Friday, 16 March 2012

Pendapat: beberapa perkara yang boleh difikirkan sebelum PRU13

Saya tertarik dengan artikel, nukilan Amin Iskandar yang disiarkan di MalaysiaKini hari ini, yang bertajuk: Beranikah rakyat Malaysia berubah?

Memandangkan di kepala saya masih mampu mengingati beberapa point yang dibangkitkan sewaktu perbincangan bersama Dr MAZA hujung minggu yang lepas (sebelum beliau berangkat ke tanah suci), eloklah saya kongsikan idea dan butiran sembang-sembang santai bersama beliau, Azmi dan Yusof tempoh hari. Ini kerana ada kaitannya dengan tulisan saudara Amin.

Perubahan adalah fitrah

Apa maksudnya? Perubahan adalah fitrah hidup insan. Setiap saat, berjuta sel dalam tubuh kita akan mati dan diganti oleh berjuta sel yang baru. Perubahan secara fitrah ini, mahu tidak mahu, tetap jua akan berlaku.

Bagaimanapun, gesaan untuk perubahan di luar tubuh badan manusia termasuklah di dalam politik dan pemerintahan negara bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan atau dipaksakan. Malah, perubahan yang dicanangkan itu boleh jadi madu, dan boleh juga bertukar menjadi racun.

Namun, naluri insan yang sebati dengan perubahan, tidak dapat tidak, akan perlahan-lahan mencetuskan budaya fikir dan tindakan, yang akan menampakkan wujudnya keinginan kepada perubahan.

Secara peribadinya bagi saya, untuk berubah dua syarat diperlukan iaitu: 

- keberanian. Merobohkan tembok yang selama ini membelenggu kejumudan akal manusia bukanlah sesuatu tugas yang mudah, tambahan pula bagi sesebuah masyarakat itu "masih boleh bertoleransi" dengan sesuatu tindakan sekalipun boleh ditafsirkan sebagai menindas/menekan. Bahkan cabaran melahirkan keberanian ini bukan sahaja sukar dicetuskan di bidang politik, bahkan juga lihatlah di dalam aspek kerangka pemahaman agama Islam itu sendiri. Berapa ramai orang kelihatan "sukar memproses maklumat" jika mereka melihat sesuatu perbuatan yang diluar kerangka mazhabnya, sehingga timbul pelbagai andaian, walhal ianya masih berpandukan 2 sumber utama Islam. Contoh sahaja.

- kecerdikan. Suka saya ingatkan para pembaca terhadap pepatah orang tua "keluar mulut singa, masuk mulut buaya". Inilah pelita hikmat yang mengingatkan kita supaya jangan mudah terpana dan terpesona dengan sesuatu tindakan. Kehendak kepada perubahan, jika tidak disertai dengan pertimbangan intelek, hanya akan menjerumuskan kita ke dalam lubuk permasalahan, sekalipun setelah kita memilih untuk keluar dari lubuk masalah yang sebelumnya. Elemen kecerdikan di dalam memilih untuk berubah juga amatlah perlu, supaya kelak kita akan mendapat hasil "yang munasabah" terhadap tindakan itu.

Semasa sembang-sembang malam itu juga, MAZA ada mengingatkan saya bahawasanya ketika ini, terdapat sekitar 60% mereka yang boleh mengundi, masih belum buat keputusan untuk memilih siapa di dalam PRU13 yang akan datang. 

Golongan ini sering diistilahkan sebagai kelompok pengundi atas pagar. Pagar itu berduri atau berkaca, tidaklah dapat saya pastikan, cumanya tentu kurang enak duduk di atas pagar lama-lama. Di dalam artikel saya yang sebelum ini, saya lebih suka menggunakan istilah "wait and see voters", kerana perlakuan dan cara fikir mereka yang masih menunggu, mengumpul maklumat dan hanya membuat pilihan di saat-saat akhir. Mereka juga adakalanya dilabelkan sebagai "third force" yang akan bertindak sebagai penentu sokongan kepada kedua pihak, PR dan BN.

Foto (google image)
  
PR perlu selesai kemelut, jika mahu dipilih!

Kedah

Kalau dikupas secara panjang lebar, barangkali akan mengulangi apa yang telah beberapa kali saya tulis sebelum ini. Ringkasnya, PR juga perlu "clear" beberapa isu yang masih mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan penyokong BN, bahkan menjadi bualan para penyokong PR sendiri. Di antara isu yang dilihat belum selesai (tetapi nampak telah reda) adalah rentasan bidang kuasa PAS Pusat dengan pentadbiran kerajaan negeri Kedah melalui penubuhan Jawatankuasa Pemandu yang berperanan menasihati kerajaan negeri di dalam perkara-perkara yang berkait dengan kepentingan parti.

Perkataan "nasihat" yang digunapakai pemimpin PAS Pusat barangkali berbeza definisinya dengan apa yang saya faham, terutama setelah PAS Pusat apabila menasihati dua orang Exco PAS Kedah supaya "perlu menerima semula" jawatan Exco, maknanya kedua mereka "kena menerima" nasihat tersebut dan akur. Bahkan MB Kedah juga seolah-olah faham bahawa beliau pertadbiran beliau masih memerlukan "nasihat" oleh Jawatankuasa Pemandu tersebut.

Pernyataan "sokongan" Anwar terhadap Israel

MAZA juga turut mengingatkan saya bahawa takrifan "moderate muslim" menurut kacamata Barat ialah apabila seseorang muslim itu menzahirkan sokongan mereka terhadap Israel. Inilah sebabnya mengapa Prof. Tariq Ramadhan (wikipedia) tidak diiktiraf sebagai Moderate Muslim oleh pihak Barat (selain dihalang memasuki US), kerana keengganan beliau mengiktiraf negara Israel.

Sungguhpun perdebatan di Dewan Rakyat begitu hingar-bingar memperkatakan pernyataan Anwar di AWSJ tempoh hari, ianya tidak lebih sekadar membazirkan masa. Lihatlah, apakah hasilnya? Seperti dijangka Anwar tidak mampu (atau tidak mahu?) menarik balik pernyataannya mengenai Israel. Apakah risau tidak dilabel sebagai "moderate muslim"? Mengejutkan saya sendiri, saya pula bersetuju dengan penyataan saudara KJ bahawa pernyataan penuh Anwar sebenarnya terbahagi kepada 2 iaitu sokongan mutlak (blanket support) pada bahagian pertama, dan sokongan bersyarat (mengambilkira aspirasi rakyat Palestin) untuk bahagian seterusnya.

Isu pernyataan Anwar juga saya kira telah menimbulkan suasana tegang (mungkin ramai tidak nampak) di antara beliau dengan Tuan Guru Nik Aziz. Jika sebelum ini, apa jua yang Anwar buat, dan setelah beliau bertemu mata dengan Nik Aziz, keadaan terus menjadi sejuk, bahkan Nik Aziz sendiri akan mengeluarkan pernyataan bagi menyokong Anwar.

Tetapi, di dalam isu sokongan terhadap Israel, Anwar, saya lihat tidak berjaya "memujuk hati" Tok Guru Nik Aziz. Bahkan Nik Aziz sendiri, selepas pertemuan dengan Anwar, bertindak menyerahkan kepada PAS untuk menyatakan maklumbalas. Dalam hal ini, pendirian PAS yang secara mutlak menolak sokongan terhadap Israel perlulah dipuji.

Salah laku dan moral

Tuduhan melibatkan salah laku dan moral pemimpin juga perlu diberikan perhatian serius oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, kita ingin membuktikan merekalah perintis untuk perubahan.

Baru-baru ini seorang "Ustaz" telah dikhabarkan ditangkap khalwat kerana menjalankan satu sesi kaunseling rumahtangga kepada isteri orang, jam 3 pagi di sebuah hotel.

Setelah dicekup, beliau menafikan terlibat. Logiklah beliau menafikan kerana bukan sahaja memperjudikan nasib dirnya, bahkan partinya juga. 

Namun, kenyataan penafian yang dikeluarkan beliau nampaknya mengundang lebih banyak persoalan berbanding menawarkan jawapan. Bahkan kesanggupan beliau "dibelasah" sekitar 20 orang samseng di dalam kawasan hotel juga menyerlahkan lagi "elemen jenaka" terhadap kes tersebut.

Cabaran buat Najib

Sekalipun kisah Ustaz PKR ditangkap khalwat itu tidak sedikitpun menggangu tidur Najib, beliau pada dasarnya masih belum dikira boleh nyenyak juga.

Najib, seperti yang dikongsi ahli sembang malam itu, menerima cabaran besar sama ada dari dalam UMNO sendiri mahupun dari luar UMNO.

Cabaran dalam UMNO

Sejarah parti UMNO sendiri membuktikan bahawa pihak yang lemah dan tidak berupaya "menggembirakan" parti, perlu dikorbankan. Inilah nasib yang menimpa mantan Presiden UMNO, Abdullah Badawi. Setelah beliau "menang teruk" dan hilang majoriti 2/3, Abdullah telah ditekan dan akhirnya tunduk dengan "nasihat" supaya meletakkan jawatan.

Foto (google image)

Penggantian pemimpin yang lemah dan gagal menunjukkan prestasi yang baik adalah juga satu bentuk "perubahan". Perlu diingatkan bahawa UMNO adalah sebuah organisasi yang amat besar, juga telah lama wujud dan ianya ditadbir secara berbilang lapis oleh ramai pemimpin yang semuanya berkepentingan. Justeru, untuk mengubah secara total organisasi besar seperti UMNO bukanlah mudah. Tangkal sakti manapun tidak berupaya melakukannya. Apatah lagi jika Najib sebagai Presiden, secara beberapa kerat yang lain-pun saya tidak jangka mampu menghadirkan perubahan yang munasabah.

Tetapi tidak adil juga untuk menuduh bahawa Najib tidak berusaha mengubah dan mentransformasikan UMNO. Lihat bagaimana seriusnya beliau diperkatakan mengenai "Winnbale candidates", wasatiyah dan sebagainya. Akan tetapi, sebotol air mineral tidak akan dapat menawarkan sebaldi air laut. Organisasi politik seperti UMNO adalah terlalu besar, samalah seperti PAS dan yang lain-lainnya.

Justeru, sekiranya pada PRU13 kelak prestasi Najib gagal mengembalikan majoriti 2/3, atau sekurang-kurangnya mencatat peroleh kerusi lebih banyak berbanding era Abdullah, adalah cerah sekali peluang beliau untuk "berpencen awal".

Cabaran luar UMNO

Sekarang ini pembangkang terutamanya PKR boleh senyum setiap hari memandangkan isu besar yang dijadikan modal merobek imej kerajaan pimpinan UMNO dan BN terus mendapat liputan dan menjadi buah mulut pelbagai lapisan masyarakat - isu Cowgate (NFC).

Selain NFC, isu Lynas juga masih kedengaran. Begitupun NFC lebih "meletup" memandangkan ianya lebih straight forward iaitu melibatkan pengurusan wang pembayar cukai yang disalurkan kerajaan bagi projek tersebut. Apabila timbul isu melibatkan wang pembayar cukai, maka ianya bukan lagi isu setempat, bahkan isu nasional. Ini bezanya dengan Lynas (pelaburan asing ke Pahang).

BR1M

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan bahawa kerajaan sebenarnya memiliki kemampuan atau dana untuk dikhususkan bagi menyalurkan sejumlah wang/peruntukan tunai secara "one-off" kepada rakyat (dalam kes ini, isirumah berpendapatan di bawah RM3000/bulan).

Kerajaan kelihatannya ada wang, dan sebenarnya (sepatutnya) boleh laksanakan program bercorak sebegini sejak dahulu lagi, di mana manfaatnya dapat dirasai rakyat dari pelbagai kaum dan dari seluruh negara (yang berada di dalam kumpulan sasar).

Sesungguhnya BR1M tidaklah se-gah tawaran yang dibuat PR terutama janji penurunan harga petrol, pemansuhan Tol dan PTPTN sekiranya mereka menang. Begitupun, kerajaan masih boleh menyelaraskan tanggungan beberapa bentuk subsidi dan memindahkan penjimatan tersebut kembali kepada rakyat.

Bagaimana kerajaan boleh menstrukturkan semula jenis-jenis subsidi? 

Kerajaan perlu melihat kembali mana-mana subsidi yang tidak mendatangkan kesan kepada rakyat "secara menyeluruh". Bercakap mengenai perkara ini, tentulah tidak wajar memasukkan kajian terhadap subsidi Petrol dan minyak masak kerana ia memberi kesan kepada seluruh rakyat. Namun subsidi lain seperti gula contohnya, kerajaan dapat lakukan sesuatu. Ini kerana tidak semua rakyat Malaysia menggunakan/ambil gula sebagaimana mereka gunakan petrol dan minyak masak.

Maka di sini wujud kumpulan yang guna banyak dan yang guna sedikit gula. Makanya, penarikan subsidi terhadap gula pada kadar tertentu (tentu akan naikkan harga gula), akan menjejaskan sebilangan kelompok yang banyak menggunakan gula, tetapi tidak kepada pengguna yang memang kurang mengguna gula. 

Justeru, sekiranya wang yang dijimatkan hasil pelarasan  subsidi gula ini dapat dikembalikan oleh kerajaan di dalam bentuk yang "seakan BR1M" untuk tahun-tahun seterusnya, mungkin manfaatnya juga lebih dirasai oleh rakyat terbanyak. 


Cuba buat kira-kira: kalau dapat RM500/tahun, berapa banyak gula boleh beli; dan apakah ada baki dari wang RM500 itu setelah berbelanja membeli gula untuk 1 tahun?

Dengan cara ini juga, wang pembayar cukai tidaklah secara terang-terangan "dipawahkan" untuk projek-projek kroni yang tidak menguntungkan seperti NFC.

Cabaran PRU13

Sebelum ini saya pernah menulis tentang keperluan PAS menampilkan calon Perdana Menteri dari kalangan PAS sendiri, sebagai alternatif kepada Anwar. Cuma cabarannya nanti adalah bagaimana untuk PAS memastikan sekutunya iaitu DAP menerima "calon universal" yang cuba diketengahkan oleh PAS.

Kalau melihat kepada roadshow Anwar serta sembang-sembang di ruang siber, memang PR sudah tidak sabar lagi untuk menang PRU13.

Keyakinan ini jelas tergambar terutama oleh Anwar sendiri yang mempromosikan di setiap siri jelajah beliau, catitan oleh Al-Syeikh Yusuf Qaradhawi di bukunya mengenai pujiannya terhadap Anwar.

Namun, secara peribadi, saya agak realisitik. Saya juga boleh bersetuju dengan pendapat segelintir pemimpin dari DAP yang juga realistik bahawasanya PR mampu untuk menang sehingga 100 kerusi parlimen pada PRU13 kelak, jika usaha dan kerja keras dibuat secara berterusan (PR sekarang memiliki 82 kerusi). 

Jikalau PR mampu mendapat 100 kerusi-pun ianya sudah dikira "menang" kerana kesannya terhadap masa depan Najib adalah lebih serius lagi (lihat kupasan sebelum ini - cabaran dalaman UMNO).

Tambahan pula, pelbagai isu seperti yang dinyatakan masih belum menampakkan penyelesaian yang tuntas, ditambah pula pengaruh 60% "wait and see voters", isu pengundi di Sabah dan Sarawak, pengundi di FELDA dan luar bandar, yang tentunya ramai di kalangan mereka telah mendapat habuan RM500.

No comments: