Sunday, 12 June 2011

Komen pendek: Puad cabar PAS gugur perkataan Islam pada nama parti

Pertamanya, berita berkaitan boleh anda baca di sini : Puad cabar PAS gugur perkataan Islam pada nama parti

Komen pendek:

1) Maaf katalah, saya sifatkan pernyataan ini sebagai satu lagi tindakan kurang cerdik, dilontarkan oleh seorang pemimpin yang berpendidikan tinggi dalam kerajaan (Timbalan Menteri Pelajaran jika tidak salah saya).

2) Gagasan negara berkebajikan itu tidaklah boleh dijadikan asas untuk memaksa supaya Pas menggugurkan perkataan "Islam" pada organisasi parti tersebut. Ianya samalah juga dengan gagasan 1Malaysia, yang dicetus dan dipromosikan oleh Presiden Umno, tidaklah sampai menggugurkan nama Melayu dan diganti Malaysia pada parti Umno itu sendiri.

3) Sebagai generasi dan pengundi muda, saya berpendapat perubahan yang mengambil tempat di dalam Pas, sekalipun belum terbukti keberkesanannya, berpotensi untuk menawarkan aroma politik baru yang ditunggu-tunggu ramai.

4) Iyalah, setelah sekian lama politik negara kita diselubungi dengan permainan dubur, video lucah dan bermacam lagi yang seangkatan dengannya, yang tidak banyak membantu menyelesaikan masalah sebenar iaitu permasalahan rakyat.

5) Sebagai parti yang cukup matang, cukup dewasa, Umno, pada hemat saya wajar mengalu-alukan perubahan atau transformasi yang dibuat oleh Pas.

6) Mana tidaknya, daripada sebuah parti yang berzaman lagi dilabel sebagai konservatif, ortodok, jumud, fanatik, akhirnya terbukti boleh menghadirkan angin perubahan di dalam organisasi dan kepimpinannya.

7) Dahulunya Pas dilabel konservatif, serta dikritik kerana ditunjangi golongan Ulama', tetapi setelah ia mulai terbuka dengan menggabungkan pemimpin dari golongan Ulama', profesional dan aktivis, Pas masih berterusan dikritik oleh Umno.

8) Penentangan (atau protes) yang ditunjukkan oleh para pemimpin Umno terhadap isu negara kebajikan ini jika tidak dinasihatkan supaya dihentikan pada satu tahap, akan melondehkan sikap sebenar sebahagian mereka di mata rakyat bahawasanya mereka (pemimpin Umno) adalah hipokrit dan enggan menerima kenyataan.

9) Umno perlu dibantu dan tidak boleh dibiar terus berada di dalam penafian. Menyalahkan pihak lain bagi menutup kelemahan sendiri tidak memanfaatkan Umno di mata rakyat.

10) Waktu akan terus berlalu meninggalkan kita sedang aspirasi rakyat, golongan muda dan intelek juga menuntut perubahan.

11) Aroma politik yang baru kini nampaknya dibawa Pas melalui tawaran gagasan Negara Berkebajikan, bersama Buku Jingga sebagai sebahagian pakej utamanya.

12) Bagi rakyat pula, kenaikan kos hidup termasuklah harga gula, gas, minyak, tol, etc. adalah realiti. Rasuah adalah realiti. Pengurusan dan perbelanjaan wang pembayar cukai adalah realiti. Perjanjian tenaga dengan IPP yang dipersoal ramai juga adalah realiti.

13) Umno, jika mahu ke hadapan, tidak boleh menang dengan hanya mengkritik langkah-langkah proaktif yang sedang dan akan diambil Pas khasnya dan PR amnya.

14) Umno mesti tampil, jika tidak menerusi tawaran baru sebagaimana Pas, boleh membuktikan (di dalam baki masa yang ada sebelum PRU-13 ini) bahawasanya parti tunjang Orang Melayu ini benar-benar mampu mentransformasikan agenda berkebajikan "yang sebenar" kepada Orang Melayu khasnya, dan rakyat Malaysia keseluruhannya. 

15) "Tiket mudah" iaitu mainan isu perkauman dan agama hendaklah ditinggalkan kerana dikhuatiri sebarang konflik agama dan kaum dengan mudah boleh menjadi bisa/racun, yang akhirnya tidak terubat dek Umno sendiri kelak.

Sekian.

------------

Nota: penulisan ini saya cetuskan hasil rumusan pembacaan buku KuLi "Rahsia yang terpendam" serta daripada komen Dr MAZA di the Malaysia Insider berkaitan isu yang sama.

No comments: