Monday, 8 October 2012

PENDAPAT: MENGAPA POLITIK PERLU WANG?

Sebenarnya saya teringat akan kata-kata seorang (bekas) Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat, PAS jika tidak silap (sudah arwah) beberapa tahun dulu mengenai tindakan beliau yang terpaksa menggunakan hampir kesemua wang simpanan peribadi beliau bagi menampung perbelanjaan dan demi memenuhi tuntutan (bantuan) penduduk yang di bawah parlimennya.

Arwah semasa hayatnya merupakan seorang individu dan tokoh yang begitu baik peribadi dan luhur budinya. Namun begitu, tekanan dan sekatan "tertentu" setelah bergelar MP Pembangkang memberikan cabaran besar, terutama dari aspek kewangan. 

Pengalaman beliau itu telah saya jadikan panduan di dalam membicara dan mengupas topik di entri kali ini. Apa yang ingin saya kongsikan adalah pandangan terhadap kepentingan wang dalam sistem politik di negara ini. 

Saya yakin anda di luar sana yang "celik dan cakna politik" sudahpun maklum berkenaan perkara ini. Harapan saya semoga apa yang dicoretkan di blog ini dapat menambah pengetahuan anda yang sedia ada, memperingat kembali dan memberikan ilmu baharu kepada mereka yang belum tahu.

Sila rujuk rajah di bawah. Rajah tersebut saya bina (dari pelbagai sumber: googles images) hanyalah sebagai contoh dan panduan untuk menghuraikan secara lebih objektif  akan topik yang diperbincangkan.


Kita telah sedia maklum bahawa pengurusan sesebuah negeri dan negara memerlukan wang. Wang atau dana inilah yang akan dibelanjakan bagi membawa pelaburan, mewujudkan pembangunan, menyediakan kemudahan dan perkhidmatan buat rakyat. Selain itu, sejumlah wang atau dana juga turut diperlukan sebagai peruntukan bantuan kebajikan (seperti pemberian air percuma).

Justeru, persoalannya: dari manakah sumber wang dan dana yang "mencukupi" ini hendak diperolehi? Apakah dengan meminta secara langsung kepada parti yang telah membentuk kerajaan di sesebuah negeri? Atau jika di peringkat persekutuan, ianya perlu diminta terus kepada Presiden parti, merangkap YAB Perdana Menteri?

Tentunya tugas sebagai PM itu sendiri terlalu sibuk, selain kesuntukan masa untuk melayan permintaan oleh setiap ahli Yang Berhormat (YB) secara individu. Urusan mentadbir negara (mahupun negeri) itu sendiri memerlukan komitmen masa dan tenaga yang tinggi.

Maka di sinilah muncul peranan besar anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri (GLC Negeri) untuk melantik ahli-ahli Parlimen menduduki kerusi lembaga pengarah syarikat. Pada rajah di atas, saya berikan beberapa contoh GLC milik kerajaan negeri Selangor.

Bayaran (elaun, etc) yang diperoleh di dalam lembaga pengarah syarikat inilah yang menyediakan sumber dana atau "kantung kewangan" untuk disalurkan ke setiap kawasan parlimen yang diwakili. Pendek kata, sistem (meletakkan YB sebagai ahli lembaga pengarah GLC-GLC negeri) dapat mengurangkan ahli YB untuk "naik ke kepala" (tidak menambah kusut) meminta peruntukan kewangan daripada Presiden parti, yang tentunya sendiri sedia sibuk dengan tugas berkaitan parti. Hal yang sama dapat diperhatikan pada seseorang PM di peringkat Persekutuan.

Dana yang diperoleh ini juga, selain menjadi sumber kewangan, juga menjadikan setiap YB lebih berdikari dalam mencari/menjana sumber kewangan. Bezanya cuma, sama ada mereka ini "menjaga" GLC yang membuat untung besar, ataupun mendapat GLC yang untung "ciput".

Dengan dana yang diperoleh ini, setiap YB dapatlah menampung perbelanjaan pembangunan dan untuk menggerakkan aktiviti kebajikan di kawasan Parlimen masing-masing, tanpa perlu "bergolok-bergadai" mengeluarkan simpanan peribadi (seperti yang dilakukan sesetengah ahli YB).

Walaupun pada pandangan sesetengah orang, penglibatan ahli politik di dalam pentadbiran sesebuah GLC boleh menimbulkan "keresahan" terutama konflik kepentingan (conflict of interest), secara realitinya, inilah salah satu sistem yang kedua-dua pihak (dalam kerajaan BN dan PR amalkan). 

Tentunya persoalan berkaitan "conflict of interest" ini ada benarnya kerana fungsi seseorang "wakil rakyat" adalah menjaga hal-ehwal rakyat. Sekiranya GLC yang beliau juga terlibat (sebagai ahli lembaga), mempunyai pertikaian dengan rakyat di dalam isu-isu tertentu (contohnya: pengambilan tanah rakyat untuk projek pembangunan), apakah pendirian seseorang YB tersebut? Di pihak rakyat, atapun menjadi jurucakap kepada GLC negeri?

Inilah dilema yang mungkin dihadapi. 

Apapun, sekiranya YB menolak daripada terlibat dengan GLC, bagaimana pula beliau mampu mencari dana yang mencukupi? Apakah para pengundi di kawasan parlimen beliau boleh berpuas hati dengan modal air liur YB sahaja?

Inilah realiti sistem politik hari ini. YB perlu sentiasa memberi (Rujuk artikel lama: Kita dan budaya "kena memberi" - Klik tajuk). Wang perlu dicari untuk menguruskan keperluan rakyat. Dan sebagai balasan pula, rakyat akan memberi undi mereka.

Ini kerana sebaik manapun seseorang YB itu, warak manapun dia, di akhirnya nasibnya akan ditentukan melalui keputusan di peti undi. Rakyat mungkin tidak begitu minat untuk tahu kaedah YB mendapatkan dana. Kerana yang lebih penting adalah tuntutan rakyat/pengundi dapat dipenuhi. Jika terlalu banyak alasan (tiada sumber kewangan, sekatan oleh kerajaan, etc), maka tunggulah Pilihanraya yang akan datang di mana rakyat merasakan mereka perlu menukar angin pula.

Dari perspektif yang lebih menyeluruh pula, sokongan rakyat terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang ada adalah penting bagi mengekalkan mandat sesebuah parti politik itu di dalam meneruskan pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai, mahupun negara secara amnya. 

Sebagai kesimpulan, kepada sesiapa yang berangan-angan untuk terlibat dengan politik dan bergelar YB suatu hari nanti, pertaruhan peribadi yang warak, kaya dengan idea, dan petah berhujah sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan dan disukai rakyat. 

Dalam iklim politik yang semasa, impian (idea, gagasan, etc) boleh menjadi realiti dengan adanya wang dan dana yang mencukupi. Keperluan ini bukan sahaja demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dibela, bahkan penting demi survival YB dan parti mereka pada PRU yang akan datang.

Sekian.

No comments: