Friday, 10 June 2011

Cetak Rompak: "Lanun" juga yang cerdik

Apa kes? Sila teliti laporan di bawah (sumber - klik).

Kegiatan cetak rompak kaut keuntungan daripada Astro First

2011/06/10

KUCHING: Langkah stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan Astro First bagi pelanggannya menonton filem tempatan terkini tanpa perlu ke pawagam dilihat dimanfaatkan sepenuhnya industri cetak rompak. 

Tinjauan di sini mendapati VCD dan DVD filem tempatan terbaru seperti "Kongsi" dan "Seru" yang masih ditayangkan di pawagam dan Astro First sudah memenuhi pasaran.

Dijual pada harga serendah RM5 hingga RM6 bergantung kepada pakej dan juga keupayaan pembeli berunding, "lanun" cetak rompak ini tanpa silu mengaut keuntungan berkali ganda secara mudah.

"Ini nilai untuk wang anda lah kawan, kerana kualiti audio dan visualnya bagus dan masih ditayangkan di pawagam," kata seorang penjual VCD dan DVD cetak rompak ketika ditanya sama ada filem itu dirakam menerusi Astro First. 

Diuar-uar sebagai "yang pertama seumpamanya", Astro First dilancarkan pada 13 Januari lalu dan mengenakan caj RM15 bagi sebuah filem yang disiarkan menerusi saluran 480 dalam tempoh dua minggu filem itu ditayangkan di pawagam. 

Astro First dikatakan dapat membantu pelanggannya berjimat kerana sekeping tiket untuk menonton wayang di pawagam boleh mencecah belasan ringgit. 

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, ketika dihubungi berkata penjualan DVD dan VCD sedemikian melanggar Akta Hakcipta 1987. 

Bagaimanapun, katanya, usaha mengesan dalang kegiatan itu memerlukan kerjasama semua pihak. 

"Terserah kepada penerbit filem, pengedar dan Astro untuk mengambil langkah seterusnya dan adalah lebih baik jika mereka membuat laporan rasmi bagi memudahkan kami mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA

------------------

Nota kaki:

- Kata yang jual: Bukan kami (lanun) tidak tahu yang perkara ini menyalahi undang-undang, kami cuma cari makan bang!

- Kata yang beli: Bukan kami (pembeli) tidak tahu yang membeli DVD cetak rompak ni salah di sisi undang-undang, cuma ini yang termampu (juga boleh tengok banyak kali...)

No comments: