah dirungkai pada tahun 1946 bilamana kongres persatuan Melayu Semenanjung membentuk sebuah parti politik yang dikenali dengan panggilan UMNO.
Orang-orang UMNO (sumber foto: google images)
Nama UMNO dipilih kerana dunia waktu itu meletakkan kepercayaan penuh kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan yang akan menamatkan segala persengketaan dan peperangan, seterusnya membina dunia baharu - dunia yang bersatu dan bukannya berpecah dan bercakaran.
Jika negara-negara lain di dunia optimis dengan perpaduan dan penyatuan, makanya umat Melayu di Malaya juga wajar meletakkan harapan kepada perpaduan terutama bagi menentang ancaman dan ugutan British yang ingin meletakkan negeri-negeri Melayu di bawah pemerintahan langsung British.
Lahirnya UMNO (atau PEKEMBAR dalam bahasa Malaysia) - sebagai sebuah organisasi yang bermatlamat untuk menyatu-padukan bangsa Melayu. "Bersatu kita teguh". Dan melalui UMNO-lah orang-orang Melayu mencapai unity setelah sekian lama mereka hidup berpecah dan berasingan. Melalui UMNO jugalah umat Melayu mula bergerak secara lebih kuat dan disegani.
Malah, slogan "Hidup Melayu" (Long live the Malays) juga turut berkumandang sebagai suara yang mewakili seluruh negara, dan bukan lagi sebagai bangsa yang tebal dengan semangat kenegerian, kecil dan lemah.
(Bersambung di bahagian 2)
(diterjemah dengan penambahan idea di sana dan sini; sumber asal: Mohamad, M. (1986). The Challenge. Pelanduk Publications. pp. 154-156.)
No comments:
Post a Comment