Memetik artikel terbaharu Dr MAZA:
Ghuraba` atau asing itu ada dua bentuk.
Pertama; asing di
sudut jasad, seperti mana seseorang yang pergi ke tempat baru yang dia
tidak dikenali. Maka, dia akan berasa terasing dalam masyarakat yang
baru, atau orang melihatnya asing kerana baru hadir. Namun, itu senang
untuk diselesaikan. Sedikit pergaulan mesra, dan pandai mencari kawan,
keadaan mungkin tidak asing lagi.
Kedua; asing di sudut ruh dan pemikiran. Sekalipun seseorang itu lama
atau anak jati masyarakatnya, tetapi dia mungkin dianggap asing
disebabkan pemikiran yang berbeza dengan mereka, atau sikap yang asing
dari kebiasaan masyarakatnya. Dia terpencil kerana pendiriannya. Hal ini
menyebabkan dia akan dipulau, dikecam, dihina dan ditolak. Tidak dapat
diubah keadaan ini, melainkan dia mengubah prinsipnya, atau dia berjaya
mengubah persepsi masyarakatnya. Itu merupakan tanggungjawab yang berat.
Apatah lagi dalam masyarakat akhir zaman, di mana Nabi s.a.w bersabda:
“Islam itu bermulanya asing, dan akan kembali sebagai asing, maka beruntung mereka yang ghuraba` (yang asing)”. Ditanya Nabi s.a.w: “Siapakah ghuraba`?”. Jawab baginda: “Serpihan dari kabilah”. (Riwayat al-Baghawi, sanad sahih).
Maksudnya, golongan yang asing dan terpencil dari kelompok mereka,
samada kabilah keturunan atau kumpulan-kumpulan yang wujud dalam dunia
hari ini.
Biasanya, setiap puak mahu kita mengiyakan sahaja apa yang mereka
kata. Jika mereka bangsa, mereka mahu samada buruk atau baik, kita
sokong semua tindakan bangsa atau kabilah kita. Jika amalan tradisi yang
bidaah dalam masyakat, disuruh terima sekalipun menyanggahi kitab dan
sunnah. Kalau parti politik mereka mahu supaya kita tunduk kepada mereka
samada yang benar atau yang salah. Demikian kumpulan dan organisasi dan
seumpamanya.
Bagi mereka, jika tidak tunduk sepenuh itu tidak ada pendirian.
Menyokong sebahagian perkara, berbeza dalam beberapa perkara dianggap
berpendirian tidak teguh, kerana paksi mereka itu adalah kumpulan atau
bangsa. Namun, golongan ghuraba’, paksi mereka adalah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Mereka itu ‘Allah centric’, berpaksikan Allah dalam keputusan, sekalipun terpaksa berkorban jawatan, nama, rakan dan kedudukan.
Amatlah sukar untk hidup sebagai ghuraba`. Tekanan perasaan
dan jiwa akan melanda. Mungkin mudah untuk diceritakan, tetapi sukar
untuk dilaksanakan. Justeru itu, mereka dijanjikan syurga. Janji Nabi
s.a.w: ‘Beruntunglah ghuraba’. Golongan ghuraba’ bukan
asing dinisbahkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah, tetapi asing
dinisbah kepada keadaan sekeliling yang berbeza dengan kedua sumber
agung itu. Namun, apakah pilihan yang ada, sedangkan Allah mengingatkan
Nabi s.a.w: (maksudnya)
“Jika engkau taat kepada kebanyakan mereka di bumi ini, nescaya mereka menyesatkan engku dari jalan Allah” (Surah al-An’am, 116).
Ketika ramai manusia berlari mencari keredhaan makhluk, golongan ghuraba’, berlari mencari keredhaan Allah, sekalipun dimusuhi makhluk. Firman (maksudnya):
“Maka larilah kepada Allah” (Surah al-Zariyyat, 50).
Hidup sebagai ghuraba’ bukanlah mudah, namun kadang-kala
kita terpaksa mengharunginya. Ini menambahkan tawakkal, keikhlasan,
kekhusyukan dan segala jalan yang mendampingkan kepada Allah.
Ketika
dunia enggan berdampingan, tiada teman melainkan Tuhan al-Rahman dan
rakan-rakan yang menjalani kehidupan sebagai ghuraba’. Di situlah limpahan kemanisan perjuangan.
Baca artikel penuh di sini: Cabaran Menjadi Golongan Ghuraba'
No comments:
Post a Comment