Friday, 26 November 2010

Budak kampung: Memancing

Sewaktu berada di kampung juga, saya bersama adik-adik sempat mencuri sedikit masa dengan berjalan-jalan (bermotosikal) di sekitar kampung.

Berdasarkan pengamatan saya, secara fizikalnya telah banyak perubahan berlaku di kampung. Rumah-rumah penduduk semuanya diperbesarkan (disambung / ditambah). Kemudahan asas juga telah menyeluruh diterima.

Suatu petang, saya berkesempatan melawat tapak projek ternakan ikan yang sedang diusahakan oleh bapa saudara dan adik saya di hujung kampung.

Saya tidak berapa pasti jumlah wang/modal yang telah dibelanjakan bagi projek tersebut, tetapi melihatkan prospek semasa, tidak dapat disangkal yang saya juga bakal melaburkan sedikit wang pada 'kitaran' yang akan datang (selepas musim tengkujuh - bulan Feb 2011 jangkaan).

Selain dijual kepada peraih, setiap petang kolam ikan mereka sering dikunjungi oleh beberapa kaki pancing, yang mencuba nasib.

Namun, kebanyakan mereka tidak pernah pulang hampa kerana ikannya adalah jinak dan senantiasa kelaparan.

Menurut Ayoh, terdapat kira-kira 12 buah kolam ikan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, tetapi selain 2 buah yang baru diusahakan, lain-lain kolam masih terletak di dalam 'hutan' - tiada orang yang berminat.

Namun, setelah penduduk kampung melihat akan potensi yang ada (setelah diusahakan), berlumba-lumba pula mereka membuat 'booking' kolam-kolam yang masih di dalam hutan sana.

Cuma yang menjadi masalahnya, tidak ramai yang sanggup untuk keluar modal dari saku mereka sendiri - semua nak harapkan subsidi dan bantuan kerajaan.


Patutnya, usahakan dulu, keluarkan modal sendiri biarpun untuk satu pusingan projek. Setelah itu, barulah kembangkan kegiatan dengan melihat peluang untuk mendapatkan sokongan agensi kerajaan - kena tunjuk bukti dulu yang kita memang berminat dengan projek tersebut.

Melihatkan minat penduduk yang membuak-buak ini, adik saya yang otaknya bergeliga telah membeli pula sebuah jentera pengorek, yang akan mengambil upah menggali dan menyediakan tapak projek kolam ikan tersebut.

Kini, 2 buah kolam baru sedang disiapkan, 2 kolam telah menuai hasil, sementara yang lain perlu menunggu di dalam hutan, hinggalah berakhirnya musim tengkujuh.

Kolam yang baru digali tidak dikunjungi sesiapa kerana masing-masing tertumpu kepada kolam yang telah diusahakan.

Peluang! 'Lubuk' sebeginilah yang saya cari untuk memancing. Suatu petang, saya, pok amir, e.g dan paih bermotosikal ke kolam tinggal tersebut untuk memancing.

Selama 1jam 30minit di sana, dirasakan memang berbaloi kerana umpan kail kami sentiasa dijamah ikan. Berikut beberapa foto yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca.

 Pok Amir setia menjaga kailnya

 EG dan Paih sedang menunggu nyamuk-nyamuk untuk menghisap darah mereka

 Lubuk ikan Selat rupanya kolam tinggal tu

 Penggunaan joran didapati tidak berjaya menarik perhatian ikan

 Ini kolam Ayoh - baru siap dibersihkan (sana tu ada ikang besor..)

 Kolam Tilapia yang diusahakan oleh adik/Sero

 Kaki pancing yang datang mendapatkan ikan segar dari kolam
Jentera pengorek yang dibeli Sero



Hasil sepetang mengail di lubuk ikan Selat

No comments: