Tuesday 20 October 2009

Pulang ke tanah air

InsyaAllah, petang ini (Rabu, 21/10/09) kami sekeluarga akan berangkat pulang ke tanah air. Kepulangan yang 'singkat' adalah bagi memenuhi sebahagian daripada tuntutan penyelidikan yang sedang saya jalankan.

Terima kasih di atas ingatan, doa serta bantuan rakan-rakan karib di Oxford - di dalam memudahkan proses kepulangan kami, dan proses menjaga benda yang ditinggalkan sementara di Oxford ini. Hanya rahmat dan limpahan rezeki daripada Allah buat kalian jualah yang mampu kami panjangkan.

=====sinopsis kerja=====

Penerbangan kami dari Heathrow adalah pada jam 2.30 pm menaiki pesawat Emirates, sebelum transit sebentar (3-4 jam) di Dubai, sebelum dijangka tiba di KLIA pada jam 2.30 pm hari Khamis.

Tiba Khamis petang, esoknya, Jumaat pagi-pagi buta lagi saya sekali lagi 'terbang' (naik AirAsia) ke JB untuk meneruskan program bersama penyelia Doktoral saya, John*, yang kini sedang menjadi Professor Tamu di UTMJB.

Dari JB, kami (saya, John dan KJ) kemudiannya akan ke KL sebelum menjengah beberapa kawasan Desa / pedalaman di ECER, di Pahang dan Terengganu (Kelantan lewat sedikit). Ini baru lawatan awal, ianya perlu disusuli beberapa siri lawatan lagi.

Harap semua berjalan lancar di musim monsun (hujan) sebegini dan harapnya kehadiran kami mendapat kerjasama dan diterima baik orang-orang kampung kelak.

(*Prof Emeritus John Glasson juga merupakan Founding Director OISD - Oxford Institute for Sustainable Development)

=====sinopsis bukan kerja=====

Kesempatan pulang juga kami gunakan untuk mengadakan kenduri Aqiqah buat Mawaddah (kesian, kambing tu dah lama simpan), bercuti berdua dan percutian keluarga serta menghadiri majlis pertunangan adik-adik.

========================

Tak sabar nak pulang, tapi di masa yang sama, rasanya saya juga akan turut merindui pemandangan musim luruh dan permulaan musim sejuk di UK ini.

Selamat maju jaya buat rakan-rakan semua dan jika Allah panjangkan umur kita berjumpa lagi Januari 2010 ini - Mawaddah harapnya sudah boleh berjalan waktu itu!

Wassalam.

Monday 19 October 2009

Pendapat: Langkah terkebelakang

Kerajaan diminta benarkan syarikat rokok taja semula sukan bola sepak

19/10/2009 9:40pm

IPOH 19 Okt. — Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan mengharamkan syarikat rokok daripada menaja aktiviti sukan dalam usaha menyemarak semula sukan bola sepak negara, kata Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Beliau berkata, langkah drastik itu perlu diberikan pertimbangan bagi menyelamatkan persatuan-persatuan bola sepak negeri yang menghadapi masalah kewangan.

"Usaha membiayai pasukan bola sepak negeri melibatkan belanja yang besar dan sumber kewangan sememangnya membebankan kerana kutipan tiket tidak memadai, bukan semua pasukan dapat menarik peminat yang ramai, kalau menang ramailah peminat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Sumber: rujuk sini

=========================

Komen ringkas:

1) Tanda paling besar dan paling nyata kegagalan kempen TAK NAK!

Hancur-berkecailah dan terbuang ke longkanglah segala peruntukkan berpuluh juta ringgit (duit rakyat) jika syarikat rokok kembali diberikan tempat di dalam dunia sukan tempatan.

Siapalah yang memilih pemimpin yang tergamak memperjudikan hal berkaitan asas kesihatan rakyat ini?

2) Matlamat tidak menghalalkan cara!

Ini kriteria asas yang wajib difahami setiap orang Islam. Saya telah menegur perkara ini sedaya yang mampu (di blog ini - harap dibaca dan difikir secara rasional oleh para pembaca). Dan moga saya terselamat daripada 'dipersoalkan kelak'.

Biarpun ianya masih dianggap 'permintaan awal' atau gesaan yang mungkin tidak akan ditunaikan kerajaan, namun dengan menyuarakan ia (nak kembalikan syarikat rokok) sahaja, telah mencerminkan kegagalan untuk memisahkan antara rokok - dengan - sukan.

"rokok - benci tapi rindu"

Sunday 18 October 2009

Minggu terakhir di Oxford

Sembang rumah terbuka

Memandangkan ini merupakan hujung minggu terakhir kami di UK, jadual untuk 2 hari ini agak penuh - dengan rumah terbuka.

Sebelum itu, berbanyak terima kasih saya sekeluarga ucapkan kepada A. Roslan sekeluarga dan A. Din sekeluarga di atas penganjuran rumah terbuka, masing-masing pada Sabtu dan Ahad yang sudah. Moga kalian dan keluarga dimurahkan rezeki oleh Allah Taala.

Perjalanan pulang kali pertama ke tanah air Rabu ini pastinya membawa kelainan, dengan kepulangan ber-3 (datang dulu ber-2). Bukan tambah orang rumah, tapi dengan kehadiran puteri sulung kami.

Di kesempatan menghadiri rumah terbuka juga, saya dapat bertemu dan berkenalan dengan beberapa rakan baru, tidak kira yang tinggal jauh, mahupun yang baru tiba melanjutkan pengajian di Oxford ini.

Bila sekali-sekala bertemu 'gu' - banyaklah perkara yang disembangkan. Dari yang melawak, hingga yang serius dan berbentuk ilmiah, juga hal berkaitan politik tanah air.

Dari cerita calon kontroversi yang menang di Bagan Pinang, politik wang, 'banyaknya' harta bekas MB Selangor, pembersihan dalam UMNO dan banyak lagi.

Memandangkan saya kurang terdedah dengan pelbagai maklumat, makanya sembang-sembang seperti ini banyak membantu menambah pengetahuan am saya terhadap sesuatu isu, dan isu yang terbaru.

Sambil sembang tu, saya turut berkongsi ilmu hasil pembacaan novel Sidney Sheldon yang menyentuh hal-hal dalam politik (sisi gelap politik).

Dalam kes saman bekas MB Selangor terhadap 'kekayaan beliau' oleh pembangkang, hal ini turut menjadi topik perbualan. Sama juga lain-lain hal termasuklah 'kekayaan Anwar Ibrahim' dan mengapa jika ada bukti Ezam tidak berani mendedahkannya?

Sama juga halnya dengan tuduhan (dalam ceramah) bahawa isteri seorang pemimpin tertinggi negara yang hantu bershopping hingga barang yang beliau beli perlu diangkut beberapa kereta semasa kunjungan suaminya ke luar negara.

Benar atau tidak tuduhan ini? Ada yang tidak percaya, tapi ramai yang percaya.

Wujudkah istilah 'rahsia'?

Teringat akan saya akan novel S. Sheldon "Bloodline:358", katanya:

"Nothing was sacred, nothing was safe. Privacy in today's civilization was a delusion, a myth. Every citizen was exposed, his deepest secrets laid bare, waiting to be read. People were on record if they had a social security number, an insurance policy, a driving licence or a bank account.

They were listed if they had paid taxes, drawn unemployment benefit or welfare funds. Their names were stored in computers if they were covered by private medical insurance, had made mortgage payments on a house, owned a car or motor bicycle, or had a deposit or current account.

The computer knew their names if they had been in hospital, or had done military service; had a gun or a fishing licence; had applied for a passport, a telephone or electricity; or if they had been born, married or divorced."

=========================
Nota:

Ironinya, semua orang lahir (born), bila lahir ibubapa akan buka buku bank untuk simpanan masa depan anak (open a bank account). Bila tamat SPM, kena masuk khidmat negara (military service or national service) dan bila dapat keputusan cemerlang, berpeluang belajar di luar negara, kena mohon pasport (applied for a passport). Lengkap!

Justeru, jika ingin tahu betul atau tidak seseorang itu banyak bershopping, semua rekod, resit atau transaksi kad kredit ada lengkap disimpan di bank.

Juga jika ingin tahu kekayaan (bilangan rumah, lot-lot tanah) boleh saja meneliti rekod di Pejabat Tanah, atau bahagian pembayaran cukai pintu.

Semua kita terdedah, tiada rahsia mampu kita simpan tentang diri kita. Email dan panggilan telefon kita juga akan ditapis dan dihantar kepada pelbagai organisasi keselamatan sebelum diterima.

Tinggal saja kita mahu 'gali' rahsia itu atau tidak!
=========================

Itu perihal mitos 'kerahsiaan' maklumat diri setiap manusia yang dilahirkan dalam era moden yang serba canggih hari ini.

Bagaimana pula pendapat S. Sheldon tentang 'sisi gelap' dan kerahsiaan seseorang ahli politik?

Politik londeh-melondeh

Sebagai orang biasa yang sekadar ambil tahu hal-hal politik ini secara serba-sedikit, seringkali kita 'geram' apabila mendengar khabar angin, spekulasi, tohmahan dan percakapan yang disampaikan sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik - "ahli politik ini terbabit dengan rasuah; dia bolot banyak projek untuk kayakan kroni dan anak menantu; seleweng wang PKFZ; etc".

Persoalannya, mengapa orang yang mendakwa itu, hanya sekadar melontarkan dakwaan tanpa 'menghabiskan' apa yang dicakapkan - dengan lapor kepada badan berkuasa, siasat dan hukum si pesalah jika memang dialah si pelakunya!

Seringkali juga, ahli politik saling serang-menyerang, terutama menjelang musim pengundian. Bermacam kisah lama dan baru akan ditimbulkan, dijaja bertujuan 'melondehkan' segala sisi gelap lawannya.

Seni politik 'londeh-melondeh' ini tidak mengejutkan saya setelah membaca sebuah lagi novel S. Sheldon bertajuk "The Best Laid Plans: 54-55":

"You see, people have got it wrong. It's NOT WHO YOU KNOW," Senator Davis explained, "it's WHAT YOU KNOW ABOUT WHO YOU KNOW".

"Everybody's got a little skeleton burried somewhere. All you have to do is dig it up, and you'll be suprised how glad they'll be to help you with whatever you need".


"It's grist for our mills".


=========================
Nota:

Dalam politik, seseorang itu perlu 'kenal rapat' lawannya. Ini kerana dalam politik setiap orang ada menyembunyikan 'skeleton' (rahsia keburukan) mereka.

Skeleton ini boleh jadi rekod jenayah lampau semasa muda dan terbaru - pernah ditangkap khalwat, minum arak di dalam bilik dan bar, menari ronggeng, mempunyai wanita simpanan, pernah menerima rawatan mental di hospital gila, ditangkap mencuri lembu, etc.

Jika lawan mereka berjaya menghidu dan menggali rahsia tersebut, itulah yang akan menjadi senjata untuk menyerang dan perisai untuk melindungi dari diserang kelak.

Justeru, lawan yang telah 'dicuri' skeleton itu tidak dapat tidak perlu mengadakan kompromi dan membenarkan dia dicucuk hidung kerana bimbang segala 'skeleton' beliau didedahkan di khalayak oleh lawannya.

Namun, jika masing-masing lawan itu menyimpan 'skeleton' masing-masing, cara yang paling selamat adalah dengan 'pakat-pakat duduk diam sajalah'. Masing-masing angkat perisai daripada 'skeleton' lawan masing-masing.

Usahlah nak saman orang lain, kelak akan lebih banyak 'skeleton' anda yang akan dibongkarkan. Kelak, sendiri yang malu dan dihukum.
==========================

Kesimpulan

Para pembaca akan lebih memahami jika berupaya menghubungkan kedua-dua petikan Sheldon yang saya nyatakan.

Iaitu bagaimana dan mengapa orang politik 'nampak macam nak bergaduh', tetapi akhirnya tiada apa-apa yang signifikan (tiada tindakan susulan yang bermakna).

Mana satu kita (rakyat) nak percaya?

Akhirnya, segala dakwaan kedua-dua pihak hanya untuk menaikkan nama dan reputasi masing-masing di mata para penyokong mereka, tetapi ianya sesuatu yang 'kosong'.

Justeru, mereka-mereka inilah yang bijak. Sama-sama makan, sama-sama simpan.

Yang nganga apa-apapun, rakyat jugalah!

Friday 16 October 2009

Projek Palm Jumeirah, Dubai

Pembinaan unit-unit banglow mewah masih berjalan

Nampak seperti adanya landasan rel (monorel)

Unit banglow dengan rekabentuk dan spesifikasi tersendiri

Mewah, mampu tengok jelah.

Sumber semua foto: sini

Sekali pandang, macam rumah di sepanjang Pantai Miami, California. Mungkin inilah 'syurga' dunia terbaru untuk golongan kaya menikmati kehidupan mereka.

Bukan sahaja yang di atas air direkabentuk dengan canggih, malah teknologi bio-marin yang di dasar laut juga menggunapakai teknologi terbaru - untuk mempercepat pembentukan karangan laut, yang kemudiannya akan mewujudkan ekosistem baru bagi hidupan marin (yang musnah semasa proses pembentukan pulau buatan ini).

Namun, jika tidak silap saya selepas menonton rancangan "King of Construction' di saluran Discovery tempoh hari (SkyTV520), pelan untuk pembinaan pelepah palma baru tidak jauh jauh dari Jumeirah ini telah ada, bahkan mungkin 4 kali ganda lebih besar daripada yang ini.

Di saluran tersebut juga ditunjukkan program pembinaan pusat ski-Dubai (trek berski yang panjang, tinggi macam bukit dan besar). Tidak lama lagi orang Arab tidak perlu keluar ke negara 4 musim kerana salji telah datang ke Dubai.

- 'obsessi' orang Arab hari ini -

Tuesday 13 October 2009

Sami Yusuf - You Came To Me

Mula-mula tak berminat nak dengar (dah biasa layan nasyid dalam Bahasa). Bolehlah dengar sebentar sekadar mengisi waktu rehat.

Mawaddah belajar guna laptop

Kebelakangan ini, kami berdua agak sibuk dengan kerja-kerja penyelidikan. Serahan kemajuan kerja, menulis literatur dan bermacam lagi. Makanya, banyaklah masa dihabiskan dengan mengadap laptop.

Dalam kesibukan kami bekerja, Mawaddah tidak ketinggalan untuk turut tumpang sekaki. Bukan salah dia untuk 'membantu' ibu dan ayahnya membuat kerja dan mengemas ruang tamu, mungkin bosan kerana kurang dilayan telatah oleh ibu dan ayahnya.

Daripada pemerhatian saya, dia suka main dengan laptop. Biarpun telah saya tolak ke bahagian tengah meja (kopi), tetapi sedaya-upaya jugalah dia nak mencapainya.

Apehal ni? Apa salah saya?...

Pantang orang tak tengok, mulalah dia nak menaip...

Taip...jangan tak menaip...

Dia suka jadi secretary ayah dia...

Ayah...Ibu...bile nak belikan Mawaddah laptop?

Bila dah terlalu sibuk 'mengemas' terpaksa diletak dalam kereta dia

Nak main laptop gak..!!! Aaaaa...

Kasihan tengok dia sibuk membantu kami 'mengemas' rumah, makanya sewaktu kunjungan Din (dari Newcastle) ke Oxford dua hari yang lepas, kami membawa mereka ke carboot Kassam.

Canteeekkk...kami memang berhajat untuk mencari laptop buat Mawaddah bermain. Alhamdulillah, pagi Ahad tu banyak betul barang mainan yang elok-elok dan rezeki kami dimurahkan Allah, sekali tu 2 biji laptop kami beli untuk kegunaan Mawaddah.

Masih elok dan murah pula harganya

Saya dah cuba, bagus untuk kegunaan murid-murid sekolah rendah luar bandar belajar matematik dan bahasa inggeris

Kami juga sempat sambar mainan daripada kayu ini

Yang ini interaktif juga untuk dicuba

Selepas ini kami kena meluangkan masa untuk mengacau Mawaddah dengan laptop-laptop barunya. Sekurang-kurangnya dapatlah saya menghiburkan hati sendiri dan hati dia.

Best, best.

Sunday 11 October 2009

11/10/09

Hari ini Isa Samad menang di DUN Bagan Pinang

T.S. Isa Samad (dari parti UMNO-BN) telah diumumkan sebagai pemenang kerusi DUN Bagan Pinang setelah selesa menewaskan calon dari PAS dengan majoriti lebih besar iaitu 5435 undi (berbanding semasa PRU-12, sebanyak 2333 undi).

Sumber: foto

Kemenangan Isa yang telah saya jangkakan ini (lihat posting sebelum ini) nampaknya telah menyekat pesta kemenangan berterusan PR dalam beberapa siri dan kempen PRK sebelum ini.

Namun, kemenangan Isa melepasi 'hurdle' (halangan) terakhir untuk bergelar wakil rakyat dan ADUN boleh membawa pelbagai senario:

1) Kemungkinan selepas menjadi ADUN, Isa akan kembali mengatur langkah membina semula reputasi dan pengaruh beliau. Para pelobi, pendokong dan orang yang menyediakan dana dalam kempen Isa di Bagan Pinang ini pastinya mengharapkan 'sedikit' imbuhan sebagai balasan budi oleh Isa kepada mereka.

Justeru, langkah yang mungkin realistik adalah dengan membawa Isa kembali 'ke puncak' pentadbiran kerajaan negeri, bukan sebagai Exco, tetapi 'lebih dari itu'.

2) Port Dickson (PD) telah diikrarkan oleh BN akan dibangun menjadi 'Bandar Tentera Darat' (BTD). Dan projek sebegini pastinya membawa laba yang besar buat para kontraktor bukan bumiputra (yang mendapat tender Ali Baba oleh kontraktor bumiputra kelak).

Mahu tidak mahu, sebagai ADUN, Isa juga akan dapat menonjolkan imej beliau di mata masyarakat PD dan Negeri Sembilan keseluruhannya melalui pembinaan BTD ini.

Dan sepertimana yang lazimnya kita dengar, peruntukkan yang disalurkan untuk Kementerian Pertahanan saban tahun adalah antara yang tinggi sebagaimana peruntukan untuk Pelajaran dan Kesihatan. Maka, semakin lebarlah senyuman para kontraktor sekarang ini.

Janji BN untuk pembinaan BTD sukar atau tidak perlu jua mereka kotakan kerana rakyat telah melihat bilamana sahaja BN kalah di Manek Urai, penduduknya tetap menerima 'khabar' pembinaan jambatan baru, pembinaan pusat sukan dan pembesaran masjid.

Mujur juga dengan desakan untuk menang, janji sebesar pembinaan BTD ini dibuat mereka. Merasalah rakyat setempat akan impak sosio-ekonomi (yang positif harapnya) selepas ini.

Kami menerima kunjungan kawan lama

Hari semalam kami menerima kunjungan kawan lama dari Newcastle (Kamarudin + Eja + 2 girls) ke rumah kami di Oxford sini.

Dah besar anak-anak mereka. Semasa jumpa tahun lepas yang Angah tu baru sebulan usianya. Sekarang dua-dua boleh berlari.

Mereka sampai di rumah kami petang Sabtu dan bermalam, dan pagi ini (Ahad) bawa mereka ke carboot Kassam sebelum bertolak pulang ke Newcastle.

Hari semalam (Sabtu) rumah kami riuh dengan anak-anak kecil, semuanya baby girls. Kebetulan saya turut menjemput Ustaz ke rumah untuk makan dan sembang-sembang. Macam-macam yang 'disembangkan'.

Tengok Aufa juga sudah besar, pandai berjalan dan suka senyum kat orang. Sekali dengan Mawaddah, ada 4 baby girls.

Bergambar sebelum pulang ke Newcastle

Sukelah tu ada ramai kawan nak bermain...

Kamarudin dengan saya kenal sudah lama. Kami rakan serumah sewaktu sama-sama buat Master kat Johor dulu. Dia senior saya beberapa tahun dan Eja isterinya, rakan sekelas saya sewaktu buat Diploma dulu.

Pusing-pusing, situ jugalah. Dah jodoh.

Hari ini hari lahir saya

Hari ini juga adalah hari lahir saya yang ke 'sekian kalinya'. Nak potong pulut kuning kami tak pandai nak buat. Makanya, gantilah dengan kek.

Berseri kek ni macam birthday boy tu jugelah...huhu

Portion kecil ini diaorang pakat kongsi, aku nak makan yang banyak tu..

Mujur tak nampak tua lagi...hoho

Minggu ini aktiviti kami agak penuh. Sebenarnya, semangat untuk pulang ke Malaysia semakin membara (badan saja di sini, jiwa dah duduk baring kat bangsal bawah pokok jambu kat kampung)...

Apapun, sebarang kerja tertangguh di Sekolah perlu disiapkan, dilengkapkan dan dihantar. Kalau tidak teruk saya kena 'bambu' dengan John bila jumpe di KL nanti.

Wassalam.

Friday 9 October 2009

Berita dari kampung: Generasi pencuri

"Sa(m)pa(i) peta(i) 2 papan(g) pon(g) orang nok curi" - begitulah lebih kurang rungutan Ibu semasa saya menalefon beliau tadi pagi.

Orang kampung yang tanam buah naga kat Bukit Belia tu lagi kesian. Dah nak kutip buah dah esoknya, malam tu jugak 'terang-benderang' kena tuai si pencuri.

Pok Wei (Ismail) yang kebun sebelah tanah kita pun kesian. Macam tahun lepas juga, kali ini dekat 800 papan jugalah petai yang dia dok 'supervise' sehari-hari, lenyap dalam tempoh 1 malam saja.

Tambah sakit hati, si pencuri tu pulak 'rekrut' mak dan isteri dia untuk buat jualan petai dari rumah-ke-rumah.

Mak dia dapat jual sampai RM80.00 dan bini dia pulak dapat lebih kurang RM60.00.

Semasa 'roadshow' rumah ke rumah, terserempaklah Pok Wei (Ali Baba) dengan 'penyamun' anak-beranak ini. Katanya, petai ni semua laki dia panjat dari hutan, kat bukit sana.

"Tapi nampak macam petai aku je!" - sungut Ali Baba dalam hati. Cissss!

Bertanya saya - "nampak ke nak 'kait' (guna galah) 2 papan petai tu malam-malam hari? Ke mencuri waktu siang?

"Oooooo....galah dah takde, itu taktik tahun lepas. Tahun ini, pakai 'gandeng' (baling batang kayu) je" - jawab Ibu.

Haaiiii...kerana 2 papan petai.

Lalu saya sarankan supaya tahun depan Ibu 'tolong' sediakan galah, takpun tangga siap-siap kat tepi pangkal pokok petai tu. Senang sikit si penyamun tu nak gunakan.

Itu bab curi-mencuri. Eh, ada lagi...

Anak 'orang kaya' kat sebelah sana baru-baru ini kena tangkap Polis kerana mencuri kerbau 'ayah dia sendiri'.

Ayah dia memang semua orang kampung sedia tahu, memang banyak kerbau. Sampai nenek saya dok menyumpah tuan kerbau pun bodooo macam kerbau dia. Malam-malam datang ceroboh kebun sayur dia.

Dahlah rosakkan pagar, makan tanaman, lepas tu siap kencing dan berak! Bila pegi cakap dengan tuan dia, dia jawab - "bakpe mung dok pagar betul-betul". - Lembu punye tuan kerbau.

Mungkin tak tahan disumpah nenek saya dan nenek-nenek orang lain juga, akhirnya tuan kerbau yang lembu itu telah menghalau kerbau dia ke kawasan Felda. Jauh dari orang, dan luas sikit tanah untuk meragut.

Anak dia ni memang telah diketahui banyak kali buat 'transaksi' jualan kerbau haram ni (cuma ayah dia je tak tahu).

Hendak diuji Allah, satu hari tu dia bersama 2 pengikutnya telah 'mencopek' seekor kerbau ayah dia di ladang sawit. Setelah diikat, ditelefonnya tok peraih katanya dia nak jual 'kerbau dia'.

"Datangla, kita buat kira-kira" - kata orang tu.

Tapi peraih tu pun bukan bodoh macam dia dan kerbau dia. Dia datang bersama Tok-tok Polis. Petang itu, merasalah bermalam dalam 'gog' (Reban Polis/jel).

Hendak dijadikan cerita lagi, ayah dia datang jamin dia keluar jel. Tapi jamin 'anak bertuah' dia sorang jelah. Lagi 2 mangkok tu sekarang tengah tunggu bicara di mahkamah.

Anak-beranak yang pelik!

Bertanya saya beberapa nama budak muda yang lama 'melanjutkan pengajian' di luar kampung - ada yang buat PhD di penjara Marang, ada buat sabatikal (kena buang daerah) ke Selangor, ada yang akan tamatkan pengajian Post-Doc, etc.

"Haaa....budak tu dah tamat hukuman buang daerah, dah balik" - kata Ibu.

"Jadi orang ke tak, lepas dihukum tu?" - tanya saya.

"Hehe...dia tak keluar rumah hari siang, hanya keluar waktu malam je. Mulakan balik kerja lama dia" - jawab Ibu.

Ibu ada juga sebut beberapa nama orang muda yang lama tiada di kampung (ramai yang saya ingat-ingat lupa). Sayangnya semuanya membawa khabar yang negatif.

Ramai yang 'masuk dalam' di atas kesalahan mengedar ubat batuk, pil kuda dan buat air ketum. Dan tidak lupa ada yang dihukum sebab mencuri (motor Ibu saya kena curi malam raya - hahaha, good story, good time).

Kelakar gile kisah motor kena curi tu. Kami adik-beradik memang langsung tak perasan, hinggalah semua dah siap mandi dan pakai baju melayu untuk solat hari raya.

Turun tangga ke garaj nak ambik motor, tapi MANA MOTORNYE? Heeiii..what the hell?

Hahaha...good story, good time.

Ada banyak lagi kami sembang. Macam mana Ibu bercerita pasal adik Ayoh yang berkebun timun cina (tembikai) yang kini terpaksa tidur di kebun kerana terlalu ramai 'serigala lapar' yang berkeliaran di luar pagar.

Ada yang mencuri buah sawit pakai motor - angkut 2 tandan setiap trip (1 tandan kiri, 1 tandan kanan), hinggakan tuan ladang pun tak berani nak tegur (yelah, orang tua).

Ada yang 'kaya sikit' mencuri sawit pakai kereta Proton Saga. Isi buah sawit dalam bonet.

Satu hari 'terkantoi' dengan tuan ladang dan dia takut sangat sampai lari tertinggal kereta.

Rezeki tuan tanah hari itu, dibakarnya kereta penyamun tu! Puas hati....good story, good time!

Dah panjang merapu nih, tapi saya seperti juga Ibu berkongsi kebimbangan tentang masa depan belia yang masih hidup di kampung. Baik yang bujang, mahupun yang sudah berumah tangga.

Saya sarankan Ibu-Ayoh supaya tengok-tengokkan adik-adik dua orang di bawah tu. Pantau pergaulan mereka. Kalau rasa terang hati dalam pelajaran, bantu dan sokong agar mereka dapat keluar dari kampung, bersekolah dan jadi orang baik-baik.

Dr. Sepet: antara pengajaran dari Surah Al-Kahfi (pemuda-pemuda yang tertidur dalam gua), mungkin dah dekat dengan masa kita 'membina gua' untuk berlindung dari pelbagai anasir jahat. Mungkin orang mencemuh dan melihat kita ini pelik (atau mundur sebab duduk dalam gua), tapi Al-Quran melalui Surah Al-Kahfi telah membuktikan akan tiba masa Islam akan kembali menjadi minoriti (hanya sikit orang Islam yang benar-benar amalkan Islam, ramai dah jadi Islam 'celup').

Membina gua (perlindungan dari hiburan TV melampau, pengaruh internet, chatting, handphone, video game, etc) di rumah sendiri dapat menghalang diri kita dan anak-anak kita dari fitnah Dajjal, InsyaAllah.

Sekian, saya melaporkan berita dari kampung!

Thursday 8 October 2009

Azeez dipukul: Realiti atau halusinasi?

Di dalam keriuhan parti-parti dan calon yang bertanding pada PRK Bagan Pinang waktu ini, media dan blog politik masih belum reda dari memperkatakan kisah D. Azzez Rahim, 'orang kuat' Putera UMNO yang mendakwa beliau telah dipukul oleh 8-9 'orang kuat' dari parti PAS semasa hari penamaan calon yang baru saja selesai.

Sumber berita ini para pembaca boleh dapati dengan mudah di mana-mana akhbar portal / online dan ianya bertebar di serata blog-blog politik. Carilah dengan menaip kata kunci seperti Putera UMNO - dipukul - Azeez - PRK Bagan Pinang, etc.

Tambah memeningkan pelbagai pihak baik Polis (yang cekap) dan rakyat terbanyak adalah sehingga kini dakwaan bahawa beliau dikasari, masih belum dapat dicari akan buktinya.

Malah semalam pula ada pihak yang sanggup menawarkan ganjaran wang tunai RM6,500.00 kepada sesiapa yang dapat memberikan foto, bukti Azeez di'peraniaya' sedemikian rupa oleh para penyokong PAS.

Disebabkan tiada bukti fizikal yang ditampilkan (foto, video, DNA), kecuali bersaksikan Allah S.W.T sajalah, beliau kemudiannya menerima 'imbuhan' daripada orang ramai.

Ada yang menggelarkan beliau sebagai 'Pelakon Terbaik Tahun Ini', 'Dia Disapa, Bukan Dipukul', 'Azeez Kaki Kelentong', 'Itu Cara Untuk Menghalalkan Kegiatan Samseng Dalam PRK di Pihak UMNO', etc. - ini semua label-label yang tersebar di merata blog.

Tambah meyakinkan lagi, Azeez telah (me)dimasukkan di Hospital kerana mendakwa mengalami sakit lemah badan dan pitam setelah dikarate lehernya oleh sekumpulan 8-9 orang tersebut (menggunakan jurus 'angin 3 penjuru' jika tidak silap sebagaimana yang didakwa).

Foto beliau dengan lehernya yang berbalut serta terlantar di katil hospital turut dapat anda lihat dengan hanya melayari akhbar berita harian online.

Tidak lama selepas itu, Azeez dikhabarkan telah beransur sihat dan dibenarkan keluar dari hospital (mungkin perlu segera turun ke Bagan Pinang berkempen?).

Syukur Azeez berjaya melawan kesakitan dan jurus sakti yang dikenakan ke atas badan beliau yang kuat itu. Maka, semakin ramailah orang yang kini tertunggu-tunggu untuk mendapatkan kisah sebenar dan bukti beliau berkenaan kejadian yang menimpanya tempoh hari.

Malah, tidak kurang yang turut mendoakan agar beliau dapat rehat yang secukupnya kerana mungkin beliau sebenarnya mengalami halusinasi yang melampau (berimaginasi).

Justeru, adalah lebih baik untuk beliau duduk berehat di rumah di samping berusaha untuk mengingatkan kembali secara jelas dan waras perihal sebenar pada hari penamaan calon tersebut.

Kita tidak mahu fenomena baru 'penyakit halusinasi' ini berkembang-biak dalam arena politik tanah air di masa depan. Cukuplah dengan isu 'politik wang' dan rasuah yang tidak berpenghujung itu kita dipeningkan.

Setelah dapat memulihkan diri dan kotak pemikiran beliau, wajarlah sebagai memenuhi akhlak seorang muslim, Azeez tampil dengan membawa bukti (DNA, foto, video, etc) yang menyokong dakwaan bahawa beliau memang dipukul itu adalah realiti, bukannya halusinasi.

Tetapi jikalau benar beliau yang berhalusinasi, baik cepat-cepat mencari penawarnya kerana karier politik beliau dilihat masih baru dan UMNO tidak memerlukan pemimpin yang ber'sindrom' sebegini diberikan tempat dalam kepimpinan parti di masa depan.

Dalam kes ini: penjelasan Azeez 'didahulukan'. Sekian.

Wednesday 7 October 2009

Kempen Bagan Pinang: Masih ada yang tertinggal kapal

“Hanya BN boleh merubah taraf hidup rakyat, hanya BN mampu membawa prasarana, kemudahan asas dan melahirkan modal insan dan negara Malaysia telah diberi pengikitrafan kerana dasar-dasar pendidikan dan pemerintahan yang paling lama,” - Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin (sumber: sini)

Lucu

Permohonan maaf didahulukan jika ada di antara pembaca yang akan terasa hati dengan komen saya selanjutnya nanti.

Namun, itulah perasaan saya, begitu melucukan apabila menatap petikan ucapan seorang 'ketua' (wanita UMNO Sabah) sewaktu siri kempen sempena PRK Bagan Pinang yang sedang rancak berjalan ketika ini.

Bukan untuk menyatakan beliau kurang cerdik, namun mungkin beliau kurang terdedah kepada perkembangan mutakhir yang sedang melanda seluruh negara dan di peringkat global dewasa ini.

Jika saya sebagai orang biasa yang membacanya pun rasa lucu, apatah lagi jika orang yang pandai politik dan minat politik yang membacanya. Tentu lebih teruk lagi kena 'bambu'.

Kena tinggal

Saya anggap ucapan beliau ini sebagai seorang 'pemimpin' yang ketinggalan kapal. Di kala ramai orang telah bergerak laju ke era baru, masih terdapat yang hidup dalam suasana di zaman silam.

Telah beberapa kali telah saya ulas sebelum ini bahawa ayat seperti 'hanya BN yang boleh membawa pembangunan' mungkin boleh laku jika ianya diperkatakan pada era tahun 1960an.

Malah, beberapa ahli akademik dan sains politik termasuk Prof. Agus Yusuff dan Prof Atory juga turut mengingatkan bahawa pemakaian 'label pembangunan' sebagai umpan mendapatkan sokongan politik di era millenium ini bukanlah suatu tindakan oleh orang yang bijak.

Bukalah mata, bacalah surat khabar dan internet. Bergaullah dengan orang yang di luar parti anda untuk membolehkan anda terdedah kepada pelbagai ilmu dan pengetahuan yang baru lagi terkini.

Bukanlah niat saya untuk menafikan sumbangan dan jasa kerajaan BN membangunkan negara selepas kemerdekaan hingga ke hari ini. Bodohlah jika masih ada yang mempertikaikannya.

Namun, di masa yang sama kita kena rasional dan realistik di dalam melakukan sebarang penilaian.

Ini kerana selain kemampuan BN membawa pembangunan fizikal dan ekonomi, kita perlu juga mengakui kemampuan beberapa negeri yang kini ditadbir oleh pembangkang/PR dalam menyediakan perkhidmatan yang memuaskan buat rakyat.

Di Kelantan sendiri telah hampir 2 dekad ditadbir PAS, dan kini Selangor (PKR), P.Pinang (DAP) dan Kedah (PAS). Rakyat melihat dan menilai kesemuanya ini. Bagaimana pula dengan Sabah yang jika tidak silap masih kekal sebagai antara negeri termiskin di Malaysia? (cukup, saya tidak ingin mengulas lanjut).

Janganlah nanti ahli parti yang nampaknya lebih matang menilai dan berpengetahuan berbanding 'ketua' mereka sendiri.

Berubahlah

Bagi mendapatkan sokongan para pengundi, pastinya bermacam cara digunakan. Tetapi, bak kata pepatah "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar".

Janganlah nampak sangat tahap pemikiran / mentaliti sebenar kita, tambah-tambah lagi jika anda seorang 'ketua' dalam memperkatakan sesuatu perkara.

Tidak salah untuk mengajak rakyat berterima kasih dengan kerajaan, bak kata pepatah "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa", tetapi janganlah sampai ke tahap menjadi taasub sehingga merendahkan tahap pemikiran dan mentaliti diri.

Dr. Sepet: Untuk keselamatan, toleh kiri dan toleh kanan sebeum membuat keputusan nak menyeberang atau tidak.

1Malaysia: Bertuahnya kita

Pernah dengar atau tidak "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan"?

Namun bukan perihal kera dan mati kelaparan yang ingin saya bangkitkan di sini. Ianya berkaitan 'strategi' perniagaan yang dibuat oleh Proton-Edar di dalam memasarkan kereta nasional di dalam dan di luar negara.

Untuk meringkaskan dan mengurangkan kekeliruan para pembaca, sila rujuk foto di bawah dan huraian ringkas berikut, yang saya terima daripada seorang rakan melalui email.

Di Arab Saudi, Proton menjual keretanya pada harga berikut:

Persona = SR36,100.00
Gen2 = SR33,600.00
Waja = SR37,950.00

Kadar tukaran matawang 1Saudi Riyal (SR) = RM0.91, atau setelah di tukar kepada ringgit menjadi:

Persona = RM32,786.00
Gen2 = RM30,612.00
Waja = RM34,576.00

(semua itu setelah mengambilkira kos naik dan turun kapal)

Harga Proton untuk rakyat 1Malaysia pula:

Persona 1.6SE = dari RM59,800.00
Gen2 1.6 CPS = dari RM60,488.00
Waja 1.6 Premium = dari RM61,888.00

Kenapa nampak murah (tak rugi?) sahaja harga kenderaan Proton yang dijual di Arab Saudi, berbanding harga yang perlu dibayar (melalui hutang bank) oleh kebanyakan rakyat 1Malaysia kelas pertengahan?

Secara berseloroh, orang yang menghantar email itu menyatakan sebab Proton dapat menjual keretanya dengan harga lebih tinggi untuk rakyat 1Malaysia kerana semua rakyat 1Malaysia ini kaya dan berkemampuan orangnya.

"Rakyat didahulukan"

Monday 5 October 2009

Terbitnya sinar baru di Greek

"Parti Pemerintah Greek Tewas Teruk Dalam Pilihanraya"
- sumber sini

Berita Harian Online hari ini melaporkan satu lagi kisah kejatuhan kerajaan yang memerintah sesebuah negara, yang selepas Jepun, iaitu di Greek.

Parti Konservatif Greek yang dikepalai 'bekas' PM, Costas Karamanlis telah tewas teruk dan disingkirkan oleh Parti Sosialis Greek.

Sebab utama yang dilihat menjadi punca penolakan rakyat terhadap parti dan pimpinan Karamanlis adalah kegagalan beliau menyelesaikan masalah atau skandal pengurusan ekonomi (goyah).

Komen ringkas:

Sebagaimana Jepun, penyingkiran parti pemerintah di Greek juga ada hubungkait dengan masalah ekonomi.

Rakyat (pengundi) marah kerana kerajaan gagal mengawal 'ketirisan' yang berlaku sehingga banyak wang dialirkan untuk membaiki prestasi ekonomi, penyediaan peluang pekerjaan dan menggerakkan projek-projek berimpak tinggi, masih gagal menunjukkan kesan positif sepertimana yang diharapkan.

Akhirnya rakyat (pengundi) telah menolak mereka semua dalam pilihanraya.

Sunday 4 October 2009

18SX: Kantoi untuk tambah kuota

Seorang suami sedang mencari-cari helah untuk membolehkan dia berkahwin lagi.

Antara alasan yang diberikannya:

Suami : Lelaki kawin 3 baru lah sah

Isteri : Kenapa pula?

Suami : Cuba terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, "satu" is one, "dua" is two, "tiga" isteri (is three). Baru betul dan sah!.

Isteri : Tapi abang kena faham Bahasa Inggeris, terutama tentang "singular" dan "plural"

Suami : Berkenaan apa tu?

Isteri : Satu tu "Singular"; dua atau lebih "Plural"

Suami : Contohnya?

Isteri : One car sebagai singular, two cars sebagai plural. Apa bezanya?

Suami : Ohhh... tambah huruf "s" untuk yang plural

Isteri : Betul tu. Sama juga la untuk abang

Suami : Macam mana pula boleh sama?

Isteri : Satu isteri abang MAMPU, jika dua isteri dah jadi plural, maka abang MAMPUS, tambah "s" je, kan?

Lepas daripada tu, si-suami tidak pernah lagi berceritakan hasratnya untuk berkahwin lagi...

Sumber: sini

Peperiksaan: Adik-adik sila jauhi jawapan sebegini!

Jawapan 1: Penyelesaian masalah

Jawapan 2: Isi tempat kosong dengan huruf yang 'betul'

Jawapan 3: Penyelesaian masalah - lain pula yang 'diselesaikan'

Jawapan 4: Jawapan untuk soalan yang mengelirukan

Sumber semua foto: sini

Saturday 3 October 2009

1Malaysia: Sudah tubuhkan kelab

1Malaysia - Popular

Seperti dijangka, setiap kali sesuatu slogan baru diperkenalkan oleh seseorang pemerintah yang baru, ianya akan pantas diserap, diselit, dikepil, dipromosi dan dipopularkan pelbagai pihak.

Mungkin ramai di antara kita yang masih ingat akan ungkapan 'Malaysia Boleh', dan kemudiannya 'Islam Hadhari'.

Belumpun tersedar daripada lamunan mimpi 'Islam Hadhari', rakyat kini dihidangkan pula dengan '1Malaysia'.

Munculnya 1Malaysia ini pula dikala negara sedang meniti jalan yang serba mencabar dalam mengurustadbir ekonomi, sosial, budaya (curi budaya orang?) dan cabaran untuk mengekalkan hubungan berharmoni di antara kaum.

Biarpun 'isi' sebenar dan semangat yang dibawa oleh 1Malaysia belum begitu nyata difahami (kerana ia belum benar-benar dapat dibezakan dengan agenda Malaysian-Malaysia bawaan DAP), 'kulit'nya bagaimanapun begitu diminati ramai pihak.

Tidak salah dikatakan perkataan 1Malaysia kini menjadi *buzzword. Cuma bezanya, sama ada ianya diguna untuk menerangkan suatu perkara yang positif, atau menjadi istilah untuk menyindir di satu pihak.

(*buzzword - hingar bingar kerana di sana-sini orang berkata mengenainya)

1Malaysia - neutral atau berpihak?

Benda yang baik belum tentu semua orang akan terima.

Begitu jugalah dengan kemunculan 1Malaysia ini. Mungkin aspirasi yang cuba dibawanya adalah murni dan positif. Tetapi mungkin 'platform' ia diperkenal, dipromosi dan dipopularkan itu serba-sedikit menimbulkan persoalan.

Ini kerana 1Malaysia diperkenalkan oleh PM Malaysia, di mana pada masa yang sama beliau juga adalah Presiden UMNO.

Inilah yang dipandang sesetengah pihak sebagai ianya (1Malaysia) bukanlah sebagai suatu ideologi yang neutral (tidak berpihak kepada BN-UMNO sahaja).

Seharusnya kemunculan 1Malaysia akan menimbulkan paradigma baru di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia bahawa mereka selama ini telah berkongsi membina hidup dan mencari makan di atas bumi yang sama, milik mereka bersama.

Semua rakyat, tidak kira apa jua fahaman atau ideologi kepolitikan mereka, tetap tertakluk kepada kadar yang sama terhadap cukai pendapatan yang perlu mereka bayar.

Persoalannya, apakah 1Malaysia ini mampu untuk menjadi neutral? Atau satu gagasan 'berpihak' yang lebih lunak bunyinya bagi menggantikan istilah 'kronisma'?

Kelab penyokong

Dalam keriuhan pihak-pihak yang bertanding bagi merebut kerusi DUN Bagan Pinang tidak lama lagi, blog ini melaporkan kisah berkaitan 'Kelab Penyokong BN' (KP).

Foto: sumber

Dalam kes ini, mengapa orang yang menyokong BN bertindak menubuhkan KP dan tidak masuk terus ke dalam BN? Iaitu dengan menyertai salah satu daripada pelbagai parti komponen dalam BN (3 yang utama - UMNO, MCA, MIC), atau menyertai salah satu sayap dalam setiap parti komponen terbabit (pemuda, wanita, putera, puteri, veteren, etc)?

Apa pula matlamat penubuhan KP ini?

Jika dalam kes KP PAS, mudahlah kita faham bahawa ianya ditubuhkan oleh Bukan Islam yang menyokong ideologi dan perjuangan yang dibawa oleh PAS.

KP PAS ini cuba menyumpulkan seramai mungkin golongan Bukan Islam untuk menyokong PAS (termasuklah calon PAS-PR). Ini kerana perlembagaan PAS masih tidak membenarkan Bukan Islam menjadi ahli PAS - syarat kena Islam, tanpa mengira kaum.

Justeru, untuk mengatakan Bukan Islam tidak boleh masuk BN pun tidak juga kerana BN parti berbilang kaum dan berbilang agama.

Mungkin pihak yang menaja penubuhan KP ini yang lebih layak menjawabnya.

Cuma apabila meneliti foto tersebut, jelas bahawa 1Malaysia begitu 'melekat' dengan BN (a.k.a berpihak secara ekslusif).

Maka, ianya tidak dapat tidak, boleh menjarakkan lagi minat orang-orang yang 'bukan-BN' untuk menerima ia (1Malaysia) sebagai suatu ideologi yang 'neutral', yang seharusnya dipandang penuh minat oleh rakyat di pelbagai lapisan.

Modal perkauman

Perkauman adalah suatu isu yang sensitif, tambahan pula apabila kita memperkatakannya di dalam situasi sekarang ini.

Begitupun, isu perkauman ini bukanlah benda asing. Ianya berlaku di mana-mana, tidak kira negara membangun mahupun maju.

Malah, di negara maju yang kononnya mengiktiraf globalisasi dan demokrasi juga dilihat masih subur dengan isu-isu perkauman yang dilihat belum ada penghujungnya.

Mungkin sedikit bezanya, isu perkauman ini banyak (bukan semua) diperjuangkan oleh golongan (parti) minoriti, dan bukannya parti pemerintah (faham ye?).

Sumber: pada foto

Justeru, modal berkempen yang berbentuk mengapi-apikan dan memainkan sentiman berbaur perkauman bukanlah suatu langkah yang bijak.

Silap hari bulan, api perkauman ini boleh membakar diri sendiri.

Foto: sumber

Belajar dan fahamilah sejarah

Memang asal negara kita ini rakyat dikenal melalui polarisasi (pengasingan) kaum - dibawa oleh penjajah British.

Tetapi, semakin kita mengecap kemajuan, kemakmuran dan kemodenan, generasi terkemudian ini semakin hari semakin melupakan sejarah.

Bagi mereka sejarah adalah benda yang lepas. Kita wajar melihat dan bergerak ke hadapan.

Namun pada hemat saya, semua kita kena balik meneliti, belajar dan memahami sejarah. Bukan dengan hafal buku sejarah sekolah rendah dan menengah (tidak semua fakta itu benar), tetapi carilah dan rujuklah sumber yang lain juga, yang mungkin bercanggah dengan apa yang lazimnya kita 'diberitahu'.

Harapnya apabila kita fahami sejarah, dapatlah kita fahami asal-usul kita, apa hak-hak kita dan apa yang bukan hak-hak kita.

Inilah yang generasi moden hari ini perlu tahu dan faham dan disedarkan! Barulah integrasi kaum dan keharmonian dapat kembali diwujudkan.

Bukannya dengan berterusan 'melempar batu sembunyi tangan' seperti pengedaran bahan bercetak seperti foto di atas itu - apapun, matlamat tidak menghalalkan cara!

Ini kerana sejarah juga membuktikan bahawa runtuhnya sesuatu negara itu bukan hanya disebabkan serangan dari pihak luar (penjajahan asing seperti di Iraq dan Afghanistan), tetapi banyak juga yang runtuh disebabkan 'anasir dalaman' yang gagal memahami sejarah golongan yang sebelumnya.

Dr. Sepet: saya minat sejarah, tetapi alangkah baiknya jika buku sejarah kita lebih interaktif.

Presiden Iran berketurunan Yahudi?

Sumber: sini

PRESIDEN Iran Mahmoud Ahmadinejad merupakan seorang pemimpin berketurunan Yahudi yang mempunyai nama keluarga Sabourjian, lapor akhbar The Daily Telegraph semalam.

Keluarga Mahmoud dipercayai menukar nama keluarga kepada Ahmadinejad selepas mereka memeluk Islam ketika beliau berumur empat tahun, sekitar tahun 1950-an.

Sabourjian yang bermaksud penenun kain, secara tradisi menetap di Aradan, Iran iaitu bandar kelahiran Mahmoud.

Pakar pengajian Yahudi Iran di London berkata, perkataan 'jian' bermaksud keluarga itu menganut agama Yahudi.

"Sabourjian ialah nama Yahudi terkenal di Iran," kata pakar tersebut.

Jurucakap Kedutaan Iran di London, Ron Gidor berkata, pihaknya tidak akan mengulas mengenai sejarah lampau Mahmoud.

"Kami tidak akan bercakap mengenai sejarah silamnya," kata Gidor.

Mahmoud ialah jurutera bertauliah serta mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pengurusan trafik. Beliau pernah berkhidmat untuk Pengawal Revolusi sebelum menceburi politik. - Agensi