Thursday 31 May 2012

"Extra homework" buat PR di Johor

Sumber membentuk rajah: pelbagai (google images)


Nota kaki:

- Bagi saya, kekuatan seseorang pemimpin itu banyak bergantung atau disumbangkan oleh kekuatan organisasi dan disiplin. Kedua-dua elemen ini (budaya berorganisasi dan disiplin dalam organisasi) perlu datang secara satu pakej.

- Justeru, kekuatan sesebuah organisasi itu datangnya dari ahli dan pemimpinnya yang berdisiplin.

- Di dalam polimek ini, beliau sebagai rakyat Malaysia, dan di masa yang sama juga beliau sebagai orang politik perlukan 'timbang-tara' terhadap segenap komen yang ingin dikeluarkan kerana kesannya bukan sahaja terpalit pada diri beliau sendiri, bahkan organisasi yang secara politiknya sedang beliau wakili.

- Janganlah dek kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Ranking Universiti di Asia - IPT dari Malaysia


Wednesday 30 May 2012

Renungan: Siapa orang paling cerdik?

FB Sunnah

Daripada Ibnu 'Umar radhiyallahu anhu bahawasannya beliau berkata, "Kami duduk-duduk bersama Rasulullah, datanglah seorang leIaki dari kaum Anshar, lalu mengucapkan salam kepada Nabi kemudian dia berkata, "Wahai Rasulullah, orang mukmin manakah yang paling utama?" Baginda bersabda, "Mereka yang paling baik akhlaknya" Dia bertanya lagi, "Orang mukmin manakah yang paling cerdik?" Baginda bersabda, "Mereka yang paling banyak mengingati kematian dan orang paling baik persediaannya untuk kehidupan setelahnya, mereka itulah orang-orang cerdik." (Hadis Riwayat ibnu Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani). 

Kaki Movie "Alien" - Rekaan Dalaman USCSS Prometheus (14 Gambar)

Sumber: blogserius


Hail Weyland!

Jika anda meminati filem-filem Alien, anda tidak boleh melepaskan peluang menonton Prometheus, prequel kepada filem Alien arahan Ridley Scott. Filem ini akan ditayangkan tidak lama lagi dan the hype machine is in full gear. Kepada semua space nerds di luar sana silakan melihat rekaan dalaman pesawat angkasa Promotheus.





Laporan asal ProjectPrometheus

Tuesday 29 May 2012

Petikan Minggu Ini: Komen pembaca - Penang Malays

Berikut saya 'copy and paste' salah satu komen (yang menarik perhatian saya) oleh seorang pembaca artikel terbaharu di blog Tun Mahathir yang bertajuk: Penang Malays



Tiada nota kaki.

Monday 28 May 2012

Siri Akhir: Korupsi - Implikasi kepada negara

Pada siri sebelum ini saya telah menghuraikan bagaimana korupsi atau rasuah, dan sama ada mereka yang memberi mahupun yang menerima, kedua-duanya telah terjerumus ke dalam satu kitaran ganas yang tidak berkesudahan. Saya juga turut menghuraikan bagaimana rasuah berlaku, i.e. kerana wujudnya peluang-peluang bagi seseorang itu memperolehinya (rasuah). 


Hakikatnya, bagi jangka masa panjang, rasuah akan menjadi "duri dalam daging" serta wabak yang sukar diubati dan akan merosakkan bukan sahaja mereka yang memberi dan menerimanya, bahkan negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

Di dalam siri yang terakhir ini saya akan mengupas tentang kesan atau implikasi rasuah kepada kerajaan dan negara. Jujurnya, perbincangan mengenai rasuah ini terlalu panjang dan sukar untuk saya kupas kesemuanya memandangkan saya sekarang lebih banyak "menulis ikut masa dan ikut rasa suka nak menulis".

Korupsi yang melemahkan kerajaan

Bagi sesebuah kerajaan di sesebuah negara, rasuah boleh menghadirkan kesan buruk yang bukan sahaja mampu menggoncangkan pemerintahan, bahkan tidak mustahil ianya boleh menjadi punca kejatuhan sesebuah pemerintahan dan meletakkan negara dalam situasi yang tidak aman.

Sekiranya seseorang pegawai yang diberi tanggungjawab memungut pelbagai bentuk cukai itu sendiri terbabit dengan prilaku rasuah, tentunya kerajaan, secara langsung, akan kehilangan sumber pendapatan hasil kutipan dan perolehan cukai.

Dengan lain perkataan, cukai tidak dapat dikutip kerana ia telah dielak pembayarannya melalui pemberian rasuah kepada pegawai yang terlibat.

Kekurangan hasil kutipan cukai kemudiannya membawa kepada penurunan jumlah pendapatan kerajaan. Ini bermakna wujudnya halangan kepada kerajaan dari segi kemampuan membayar gaji yang adil kepada kakitangannya. Dan apabila gaji yang dibayar tidak adil dan rendah, maka ianya kembali dijadikan alasan mengapa pegawai dalam kerajaan berterusan mengambil rasuah! 

Dapatkah anda melihat kitaran ganas ini dan kesannya? Rujuk rajah.


Rasuah yang sebati sehingga menjadi tabiat dan ketagihan

Seperti yang ditunjukkan pada rajah di atas, situasi ini berlaku kerana kakitangan kerajaan tidak menerima jumlah gaji yang mencukupi bagi menampung jumlah perbelanjaan mereka. Namun, bagaimana pula jika rasuah telah menjadi tabiat (habit), yang tiada kaitan lagi dengan saiz pendapatan "halal" dan sah seseorang pegawai tersebut?

Ini kerana kehendak manusia dan sifat tamak insan itu tiada had dan batasan. Bagi mereka yang berpendapatan rendah mungkin sekali akan berhujah "sekiranya saya dibayar gaji yang tinggi, tentulah saya tidak ambil rasuah".

Namun perlu diingatkan juga bahawa ramai pegawai tinggi yang bergaji besar, mereka juga turut terlibat dengan amalan rasuah. Apakah mereka ini tidak cukup-cukup dengan gaji yang tinggi? Jawapannya adalah: rasuah tidak lagi diambil kerana kesempitan wang, tetapi ianya telah menjadi suatu tabiat dan ketagihan.

Lebih buruk lagi, sifat tamak ini bukan sahaja gagal membendung nafsu insan terhadap rasuah, malah mereka sendiri meminta jumlah bayaran (rasuah) yang lebih besar agar setara dengan gaji besar yang mereka nikmati!


Oleh yang demikian, langkah kerajaan menaikkan gaji belum tentu dapat menghentikan amalan rasuah.

Bagi negara yang mana rasuah sudah menjadi sesuatu yang biasa (common practice), peningkatan kadar gaji hanya akan meningkatkan kadar rasuah. Dengan kata lain, bagi situasi yang amalan rasuahnya sudah diterima secara terbuka, peningkatan gaji bukan sahaja gagal membendung rasuah malah menyubur dan menggalakkan lagi amalan tersebut!

Rasuah: Kita di tahap mana? 

Sesungguhnya tiada negara yang bebas sepenuhnya dari amalan rasuah di dunia ini. Menghapuskan rasuah secara total adalah sesuatu yang dilihat mustahil. Begitupun, masih ada harapan untuk mengurangkan penyakit ini dengan syarat ianya belum lagi mencapai dua tahap kritikal berikut.

Tahap kritikal pertama:

- ialah apabila rasuah masih dijalankan secara "bawah meja" tetapi telah mewujudkan jaringan erat di antara pegawai junior dan senior di dalam sesebuah organisasi. Pada peringkat ini, pegawai yang junior akan menerima rasuah dan akan berkongsi hasilnya dengan pegawai yang senior, dan begitu jugalah sebaliknya. Apabila hal ini terjadi, setiap pegawai tidak kira junior atau senior, mereka akan melindungi satu sama lain. Ini juga mungkin turut melibatkan para pegawai di peringkat tertinggi termasuklah menteri, orang politik, badan kehakiman dan penguatkuasa undang-undang.

- kesan daripada rasuah peringkat ini adalah jelas. Laporan mengenai rasuah sukar mendapat respon. Malah, apabila masyarakat umum ingin mengambil tindakan terhadap pihak tertentu yang ada kaitan dengan rasuah, tiada pihak yang sudi tampil membantu, apatah lagi untuk bertindak, kerana semua pihak di dalam rantaian tersebut juga turut terlibat dengan rasuah!

- pegawai mahupun menteri yang rasuah mungkin boleh diganti dengan orang lain. Namun begitu, "orang baru" itu juga tiada jaminan yang dia boleh selamat dan terlepas daripada cengkaman rasuah. Sekalipun mereka yang "bersih" ini enggan bersekongkol, besar kemungkinan mereka akan "lumpuh" (dipulaukan) oleh kerana staf bawahan mereka tidak akan patuh kepada arahan pegawai yang "tidak se-aliran". 

- tambahan pula, jika ingin memecat kesemua kakitangan kerajaan dan melantik kakitangan yang baru, juga tidak logik untuk dilakukan, bahkan boleh menimbulkan keadaan yang lebih bercelaru serta kacau-bilau, dan membuka peluang-peluang kepada pelbagai kegiatan berunsurkan rasuah yang baru!

Tahap kritikal kedua:

- ialah apabila rasuah sudah naik "di atas meja" dan diterima sebagai sesuatu yang biasa oleh masyarakat. Apabila rasuah sudah mencapai tahap ini, kesannya terhadap negara amatlah buruk (dan mungkin tipis peluang penyembuhan).

- pertama, kerajaan akan menjadi lemah. Setiap kali rasuah berlaku, kerajaan akan kehilangan pendapatan dan tidak mampu untuk memenuhi fungsinya. Sekiranya kerajaan gagal menjana kewangan yang kukuh, khidmat sosial seperti pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam tidak mampu disediakan. Bukan setakat negara gagal bergerak ke hadapan, bahkan jurang ketaksamaan kaya-miskin juga akan terus melebar! Ini kerana kebanyakan khidmat sosial oleh kerajaan adalah bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan dan kos terhadap golongan yang miskin.

- dalam keadaan yang mana miskin bertambah miskin dan rasuah terus memburukkan keadaan tersebut, golongan ini tentunya tidak mampu menawarkan rasuah kepada pegawai. Kesannya mereka akan terhalang untuk menikmati sesuatu perkhidmatan (kerana tidak mampu beri rasuah). Keadaan ini akan berterusan, sehinggalah laungan keadilan itu hilang maknanya dan majoriti rakyat akan tinggal di dalam kekecewaan terhadap kerajaan.

- sekalipun sedar ekonomi negara boleh hancur disebabkan amalan rasuah, pegawai yang terlibat tidak mudah insaf. Ini kerana sikap tamak insan itu tiada sempadannya. Akhirnya, wang rasuah yang mereka terima juga tidak akan lagi dapat memberikan kesenangan kepada hidup mereka. 

- di negara yang rakyatnya makmur dan aman, rakyatnya boleh mencari dan mengumpul kekayaan dengan mudah. Rakyat yang makmur juga boleh menjana ekonomi negara melalui kuasa beli mereka yang tinggi (keep on buying the goods sold). Namun apabila ekonomi rosak disebabkan rasuah, pengguna (rakyat) akan mengalami penurunan kuasa beli. Apabila kuasa beli rakyat merosot (sebab kerajaan tidak mampu bayar gaji yang adil), perniagaan juga akan merosot. Para peniaga yang terjejas juga sudah tidak mampu lagi menawarkan rasuah dan pegawai yang makan rasuah akhirnya turut menanggung kesannya

- di kebanyakan negara yang mana amalan rasuah tidak dianggap sesuatu yang asing, kebanyakan pegawai yang korup ini tidak juga menikmati kehidupan dengan selesa dan aman (soal keberkatan itu jauh sekali)!

Jalan di hadapan...

Rasuah telah terbukti bukan sahaja dapat melemahkan kerajaan, malah boleh meruntuhkan sesebuah masyarakat dan tamadun manusia. Justeru, rasuah perlu diperangi secara serius, di segenap lapisan di dalam kerajaan dan masyarakat. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang ada. 

Sesungguhnya, rasuah itu satu wabak yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja, termasuklah pemimpin yang sebelum mereka menjadi kerajaan dan sebelum mereka sendiri diuji oleh berbagai "peluang untuk mendapatkan rasuah". Sedangkan sebelum mereka menang dan membentuk kerajaan, merekalah pihak yang begitu lantang menentang rasuah!

Justeru, jika rakyat mahukan perubahan (termasuklah jika mahukan kerajaan yang baru), mereka tidak boleh hanya mengharapkan kehadiran muka-muka baru di dalam kerajaan. Sesuatu perubahan dan pembaharuan itu amat memerlukan satu ideologi yang baru, yang mampu membendung dan mengawal seminima mungkin amalan rasuah di dalam kerajaan dan masyarakat.

Jangan jadikan rasuah "a way of life". Sekian.

---------
Rujukan:
- Mohamad, M. (1986). The Challenge. Selangor: Pelanduk Publications

Sunday 27 May 2012

Saturday 26 May 2012

Jersi 'Juara Sebenar' Chelsea 2012 (foto menarik)

Laporan ini dipetik dari: blogserius


Jersi Bolasepak sebenar

Ini baru dinamakan jersi juara. Jersi juara sebenar ada GOLDEN dan tiada rekaan fabrik seperti alas meja. Sangat awesome dan bersesuaian untuk juara Eropah musim ini. Kepada glory hunter yang baru jadi FANS Chelsea 19 haribulan yang lepas silalah beli dan kemudian cakap;

"Saya dah sokong Chelsea sejak zaman Bjarne Goldbaek, Jesper Grønkjær, Dan Patrescu dan Albert Ferrer lagi.. sumpah!"







Laporan asal Chelsea

Friday 25 May 2012

Singgah @Batu Feringghi (foto)

Kelmarin dan semalam (24&25 hb), kami berkesempatan singgah bermalam di Batu Feringghi setelah menempuh perjalanan panjang dari Klang ke MRSM Baling, Kedah, menjemput Mak Usu Mawaddah yang baru bercuti sekolah.

Alhamdulillah juga, kami tiba dan bermalam di sana "lebih awal" iaitu sehari sebelum orang lain datang bercuti sempena cuti sekolah. 

Menurut kakitangan hotel, hari ini (Sabtu) dan seterusnya, hampir 80% bilik akan berpenghuni dan suasana tentunya kurang mendamaikan dek kerana terlalu ramai orang yang datang bercuti dan mencari kedamaian.

Penginapan yang disediakan adalah selesa, begitu juga dengan sarapan pagi dan makan malam di restoran di dalam hotel. Lain-lain kemudahan yang ditawarkan terutama kolam renang, gelanggang permainan juga bagus.

Saya lihat Mak dan Ayah juga ok, cumanya rombongan kami tidak membawa lain-lain ahli dalam keluarga Haji Wahid. InsyaAllah, selepas ini 'kami' (a.k.a orang rumah) akan plan rombongan yang disertai semua orang, baru lebih meriah.

Di sana juga kami sempat berkenalan dengan seorang pelancong warga British yang katanya "benci" dengan Batu Feringghi. Oleh kerana "kebencian" itulah beliau sudah 3 minggu di situ dan mengunjungi Batu Feringghi setiap tahun, selama 10 tahun sudah!

Perjalanan di sekitar pulau juga lancar dan terima kasih kepada TomTom yang membantu menunjuk arah hinggalah kami semua tiba di Aman Perdana dengan selamatnya.










Wednesday 23 May 2012

Basikal elektrik oleh Audi (foto menarik)

Artikel 'copy n paste': blogserius

Basikal elektrik


Di Malaysia, basikal bukanlah mod pengangakutan yang digemari orang ramai. Kombinasi cuaca panas dan hujan serta keselamatan menyebabkan basikal kurang diminati. Ini tidak seperti kebanyakkan negara Eropah yang mesra cyclist. Audi yang sebelum ini terkenal dengan penghasilan kereta Ironman Audi R8 kini menghasilkan konsep basikal elektrik mereka. Basikal dengan bateri lithium ion 530Wh ini mampu bergerak pada kelajuan 50 kilometer sejam. Ia dibuat sepenuhnya menggunakan bahan komposit bagi mengurangkan berat. Cool tapi kalau pakai di Malaysia sure hancur kejap je pasal kena lenyek lori dari belakang...






Laporan asal BicycleDesign

Poster promo 'the dark knight' - tahun ini tu!

Filem yang tentunya ditunggu-tunggu Dr Sepet tahun ini.




Sumber: blogserius

Do want! Set Poster Filem Avengers (8 cool posters)

Sumber: blogserius








Monday 21 May 2012

Pendapat: Bina perniagaan berpandukan "Blue Ocean Strategy"

Saya perhatikan banyak aktiviti perniagaan di Malaysia hari ini terbina di atas asas atau model perniagaan yang sama, di mana setiap pengusaha saling bersaing di dalam menawarkan produk serta perkhidmatan yang bercorak seakan sama.

Bagi memastikan mereka terus releven di dalam persaingan pasaran, pengusaha-pengusaha yang terlibat akan, dengan apa jua cara, bertindak menyalurkan sebanyak mungkin sumber (terutama wang, masa, tenaga kerja, promosi dan pemasaran). Malangnya, kaedah dan media pemasaran dan promosi yang digunapakai setiap mereka juga adalah sama (seterusnya meningkatkan kadar persaingan).

Demi menguasai pasaran dan menambat hati penggunanya, muncullah gerakan dan usaha berterusan (dengan kos yang tinggi) di kalangan pengusaha produk untuk mencari jalan bagi "menewaskan" pesaing masing-masing.

Malah, telah menjadi adat dunia perniagaan konvensional di mana pihak yang "menang" akan bertakhta seketika di persada pasaran, sebelum pesaing baru muncul, dan mereka kemudiannya terpaksa kembali bertarung. Sekali lagi, sumber-sumber yang banyak dan mahal terpaksa disediakan sepertimana sebelumnya.

Masalah dengan "strategi kita"

Pesaing-pesaing yang menawarkan produk yang sama serta strategi perniagaan yang sama ini akhirnya akan menjadikan ruang pasaran sesak (overcrowded), seterusnya mengecilkan saiz pasaran, seterusnya membawa penurunan margin keuntungan dan seterusnya merencatkan pertumbuhan pasaran. 

Produk yang dipasarkan akhirnya menjadi komoditi, manakala persaingan yang tidak sihat berterusan berlaku.

Agar para pembaca lebih jelas, saya gunakan analogi berikut: 

Sebuah akuarium itu asalnya besar. Namun, pertambahan bilangan ikan di dalamnya menjadikan ruang di dalam akuarium "mengecil dan sesak". Akhirnya air akan menjadi kotor, berbau dan ikan-ikan yang bersesak di dalamnya akan saling "bergaduh" demi menguasai ruang yang semakin sempit itu. Akhirnya, jadilah akuarium itu medan pertempuran berdarah dan "kubur".

Daripada apa yang saya perhatikan, itulah "masalah dengan strategi perniagaan di tempat kita". Kita jarang menghasilkan inovasi yang boleh menonjolkan kelebihan perniagaan kita berbanding pihak lain. Sedang hakikat yang perlu difahami adalah dunia perniagaan tidak pernah statik. Ianya berevolusi dan sentiasa bergerak untuk memenuhi tuntutan pasaran. Dorongan pergerakan ini secara langsung menjadikan persaingan juga tidak statik. 

Dan disebabkan kita kurang melabur untuk meningkatkan daya inovasi, sukar bagi para pengusaha kita untuk menerima risiko kejatuhan dan kehilangan penguasaan pasaran, seterusnya menjadikan mereka gagal meneruskan survival di sebalik segala usaha gigih untuk membina perniagaan tersebut sebelum itu.

Kesukaran menerima hakikat persaingan inilah juga sering menjadikan pengusaha-pengusaha yang menawarkan produk yang sama terus bersaing sehingga akhirnya pasaran sedia ada dipenuhi perebutan dan pertempuran sehingga tidak mustahil ada pihak yang "tertewas dan terkubur" (seperti analogi akuarium di atas).

Saya ingin tarik perhatian para pembaca kepada rajah di bawah. Apakah yang boleh anda simpulkan mengenai kedua produk tersebut?

RaDiX @ RDX?

Pada pendapat saya, secara mudahnya, kedua-dua syarikat di atas telah menawarkan produk bagi segmen pasaran yang sama (iaitu segmen minuman kesihatan alternatif). Rupa reka kedua-dua produk juga hampir sama (termasuk "nama"). Contoh kedua, lihat rajah berikut.



Mengambil 2 contoh produk ini sahaja, saya jangka, tentunya wujud persaingan sengit di kalangan pengusaha terbabit di dalam memasar dan menjual produk mereka. Tentunya persaingan ini turut menyempitkan ruang pasaran dan kedua mereka tentulah perlu memperuntukkan sumber tertentu yang banyak (wang, masa, promosi dan pemasaran) untuk bersaing. 

Apabila perkara ini berlaku, modal untuk perniagaan pastinya meningkat, manakala margin keuntungan pula bakal berkurangan/menurun. Malah, (mungkin) demi mengalahkan pesaingnya, "perang harga" akan diwujudkan sebagai kaedah menambat hati pengguna. Ini kerana para pengguna kini mempunyai lebih luas pilihan produk di dalam segmen yang sama (yang dikatakan menawarkan "khasiat" yang sama). Justeru, apa yang membezakan pertimbangan seseorang pembeli di dalam memilih produk ialah faktor harga yang murah (mana yang lebih murah).

Contohnya: syarikat kicap A menjual kicap manis yang sedap pada harga RM10/botol dan syarikat B, juga menjual kicap manis yang sedap dengan harga RM9/botol. Pengguna "bijak" lazimnya membandingkan harga produk mana yang lebih murah.

Sekarang apakah implikasinya terhadap pengusaha yang bersaing itu? Besar kemungkinan, apabila terjadinya "perang harga", jumlah jualan boleh meningkat, tetapi disebabkan "diskaun harga" yang ditawarkan lebih rendah daripada pesaing, syarikat akan mendapati margin keuntungan akan menurun.

(nota: persaingan juga boleh terjadi dalam bentuk pemberian "hadiah percuma" / free gifts, etc. Lihat rajah di bawah)


Lihatlah, sekalipun dengan pelbagai sumber dan kos tinggi digunakan dan ditambah lagi jualan juga meningkat, masih, margin keuntungan pula berkurangan. Kerana apa? Kerana kegagalan melakukan inovasi dan mengadaptasi pendekatan baru untuk membezakan produk hasilannya dengan pesaing.

Apa yang boleh difikirkan?

Apa yang masih menjadi pegangan para pengusaha kita:

"untuk berjaya, perlu menewaskan pesaing".

Walhal, apa yang sepatutnya difahami dan terbukti telah memberikan keuntungan besar kepada sestengah peniaga adalah dengan "cuba berhenti dari menghabiskan pelbagai sumber (masa dan wang) untuk menewaskan pesaing di dalam kolam merah yang berdarah (red ocean), sebaliknya mencipta peluang dan pasaran baru (dipanggil blue ocean) melalui penginovasian model perniagaan semasa, seterusnya menjadikan pesaing mereka "tidak releven" untuk bersaing dengan mereka, di dalam arena pasaran yang baru.

Meneroka pasaran baru di mana pihak lain tidak terokai atau tidak tahu mengenainya dilihat memberikan lebih peluang bagi peneroka tersebut menetapkan undang-undang dan peraturan pasaran, selain mempunyai lebih kawalan untuk menentukan garis sempadan. Penerokaan lautan biru yang tiada pesaing juga terbukti telah mencipta tawaran untuk menghasilkan lebih keuntungan dalam perniagaan. Persaingan juga masih tidak releven di dalam lautan biru memandangkan undang-undang dan peraturan persaingan masih menunggu masa untuk dibentuk.


AirAsia - syarikat yang berani meneroka 'blue ocean' serta menghasilkan inovasi dalam bidang pengangkutan udara. Usia masih baru tetapi telah mengetepi dan menjadikan Malaysia Airlines "tidak releven" untuk bersaing dengannya.

Berbeza dengan strategi lautan merah di mana ruang lingkup, sempadan serta pesaing telah diketahui majoriti pemain industri yang ada di dalamnya. Kesemua mereka juga barangkali telahpun 'masak' dengan hukum dan peraturan yang diamalkan di lautan merah. Setiap syarikat akan berlumba-lumba untuk mengatasi pesaing masing-masing untuk merebut kuasa pasaran. Adalah tidak mustahil untuk berlaku persaingan yang sehingga "menjerut leher" sehingga akhirnya membawa kepada bermacam prilaku tidak sihat kepada pasaran.

Saya sarankan anda cari dan baca buku ini:

- Kim, W. C. and Mauborgne, R. (2005). Blue Ocean Strategy: How to create uncontested market space and make the competition irrelevant. US: Harvard Business School Press.

Saturday 19 May 2012

Koleksi Setem 2012 & terkenang sahabat

Sewaktu membuka kotak-kotak barang yang baru tiba dari UK semalam, terjumpa saya satu sampul surat penting yang mengandungi pesanan setem.

Ianya setem negara Burma yang jarang-jarang sekali ditemui, tambahan pula masyarakat lebih mengenai negara ini dengan nama Myanmar. Justeru, setem "Burma" saya anggap istimewa dan agak sukar dicari.

Di atas bantuan Cik Mat, sahabat saya di Manchester, set setem ini dapat dibeli dari sebuah syarikat dari California, US. 

Apabila menatap setem ini, terkenang jasa baik orang kepada kita dan kesanggupan "turun" ke Oxford untuk menyampaikannya, percuma pula tu. Terima kasih dan moga Allah mengurniakan sebaik balasan buat sahabat.





Friday 18 May 2012

Nirve Swithblade : Basikal Bad Ass Minggu Ini (9 Gambar)

Artikel 'copy n paste': blogserius


Damn sweet bro!

Aku suka tengok siri TV American Chopper dan secara tiba-tiba timbul minat nak memiliki chopper besar dan cruising around macam Sultan Johor selalu buat setiap tahun. Malangnya motor dari Orange County Chopper sangat mahal dan tak mampu dibeli oleh blogger macam aku ini. So what is the next best thing? Aku rasa dapat basikal dengan stail chopper sudah memadai. Nirve Switchblade ialah sebuah basikal yang mempunyai stail sebegini. Ia didatangkan dengan rim 26", sistem brek cakera dan sistem 3 gear Shimano. Nampak sangat stylo dan lebih bad ass dari basikal Fixi. Harga sebuah Switchblade mencecah RM 3000, but still lagi murah dari choopper sebenar. Di Malaysia basikal Swithblade dijual oleh syarikat Initium. Diorang ada showroom dekat Solaris Dutamas. Kalau rasa nak usha stok diaorang, silalah ke sana atau laman facebook mereka disini.




Laporan asal Rad Rod


Tuesday 15 May 2012

"Ayah, it's not English..."

Beberapa minggu yang sudah, kami berkesempatan meluangkan masa dengan berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, bertempat di PWTC.

Sememangnya pesta buku ini menjadi suatu event yang kami tunggu-tunggu. Tambahan pula kami berdua telah memperuntukkan sejumlah wang tabungan khusus untuk mendapatkan beberapa buku akademik (mengenai Research Methods) dan buku bidang kepakaran masing-masing.

Kunjungan ke pesta buku kali ini juga boleh saya sifatkan sebagai amat berbaloi kerana bukan sahaja mendapat buku yang dicari untuk kegunaan di universiti, bahkan pelbagai tawaran menarik khususnya buku kanak-kanak untuk Mawaddah turut kami beli.


Pada pesta buku tersebut, naskah yang saya hasilkan beberapa tahun lepas (mengenai orang asli) turut dipasarkan. Hati saya gembira kerana naskah tersebut telah mula dimasukkan sebagai rujukan utama dalam beberapa buku baharu mengenai kajian pribumi dan orang asli, terbitan UKM dan beberapa IPT lain. Membaca hasil karya orang yang menggunakan kita sebagai rujukan menjadikan saya insaf akan kecilnya 'sumbangan' saya terhadap bidang ilmu berkenaan. Namun, Alhamdulillah, kerana tercapailah hasrat saya dan Dr Ibrahim semasa kami menghasilkan naskah tersebut (untuk berkongsi ilmu).

Kami memilih, antaranya, 1 set (6 buku) bersaiz besar bahasa Melayu untuk Mawaddah.

Pada awalnya Mawaddah suka dengan gambar-gambar yang dipaparkan, tetapi dia sedikit sedih kerana tidak faham perkataan yang saya suruh dia ulang-sebut. "Ayah, it's not English", katanya kepada saya.

Kami juga turut membeli satu koleksi lengkap "Peter & Jane". Buku bacaan mudah ini saya cadangkan kepada ibu-bapa kerana ianya bagus untuk memulakan minat anak-anak anda terhadap English. Harga asal RM15/buku, tetapi semasa pesta buku itu, ianya ditawarkan pada harga RM5. Jadi, kami beli kesemua 36 buah koleksi lengkap.

Buat masa sekarang, kami tinggalkan Mawaddah untuk dijaga Nenek dan Atuk sementara kami berdua ke pejabat. Antara hobi atau obsesi Mawaddah adalah bermain telinga. Tidaklah diketahui asal-usul perbuatan ini diwarisi daripada siapa, yang nyata memang setiap telinga orang akan dicarinya. 

Pesawat Perang Dunia Ke-2 Ditemui Selepas Hilang 70 Tahun (14 Gambar)

Artikel menarik yang di 'copy n paste' dari: blogserius

RIP


Sebuah pesawat Curtiss P-40 Kittyhawk milik Tentera Udara Diraja Britain ditemui di tengah-tengah gurun di utara Mesir selepas dilaporkan hilang pada Jun 1942. Penemuan dibuat oleh beberapa pekerja syarikat petroliam yang sedang mencari tapak carigali minyak di padang pasar tersebut. 

Pesawat yang dipandu Sarjan Dennis Copping terhempas beratus batu dari penempatan awam selepas mengalami kerosakan akibat ditembak musuh. Adalah dipercayai beliau cuba membuat pendaratan kecemasan tetapi kerana kerosakan instrumen pesawat, beliau akhirnya tersesat dan terpaksa mendaratkan pesawat di tengah-tengah padang pasir. Beliau juga dipercayai terselamat kerana payung terjun dan radio ditemui di luar pesawat. Beliau mungkin cuba menghubungi pengkalan tentera berikat terdekat tetapi gagal. 

Pihak Tentera Udara Diraja Britain kini sedang giat melakukan usaha mencari jasad beliau di dalam lingkungan 20 batu dari tapak pesawat ditemui. Mereka juga bercadang membawa pulang pesawat ini untuk dipamerkan kepada orang ramai di Muzium RAF diHendon, Utara London.

Kasihan juga kepada Sarjan Dennis Copping kerana maut akibat ketiadaan makanan dan minuman selepas terselamat dari terhempas. The good news is at least kini nasib beliau sudah diketahui dan usaha mencari jasad beliau untuk pengkebumian sedang dijalankan. Ini mengingatkan aku kepada kisah pesawat pengedom yang terhempas di Kelantan ketika darurat dahulu dan jasad anak kapal akhirnya ditanam di Kubur Askar Komenwel Kuala Lumpur.







Lapora asal Daily Mail