Ahad lepas (30 Sept 2012) saya berlepas ke Pulau Pinang (ke USM) bagi menghadiri satu bengkel dan perjumpaan tahunan para penyelidik dan pengkaji bidang kedesaan / luar bandar. Kumpulan ini dikenali sebagai Rural Research Planning Group (RRPG). Ianya ditubuhkan pada tahun 2010 melalui inisiatif Prof. Dr Ibrahim Ngah (UTM Skudai - tahniah di atas anugerah Professorship "my dear father and mentor") bersama rakan-rakan dari Universitas Diponegoro (Indonesia), David Preston (Oxford University) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Saya mengambil penerbangan dari Subang Airport menggunakan pesawat Firefly. Perjalanan ke Bayan Lepas Airport hanya mengambil masa selama 1 jam. Tiket pergi-balik berharga RM 237.90. Pertama kali menaiki pesawat Firefly yang kecil, saya sifatkan ianya masih selesa, menetapi masa selain "simple and practical" (check-in cepat, pergerakan ke pintu berlepas yang mudah, ruang bagasi yang selesa sekalipun pesawatnya kecil, muffin dan air jus juga diberi percuma). Di Subang Airport juga saya sempat bersembang dengan Ust. Nik Abduh (anak Tok Guru) yang sedang menunggu penerbangan pulang ke Kota Bharu.
Tiba di Penang, saya dijemput oleh penyelidik USM, Colinious Atang @ Colin dan dibawa untuk check-in di hotel. Di sana saya dipertemukan para peserta RRPG yang lain dari Malaysia (UTM dan USM), Indonesia (Diponegoro, ITB, Seogijapranata Catholic University), Thailand (Mahidol Uni) dan Vietnam (Vietnam National University Ha Noi).
Bagi bengkel dan perjumpaan (3rd International Workdshop and Meeting 2012) tahun ini, tema yang dipilih penganjur (USM) adalah "Cluster Development in Benefiting the Local and Regional Societies and Economies". Seminar bertempat di Sekolah Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dan saya juga turut berpeluang membentangkan sebuah kertas penyelidikan berkaitan "bidang kesukaan" saya iaitu Sustainable Community Based Rural Tourism (CBRT). Seperti mana-mana seminar, ianya berjalan sebagaimana lazim. Sebanyak 15 kertas penyelidikan dan satu key paper telah dibentang dan dibedah secara terperinci. Seminar tamat sekitar jam 5.30 petang.
Di kampus USM juga saya berpeluang bertemu jiran lama sewaktu di Oxford dulu-dulu. Kami sempat bersembang dan kemudian keluar "pekena" nasi kandar yang tentunya sinonim dengan Pulau Pinang. Apabila lama tidak bertemu makanya banyak topik yang dibincangkan. Antara yang saya ingat adalah mengenai "otak mahasiswa", Bajet 2013, harga rumah dan kereta, Suaram, isu Hudud, pembedahan lasik dan isu-isu semasa (mostly on local politics). Beliau turut menghadiahkan naskah lama yang ditulisnya sebagai tanda kenang-kenangan.
Agri-Based Industrial Park
Hari kedua program, pihak penganjur membawa para peserta RRPG melawat ke beberapa kawasan perusahaan desa berkelompok di sekitar Seberang Perai antaranya:
1) Agri-Based Industrial Park di Kubang Menerong.
2) Restoran Puncak Mutiara di Sg. Pelet, dan
3) Homestay Mengkuang Titi.
Bagitupun, bagi Siri 1 ini, saya hanya mengupas serba-sedikit mengenai pengalaman berkunjung ke projek Inkubator Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) seliaan PERDA (Penang Rural Development Authority) yang terletak di Kubang Menerong.
Projek inkubator ini disertai seramai 7 pengusaha IKS yang mengkhusus kepada penghasilan produk desa tertentu, antaranya pembuatan Roti Paratha, Kicap dan Sos, Kuih-Muih Moden, Kuih-Muih Tradisional, Kerepek Ubi Kayu berperisa, Kerepek Nenas, Kuih Pau segera dan sebagainya.
Di bawah inisiatif Perda, produk-produk yang dihasilkan telah dipromosi dan dipasarkan di bawah satu jenama unggul iaitu "Pinang".
Konsep "kluster" yang dibentang dan difahami oleh peserta RRPG adalah dengan mengelompokkan para pengusaha berbagai produk ini di bawah satu bumbung, terancang, moden dan berskala perusahaan. Para pengusaha juga SEHARUSNYA mampu berkongsi dan membina network (apabila telah dikelompokkan di satu tempat/zon) dengan berkongsi kemudahan mendapatkan bahan mentah (raw material), sumber buruh dan kemudahan pembungkusan dan pemasaran.
Begitupun, hal yang SEHARUSNYA berlaku, tidak berlaku di dalam perlaksanaan projek ini kerana pengelompokkan para pengusaha IKS ini hanya berlaku secara fizikal, tanpa kewujudan jaringan/networking ataupun interaksi di antara satu pengusaha dengan pengusaha yang lain.
Masing-masing beroperasi di dalam unit kilang yang disewakan mereka dengan kadar antara RM500-RM1200 sebulan mengikut saiz.
Menurut COO Perda bagi projek ini, dua (2) masalah utama telah dikenalpasti. Beliau mengharapkan supaya pihak lain yang terlibat/bakal terlibat dengan projek kluster IKS dapat mengambil iktibar agar "kesilapan" ini tidak diulangi di mana-mana tempat dan di masa yang akan datang.
Pertamanya, pemilihan peserta yang benar-benar layak, berminat dan komited untuk berkecimpung di dalam projek inkubator ini secara jangka panjang dan menguntungkan. Memandangkan projek inkubator ini melibatkan peruntukkan terus oleh Jabatan Perdana Menteri (projek Kerajaan Pusat), ianya, pada peringkat awal, diserahkan kepada peserta yang "ada connection" dengan "orang tertentu" justeru membantu mereka memperoleh tempat di dalam projek tersebut.
Begitupun, peserta dengan "kelayakan politik" ini tidak serius, tidak komited (operasi secara part-time) selain tidak memiliki kemahiran, modal dan buruh yang sesuai untuk mengendalikan perusahaan sehingga membawa kepada kegagalan mereka memenuhi pesanan yang diminta pelanggan. Akhirnya pelanggan lari dan reputasi jenama yang mereka bina dengan kos yang besar menjadi tercalar dan tidak lagi diyakini pasaran.
Masalah kedua, apabila ianya projek dari "kerajaan pusat", tentulah melibatkan perebutan kontrak tertentu di dalam pembekalan mesin-mesin yang akan digunakan oleh para pengusaha untuk menghasilkan produk mereka. Bagitupun, terdapat sesetengah mesin yang dibekalkan tidak diuji terlebih dahulu kesesuaiannya untuk kegunaan para pengusaha.
Maka apa yang berlaku, mesin yang sepatutnya menghasilkan karipap, tidak menghasilkan karipap. Ini telah menimbulkan "set-back" kepada usahawan yang komited memulakan operasi mereka.
Bagi masa depan, pihak Perda "telah mempelajari daripada kesilapan lampau" di mana bagi pusingan berikutnya, pemilihan para peserta inkubator dibuat lebih ketat bagi memastikan hanya yang berminat, komited dan berkelayakan sahaja dipilih, diberikan kemudahan kilang dan mesin (secara sewaan bulanan) dan dibantu usaha promosi dan pemasaran.
Setiap peserta inkubator juga disediakan "exit policy" di mana selepas 2 tahun beroperasi, mereka akan "dihalau keluar" daripada bangunan inkubator untuk menjalankan perusahaan secara berdikari.
(nota: exit policy ini selari dengan fungsi sesebuah "inkubator" iaitu membantu "menguatkan benih". Setelah kuat, ianya dikeluarkan untuk ditanam dan "dibiar membesar di luar" dengan sendiri).
Sungguhpun pemahaman agensi yang terlibat dengan "maksud pembangunan IKS kluster" adalah berlainan daripada konsep yang diutarakan, ternyata para peserta inkubator di Kubang Menerong telah beroleh manfaat hasil pertambahan jualan sehingga sesetengah produk seperti Roti Paratha jenama Pinang sudah memasuki pasaran Jepun dan Timur Tengah.
Syabas!
Akan datang: Siri 2 - Puncak Mutiara (perusahaan restoran dan ladang kambing) milik pesara kerajaan di Kampung Pelet.
1 comment:
Assalamualaikum,
terima kasih atas artikel ini. Dapatlah saya tahu asal usul roti paratha Pinang ni.
Saya sudah membeli roti paratha jenama Pinang ini di Fukuoka,Jepun. Memang sedap dan saya bangga hasil produk Malaysia sampai ke Jepun dan akan terus menyokong. Harga pun tak mahal(148yen) dan harap banyak lagi produk malaysia di bumi Jepun ni. Sebenarnya produk halal di Jepun memang mendapat sambutan.
Post a Comment