Monday 30 August 2010

Budok yang lapar nok mapuh!

Amaran: jika anda seorang yang gugup/lemah semangat, dinasihatkan tidak meneruskan tontonan.

Sesungguhnya aksi yang dipaparkan ini bukan sahaja boleh membunuh diri sendiri dan penumpang yang ikut sekali, tetapi boleh meragut nyawa orang yang tidak berdosa.

Saturday 28 August 2010

Isu kemapanan: kurangkan pembuangan yang tidak wajar

Malam Rabu yang lalu, saya berkesempatan menonton satu rancangan yang bertajuk "The Great British Waste Menu" di saluran BBC1.

Rancangan bercorak kulinari/seni masakan ini tampil dengan konsep serta kelainannya tersendiri di mana 4 orang chef ditugaskan untuk menyediakan menu/masakan yang bertaraf restoran, daripada bahan yang bakal menuju ke tempat pelupusan sampah.

Jangan salah faham, rancangan ini bukan menggunakan 'sampah' (garbage food), tetapi bahan yang telah dibuang, walhal tidak patut dibuang (wasted food).

Sebagai contoh, sebanyak 30,000 kobis telah dibuang sebelum sempat diangkat naik lori untuk dijual di pasar-pasarraya besar di UK, hanya disebabkan saiz kobis tersebut tidak menepati piawaian yang dikehendaki.

Bayangkan jika 30,000 kobis 'kontot' ini tidak disampahkan, tetapi diguna untuk memasak, berapa banyak keperluan isi rumah dapat dipenuhi?

Inilah salah satu pengajaran yang ingin ditonjolkan melalui rancangan ini, di mana bahan-bahan yang dibazirkan di pasar-pasar (seperti buah yang belum rosak tetapi melepasi tempoh segar), dapat 'digunasemula'. Lihatlah di akhir rancangan ini bagaimana menu yang bertaraf restoran dihasilkan.

Mungkin kempen sebegini tidak akan diendahkan oleh pengusaha pasaraya, mahupun penjual di pasar, yang ingin meneruskan piawaian yang digunapakai Tetapi sekurang-kurangnya sikap yang mapan sebegini sedikit sebanyak dapat menjadikan kita seorang yang lebih cermat dan menghargai makanan dan mengurangkan pembaziran yang tidak perlu.

Chef sedang menyelongkar tong sampah di pasar sayur di London

Sayur yang diambil dari tong dari pasar tadi kemudiannya dimasak

Boleh taip tajuk rancangan ini di Google - lihat komen orang

Sinopsis rancangan

Terung yang diselamatkan daripada tempat pelupusan - ke pinggan di restoran

4 orang hakim akan menilai

Lagi aksi selongkar tong



Saya tidak pasti sama ada anda boleh aksess rancangan ini dari Malaysia. Tetapi boleh cuba klik di bawah ini untuk melihat siaran ulangan di BBCiPlayer (macam TV3 online).

KLIK

Wassalam

La Liga: ini baru kualiti!

Hujung minggu ini, bermulalah sepak mula La Liga dengan 20 pasukan bakal berentap bagi merebut trofi kejuaraan - atau lebih tepat lagi 2 pasukan yang akan berentap untuk muncul juara, dan 18 pasukan lagi kekal sebagai pencukup korum. Siapa yang akan berjaya? Dan bagaimana? - Sport Magazine, p.22.

(nota: sumber pada foto, klik foto untuk besarkan, kalau tak cukup besar, boleh 'zoom', TQ)





Turut diperkatakan juga adalah persaingan di antara kedua pengurus Real dan Barca - "Jose Mario dos Santos Felix Mourinho gunning for Josep 'Pep' Giardiola i Sala".



La Liga: ini baru kualiti...ke kuali...errr...

Petikan Minggu Ini

Dok pahang, tanye!
Dok tanye, pahang!

(Tidak faham, bertanya! Tidak bertanya, (dianggap) faham!)

-Ustaz Azhar Idrus

Friday 27 August 2010

Kelainan Puasa & Tarawih Tahun Ini

Alhamdulillah, Allah yang Maha Penyayang telah memberikan peluang untuk saya sekali lagi menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini.

Alangkah beruntungnya saya (dan anda) dengan nikmat kurniaan Allah ini, di kala ada di kalangan saudara seagama yang lain, tidak kiralah kaum keluarga, sahabat-handai mahupun jiran tetangga kita, telah dijemput pulang oleh Allah sebelum sempat mengecap nikmat Ramadhan.

Syukur yang tidak terhingga juga kerana kedatangan Ramadhan tahun ini dipermudahkan Allah, tidak sebagaimana mencabarnya keadaan saudara seagama kita yang kini terus ditimpa musibah terutama mangsa banjir di Pakistan sana.
Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini sedikit pembaharuan (jika tidak penambahbaikan) telah dan sedang dibuat - dengan berusaha lebih kerap bersolat Isya dan Terawih di masjid.

Biarpun tidaklah mampu untuk keluar setiap malam, sekurang-kurangnya tahun ini lebih kerap berbanding tahun lepas. (Waktu malam dah mula sejuk, macam permulaan winter)

Cabarannya bukan kecil memandangkan tempoh berpuasa tahun ini agak panjang (bersahur jam 4am dan berbuka 8pm). Waktu Isya pula sekitar jam 9.45pm.

Tahun ini saya memilih Masjid Madina di Stanley Road, Iffley, Oxford untuk solat berjemaah. Rumah teres yang diubahsuai menjadi masjid ini terletak di dalam kawasan perumahan - saiznya agak kecil jika dibandingkan dengan Masjid di Manzil Way.

Apapun, kehadiran jemaah pada pemerhatian saya tidak pernah surut, baik di awal Ramadhan, dan kini setelah 17 hari berlalu, masih penuh dan sesak. Jika anda sedikit terlewat, sama ada solat di tingkat atas, atau di laluan masuk ke masjid.

Inilah, pada saya, perbezaan ketara dapat diperhatikan setelah berpuluh tahun saya bersolat terawih di tanah air.

Bukanlah tidak bersyukur dengan apa yang dialami di tanah air, sekadar ingin berkongsi apa yang lebih baik di sini, agar dijadikan pedoman kita semua.

Jika di kampung saya dulu-dulu, bulan puasa ni memang seronok. Waktu malamnya ke masjid bersolat terawih. Seminggu yang awal tu adalah dalam 4 baris/saf makmunnya. Budak-budak pun ramai datang.

Masuk minggu ke-2, masjid menerima 'diskaun' dari segi kedatangan jemaah, adalah tinggal 2 saf. Budak-budak dah tak duduk dalam masjid, ramai yang memenuhkan tangga masjid saja.

Masuk minggu yang akhir, adalah 1 saf (kalau tidak setengah saf). Budak-budak yang datang pula ramai nak bermain mercun saja.

Ini kerana masyarakat kita (jujur saya kata) bukan lagi bersemangat nak kejar ganjaran besar yang Allah janjikan, terutama di akhir Ramadhan (10 yang akhir, dengan malam Lailatul-Qadar, etc.) tetapi makin sibuk dan semangat nak sambut raya.

Di sini berbeza, keadaannya lebih tenang. Makin di penghujung Ramadhan, semakin sesak masjidnya. Alangkah terbukanya mata dan minda saya setelah memerhatikan hal ini. (Berbeza dengan senario di tanah air)

Memang tidak dinafikan solat terawih adalah sunat sahaja, bukannya tuntutan yang wajib. (biarpun amalan sunat dijanjikan pahala sebagaimana amalan wajib di bulan yang mulia ini) Namun, tidak dapat tidak, solat fardhu (Isya) digalakkan kita berjemaah.

Makanya, alang-alang berjemaah Isya tu, eloklah tunggu sebentar dalam 30 minit mengerjakan 8 rakaat.

Buat rakan-rakan di Oxford, jika berkelapangan, saya ingin kempen agar bersama-sama kita berkunjung ke masjid-masjid yang berdekatan bersolat berjemaah.

Bawalah sedikit kelainan tahun ini, dan moga Allah terus kasih dan terus sayang kita, dan dipanjangkan umur untuk terus berusaha memperbaiki diri bukan sahaja di kala Ramadhan tahun ini, malah untuk tahun-tahun yang seterusnya.

Wassalam.

Wednesday 25 August 2010

Jangan Monyet!

Orang tua-tua ada berkata: jangan monyet...

Ha....Kan dah kena sepuk dan penyepak!!! LOL!

Tuesday 24 August 2010

Sana dah potong, sinilah pulak kan?

Di sini saya ingin kongsikan satu kisah benar yang terjadi di sebuah bandar, bukan di Malaysia tetapi di UK nun.

"I thought they might want to leave us alone (after they took power from the previous government)" - demikianlah rungutan yang saya sendiri dengar pagi tadi, disuarakan oleh salah seorang pelanggan tetap Ferry Sport Centre.

"The Council haven't decided yet, either they will continue to support the current policy (free swim), or to introduce new fare/charge" - menjawab pula salah seorang staf yang bertugas di kaunter.

"Then, if they've decided to introduce a charge, how much do you reckon over 60s like me will have to pay?" - Balas pakcik tu lagi.

"We don't know yet, but I would say it's around GBP2.10" - Jujur balas mamat penjaga kaunter tu.

"This is madness, ha mate? I thought the government want us to fight obesity and encourage us to be fit and healthy, I afraid this (by cutting the benefits) wouldn't help at all" - Lantas pakcik tu berlalu meninggalkan kaunter tersebut.

Itu baru seorang, tunggulah esok pagi, lagilah bertambah komplen daripada golongan >60s yang bakal terjejas akibat tindakan drastik kerajaan 'menstrukturkan semula' benefits kepada golongan pencen dan remaja.



Inilah salah satu dilema yang perlu dilalui bukan sahaja di UK, malah di kebanyakan negara maju lain (Jepun, etc) iaitu pertambahan golongan warga emas (lebih 60 tahun).

Tidak seperti sebelumnya, di mana nasib mereka agak terbela oleh pihak kerajaan melalui pemberian pelbagai kemudahan, insentif seperti percuma menggunakan bas, subsidi bil gas untuk kegunaan musim sejuk dan kemudahan menggunakan fasiliti yang disediakan pihak berkuasa tempatan.

Tetapi, kini semakin hari satu demi satu kemudahan dan insentif tersebut mula ditarik balik di atas alasan kerajaan perlu menjimatkan perbelanjaan.

Nampaknya, kerajaan di sini perlu lebih bersedia menghadapi cabaran menguruskan komuniti yang ramai terdiri daripada golongan pesara dan warga emas - yang sudah terbiasa hidup dengan 'benefits' yang disediakan kerajaan.

Esok saya nak berjumpa seorang pakcik yang sentiasa di bajunya dilekatkan tag 'Free Palestin', nak sembang mengenai perkara ini.

Sekarang ni, pakcik ni apabila sahaja nampak saya akan berkata "Ramadhan Mubarak!".

Dan saya akan balas "Thank you".

Sunday 22 August 2010

Mawaddah: budak tak puasa yang sibuk

Assalamualaikum semua, terutama buat atuk & nenek, dan tok & tok'ki,

Nak lihat apa aktiviti hujung minggu Mawaddah?

Ni ha.... main buaian di laman

Siap bawa 2 kawan lagi buat teman bermain

Bila Mawaddah dah bosan (setelah kira-kira 5 minit bermain), dipaksa pula 2 kawan tu untuk naik buaian...

Apa Mawaddah nak buat?

Kira hayun sampai atas sana ye...(kawan dah menggigil)

Heh..heh..heh..

Mawaddah: ready...(kawan: steady...)

Bosan membuai 2 kawan (setelah kira-kira 3 minit setengah), Mawaddah naik tri-sikal pula

Siap minum lagi...segarnya tekak...hoho

Melihat-lihat buah epal yang sedang masak di laman

Yang sepohon lagi tu 'banyak disedekahkan' kepada burung

Semakin banyak dah bertukar warna menjadi kemerahan

'Otai' terus meminum susu

Ayah turut merakamkan foto bunga yang sedang berkembang di laman. Apa nama bunga tu, jangan tanya. Haha...


Selamat berhujung minggu. Kita jumpa lagi minggu hadapan

Mawaddah & Ayah.

Friday 20 August 2010

Harga sebuah nyawa

Sumber - rujuk foto

Rasanya beberapa berita mengenai pembuangan dan pembunuhan bayi minggu ini sudah cukup untuk tatapan saya.

Wednesday 18 August 2010

Pertumbuhan ekonomi

Sebentar tadi saya menonton berita BBC6pm dan BBC South (Oxford). Banyak informasi terkini dilaporkan, baik perkembangan banjir di Pakistan, kejohanan Olimpik Belia di Singapura, hingga kupasan isu domestik, terutama bersempena 100 hari Britian di bawah pemerintahan kerajaan campuran Cameron-Clegg.

Antara topik utama yang dibincang secara mendalam adalah 'cakap-cakap di bawah' mengenai kemungkinan berlaku lagi pemansuhan/pemotongan subsidi (bahasa tempatan adalah 'benefits') oleh kerajaan campuran Konservatif - Liberal Demokrat.

Alasannya masih sama, sekadar mengulangi kewajaran pemotongan yang dibuat sebelum ini, iaitu mengecilkan hutang, menyelamatkan kantung kerajaan dan seterusnya menyuntik pertumbuhan ekonomi kepada Britian.

Adalah tidak mengejutkan banyak pihak bilamana kerajaan baru ini perlu 'merawat' luka dalam yang ditinggalkan oleh kerajaan pimpinan parti Buruh sebelum ini iaitu hutang/defisit belanjawan sebanyak GBP115billion, dengan sokongan nilai pertumbuhan 'nothing.one' (0.1%).

Menerusi siri-siri pemotongan 'benefits' sebelum ini, perbelanjaan dan peruntukan untuk beberapa sektor seperti kesihatan dan pendidikan dapat dikurangkan, seterusnya mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung kerajaan.

Tidak hairanlah setelah 100 hari memerintah, kerajaan campuran mendedahkan keyakinan mereka bahawa langkah pengurusan ekonomi yang mereka bawa telah membantu menyuntik pertumbuhan ekonomi kepada Britian.

Wartawan BBC turut turun padang meninjau pendapat orang awam. Seperti dijangka, pendapat 'orang di bawah' masih bercampur-campur. Yang saya ingat salah seorang responden mengingatkan bahawa adalah lazim bagi sebuah kerajaan yang baru dibentuk ingin menonjolkan imej yang baik di mata rakyat melalui 'tindakan yang berimpak besar, dalam jangka pendek'.

Benarlah, pemotongan 'benefits' dalam jangka pendek akan menampakkan impak yang segera, seperti yang ditunjukkan sekarang. Namun apakah kesan jangka pendek ini dapat dibawa untuk memenuhi cabaran jangka panjang?

Atau, sebetulnya langkah memotong 'benefits' tidak seharusnya didahulukan kerajaan, melainkan meneruskan komitmen dan tindakan memperbaiki ruang-ruang yang rosak hasil polisi yang sebelumnya?

Justeru, kini timbul tanggapan, apakah benar negara ini sedang pengalami pertumbuhan ekonomi? Atau 'pertumbuhan' ini hanyalah bersifat keputusan jangka pendek yang terhasil setelah kerajaan berjaya menjimatkan banyak wang hasil pemotongan 'benefits' kepada rakyatnya?

Bagaimana pula dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia? Terutama setelah kerajaan 'menstrukturkan semula' subsidi baru-baru ini?

Sekadar bertanya.....

Monday 16 August 2010

The Malay Dilemma

Itulah judul buku yang baru sebentar tadi saya terima. Buku lama (pertama kali diterbitkan tahun 1970) ini telah diulang-cetak sebanyak 25 kali - hingga 2010.

Tentunya ramai orang di luar sana telah membaca buku karangan Dr Mahathir ini, buktinya dapat saya perhatikan terutama setelah berlakunya penurunan prestasi UMNO pada PRU-12 yang lalu, isu Dilema Orang Melayu kembali dipopularkan.

Sesetengah orang Melayu melihat adanya sesuatu yang tidak kena mula bercambah di dalam kotak pemikiran orang Melayu, dan di pihak yang satu lagi pula melihat bibit reformasi dan transformasi minda mula mengetuk pintu-pintu hati orang Melayu yang selasa ini selesa hidup di dalam kepompongnya.

Saya tidak kisah apa ulasan orang lain yang telah membaca buku ini. Mungkin ada di kalangan pengulas di luar sana yang dengan ikhlas menulis pendapat mereka berkenaan dilema Melayu ini. Begitupun, persoalan tepat atau tidak apa yang diulas, terpulanglah kepada penulis dan orang yang membacanya.

Bagaimanapun bagi saya, mungkin waktu inilah saat yang sesuai untuk baca buku sebegini, dengan harapan ianya memberikan serba sedikit idea untuk saya memahami situasi dan kedudukan politik Orang Melayu yang hari ini begitu banyak tidak difahami orang.

Kena faham sejarah

Sejarah bukan untuk dihafal, tetapi untuk difahami dan dihayati. Kegagalan memahami sejarah boleh membuatkan kita cenderung untuk mengulangi kesilapan lalu, tidak kira kesilapan di dalam menjangka masa depan, membuat keputusan, mahupun melaksanakan apa jua tindakan.

Saya minat sejarah, tetapi masih banyak yang saya tidak tahu. Apa yang tertulis di dalam buku teks hanya menjawab persoalan APA (what?), BILA (when?) dan DI MANA (where?). Tetapi tidak berupaya memberikan jawapan MENGAPA (why?).

Mengapa tercetusnya 13 Mei? Mengapa perlu mempertahankan Hak Istimewa Orang Melayu? Mengapa perlu diwujudkan Tanah Rizab Melayu? .............Mengapa dan mengapa......

Saya tidak berniat untuk mengulas lanjut isu ini, dan apa yang didapati daripada pembacaan inipun mungkin saya simpan untuk diri sendiri (dan mungkin boleh dibincang bersama rakan-rakan dengan syarat suasana perbincangan yang saling hormat menghormati).

Di masa yang sama, harapnya adalah pihak lain yang tampil menawarkan perspektif lain, yang mungkin berbeza dengan pandangan Dr. M ini, agar kita dapat melakukan 'timbang-tara'.

Dengan bacaan sebegini juga bukanlah menunjukkan yang saya ini ingin menjadi rasis mahupun menyemai rasa benci terhadap kaum lain. Bukan. Islam tidak mengajar itu semua.

Niat saya hanyalah untuk menambah kefahaman berkenaan isu hubungan orang Melayu - bukan Melayu ini dan bagaimana daripada pemahaman ini dapat dibina jambatan toleransi dan persefahaman di antara rakan berbilang kaum di Malaysia.

Sebagai akhiran, saya ingin berkongsi dengan para pembaca petikan ini:

What went wrong? Obviously a lot went wrong. In the first place the Government started off on the wrong premises.

It believed that there had been racial harmony in the past and that the Sino-Malay cooperation to achieve Independence was an example of racial harmony.

It believed that the Chinese were only interested in business and acquisition of wealth, and that the Malays wished only to become Government servants.

These ridiculous assumptions led to policies that undermined whatever superficial understanding there was between Malays and non-Malays.

On the top of this the Government, glorying in its massive strength, became contemptuous of criticisms directed at it either by the opposition or its own supporters.

The gulf between the Government and the people widened so that the Government was no longer able to feel the pulse of the people or interpret it correctly.

It was therefore unable to appreciate the radical change in the thinking of the people from the time of Independence and as the 1969 elections approached.

And finally when it won by such a reduced majority, the Government went into a state of shock which marred its judgement.

And so murder and arson and anarchy exploded on 13 May 1969.

That was what went wrong.

(Direct 'copy and paste' from Mohamad, M. (1970, reprint 2010) The Malay Dilemma (with a new preface). Singapore: Marshall Cavendish, pp. 26-27).

Wassalam.

Sunday 15 August 2010

Penawar

Karikatur oleh: nayzak

Kepada pihak yang masih tercari-cari penawar bagi merawat kepincangan dalam masyarakat moden hari ini

Saturday 14 August 2010

Petikan Minggu Ini

"In youth we learn, in age we understand" - Marie Ebner von Eschenbach

Facebook

Seringkali terfikir akan saya setelah melihat pelbagai telatah anak-anak muda di Facebook. Mengapa? Mengapa hendak ditunjukkan benda yang peribadi kepada umum?

Sepertinya telah tiada lagi apa yang dianggap peribadi, melainkan telah menjadi bahan tontonan kepada umum.

Segala rahsia (sisi lain kehidupan) yang 'disorok' dari orang tua, segalanya terlodeh di Facebook - foto tidak pakai baju, pergaulan bebas, berkepit dengan pakwe/makwe, merokok, minum, semuanya ada.

Namun, perlukah saya tahu semua itu?

Sudah lupakah kita akan kata orang tua-tua, "dah pandai makan tu, kenalah pandai simpan". Bukan apa, takut pabila sudah berusia nanti akan timbul rasa sesal, mengenangkan kecetekan bertindak sewaktu muda-muda dahulu (seperti maksud petikan minggu ini di atas) menggunakan kemudahan Facebook ini.

Waktu itu, sesal setinggi manapun sudah tidak berguna lagi. Semua orang sudah tahu (dan ingat) perbuatan buruk/miang dan sebagainya. Cumanya, kasihanlah orang tua yang tidak mengetahuinya.

Kalaulah mereka tahu.......

Wednesday 11 August 2010

PhD

Sebelum apa yang saya dengar daripada Dr Din saya lupa (al-maklumlah saya ini seorang yang pendek ingatan, kuasa Allah), eloklah saya kongsikan di sini apa yang Din perkatakan mengenai PhD.

PhD merupakan latihan bagi melengkapkan seseorang itu dengan kebolehan untuk:

1) Merancang (planning) kerja/tugasan - boleh jadi topik yang dikaji
2) Melaksanakan (execute) kerja/tugasan
3) Menyiapkan (accomplish) kerja/tugasan
4) Melaporkan (reporting) kerja/tugasan - secara bertulis dalam laporan yang dinamakan tesis, yang mana segala ilmu/teori/fundamental kajian itu dapat dilaporkan hingga bukan sahaja pemeriksa (pakar) bidang dapat faham, malah turut difahami oleh orang umum yang berminat dengan topik tersebut.

Jika seseorang itu dapat mempersiapkan diri dengan 4 kebolehan/latihan di atas (di samping doa dan munajat), tiada yang mustahil untuk menggengam PhD.

nota: lazimnya penuntut di peringkat Sarjana Muda dinilai kemampuan mereka untuk menyempurnakan Tahap 1 (merancang) dan penuntut di peringkat Sarjana Sains/MSc pula Tahap 1 (merancang) & Tahap 2 (Melaksanakan perancangan).

Wassalam

Tuesday 10 August 2010

Permainan interaktif kemapanan

Sambil melayari internet mencari material untuk kerja-kerja penyelidikan, saya terjumpa satu permainan yang menarik, mengenai kemapanan di laman web DEFRA (Department of Environment Food and Rural Affairs).

Permainan tersebut dikenali sebagai Stockwatch.

Jika anda seorang yang minat akan bidang berkaitan pembangunan mapan/kemapanan, saya sarankan anda untuk mencuba permainan ini.

Nampak seperti mudah, namun mampukah anda sebagai Datuk Bandar, merancang dan melaksanakan tindakan pembangunan (aktiviti perikanan) dengan cara yang mapan di mana berupaya memuaskan hati NGO (alam sekitar), pemain industri (ekonomi) dan menjamin kestabilan peluang pekerjaan (sosial) di 'bandar' anda?


Negara kerdil

Setelah membaca akhbar online berkenaan gempa bumi dan tsunami kecil di kepulauan Vanuatu, saya terus googlemap untuk mendapatkan lokasi tepat Vanuatu di atas peta dunia.

Secara tidak sengaja saya ternampak satu negara pulau yang unik di dalam gugusan kepulauan Polynesia di Laut Pasifik Selatan iaitu negara Tuvalu.

Tuvalu? Menurut sumber ini, Tuvalu merupakan negara ke-4 terkecil di dunia dengan keluasan kira-kira 9 batu persegi, dan dengan populasi berjumlah kira-kira 12000 orang.

Biarpun bukanlah negara terkecil jika dibandingkan dengan Vatican City (1), Monaco (2) dan Nauru (3), keadaan rupabumi/geografi Tuvalu yang unik telah menarik minat saya untuk melihatnya dengan lebih lanjut.

Kedudukan Tuvalu dari konteks global

'Zoom-in' Tuvalu

Zoom lagi - uniknya seperti 'satu garis' pada permukaan laut

Tetapi lihatlah kemudahan yang ada di atas pulau kecil ini

Imej satelit dan peta asas Tuvalu

'Kurus' ruang tanah yang ada, dan nampak padat dengan rumah-rumah

Saturday 7 August 2010

Mawaddah, tri-sikal, plum dan Ramadhan

Sebelum berceloteh lebih lanjut, ingin saya sarankan kepada anda yang berminat dengan topik berkaitan 'kemiskinan' (bahasa akademiknya, kemelaratan hidup) agar mencari buku sebegini.

Buku ini saya baca dikala ada kelapangan waktu di pejabat. Biarpun bukanlah karya yang terbaik, namun beberapa isu yang dikupas di dalamnya telah membuka mata saya. Boleh saya kata adalah tidak mustahil untuk kemiskinan itu diminimakan (dihapus terus agak mustahil).

Basikal (tricycle)

Hari Khamis yang lalu, selepas menghantar Mawaddah ke nurserynya, saya menaiki bas ke bandar Oxford. Selesai urusan di pejabat pos dan bank, saya ke Argos bagi mendapatkan booster cable dan kebetulan ada sale mainan kanak-kanak - kami kononnya nak bagi suprise pada Mawaddah pabila dia balik dari nurserynya nanti.

Inilah panorama di bandar Oxford setiap kali tibanya Summer. Itulah juga sebabnya mengapa saya jarang keluar ke bandar, buat serabut kepala saja.

Inilah suprise-nye: sebuah tricycle untuk Mawaddah

Kami beli tricycle inipun setelah tengok dia suka sangat naik ia di nursery hinggakan ada satu hari tu dia tidak mahu ikut kami pulang. Apabila diangkat saja dari basikalnya, terus menangis.

Makanya, elok kita bereksperimen di rumah pula. Awalnya dia takut-takut tetapi setelah dihiburkan, dia mula suka dengan basikal tu, biarpun kakinya masih belum mampu sentuh pedal. Hai...satu kerja lagi untuk ayahnya - nak kena tolak la pulakkkk....hoho.

Mawaddah mula beraksi

Ada gaya...gaya nak jatuh..haha

Serius je...

Sebenarnya ada pelbagai jenis tricycle yang dijual. Masing-masing dengan ciri-cirinya tertentu. Kami pilih yang ini kerana ada bakul, yang memudahkan dia membawa barang mainannya nanti.

Amboi, bukan main mesra lagi dengan si 'Jiraf', siap bagi tumbang dalam bakul tu...

Nak cuba panjat sendiri


Bosan kawan dengan Jiraf, si belang ini pula dipaksa masuk bakul

Basikal rosak ke?

Sepetang bermain basikal, saya bawanya ke laman belakang untuk bermain buaian. Bukan apa, tidak elok terperap dalam rumah sahaja. Kena bagi dia sedut udara segar (sejuk) di luar juga.

Juga strategi untuk suruh dia tidur


Petik plum

Tengahari tadi kami kembali ke QGarden. Buah ceri masih banyak, kali ini ada dua jenis ceri iaitu ceri hitam dan ceri merah - keduanya manis dan sedap.

Selain ceri, yang menarik kami datang hari ini adalah kerana musim petik buah plum juga telah muncul. Buahnya? Manis!

Harga 1kg juga murah, GBP2+ sahaja. Rugi kalau tak datang petik.

Beginilah rupa buah plum pada pokoknya

Baris yang baru dibuka kepada pelawat

Kecur air liur tak?

Buah di mana-mana....huhu...

Hasil berbayar/rezeki kami hari ini

Tengok saiz epal yang belum masak ni


Ramadhan

Beberapa hari lagi akan tibalah bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan. Dijanjikan Allah SWT bermacam kelebihan bagi mereka-mereka yang percaya dan beriman denganNya.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengingatkan diri sendiri dan kepada semua untuk berusaha (perlahan-lahan) menambahbaik diri dengan cara mengisi masa terluang membaca sehelai-dua Al-Quran dan berzikir yang mudah, menggantikan nyanyian semasa berjalan-jalan.

Apabila membaca berita kematian, kepulangan jiran dan rakan ke rahmatullah, timbul keinsafan bahawa kita yang hidup wajar rasa beruntung dan wajib bersyukur dengan nyawa yang Allah pinjamkan.

Saudara-saudara kita ini (arwah) telah pergi/pulang sebelum sempat menjejak Ramadhan, kita juga tiadalah tahu waktu nyawa bercerai daripada jasad.

Justeru, rebutlah kedatangan Ramadhan kali ini, ibarat ianya adalah yang terakhir kita tempuhi, isilah ia dengan amalan kebajikan dan berdoalah moga Allah sayang dan kasih kepada kita, keluarga, masyarakat dan negara kita.

Wassalam.