Bukan sahaja makanan yang tidak mematuhi keperluan nutrien, malah setor kantin-kantin tersebut juga menyimpan barangan yang telah luput tarikh guna dan jenama makanan yang tidak diluluskan oleh kementerian.

Mengikut kontrak, kontraktor hendaklah memastikan bahan makanan seperti bahan mentah dan bahan kering yang digunakan berkualiti, halal, tidak luput tarikh guna, mengikut spesifikasi, jenama dan tertakluk kepada akta makanan yang sedang berkuatkuasa. 

Daging lembu atau ayam mestilah bermutu dan disahkan halal oleh pihak berkuasa manakala ikan hendaklah dalam keadaan segar.

NONE
Semakan Audit mendapati sebahagian daripada syarat kontrak ini tidak dipatuhi oleh kontraktor kantin. Ini adalah penemuan audit di 30 kantin sekolah di Terengganu, Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Selangor.

Sepuluh kantin menggunakan bahan mentah seperti daging kerbau yang dimport dan ikan sejuk beku yang tidak segar untuk hidangan pada murid, manakala kantin di 21 sekolah lagi tidak membekalkan item bahan kering mengikut jenama, spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan dalam kontrak.

Sebagai contoh, pengusaha kantin tidak menggunakan Horlicks seperti yang dinyatakan dalam kontrak, tetapi sebaliknya menggunakan Coco Tiger. 

Mereka tidak menggunakan minyak masak jenama Pisau seperti dalam kontrak tetapi menggunakan bukan minyak masak Mibo.

Bagi kicap pula, mereka sepatutnya menggunakan kicap cap Kipasdan cap Ayam. Tetapi mereka menggunakan kicap cap Angsa Mas.

Manakala kordial Sunquick digunakan menggantikan jus Peel Fresh.

Sos tiram, sos tomato dan mentega yang telah luput tarikh guna, seawal dua bulan sebelum diaudit, ditemui di beberapa setor manakala sebuah sekolah di Johor menggunakan minyak masak yang diisi dalam botol minyak terpakai.

Sedang mengikut kontrak, minyak masa hendaklah dibekal dalam tin atau botol bermetri dan apabila digunakan untuk menggoreng hanya dibenarkan untuk digunakan sekali sahaja..

NONE
Seorang pengendali kantin sekolah di Selangor menggunakan bahan perasa makanan yang tidak digalakkan, manakala pewarna dan perisa minuman digunakan di sekolah-sekolah di Johor.

Seorang pengendali kantin sekolah di Sabah pula didapati menghidangkan mi kosong tanpa sayur-sayuran, dan ini melanggar kontrak, manakala yang lain menggunakan bekas memasak yang berkarat dan dimasak di kawasan yang kotor.

Dalam reaksinya, Kementerian Pelajaran berkata ia akan menyiasat perkara itu dan memberi amaran terhadap pengendali kantin terbabit dan mengambil tindakan terhadap mereka jika tidak terdapat sebarang peningkatan.

"Kementerian mengambil perhatian serius. Menggunakan minyak masak yang diisi di dalam botol minyak terpakai merupakan satu tindakan penipuan... pihak kontraktor telah diberi peringatan tegas bagi memastikan perkara ini tidak berulang. 

"Pihak sekolah telah membuat teguran kepada pihak kontraktor berkenaan kawalan pnggunaan bahan serta perasa makanan yang tidak digalakkan di dalam penyediaan makanan dan minuman di sekolah."

Mengikut kontraktor, mereka menggunakan daging kerbau dan ikan yang sejuk beku yang tidak segar kerana kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah dalam kuantiti yang banyak untuk hidangan kepada murid.