Tuesday, 14 June 2011

Nota kelas agama: Solat Jamak - part 1

Sebagai lanjutan posting sebelum ini yang bertajuk "meng-Qasarkan solat dalam perjalanan", kali ini saya ingin penyambung perbincangan mengenai "Solat Jamak".

Di bawah, saya senaraikan antara persoalan/kekeliruan yang lazimnya timbul apabila memperkatakan mengenai Solat Jamak, iaitu:

1) Solat jamak hanya boleh dilakukan ketika bermusafir. - akan dijawab pada posting ini (PART 1)

2) Solat jamak mesti dilakukan secara pakej iaitu bersama-sama solat qasar.

3) Apabila di dalam pertanyaan yang menyebut "menjamakkan solat", yang dimaksudkan penanya adalah melakukan solat jamak & qasar. Bukannya solat jamak sahaja.

4) Tidak melakukan solat jamak kerana tidak tahu lafaz niatnya.

5) Tidak boleh melakukan solat jamak melebihi tempoh 3 hari atau 4 hari (kerana terkeliru antara solat jamak dan solat qasar).

Solat Qasar - imbasan ringkas

Sebelum kita melihat pengertian solat jamak, eloklah rasanya kita imbas kembali sedikit mengenai solat qasar.

a) Pengertian ringkas solat secara Qasar adalah memendekkan atau mengurangkan bilangan rakaat solat bagi solat fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat (4 => 2).

b) Boleh dilakukan untuk solat Zuhur, 'Asar dan 'Isya'.

c) Hadith berkaitan solat qasar:

Abdullah bin 'Umar r.a berkata:

"Aku pernah menemani Rasulullah SAW dalam perjalanannya dan baginda tidak pernah mengerjakan solat lebih dari 2 rakaat (bagi setiap solat). Demikian juga dengan Abu Bakar, 'Umar dan 'Usman r.anhum. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Orang-Orang Yang Musafir, no. 689).


Berkenalan dengan Solat Jamak

Solat Jamak bererti menghimpunkan dua solat dalam satu waktu/masa. (Lihat Figh dan Perundangan Islam oleh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, Jilid 2, ms. 336).

Begitupun, perlu diingatkan bahawa solat jamak hanya dibolehkan antara:

1) Zuhur + Asar (jika dikerjakan dalam waktu Zuhur diniatkan Taqdim, dan jika dikerjakan dalam waktu Asar diniatkan Takhir).

2) Maghrib + Isya' (jika dikerjakan dalam waktu Maghrib diniatkan Taqdim, dan jika dikerjakan dalam waktu Isya' diniatkan Takhir).

Selain daripada yang dinyatakan di atas, tidak dibolehkan jamak kerana tiada dalil yang membenarkannya.

Perbuatan menjamakkan solat (bersekali qasar kah?) untuk waktu Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya' dibenarkan berpandukan hadith berikut:

Adalah Rasulullah SAW dalam peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, baginda mengakhirkan solat Zuhur sehingga dikumpulkan solat zuhur kepada solat Asar dan lalu baginda mendirikan kedua-duanya serentak (Jamak Takhir).

Apabila baginda hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka baginda bersolat Zuhur dan Asar serentak (dalam waktu Zuhur) dan kemudian baginda-pun berangkat (Jamak Taqdim).

Dan apabila baginda berangkat selepas waktu Maghrib maka baginda mengawalkan solat Isya-nya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib) (Jamak Taqdim).

- Dikeluarkan Abu Daud, at-Tirmizi, ad-Darimi, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai Sahih oleh Al-Albani di dalam Silsilah al-Hadits as-Salihah. Hadith no: 164.

Solat Jamak bukan dalam keadaan bermusafir

Berbeza dengan solat qasar, bermusafir bukanlah faktor penentu untuk melakukan solat jamak.

Ini kerana Rasulullah SAW sendiri pernah mengerjakan solat jamak ketika di Madinah. Perbuatan ini telah disebutkan di dalam sebuah hadith dari Ibn Abbas:

"Rasulullah SAW melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir". (Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim. Hadith no. 705).

Imam al-Nawawi (salah seorang Imam Besar di dalam mashab Syafi'i) pula telah berkata:

"Segolongan ulamak besar membenarkan jamak di dalam keadaan tidak musafir, kerana ada keperluan, asalkan tidak dijadikan adat (kebiasaan) yang tetap. Demikianlah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari ashab Malik. Diriwayatkan juga oleh al-Khathabi dari al-Qaffal al-Kabir dari kalangan pengikut as-Syafi'i". (al-Majmu', jilid 4, ms. 264).

Kesimpulannya, syarat bagi melakukan solat jamak bukanlah terbatas kepada faktor musafir sahaja.

Syarat-syarat yang lain, yang akan diterangkan secara terperinci, pada bahagian-bahagian seterusnya juga perlu difahami di dalam perlaksanaan solat jamak.

--------------------

- bersambung di bahagian 2 (menjawab kekeliruan no. 2 dan syarat-syarat yang membolehkan solat jamak dilaksanakan).

Moga beroleh manfaat.

Kredit kepada Ustaz.

No comments: