Tuesday 30 November 2010

Petikan Minggu Ini

"Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh".

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim 

nota: sila baca ulasan lanjut beliau (pakar sejarah) berkenaan isu 'Ketuanan Melayu' dengan meng'klik' pada nama beliau di atas.

Sunday 28 November 2010

Tahniah buat sahabat


Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin merakamkan jutaan tahniah dan syabas buat A. Din (Dr. Norazharudin Shah) di atas penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah yang baru berlangsung di University of Oxford.

Moga perjalanan hidup, keluarga, kesihatan dan karier selepas ini akan terus dipermudah dan diberkati Allah Taala. 

Semoga kejayaan yang digapai oleh A. Din ini juga akan dapat menjadi contoh dan pemangkin semangat/motivasi buat semua yang sedang berjuang demi menemui 'cahaya di penghujung terowong'.

Wassalam.

Jentera 'berat' - II

Kisah yang di 'cut n paste', dengan sedikit ubahsuai dari SINI

Krupp Bagger 288: World's Largest Trencher

Ringkasnya, tiada apa yang boleh dikatakan 'ringan' tentang gergasi pengorek seberat 13500 tan ini. Ciptaan Jerman ini bersaiz 721 kaki panjang (217 meter @ 2x padang bola), 315 kaki tinggi (96 meter).

Berkemampuan menjalankan kerja-kerja mengorek kawasan seluas sebuah padang bola dengan kedalaman 3 tingkat bangunan - dalam 1 hari!

  Lihat bagaimana gergasi ini melintas jalan!....hoho

 
Nampak tempat pemandunya?

Liebherr LTM 11200-9.1

Kren 'telescopic' ini sememangnya mengagumkan. Ia mampu menaikkan bebanan sehingga berat 1200 tan.

Kekuatannya juga turut dibantu dengan 9 baris tayar yang ada padanya dan 'lengannya' pula boleh dipanjangkan sehingga 100 meter (sepanjang 1 padang bola), dan menjangkau 126 meter dengan sambungan tambahan.

 Komen: mungkin boleh memainkan peranan semasa pembinaan Menara Warisan nanti..hoho

 Seksanya nak set-sup kren ni..

Letourneau L-2350: Front End Loader

Bulldozer tayar getah terbesar dunia di dalam kelasnya. L-2350 ini secara fizikalnya adalah sebesar sebuah unit studio/kediaman. 

Digerakkan dengan enjin berkuasa 2300 kuasa kuda (hp) dengan kemampuan mengangkat bebanan sehingga 160,000 lbs. Pemandunya pula berada di ketinggian 2 tingkat bangunan dari tanah. Ketinggian 'pengaut depan' pula boleh mencapai sehingga 44 kaki (13 meter).

 Bandingkan saiz tayar dengan mamat yang dok pegang pengaut tu...

 Komen: PBT kena beli satu, terutama untuk kerja-kerja meroboh setinggan haram.

Rusch Triple 34-25 with Genesis 2500 Demolition Shear

Agaknya antara jentera peroboh (demolition) terbesar di dunia. Tidak banyak yang mampu dikomen mengenai jentera ini.

 Perhatikan pemandunya yang sedang panjat tangga tu...

 Komen: Selepas ini, jaga-jaga setinggan haram dan gerai-gerai haram...

Saya juga pernah menonton satu dokumentari mengenai Mega Machines di saluran Discovery iaitu mesin melombong P&H yang mana disebabkan saiznya terlalu besar, perlu dipasang (seperti Lego) di tapak lombong. 

Komponennya diangkut dari kilang ke lombong menggunakan trek keretapi khas dan setelah siap, ianya digerakkan oleh kuasa elektrik, seterusnya bekerja 24 jam, 7 hari seminggu selama 20 tahun di lombong emas tersebut...harganya?

Friday 26 November 2010

Budak kampung: Memancing

Sewaktu berada di kampung juga, saya bersama adik-adik sempat mencuri sedikit masa dengan berjalan-jalan (bermotosikal) di sekitar kampung.

Berdasarkan pengamatan saya, secara fizikalnya telah banyak perubahan berlaku di kampung. Rumah-rumah penduduk semuanya diperbesarkan (disambung / ditambah). Kemudahan asas juga telah menyeluruh diterima.

Suatu petang, saya berkesempatan melawat tapak projek ternakan ikan yang sedang diusahakan oleh bapa saudara dan adik saya di hujung kampung.

Saya tidak berapa pasti jumlah wang/modal yang telah dibelanjakan bagi projek tersebut, tetapi melihatkan prospek semasa, tidak dapat disangkal yang saya juga bakal melaburkan sedikit wang pada 'kitaran' yang akan datang (selepas musim tengkujuh - bulan Feb 2011 jangkaan).

Selain dijual kepada peraih, setiap petang kolam ikan mereka sering dikunjungi oleh beberapa kaki pancing, yang mencuba nasib.

Namun, kebanyakan mereka tidak pernah pulang hampa kerana ikannya adalah jinak dan senantiasa kelaparan.

Menurut Ayoh, terdapat kira-kira 12 buah kolam ikan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, tetapi selain 2 buah yang baru diusahakan, lain-lain kolam masih terletak di dalam 'hutan' - tiada orang yang berminat.

Namun, setelah penduduk kampung melihat akan potensi yang ada (setelah diusahakan), berlumba-lumba pula mereka membuat 'booking' kolam-kolam yang masih di dalam hutan sana.

Cuma yang menjadi masalahnya, tidak ramai yang sanggup untuk keluar modal dari saku mereka sendiri - semua nak harapkan subsidi dan bantuan kerajaan.


Patutnya, usahakan dulu, keluarkan modal sendiri biarpun untuk satu pusingan projek. Setelah itu, barulah kembangkan kegiatan dengan melihat peluang untuk mendapatkan sokongan agensi kerajaan - kena tunjuk bukti dulu yang kita memang berminat dengan projek tersebut.

Melihatkan minat penduduk yang membuak-buak ini, adik saya yang otaknya bergeliga telah membeli pula sebuah jentera pengorek, yang akan mengambil upah menggali dan menyediakan tapak projek kolam ikan tersebut.

Kini, 2 buah kolam baru sedang disiapkan, 2 kolam telah menuai hasil, sementara yang lain perlu menunggu di dalam hutan, hinggalah berakhirnya musim tengkujuh.

Kolam yang baru digali tidak dikunjungi sesiapa kerana masing-masing tertumpu kepada kolam yang telah diusahakan.

Peluang! 'Lubuk' sebeginilah yang saya cari untuk memancing. Suatu petang, saya, pok amir, e.g dan paih bermotosikal ke kolam tinggal tersebut untuk memancing.

Selama 1jam 30minit di sana, dirasakan memang berbaloi kerana umpan kail kami sentiasa dijamah ikan. Berikut beberapa foto yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca.

 Pok Amir setia menjaga kailnya

 EG dan Paih sedang menunggu nyamuk-nyamuk untuk menghisap darah mereka

 Lubuk ikan Selat rupanya kolam tinggal tu

 Penggunaan joran didapati tidak berjaya menarik perhatian ikan

 Ini kolam Ayoh - baru siap dibersihkan (sana tu ada ikang besor..)

 Kolam Tilapia yang diusahakan oleh adik/Sero

 Kaki pancing yang datang mendapatkan ikan segar dari kolam
Jentera pengorek yang dibeli Sero



Hasil sepetang mengail di lubuk ikan Selat

Kunjungan ke Muzium Terengganu

 Foto - hanya di Terengganu

Bersempena pulang untuk meraikan Hari Raya EdulAdha minggu yang sudah, kami (saya dan isteri) 'memanfaatkan' kesanggupan Tok Mawaddah untuk menjaga Mawaddah, bagi kami keluar berjalan-jalan di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Saya ini bolehlah dikatakan seorang yang kurang gemar keluar berjalan-jalan, terutama apabila telah berada di kampung. Memang keutamaan saya adalah untuk 'beristirehat', makan, main badminton, mencari lubuk memancing, makan, istirehat, makan, dan 'berenang' (berbaring dengan kusyen sofa) di beranda depan rumah.

Tetapi, kunjungan ke KT tahun ini ternyata membawa kelainan. Kami sepakat untuk 'up' sikit program jalan-jalan cari pasal kami dengan berkunjung ke Muzium Terengganu, yang terkenal itu.

Di dalam hal ini (lawatan sambil belajar), kami berdua bolehlah dikatakan mempunyai minat yang sama.

 Muzium Terengganu yang tersergam megahnya

 Pameran persenjataan Melayu



 Terengganu sememangnya terkenal dengan pertukangan Emas-Perak berkualiti tinggi


 Kegemaran saya - seksyen Ukiran Melayu Terengganu


 Ada Seksyen koleksi barangan DiRaja Terengganu




 Cop-cop Mohor negeri Terengganu

 Jata Negeri



 Juga terdapat Galeri Petroleum, yang amat sinonim sebagai simbol kekayaan Terengganu




Sesungguhnya, setiap item yang dipamerkan di muzium tersebut bukan sahaja banyak mendidik saya agar lebih menghargai hasil kerja turun-temurun orang Melayu Terengganu, tetapi turut meninggalkan rasa bangga yang tidak terhingga kepada saya kerana lahir sebagai seorang anak Terengganu, bumi yang kaya dan bertuah ini.

Layan Klasik: S.JIBENG - INAI DI JARI



Sama ada anda percaya atau tidak, inilah di antara beberapa buah lagu kegemaran saya sewaktu menuntut di universiti dulu kala. 

Terima kasih kepada saudara Zainuddin Jumaat yang memperkenalkan lagu-lagu klasik sebegini kepada saya.

Thursday 25 November 2010

Kolum: Ahli Bersekutu BN menyasarkan pengundi atas pagar

Motif utama Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak membuka keahlian BN adalah untuk menyasarkan "pengundi yang bersikap sinis di atas pagar".  Golongan ini adalah mereka yang kesangsian terhadap parti politik, memandang rendah terhadap ahli politik, menganggap "sama saje orang politik", "susah, malah mustahil nak berubah", untuk menghalalkan sikap acu tak acu diri mereka terhadap politik.

Bukan kesemua mereka yang duduk di atas pagar bersikap sedemikian, tetapi golongan ini tidak kurang jumlahnya.  Agak ramai antara mereka yang mengundi pembangkang pada PRU ke-12 kerana berpatah hati terhadap BN.  Malangnya, prestasi Pakatan Rakyat pula mengecewakan mereka, setelah menaruh harapan yang tinggi terhadap keputusan PRU ke-12.

Sebelum tahun 2008, kira-kira satu pertiga daripada warga Malaysia yang layak (dari segi usia) tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi.  Sementara kira-kira satu perempat daripada pengundi tidak keluar untuk mengundi.  Jadi, hanya 50% daripada warga yang layak untuk mengundi adalah "pengundi".  Daripada pengundi ini, anggaran umum mendapati BN mencakupi 30%, pembangkang 30%, dan 40% selebihnya adalah pengundi di atas pagar yang bukan menyetujui sebulat-bulatnya pemerintah mahupun pembangkang.

Secara keseluruhannya, warga Malaysia yang layak untuk mengundi sebelum 8 Mac 2008 terbahagi kepada:-
1. 15% penyokong setia BN
2. 15% penyokong pembangkang
3. 20% pengundi atas pagar
4. 17% tidak mengundi
5. 33% tidak mendaftar sebagai pengundi

Ramai yang teruja untuk mendaftar diri sebagai pengundi selepas 8 Mac 2008, dan lebih ramai antaranya adalah penyokong PR.  Sementara PR memenangi sokongan di beberapa negeri pemerintahan mereka, BN di bawah pentadbiran baru Najib (termasuk "1Malaysia"-nya dan nasionalisme Melayu) turut mengembalikan sokongan sesetengah pengundi.

Memusnahkan harapan terhadap politik

Sesungguhnya kita kekurangan perangkaan dari hasil soal selidik untuk dikaji, namun kita boleh buat beberapa andaian dan anggaran.  Warga yang layak tapi belum mendaftar sebagai pengundi telah menurun kepada kira-kira 25%, dan asas sokongan PR meningkat kepada 20% (daripada kelebihan pentadbiran di beberapa negeri dan pengundi yang baru berdaftar).  Asas BN pula meningkat kepada 18% (kembalinya sokongan ahli UMNO), dan 37% selebihnya berada di atas pagar (atau 49% daripada pengundi yang telah mendaftar).

Apakah yang akan dilakukan oleh pengundi atas pagar ini pada hari pengundian?  Mengundi PR, BN atau kuasa ketiga?  Atau berada di rumah dan tidak keluar mengundi?  Sejauh manakah keputusan mereka ditentukan sikap yang sinis?

Dalam keadaan persempadanan kawasan pengundian yang tidak adil, seandainya keghairahan politik menyurut, dan pengundi di atas pagar yang kecewa enggan keluar mengundi - hanya penyokong setia kedua-dua pihak yang keluar mengundi - maka meskipun diandaikan PR memiliki asas 20% berbanding BN 18%, maka BN masih mungkin memenangi lebih daripada 60% kerusi.

Dari percaturan strategi politik BN, matlamat yang paling rendah adalah - jikalau hancurnya harapan politik pengundi di atas pagar, dan enggan keluar mengundi di kawasan yang utama, maka calon BN akan menang dengan tipis.  Dengan kata lain, calon BN tidak semestinya menukar penyokong PR kepada penyokong dirinya.  Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah - jangan menimbulkan rasa meluat di kalangan pengundi sehingga pengundi atas pagar rasa terpanggil untuk membeli tiket penerbangan dan balik untuk membuang undi dan menggulingkan BN- seperti yang berlaku pada 8 Mac 2008.

Mengapa pengundi tidak ghairah dengan pertukaran kerajaan?

Ahli politik macam mana yang tidak mengundang rasa meluat di kalangan pengundi?  Jawapannya, ahli politik yang bukan ahli politik pada asalnya, dan masih tidak dilihat sebagai ahli politik sehingga kini!  Menteri Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Eksekutif PEMANDU, Idris Jala adalah contohnya.

Jikalau diteliti parti komponen BN, UMNO terpalit dengan imej ektrem dan rasuah.  Parti-parti lain yang menumpang pada BN kelihatan hanya pengikut UMNO, sesiapa sahaja, baik tokoh korporat, ahli akademik, seniman ataupun tokoh agama - jika menyertai parti-parti komponen ini akan tercalar imej diri mereka.  Sebaliknya, seandainya mereka hanya bertanding dengan imej "ahli bersekutu BN", mereka tidak kehilangan apa-apa walaupun jika tidak berjaya.

Jikalau dilihat dari sudut yang lebih luas, adalah sesuatu yang lumrah di mana-mana negara, apabila pengundi berasa jemu pengundi terhadap ahli politik profesional (careerist politicians) atau kelas politik (political class).  Fenomena kepopularan Parti Teh (Tea Party) di Amerika Syarikat sekarang adalah contoh bagaimana pendekatan populis berjaya menawan hati massa.

"Kuasa ketiga" dari masyarakat sivil yang cuba dibentuk peguam hak asasi, Haris Ibrahim juga merupakan cubaan pendekatan "ahli politik yang bukan ahli politik", atau "ahli politik tanpa rela" (reluctant politicians), dengan harapan jalan baru diterokai dengan penampilannya untuk "berkhidmat kepada rakyat".  Seandainya BN memilih ahli bersekutu yang berimej baru untuk menyarung jersi BN, maka ia sekurang-kurangnya boleh mengekalkan sesetengah pengundi atas pagar dalam rumah.  Pada hakikatnya, ia adalah "kuasa ketiga" versi BN.

Seandainya kedua-dua "kuasa ketiga" ini kena pada tempatnya, maka kedudukan PR akan menjadi genting.  Apa yang harus direnungi PR adalah, mengapa ahli politiknya dirasai pengundi "sebegitu ahli politik"?  Mengapa begitu ramai pengundi tidak lagi keghairahan dengan pertukaran kerajaan, belum pun genap tiga tahun?

Oleh: Wong Chin Huat / sumber: SINI

Halal & Vegetarian

Tidak lama dahulu saya ada menulis hal berkaitan vegetarian. Ianya lanjutan daripada demo yang dilakukan oleh para pencinta lembu di hadapan restoran McD Oxford tidak lama dahulu.

Waktu itu, saya dan isteri sedang merayau-rayau mencari tempat makan. Biarpun ada kedai halal yang lain di Oxford seperti Nando's dan KFC, namun ianya terletak agak jauh (di Cowley Road) dari pusat bandar.

Sewaktu kami berkira-kira untuk makan menu yang dibolehkan (berasaskan ikan), salah seorang pendemo yang berpakaian kostum lembu (dengan kantung susu yang besar) berserta sepanduk menjerit-jerit agar para pengunjung McD memboikot produk daging kerana dikatakan disembelih secara tidak berperikemanusiaan (menggunakan elektrik dan secara kasar).

Di masa yang sama, kelompok ini turut menjalankan kempen agar orang ramai beralih kepada menjadi vegetarian, kerana memakan makhluk hidup seperti sayuran, dianggap kurang kejam berbanding makan daging.

Saya tidak mahu komen lanjut kerana para pendokong vegetarian (makan makhluk hidup) pastinya memiliki hujah mereka, begitu juga dengan pihak yang makan daging (juga makhluk hidup) sebagai sebahagian diet harian mereka.

Saya mengkhususkan posting ini untuk berkongsi pengalaman serba-sedikit yang saya dapat di kala hidup di tempat orang (yang ramai bukan Islam).


Halal & Vegetarian

Peningkatan kualiti hidup, pendapatan dan kesedaran bagi mencapai kehidupan yang lebih sihat menjadikan masyarakat kita hari ini berusaha mendapatkan yang terbaik.

Salah satu produk yang semakin diminati ramai orang kini adalah amalan pemakanan secara vegetarian dan organik.

Tidak hairanlah, saban hari restoran yang menyajikan menu vegetarian dan organik, bak cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Sajian tanpa menggunakan unsur haiwan (kecuali telur) ini juga telah menarik minat bermacam segmen pengguna, termasuklah mereka yang beragama Islam untuk bertandang dan makan di restoran mereka.

Seperti yang kita sedia maklum, orang Islam kita begitu sensitif apabila memperkatakan hal halal/haram terutama yang menyentuh aspek makan-minum ini (berbanding tuntutan menjaga aurat).

Pastinya bermacam cerita telah kita dengar. Tidak lama dahulu riuh sekejap dengan isu penggunaan bahan (Emulsifer) E471, yang didakwa sesetengah pihak, mengandungi unsur babi.

Itulah yang susahnya di Malaysia. Pengeluar dan pekilang makanan kita tidak memperincikan bahan asas kepada E471 itu.

Ini kerana E471 boleh jadi yang berunsurkan haiwan (animal base), atau boleh juga berunsurkan soya (soy lecithin).

E471 soy lecithin adalah halal dan umat Islam dibolehkan untuk memakan produk yang menggunakan unsur terbabit.

Justeru, para pengguna yang mendapati ada unsur E471 pada produk yang ingin mereka beli, apa yang perlu mereka buat?

1) Pastikan ianya adalah daripada E471 - soy lecithin. 

2) Jika pekilang tidak nyatakan bahan asas E471 terbabit, cari logo 'suitable for vegetarian' pada produk terbabit.

3) Jika tiada logo halal, tetapi ada logo 'suitable for vegetarian', lihat (baca) kandungan produk agar bebas daripada arak (wain/white wine/white wine vinegar).

Bagi sesetengah produk tempatan, logo ini sering terpampang sebaris dengan logo halal dan logo buatan Malaysia.

Bagi pengguna Islam yang gemarkan sajian yang bersifat vegetarian, penggunaan bahan yang berunsurkan haiwan yang haram dimakan (babi terutamanya) telah tidak lagi menjadi isu, kerana ianya bebas unsur daging.

Cuma, apa yang paling mustahak adalah memerhatikan kalau-kalau terdapat unsur arak (lazimnya 'white wine vinegar') digunakan untuk 'menyedapkan' sayuran yang dimasak. 

Jika di UK, saya begitu berhati-hati untuk membeli coslow di pasaraya kerana sekalipun dilabel 'suitable for vegetarian', kebanyakan produk coslow saya dapati mengandungi 'white wine vinegar' (cuka wain putih = unsur arak).
Foto hiasan - coslow (sungguhpun 'suitable for vege', tapi tolong lihat jikalau terdapat unsur wine pada produk sebegini)

Makanya, setelah diyakini bahawa sesuatu produk vegetarian itu bebas daripada penggunaan daging yang tidak disembelih mahupun daripada haiwan yang haram dimakan, selain turut bebas daripada penggunaan white wine vinegar, maka, tidak perlu lagi timbul keraguan bagi pengguna Islam untuk meneruskan minat mereka terhadap menu vegetarian.

Sekian.

Sunday 21 November 2010

Langkawi: Istirehat lagi

InsyaAllah, petang ini kami semua akan bergerak ke LCCT, sebelum bertolak ke Pulau Langkawi selama 3 hari. Kembali ber'blog' selepas pulang nanti.

Dr Sepet

Saturday 20 November 2010

PRU awal? Di mana 'kabinet bayangan'?

Sedia mengganti vs tidak rela diganti

Memetik laporan yang disiarkan di MSN 'Malaysia coalition launches bid to win over minorities' (KLIK) di mana berita tersebut turut menyatakan 'ramalan', ada kemungkinan untuk Pilihanraya Umum (PRU) yang ke-13, bakal diadakan pada tahun hadapan:

There has been mounting expectation that polls, which must be held by 2013, will be called next year since the opposition has been plagued by infighting and after the government won three of four by-elections this year. (lanjut: sini)

Perkembangan ini (pindaan perlembagaan BN yang membenarkan penyertaan ahli bersekutu dan kelab sahabat BN) sewajarnya dilihat sebagai satu komitmen kerajaan BN di dalam merealisasikan agenda transformasi parti, yang telah lebih separuh abad memerintah negara ini.

Dalam waktu yang sama juga, perkembangan ini juga wajar dipandang sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh Pakatan Rakyat, terutama untuk meyakinkan para rakyat bahawa mereka (disebalik pelbagai polimek yang melanda komponen di dalam PR), adalah berkemampuan untuk menjadi wadah yang akan menggantikan UMNO-BN, selepas PRU ke-13 kelak.

Tambahan pula, pengumuman yang dibuat oleh pengerusi BN semalam juga dibuat selepas seminggu PAS selesai mengadakan seminar yang bertemakan 'PAS sedia ganti UMNO' - video Youtube boleh dilihat di SINI.

Sekalipun pelbagai pihak di dalam PAS telah tampil mengemukakan pelbagai hujah dan pandangan dari segenap sudut/perspektif, yang nyata, masih wujud beberapa kelemahan (yang ketara jelasnya), yang salah satunya ingin saya ketengahkan pada posting ini.

Putrajaya: PR dah buat kerja rumah (homeworks)?

Bagi saya secara peribadi, hasrat PR bagi menggantikan UMNO-BN bukanlah tugas yang mudah, sekalipun ianya tidaklah mustahil berlaku. Tambahan pula selepas mengambilkira proses transformasi yang sedang digerakkan oleh UMNO-BN ketika ini.

Selepas PR tewas di kedua-dua PRK baru-baru ini, diikuti 'gempa kuat' di dalam pemilihan PKR yang masih belum selesai, langkah proaktif PAS ini setidak-tidaknya memberikan gambaran bahawa PR tetap komited untuk menjadi pilihan baru rakyat Malaysia dan seterusnya mengambilalih Putrajaya.

Begitupun, komitmen (hasrat, aspirasi dan pelbagai istilah yang hampir sama maksudnya) sahaja tidak cukup sebagai bekalan ke Putrajaya (selepas ganti UMNO). Hayunan langkah PR dilihat belum kuat kerana sehingga ke hari ini, para pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya, masih belum 'berpeluang' untuk kenal dengan barisan kabinet bayangan (Shadow Cabinet) (SC) pakatan.

SC =  anggota pembangkang yang membentuk kabinet alternatif yang membayangi setiap jawatan menteri di dalam kabinet semasa

Justeru, untuk mengekalkan sistem politik 2 parti (BN vs PR), pembentukan SC adalah menjadi suatu keperluan, terutama kepada pihak pembangkang.

Ini kerana rakyat sebagai pengundi, berhak untuk tahu siapakah pemimpin masa depan mereka, dan apakah pemimpin itu mampu (atau tidak) untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik, berbanding dengan menteri yang ada ketika ini.

Pembentukan SC ini juga bakal dilihat sebagai penanda aras bagaimana parti-parti di dalam PR (DAP, PAS dan PKR) mempraktikkan 'perkongsian kuasa' di antara mereka - apakah wujud amalan 'cah keting' atau politik yang majoriti 'telan' yang minoriti atau sebagainya.

Langkah ini pada saya amat perlu, dan harus dilaksanakan secara jelas agar rakyat dapat menilai dan menyatakan tahap keyakinan mereka terhadap kemampuan PR.

Ketika ini saya melihat (jika silap andaian ini, ianya salah saya sendiri) kerajaan PR masih selesa berkuasa di dalam domain (kepompong) mereka. 

PAS selesa mentadbir negeri majoriti Melayu di Kedah dan Kelantan, manakala DAP pula menguruskan komuniti Cina di Pulau Mutiara. Keadilan pula menguruskan Selangor, yang berbilang kaum, yang sekarang sedang diuji keampuhannya.

Sayanglah, PR sebagai sebuah gabungan yang besar, pun saya masih belum dapat melihat kemampuan PR secara kolektif iaitu apakah dapat ditonjolkan barisan 'menteri bayangan' daripada DAP, PAS dan PKR yang dapat diterima dan disokong oleh semua kaum.

Memang saya sering mendengar cakap-cakap di warung kopi yang mencanangkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai bakal PM (dan Menteri Kewangan), jika PR ke Purtajaya kelak.

Begitupun, fakta lain yang wajar kita ambilkira adalah, Anwar sendiri ketika ini, masih bergelut dengan beberapa kes mahkamah yang kesudahannya masih belum menjamin kerusi PM buat beliau (mungkin juga perlu ke 'menara gading besi'?).

Ketiadaan SC di pihak PR juga sering menyaksikan para pembaca harakah dan harakahdaily hanya banyak menatap komen oleh Mahfuz Omar dan Idris Ahmad, yang mengkritik pelbagai perkara.

Hal ekonomi, Mahfuz komen. Hal media, laporan audit, masalah sosial, hal pertanian, hal pelancongan, hal pengangkutan, hal alam sekitar........semuanya dikomen oleh Mahfuz dan Idris. Hatta hal seluar dalam pun dia komen juga.

Bukan untuk menidakkan kredibiliti saudara Mahfuz dan Idris (mereka memang bagus), tetapi biarlah PR dilihat lebih bersistematik dan biarlah setiap isu yang dibangkitkan oleh menteri UMNO-BN itu 'ditangani' serta dijawab secara lebih bijak, teratur dan kritikal, sepertimana seseorang yang telah melakukan kerja rumahnya (homeworks).

Kuasa ke-3?

Kebelakangan ini kedengaran adanya cakap-cakap berkenaan kemungkinan terbentuknya suatu kuasa baru di pentas politik tanah air, digelarkan sebagai 'kuasa ke-3' berperanan sebagai alternatif jikalau rakyat tidak gemarkan tawaran oleh BN dan PR.

Tiada komen lanjut boleh saya berikan kerana ianya belum lagi terlaksana (mungkin wujud, atau mungkin sujud menyembah bumi).

Cumanya, suka saya mengajak para pembaca segarkan minda mengenai angka '3' ini.

Orang tua-tua kita dulu sering menggunakan 'tiga' untuk membuat perumpamaan, tetapi lazimnya dikaitkan dengan sesuatu yang bersifat negatif. Contohnya:

- main kayu tiga (siaplah kalau isteri dapat tahu, kalau tak kena tetak, paling tidak 'anu' kena potong je)
- cinta 3 segi (nak tahu macam mana? tengok nasib si Ahmad Durrah ketika ini...dilema oooo)
- madu 3 (hanya P.Ramlee saja yang boleh buat, itupun hanya di dalam filem)
- kalau duduk berdua, ada yang ke-3 iaitu syaitan (diumpamakan pihak ketiga sebagai syaitan...)

Bukan memperkecilkan usaha pihak yang ingin mewujudkan kuasa ke-3. Tetapi buat masa ini sistem 2 parti saya lihat masih mampu untuk memikul aspirasi seluruh rakyat Malaysia.

Syaratnya: kedua-dua pihak mestilah dapat mensejahterakan parti masing-masing dan mensejahterakan kehidupan warga tanah bertuah ini.

Sekian.

Friday 19 November 2010

Muka baru dalam rombakan kabinet?

Sumber: SINI

Ahmad Maslan menteri penuh, Khairy timbalan?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Desas desus rombakan kabinet didakwa bakal menyaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh manakala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai timbalan menteri.

Sumber-sumber memaklumkan rombakan tersebut dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu depan atau awal bulan Disember.

Empat menteri disebut-sebut akan digugurkan iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Shaziman Abu Mansor (Kerja Raya); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ng Yen Yen (Pelancongan).

Beberapa menteri pula dijangka bertukar kementerian seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kini Menteri Dalam Negeri dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.

Dua bekas menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini Setiausaha Agung BN dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said akan kembali ke kabinet.

Jika ianya benar, beberapa penganalisis politik melihat ianya sebagai petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan Najib sedang memperkemas pasukannya.

Mereka tidak menolak kemungkinan PRU-13 akan diadakan tahun hadapan berasaskan BN pada waktu ini yakin mereka telah mendapat kembali sokongan rakyat.

Penanda aras paling akhir bagi mereka setakat ini adalah Pilihan Raya Kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi pada 4 November lepas yang menyaksikan kemenangan calon BN.

Beberapa pihak turut mendakwa cadangan melantik Ahmad Maslan ke jawatan menteri penuh kerana "sumbangan" besarnya menjadi jurucakap dalam isu Felda.

Beliau dilihat paling menonjol membela dakwaan "salah urus" dalam Felda biarpun dalam beberapa kes mahkamah yang dimenangi peneroka.

Rombakan kabinet kali ini juga dilihat sebagai peluang terakhir bagi ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyertai kabinet sebelum pilihan raya umum akan datang.

Khairy tidak dilantik menganggotai kebinet apabila Najib mengambil alih pentadbiran April lalu, sedangkan Datuk Mukhriz Mahathir yang mencabarnya bagi jawatan nombor satu pergerakan itu, mengisi jawatan timbalan menteri.

Selain itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim juga dilantik sebagai timbalan menteri.

Wednesday 17 November 2010

Di Kampung

Sedang meluangkan masa bersama keluarga di kampung. Kembali ber'blog' di akhir minggu ini, insyaAllah.

Dr. Sepet.

Thursday 11 November 2010

Tak dapat 5A? Em, samalah kita...

Semalam, keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah diumumkan. Seramai lebih 48,000 murid telah mendapat keputusan semua A (straight A's) di dalam kesemua matapelajaran (sumber). Tahniah!

Bagi yang mendapat 5A, pastinya menangis menerima slip keputusan mereka. Dan bagi yang tidak berjaya mendapat 5A, juga turut sama menangis dengan keputusan tersebut.

I tell you what (Ini saya nak beritahu), suatu ketika dahulu, saya juga pernah merasa bagaimana berdebarnya hati semasa mengambil keputusan UPSR, dan saya juga turut menangis dengan keputusan yang saya dapat.

Begitupun, tangis saya bukanlah disebabkan saya mendapat semua A di dalam UPSR.

UPSR adalah langkah pertama untuk adik-adik sebelum menempuh perjalanan hidup yang masih jauh. Kepada yang berjaya, jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin semangat untuk terus mencipta kejayaan dan mengejar impian.

Manakala, bagi yang tidak begitu cemerlang keputusan mereka, jangan sesekali berputus asa. Malah, para ibubapa juga tidak harus sama sekali memalingkan muka dan membiarkan anak-anak terkontang-kanting dan terdera emosi mereka.

Ini kerana, setiap anak adalah anugerah Allah. Mereka mempunyai potensi untuk berjaya dan menjadi insan yang berguna.

Cumanya, mungkin bakti mereka kepada kita, adalah dengan cara yang berbeza-beza.

Sama tapi tak serupa: Suara Melayu vs Suara UMNO vs Suara Kerajaan?

Ada beberapa kenalan telah bertanyakan perkara ini kepada saya. Sayangnya saya bukanlah orang yang tahu mengenai politik, jauh sekali nak mengulas kesamaran garis pemisah di antara ketiga-tiga institusi seperti yang dinyatakan.

Bagaimanapun, akan cuba saya semak jikalau ada bahan-bahan penulisan yang boleh membantu menjawab (serba-sedikit) pertanyaan yang dibangkitkan. Wassalam.

Extra: ramai orang pandai bercakap, tetapi tidak ramai yang pandai menulis, dan amat sedikit yang tulisannya sedap dibaca (emmm...renungan buat diri sendiri).

Kedah: Media bukan Melayu lebih jujur & beretika?

"Maka dengan sukacitanya hanya akhbar yang tersenarai sahaja yang dijemput untuk membuat liputan Sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Senarai media yang dibenarkan untuk membuat liputan ialah, Harakah, Sinar Harian, The Star, Makkal Osai, Malaysia Nanban, Oriental Daily, Sin Chew Daily, Kwong Wah Jit Poh, China Press, Nan Yang Siang Pau dan Guang Ming Daily.

Berita penuh di sini (KLIK), lagi sumber dan berita yang sama (KLIK).

Nota kaki:

- Jika dilihat secara kasar, hanya 2 akhbar sahaja yang berbahasa Melayu dibenarkan untuk membuat liputan dalam Sidang Bajet 2011 DUN Negeri Kedah yang akan bermula dari 12 hingga 14 November ini iaitu lidah rasmi PAS, Harakah dan Sinar Harian.

- Manakala lain-lain akhbar adalah yang bukan menggunakan bahasa mengantar Melayu, iaitu majoritinya akhbar berbahasa Cina. Apakah maksud tersirat di sebaliknya? Saya yakin anda yang rasional pasti ada jawapannya.

- Saya melihat langkah (memilih media) yang diambil kerajaan negeri ini adalah bersebab. Sekarang inipun media arus perdana (yang dilarang daripada membuat liputan), secara terus-menerus memprovokasi (kasarnya, memfitnah) pentadbiran kerajaan di sebuah negeri yang dipilih oleh rakyatnya sendiri melalui sistem demokrasi.

- Ya! Sistem demokrasi yang saya andaikan difahami serta didokong bukan sahaja oleh pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri, malah pemberita dan syarikat akhbar yang berkaitan.

- Saya rasa nak ketawa setiap kali membaca tajuk-tajuk berita di akhbar berbahasa Melayu. Saya boleh jamin jika rakan sepejabat saya yang berbangsa British, Irish, Itali, Kenya, Ghana, China, Thailand dan Taiwan itu mampu memahami bahasa Melayu, mereka juga pasti akan tertawa, mentertawakan nilai berita yang surat khabar kita laporkan kepada rakyatnya.

- Wake-up! Berhentilah menyediakan berita-berita yang bersifat lawak-jenaka itu. Kembalilah (saya tak yakin) kepada batu asas bidang kewartawanan yang sebenar.Buatlah pelaporan yang jujur, beretika, benar dan boleh dipercayai.

- Bak kata MB Kedah, "lain kali nak bekerja, bekerja cara orang Islam".

- Sebabnya akhlak Islam itu mengajar dan menyuruh kita agar menjauhi amalan dan perlakuan orang munafik - i.e. apabila bercakap, dia berdusta!

Wednesday 10 November 2010

Antara gecko dan walit

Berita Harian hari ini telah menyelitkan berita berkenaan 'penangan cicak Gecko', terutama di kalangan pemburu dan pengumpul spesis cicak ini di wilayah Pantai Timur (sumber).

Tawaran harga yang mengarut tingginya seperti yang dilaporkan boleh mencecah sehingga RM35k untuk seekor cicak yang seberat 320gram!


Justeru, ganjaran wang segera yang lumayan ini telah menaikkan minat terutama di kalangan warga desa di Kelatan dan Terengganu untuk menyelongkar kawasan-kawasan belukar, semak, hutan, kaki bukit dan gunung-ganang bagi memburu cicak-cicak yang berkeliaran.

Barangkali juga, ibubapa sudah boleh menarik nafas lega kerana anak-anak mereka sekarang ini begitu rajin 'mengerjakan' kawasan semak di sekitar rumah, hingga menjadi terang-benderang mencari gecko.

Selepas ini, bolehlah pula saya suruh Ayoh buat cerita yang dia terserempak dengan 10 ekor gecko sebesar penumbuk di kebun dukunya dekat masjid.

Lepas tu semua orang akan meredah semak-samun di kebunnya, dan teranglah segala semak-samun yang ada. Jimat duit tak payah upah orang tebas!

Prospek dan khasiat perubatan tradisional yang dimiliki hempedu cicak ini dikatakan tinggi dan mendapat permintaan tinggi di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur.

Walaupun spesis cicak ini dikatakan berada di luar kawalan Mergastua/Perhilitan, dan tidak dianggap sebagai spesis terancam, adalah tidak mustahil kegiatan pemburuan cicak gecko secara berterusan boleh menggugat kelangsungan spesis ini pada masa hadapan.

Tidak seperti tumbuhan yang 'patah akan tumbuh', haiwan yang telah pupus pula 'hilang tidak berganti'.

Hal ini sama seperti yang saya alami sewaktu menjalankan kajian di petempatan Orang Asli (lihat Wiki) pos Legap dan Kuala Mu, Kuala Kangsar beberapa tahun dahulu di mana disebabkan permintaan tinggi para pengusaha sayur di Cameron Highland, menyebabkan habis licin sumber buluh kasap (runcing) di kawasan mereka.

Akhirnya, untuk keuntungan yang tidak sampai setahun itu, kampung-kampung mereka pula diancam hakisan sungai kerana tiada lagi pokok-pokok buluh yang selama ini menjaga tebingnya.

Berbalik kepada kisah gecko. Sekalipun spesis cicak ini, sebelum ini, tidaklah begitu signifikan fungsinya di dalam mempengaruhi kehidupan kita, ternyata hari ini ia boleh menambah pula pendapatan dan ekonomi warga desa.

Begitupun, kegiatan mencari dan menjual cicak ini adalah bersifat 'one-off' iaitu sekali ambil, terus hilang selama-lamanya.

Mengapa warga desa tidak melihat kepada potensi lain yang tidak bersifat 'one-off', terutama bidang yang rancak berkembang kini iaitu industri burung walit (layang-layang).

Sarang burung ini semakin hari semakin mendapat permintaan yang tinggi di pasaran. Sarangnya kita ambil dan jual, tetapi burungnya tidak pula kita bunuh. Justeru, hasilnya (pengeluarannya) adalah secara jangka panjang dan untungnya juga adalah secara jangka panjang.

Menurut webblog ini (KLIK),  seseorang yang memiliki rumah burung walit, bolehlah dianggap memiliki 'bank persendirian'.

Sedang harganya pula masih berlegar dalam lingkungan RM 3000 hingga RM 6000 per kilogram.

Bangunan yang menjadi rumah burung walit pula tidak usahkan dibina bertingkat-tingkat seperti rumah 'tok wakil' yang kaya-raya itu, malah seperti foto di bawahpun sudah mencukupi. 



Cuma, lokasinya sahaja perlu sesuai agar bangunan yang dibina tidak terlalu dekat hingga mengganggu ketenteraman penduduk seperti yang terjadi di sebelah stesen minyak di Kg. Pela.

Jangan sampai insiden yang berlaku di Marang dan Kuala Terengganu berulang di tempat kita di mana akibat penduduk sekitar marah dengan bunyi bising, bangunan burung walit tersebut telah dibakar, dan punca air minuman yang disalur turut diracun.

Bagi masyarakat desa, memulakan industri burung walit secara persendirian memang sukar, disebabkan 2 faktor: 1) modal dan 2) kemahiran - termasuklah ilmu dan pengalaman berkaitan penjagaan burung ini.

Begitupun, adalah tidak mustahil untuk jawatankuasa kampung membuat kertas cadangan projek, yang kemudiannya diajukan kepada ADUN untuk sokongan dan jabatan kerajaan yang berkaitan untuk bantuan modal dan khidmat nasihat serta latihan.

Pengalaman saya dengan Hj Razaki di Kg. Kuala Medang dan Tn Syed di Kg Telok Ketapang (Homestay Programmes and Rural IKS) membuktikan tiada apa yang mustahil (syarat kena sepakat, kena rajin cari peluang dan pasaran) untuk warga desa mengupayakan diri dan komuniti (empowerment), memajukan desa mereka agar menjadi lebih maju, menarik dan menguntungkan.