Petikan buku: Kamal Amir (2010). Tengku Razaleigh Hamzah: Rahsia Yang Terpendam. Selangor: Putrajaya Bumi Communication. pp. 219 - 222.
1) Hubungan kemesraan antara Tengku Razaleigh (KuLi) dan Anwar Ibrahim bukan sekadar terjalin sewaktu beliau kembali menyertai Umno seusai pembubaran parti Semangat 46, sebaliknya kedua mereka terkadang dilihat bagaikan anak dengan bapa.
2) Malahan kedua ibubapa Anwar Ibrahim amat menghormati KuLi sewaktu Dato' Ibrahim memegang jawatan setiausaha Parlimen di Kementerian Pembangunan Luar Bandar di era Tun Hussein Onn.
3) "Saya amat rapat dengan keluarga Anwar, malahan ibunya yang lebih mesra dipanggil Mak Yan begitu menghormati saya. Ini jelas terbukti semasa saya bertemunya untuk memujuk agar Anwar Ibrahim menyertai Umno sebagaimana yang telah diamanahkan kepada saya oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di London".
4) Allahyarham Tun Razak berpesan kepada saya supaya mencari ikhtiar membawa masuk Anwar Ibrahim menyertai Umno kerana menurut Tun Razak, selain dari memiliki bakat kepimpinan serta pengaruh yang kuat di kalangan anak muda melalui Angkatan Belia Islam (ABIM), Tun Razak turut merasakan dengan kemasukan Anwar menyertai Umno, ia bakal memperkukuhkan lagi pengaruh Umno secara amnya.
5) "Allahyarham khuatir seandainya Anwar Ibrahim menyertai Pas kerana sudah tentu ianya bakal menyulitkan Umno mengembangkan pengaruhnya di kalangan anak muda yang ketika itu semakin giat melibatkan diri dengan beberapa gerakan berlandaskan kepada Islam. Berkali-kali Tun Razak meminta saya mencari upaya untuk membawa Anwar Ibrahim ke dalam Umno".
6) Walaupun saya mengenali Anwar Ibrahim, namun perhubungan kami ketika itu tidaklah begitu akrab sebagaimana hubungannya dengan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor yang menjadi Presiden Pas.
7) Untuk itu, saya menemui Mak Yan (ibu Anwar) agar memujuknya menyertai Umno.
8) Hasil pertemuan di rumahnya di Cherok Tok Koon, Permatang Pauh, Pulau Pinang, pada satu hari Dato' Ibrahim Ali telah membawanya datang bertemu saya di Kementerian Kewangan.
9) Masih saya ingat lagi pada satu hari beliau datang dengan ditemani oleh Ibrahim Ali yang merupakan rakannya semasa dalam gerakan demonstrasi pelajar serta di Pusat Tahanan Kemunting.
10) Kami berbincang menyentuh pelbagai isu politik dan saya menyatakan kepadanya supaya bersetuju dengan permintaan Allahyarham Tun Razak agar beliau menyertai Umno.
11) Pada mulanya Anwar melahirkan keengganannya dengan alasan beliau lebih berminat meneruskan kegiatannya dalam gerakan Islam serta menyatakan bahawa jiwanya lebih terpanggil untuk bergiat dalam sebarang kegiatan bercorak Islam.
12) Kebetulan pula waktu itu saya sedang merancang penubuhan Bank Islam. Untuk itu saya nyatakan kepada Anwar, jika beliau benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam maka saya bersedia menyerahkan projek Bank islam kepadanya.
13) Alhamdulillah, pertemuan singkat kami petang itu berakhir dengan kesediannya mengkaji kertas kerja projek Bank Islam dan bersetuju menyertai Umno.
14) Menceritakan kisah penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam Umno, KuLi menyatakan pada peringkat awalnya selepas berjaya memujuk beliau menjadi ahli Umno, tanpa diduga olehnya hasrat tersebut di peringkat awal tidak direstui oleh Dr. Mahathir.
15) "Terus terang saya katakan, Dr. Mahathir tidak berminat membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam Umno" jelas KuLi lagi.
16) Namun selepas saya menjelaskan bahawa itu merupakan amanat Tun Razak dan setelah berkali-kali saya menyakinkan kepadanya bahawa dengan kehadiran Anwar bakal memberi untung kepada Umno kerana ketika itu kebangkitan Islam sedang melanda seluruh negara, akhirnya beliau bersetuju.
17) Dengan menghadapi beberapa masalah serta dilakukan berbagai usaha, akhirnya saya berjaya juga membawa masuk Anwar ke dalam Umno.
18) Bagaimanapun, setelah beliau mendapat tempat dan memenangi jawatan Ketua Pemuda, seterusnya melangkah ke jawatan Naib Presiden, saya dapati Anwar sudah menjadi "anak emas" kepada Dr. Mahathir.
19) Bagaimanapun telahan saya menjadi kenyataan berhubung jalinan kesepakatan mereka hanyalah bersifat sementara apabila pada tahun 1997, wujud persengketaan yang berakhir dengan penyingkiran Anwar dari Umno serta dihadapkan ke mahkamah di atas tuduhan yang sebegitu mengaibkan.
20) "Mula-mula tidak suka, kemudian menjadi sayang, akhirnya Anwar Ibrahim terpaksa merengkok ke dalam penjara Sungai Buloh. Begitulah kisah seorang pemimpin yang diamanatkan oleh Allahyarham Tun Razak kepada saya untuk membimbingnya", ujar Tengku Razaleigh lagi.
Penutup
"Saya yakin kalaupun rakyat mungkin memihak kepada pembangkang, tindakan mereka bukanlah kerana membenci Umno atau Barisan Nasional, sebaliknya kejengkelan pemimpin dengan percaturan politik membina kekayaan peribadi, merompak harta rakyat, membuatkan mereka menolak calon-calon dari Barisan Nasional" - Tengku Razaleigh Hamzah.
No comments:
Post a Comment