Selesai sudah proses pengundian di kedua-dua PRK di Galas dan Batu Sapi. Keputusan rasminya juga telah kita semua ketahui.
BN, dengan kerja kuat semua parti komponennya telah berjaya memperoleh kemenangan besar (dengan majoriti lebih tinggi) di kedua-dua kawasan yang mereka tandingi.
Barangkali ketika ini, anggota parti negeri (dan YB baru terutamanya) masih belum selesai meraikan kejayaan ini. Namun, harapnya tidak dilupa bahawa ini hanyalah detik permulaan kepada perjalanan jauh anda (dan parti anda) di dalam mengotakan segala janji yang begitu banyak anda taburkan sepanjang proses pemilihan ini berlangsung.
Boleh dikatakan senarai 'janji BN' khas untuk Gua Musang adalah begitu panjang. Harapnya banyaklah projek-projek yang mampu dikota dan disiapkan oleh YB Abd Aziz nanti.
Dengan 'kembalinya' Galas ke pangkuan UMNO/BN, maka keseluruhan Parlimen Gua Musang kini rasminya dikuasai oleh parti pemerintah kerajaan persekutuan.
Kemenangan Abd Aziz dengan majoriti lebih 1000 undi ini saya kira pastinya turut dibantu oleh undi kaum peribumi Asli ini. Justeru, adalah besar sekali harapan saya agar angin perubahan yang dijanjikan kerajaan BN terhadap Orang Asli ini akan benar-benar dirasai, dilimpahi dan merubah lanskap sosio-ekonomi masyarakat yang telah terlalu lama ketinggalan dari arus pembangunan negara ini.
Akhir sekali, janganlah terlalu gembira dan dipanjangkan perayaan kemenangan di Galas ini, sedangkan masih banyak tugasan yang perlu dibereskan.
Harapnya sumbangan Orang Asli semasa proses pilihanraya ini tidak akan 'dibuat-buat lupa' oleh YB Abd Aziz dan kerajaan BN setelah mereka menang.
Kita tidak ingin lagi mendengar keluh-kesah di TV dan Radio, paparan kisah duka warga terpinggir ini setiap kali tibanya musim mengundi.
No comments:
Post a Comment