Pertamanya,
saya berterima kasih kepada sahabat, En Alang, kerana telah melontarkan komen-komen
sehingga membawa saya menulis artikel ini. Sungguhpun entri yang disentuh membincangkan
mengenai DAP (di bawah tajuk: DAP mempelopori kerangka politik baru yang ‘lebih Malaysia’). Begitupun saya amat tertarik dengan angka dan statistik yang diberikan beliau. Saya gembira apabila orang yang turut ambil cakna mengenai
perkembangan politik kini turut berhujah dengan fakta, bukannya
bersandar kepada sentimen dan emosi.
HARAPAN & REALITI
Harapan adalah
sesuatu yang kita belum dapat, tetapi amat berkehendak untuk mendapatkannya.
Harapanlah yang memotivasikan, dan menggerakkan daya upaya kita untuk
meneruskan kehidupan. Apabila hidup disandar kepada harapan, maka terasa lebih
bermaknalah hidup ini. Sepertinya seseorang insan yang inginkan Redha Ilahi, maka
hidup ini dijadikan tempat untuk beramal bagi mengejar bekalan ke syurga PenciptaNya.
Di dalam
politik, penzahiran sesuatu harapan itu memerlukan suatu wadah atau platform perjuangan
yang lazimnya dipenuhi oleh penubuhan sesebuah parti. Di dalam sesebuah parti, para
pemimpin dan ahli sentiasa datang dan pergi, tetapi parti lazimnya akan kekal.
Namun demikian, kekalnya sesebuah parti itu belum tentu menjamin yang ianya kuat
kerana yang menentukan terbinanya atau runtuhnya parti adalah oleh sikap dan
tindakan pemimpin dan ahlinya sendiri.
Melalui parti
politik, aspirasi dan harapan rakyat (penyokong + pengundi) dapat dizahirkan,
malah kepada kebijaksanaan para pemimpin merekalah diletakkan kepercayaan dan
keyakinan yang menggunung. Pemimpin dan ahli bergerak seiring membina parti.
Saya sebenarnya telah
agak lama memerhatikan perkembangan di dalam dan di luar PAS, sekalipun saya
juga ada menulis berkenaan DAP dan UMNO.
Justeru, apa
yang dinukilkan ini hanyalah pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai
pemerhati (bukan ahli), namun di masa yang sama ingin dikongsi apa yang saya coretkan
ini saya anggap sebagai suatu “realiti”. Realiti ini dikupas dengan berpandukan
angka-angka, statistik dan track records.
Saya inginkan
realiti ini direnungkan bersama para penyokong (dan pemimpin) PAS secara
khususnya, dan ada ketikanya saya cuba kaitkan secara tidak langsung dengan konteks
PR.
Semoga coretan
ini dapat dibaca dan difahami secara objektif dan rasional. Mana yang saya rasa
baik saya puji, dan mana yang lemah perlu diakui dan dicari kaedah untuk
memperbaikinya.
KERUSI TERBANYAK = WAKIL TERBANYAK
Saya secara
umumnya bersetuju dengan fakta yang dibentangkan oleh sahabat saya, En Alang,
iaitu sistem politik kita adalah berlandaskan kepada amalan demokrasi. Dan di
dalam amalan demokrasi, sesuatu keputusan boleh dicapai dan ditentukan oleh
pihak yang memiliki undi terbanyak (iaitu pihak yang miliki kerusi terbanyak =
memiliki wakil terbanyak = undi terbanyak).
Mana-mana parti
yang berupaya untuk mempastikan (secured) bilangan kerusi terbanyak (majoriti),
maka pihak itulah ‘memiliki kunci’ yang akan menentukan outcome sesuatu proses pembuatan keputusan.
Boleh dikatakan
di sini, andainya PAS Berjaya untuk “secure” bilangan kerusi terbanyak (melebihi
DAP dan PKR) untuk ditandingi menjelang PRU13 kelak, bolehlah dikatakan PAS
telah mendapat kemenangan moral yang
pertama.
Manakala, kemenangan moral kedua ialah jika PAS Berjaya
menyamai atau mengatasi jumlah kerusi yang dimenangi UMNO. Maka barulah ada harapan untuk direalisasikan Pas Ganti UMNO (PGU).
YANG DIRISAUKAN...
Berikut adalah
beberapa perkara yang secara realitinya saya rasa perlu dirisaukan iaitu:
Risau1: Mampukah PAS ‘menang majoriti’ di dalam pembahagian
kerusi sesama rakan di dalam PR?
Saya lihat cabaran/halangan
pertama PAS adalah bagaimana memastikan PAS diberikan bilangan kerusi terbanyak
(majoriti) melalui proses agihan kerusi bersama-sama DAP dan PKR.
Seperti yang
telah saya jelaskan, di dalam amalan demokrasi, pihak yang berkuasa adalah pihak
memiliki bilangan undi terbanyak (atau wakil paling ramai, Members of
the Parliament, MPs). Perlulah diingat bahawa PAS tidak membuat keputusan secara
bersendirian mengenai sesuatu perkara melainkan perlu berunding dan dipersetujui
secara bersama dengan DAP dan PKR.
Namun, keadaan ini boleh berlaku bilamana kekuatan PAS, DAP dan PKR lebih kurang sama/setara. Mana-mana parti
tiada majoriti dan ada agenda yang diperjuangkan parti perlu ‘diberi imej baru’
supaya sekutunya berlembut hati.
OK, berbalik
kepada persoalan asal. Keseluruhan kerusi Parlimen di Malaysia adalah berjumlah
222 kerusi. Justeru, untuk menang
dengan majoriti mudah, PR HANYA perlu
menang 112 kerusi.
Pada PRU12, PAS telah
bertanding di 66/222 kerusi atau HANYA
30%. Di sini sahaja, realitinya, PAS sudah menjadi pihak yang minority di
dalam PR.
Berbanding PAS, rakannya
PKR telahpun ‘secured’ 95/222 kerusi (atau 43%), manakala DAP pula mendapat 48/222
kerusi (22%). Sebanyak 13 kerusi tidak ditandingi PR
Bersandarkan
angka dan statistik di atas, kita lihat dari segi agihan jumlah kerusi, PAS
sudah pun ‘tewas’. Kalau anda rasa PAS sebenarnya ‘menang’, minta maklumkan
pada saya semoga dapat diperbetulkan pernyataan saya yang tersebut.
Keupayaan PAS
bertanding di 30% kerusi Parlimen ini bukanlah kesalahan penyokong PAS kerana
rundingan dan persetujuan mengenai pembahagian kerusi ini dibuat oleh pucuk
pimpinan tertinggi parti melalui persetujuan bersama DAP dan PKR.
Maka untuk
PRU13, orang-orang PAS perlu dengan jelas, menyampaikan hasrat mereka kepada
pemimpin tertinggi mereka supaya dipastikan yang PAS mendapat agihan kerusi lebih
banyak. Berapa banyak? Jawapan saya, sebanyak yang menjamin PAS mendapat
majoriti daripada keseluruhan 222 kerusi yang ada.
Risau2: Mampukah PAS ‘menyamai’ pencapaian UMNO?
Pada PRU12, UMNO
bertanding di 117/222 kerusi dan menang di 79/117 kerusi, iaitu 68% kemenangan.
Angka ini adalah jauh lebih tinggi berbanding mana-mana pencapaian parti di
dalam PR. Pada PRU12, PAS menang 23/66 kerusi (35% kemenangan). PKR pula menang 31/95 kerusi (33%) dan DAP muncul TERBAIK
di kalangan PR dengan menang 28/48 kerusi (58%).
Isu yang pertama
di sini, jika PAS masih kekal dengan jumlah 66/222 kerusi untuk PRU13 akan
datang, tentunya PAS boleh melupakan sahaja hasratnya untuk ‘memimpin perubahan’ di dalam PR, belum
lagi dibicarakan hasratnya untuk ganti UMNO.
Keduanya, jika
PAS bertanding di 66 kerusi (jumlah yang sama) dan MENANG SEMUA 66 kerusi, masih, MP PAS hanya mewakili 30% suara (dan
kuasa undi) dalam proses pembuatan keputusan bersama di dalam PR. Persoalannya,
mampukah PAS menang 100% bagi kerusi-kerusi yang ditandinginya?
Permasalahan
yang pertama ataupun yang kedua, ‘kemenangan’ dilihat masih tidak memihak
kepada PAS. Justeru, penentuan sama ada PAS berupaya menambah bilangan kerusi
atau tidak, adalah terserah kepada kemampuan dan kepandaian pimpinan tertinggi
PAS sendiri berbincang bersama-sama PKR dan DAP.
Risau3: Mampukah PAS tawan kubu kuat BN?
Topik yang sama telah
saya kupas dengan panjang lebar di entri
bertajuk: “checklist penting untuk PRU13”.
Untuk merealisasikan PGU dan untuk
menerapkan nilai-nilai Islam yang syumul ke dalam sistem pemerintahan kerajaan
PR, memerlukan PAS tampil sebagai “pemimpin perubahan”, atau istilah politiknya,
pihak yang dominan (ada keterampilan untuk memimpin PR).
Sekalipun
dilihat ramai pihak bahawa pengaruh PAS agak menonjol di 3 negeri iaitu
Kelantan, Kedah dan ‘mungkin’ Terengganu.
Nota: Itupun belum mengambilkira berapa jumlah sebenar
undi protes yang diberi kepada calon PAS oleh penyokong parti lawan yang ‘patah
hati’ dengan parti mereka pada PRU yang lepas). Ini yang dimaksudkan undi yang
diberi bukan kerana sokong PAS, tetapi kerana kecewa dengan parti sendiri, dan
jika parti mereka ‘berubah jadi baik’, tidak mustahil yang protes akan kembali
ke pangkuan jalan.
Matematik mudahnya,
3 negeri ini hanya memberikan 37 kerusi maksimum
untuk dipertandingkan (Kelantan=14, Kedah=15 dan Terengganu=8). Sedangkan dari
jumlah 37 kerusi tersebut PAS hanya mampu menang 16 kerusi (43%) iaitu (Kelantan=9,
Kedah=6 dan Terengganu=1). Kemenangan ini mungkin sekali disokong oleh undi
protes para penyokong parti lawan.
Bermaksud, di 3
negeri inipun pengaruh PAS belum cukup kuat untuk membolehkannya menyapu bersih
kesemua 37 kerusi.
Dari sudut yang
lain pula, kita perlu perhatikan parti manakah yang menguasai 56 kerusi di Sabah dan Sarawak pada
PRU12 lepas? BN telah menang 54 daripada 56 kerusi (Sabah=24 dan Sarawak=30)
atau 96% kemenangan.
Namun, ada
kemungkinan pada PRU13 nanti DAP mampu untuk menambah bilangan kerusinya di
kawasan-kawasan bandar di Sabah dan Sarawak. Ya, DAP, bukannya PAS. Memang
kemenangan yang diambilkira nanti adalah kemenangan PR, tetapi seperti UMNO di
dalam BN, tentunya ada yang kena jadi ‘Ketua’.
Sekali lagi saya
tegaskan, untuk PAS boleh memberi impak yang sebenar-benarnya terhadap dasar
perjuangan parti (menegakkan nilai-nilai pemerintahan yang berteraskan Al-Qur’an
dan Sunnah) maka selepas mengambilalih Putrayajaya, PAS tiada pilihan, melainkan
dipastikan memiliki bilangan MP paling ramai di dalam kerajaan pimpinan PR.
Soalan saya, bagaimana
PAS nak menyediakan MP teramai seandainya PAS tidak bertanding paling banyak
kerusi?
TERSERAH KEPADA KEBIJAKSANAAN PUCUK PIMPINAN PAS
PAS tidak boleh
memberikan harapan yang tidak mampu direalisasikan kepada ahlinya. Mana mungkin
untuk PAS mengetengahkan agenda Islam yang menjadi wadah perjuangannya ke dalam
kerangka pentadbiran baru kerajaan PR selepas PRU13 (andai menang), sekiranya
PAS hanya memiliki 30% wakilnya dalam kerajaan PR?
Lupakan dahulu
hasrat untuk menyahut cabaran PGU.
Mana mungkin di
dalam amalan demokrasi kita, kejutan (yang minoriti boleh jadi ketua). Ini agak
mustahil untuk berlaku. Tidak mungkin DAP mahupun PKR yang mempunyai lebih
ramai MP hanya akan berpeluk tubuh dan ‘bermain politik’ dengan PAS.
Sebagai rakyat
biasa, tulisan ini tidak membawa apa-apa makna pun. Sekadar mengisi minat dan
masa lapang saya yang sedikit ini.
Cuma alangkah
baiknya jika pucuk pimpinan PAS dapat bertegas dan mendesak agar diberikan
ruang untuk PAS bertanding di lebih banyak kerusi. Tetapi di mana tempat PAS
boleh tambah kerusinya? Hitunglah walau macam mana cara sekalipun agar PAS
dapat menambah bilangan kerusinya.
Saya berharap
sekiranya PR menang, harapnya PAS dapat muncul sebagai pemimpin yang memimpin, dan
bukannya pemimpin yang dipimpin (menjadi boneka mana-mana pihak).
Iyalah, semua penerangan
ini hanya berkaitan dengan isu pembahagian kerusi di antara PAS, DAP dan PKR, belum
lagi disentuh berkenaan cita-cita PAS melaksanakan undang-undang Hudud.
Untuk Hudud, selain kuasa politik, memerlukan
gerakan massa di kalangan umat Islam supaya terbinanya suasana yang kondusif
sebelum Hudud boleh dilaksanakan. Masyarakatnya terdidik untuk berkelakuan baik
dan memahami keluasan Islam dan luasnya rahmat Allah sehingga mengatasi
murkaNya.
Dan kalau PAS
nak buat Hudud, maka PAS perlu ada kuasa, perlu ada suara perwakilan yang
teramai untuk membuat keputusan secara demokrasi. Seperti yang telah saya tanya
sebelum ini: bagaimana mungkin untuk PAS nak menang
paling banyak, andainya PAS tidak bertanding kerusi paling banyak?
Sekian
NOTA KAKI:
- Strategi DAP pula dilihat mampu
membuka ruang buat mereka menambah kerusi, dengan mengetengahkan
calon-calon Melayu bertanding di kawasan Melayu, dan yang lain kekal di
kawasan majoriti Cina. Saya tidak pasti dasar PAS, apakah agama calon (mesti Islam dan yang Sunni)
juga dijadikan salah satu syarat? Bagaimana pula dengan Kelab Penyokong PAS yang bukan Islam, cukupkah syarat menjadi calon?
1 comment:
Pandangan tuan nampak agak lebih adil dan realistik.
Secara jujurnya, saya tidak meyakini PAS boleh mendominasi PR, biarpun saya dahulunya mengundi parti ini pada 2008.
Pada saya, BN ada kelemahan dalam pentadbiran terutamanya semasa era Pak Lah, dan Najib harus menerima kesan yang bukan sedikit.
Bagaimanapun, BN masih bertunjang kepada keharmonian dan persefahaman yang tiada pada Pakatan Rakyat.
Post a Comment