Thursday 9 June 2011

Posting - Jangan buat tajuk yang memakan diri

Pertama sekali, posting ini dibuat adalah sebagai peringatan buat diri sendiri.

Bukan mengumpat

Kadang-kala terasa geli hati juga membaca posting-posting yang dibuat di blog orang lain, terutamanya oleh penulis blog yang suka menggunakan tajuk-tajuk yang "macam gempak".

Saya selalunya akan bersangka baik. Yelah, mungkin hamba Allah ini baru nak memulakan kerjaya sebagai bloggers, atau ingin menaikkan rating blog-nya, atau memang ianya tidak disengajakan/disengajakan, bertujuan, hanya si penulis sahaja yang tahu.

Terdapat beberapa contoh artikel yang memilih tajuk yang "macam gempak" ini boleh anda dapati dengan melayari berbagai webblog.

Seperti yang dinyatakan di awal posting, bukanlah nawaitu saya untuk mengumpat atau menghakimi sesiapa, cuma sekadar mengingatkan diri dan rakan bloggers yang kita ini kadang-kala terlupa ini akan pepatah: "kerana pulut santan binasa".

Penggunaan "binasa" pada posting ini bukanlah menggambarkan suatu bentuk sumpahan, tetapi lebih menjurus kepada akibat daripada keterlupaan diri berkarya sehingga tanpa sedar boleh membawa kepada kerosakan imej sendiri. 

Kena cermat

Kadang-kala (bukan selalu), dapat kita baca, artikel-artikel yang mana isinya (penulisan) tidaklah "segempak" tajuk yang digunapakai.

Dengan erti kata yang lain, kerana kurang cermat memilih tajuk, sesuatu posting itu akhirnya terbukti telah memakan diri si penulis (orang Inggeris kata "backfire").

Pemilihan tajuk yang saya sifatkan boleh "mengelirukan" akhirnya telah "berjaya" mengelirukan para pembaca, sehingga maksud atau mesej sebenar si penulis gagal diterima oleh pembaca.

Pembaca-pembaca yang terkeliru ini kemudiannya akan mengemukakan komen masing-masing (kalau sesuatu posting itu membenarkan komen dibuat). 

Respon lazimnya bermula sebagai suatu platform perbincangan, namun dek kekeliruan, agak gemar juga bertukar menjadi medan serang-menyerang.

Dek kerana akhirnya si penulis itu sendiri teruk dihentam, terpaksalah dia menerbitkan artikel susulan (part 2, part 3, bla-bla-bla) bagi menjawab "kekeliruan" yang dia sendiri munculkan.

Memang geli hati.

Itulah serba sedikit, dek kerana keterlupaan (barangkali), kita tidak cermat di dalam menulis dan menerbitkan artikel.

Kalau di blog sendiri, tidaklah mengapa kerana kita sendiri yang jadi "admin", makanya apabila ada sesuatu yang kita rasa akan buat kita malu sebalik bangun dari tidur keesokan harinya, maka dengan mudah sahaja boleh kita "edit" posting yang telah diterbitkan sebelumnya.

Tetapi setelah ia diterbit atau dimuat-turun atau di "copy n paste" sebagai imej di blog orang lain, tiada "undo" bagi kita, melainkan menyerahkan nasib artikel itu di tangan para pembaca yang lainnya.

Sebagai penutup, seeloknya, permudahkanlah dan pilihlah tajuk posting yang tepat kepada intipati apa yang ingin disampaikan (orang Inggeris kata, yang straight to the point).

Janganlah sampai kita dah terhantuk baru nak tengadah dek kerana mengabaikan peringatan kerana pulut santan binasa, iaitu kerana salah pilih tajuk, akhirnya memakan diri pula.

Sekian.

No comments: