Tuesday, 23 October 2012

Punca Amalan Tak Berat

Ada kalangan manusia yang merasa optimis bahawa timbangan amal mereka, kerana mereka merasakan telah banyak melakukan amal kebajikan, akan membawa kepada beratnya amalan timbangan kebaikan mereka setelah bertemu Allah Rabbul Jalil di hari Mahsyar nanti.

Akan tetapi, apabila tiba masanya amal mereka ditimbang, mereka terkejut kerana mendapati segala amal kebajikan yang mereka lakukan sewaktu di dunia dahulu langsung tidak mendatangkan berat kepada neraca timbangan amalan. Adanya seperti tiada.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Kahfi, ayat 103-104:

Sumber: quran.com


Yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad), Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang yang rugi amal-amal perbuatannya? Orang yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul pada apa yang mereka lakukan."

Mengapakah amal kebajikan yang mereka dakwa banyak dilakukan sewaktu hidup di dunia itu menjadi sia-sia sahaja di sisi Tuhan? Mengapakah perbuatan baik yang mereka dakwa dibuat dengan menuruti apa yang telah diperintahkan itu tidak berguna di sisi Tuhan?

Tidak lain dan tidak bukan, disebabkan amal mereka itu tidak berlandaskan kepada akidah yang benar serta tidak ikhlas kepada Allah. Ibarat mereka cuba menipu Allah, walhal mereka hanyalah menipu diri mereka sendiri melalui rasa senang hati dengan segala perbuatan yang mereka usahakan.

Mereka (golongan ini) diingatkan oleh Allah sebagai golongan yang tidak percaya mahupun yang menolak ayat-ayat Allah serta ingkar kepada janji hari kiamat dan hari segala amalan yang mereka lakukan akan dihisab. Kerana itulah, amalan yang mereka sangka sebagai senarai panjang kebajikan itu, hanyalah menjadi sesuatu yang sia-sia di sisi Allah. Perihal golongan ini juga telah diingatkan oleh Allah SWT melalui firmanNya dalam Surah al-Kahfi ayat 105:

Sumber: quran.com


Maksudnya:
"Merekalah orang yang ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya; maka gugurlah amal-amal mereka; maka Kami tidak akan memberi timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak".

Berpandukan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT hanya menilai amal yang berkualiti iaitu di atas dasar iman dan juga ikhlas kerana-Nya. Amal yang banyak tidak boleh dijadikan ukuran sekiranya amal-amal tersebut tidak bermutu. Sesungguhnya Allah SWT itu lagi Maha Mengetahui mutu amal seseorang.

Orang mukmin yang sentiasa menitikberatkan nilai ibadah mereka, sudah pasti tidak mengabaikan kualiti amalan mereka, selain berusaha merebut peluang untuk melipatgandakan ganjaran amalan mereka. Sebagai contoh, malam Lailatul Qadar yang dijanjikan kebaikan bernilai 1,000 bulan, pastinya menyuntik motivasi buat seseorang hamba untuk melipatgandakan amalan demi mengejar keuntungan akhirat yang besar itu. Samalah juga bagi seseorang manusia yang tentunya tidak akan melepaskan peluang mendapatkan keuntungan besar dalam perniagaan mereka di dunia.

Begitu jugalah pematuhan kepada perintah dan ayat-ayat Allah SWT tidak hanya melibatkan urusan seseorang hamba itu dengan Tuhannya, bahkan nanti akan turut disoal akan tanggungjawabnya terhadap apa yang telah diamanahkan (tanggungannya). Sebagai contoh, seorang Ayah yang soleh tidak terlepas daripada ujian kehilangan berat amalan, sekiranya keluarganya tidak mematuhi perintah dan juga ayat-ayat Allah yang diturunkan. Jika ini terjadi, maka akan terhakis dan sia-sia sajalah amal soleh yang dilakukannya itu di sisi Allah.

Beramal yang banyak sememangnya baik jika ianya berkualiti. Apa yang perlu ditekankan adalah mutu amal itu, walaupun dilakukan sedikit menurut kemampuan seseorang hamba itu. Allah tidak melihat keadaan seseorang itu sama ada kaya ataupun miskin, melainkan keduanya ikhlas di dalam beramal. Bersedekah dengan banyak tetapi tiada niat lain melainkan ikhlas kerana Allah tentulah lebih baik daripada menderma sedikit yang ikhlas. Itulah amalan-amalan yang dikira dan yang akan memberatkan timbangan amal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Akan datang pada hari kiamat seorang manusia yang gemuk, tetapi tidak naik timbangan amal walaupun seberat sayap nyamuk" - Hadith riwayat Bukhari (no. 4360) & Muslim (no. 4991).

Sabda Baginda itu menjelaskan bahawa yang akan ditimbang oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak bukanlah batang tubuh manusia, kerana itulah faktor gemuk tidak bernilai, melainkan hanya amal yang mereka lakukan. Apabila timbangan amal seseorang itu tidak naik, bererti amal mereka tiada pahala. Yang merosakkan amal itu pula ada berbagai faktor, antaranya tidak dilakukan dengan ikhlas kerana Allah, ingin menunjuk-nunjuk dan untuk menerima pujian dan sebagainya.

Allah lebih mengetahui.

--------------------------------------------
- penulisan ini diinspirasikan menerusi bacaan terhadap karya bertajuk "Bertemu Janji Allah: Siri 2" oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (2009). Anbakri Publika.

No comments: