Tempat berlaku: Jepun
Tarikh berlaku: 1 Julai 1979
Dianggap
sebagai salah satu gajet "mesti dimiliki" pada era 1980-an, sistem
hiburan stereo peribadi atau lebih popular dengan panggilan nama "Walkman"
adalah pemain kaset mudah alih pertama keluaran Sony yang memberikan
kebebasan kepada pemiliknya mendengar muzik pilihan mereka melalui headphone, dan di mana jua mereka berada.
Sekalipun
tidak dinafikan bahawa radio mudah alih dan pemain kaset yang lebih
kurang saiznya dengan Walkman ini telah berada di pasaran lebih awal,
kelebihan yang ditawarkan Walkman dari segi kebebasan memilih lagu untuk
dimainkan telah mengangkat produk ini sebagai mesra pengguna sehingga
ianya mencapai kejayaan yang besar dan terkenal setelah dipasarkan di
serata dunia. Sehingga era itu turut menyaksikan Walkman menjadi
pelengkap fesyen golongan remaja di mana sahaja.
Sumber foto: google image (Sony Walkman)
Melihat
kepada kejayaan besar Sony melalui Walkman, pengeluar-pengeluar
barangan elektronik lain telah turut meniru konsep dan produk yang sama.
Namun demikian, tiada pihak boleh menyangkal bahawasanya Walkman
Sony-lah yang telah mencetuskan revolusi di dalam segmen sistem hiburan
peribadi (personal entertainment system) seperti yang kita semua alami
hari ini.
Selari
dengan perkembangan masa, teknologi yang digunapakai untuk membangunkan
Walkman Sony juga turut dipertingkat. Maka, daripada fungsi kaset,
Walkman kemudiannya beralih kepada teknologi penggunaan cakera padat,
disusuli dengan disk mini, MP3, MP4 dan seterusnya.
Dari aspek sejarah, alat yang pertama telah dibangunkan di makmal Sony untuk kegunaan co-chairman syarikat iaitu Akio Morita, seorang yang amat menggemari opera.
Ini
kerana, sebelum itu beliau seringkali merungut tidak dapat mendengar
lagu kegemarannya terutama sewaktu menempuh perjalanan (penerbangan)
yang panjang. Makanya, seorang jurutera dari bahagian audio Sony,
bernama Nobutoshi Kihara telah bertindak membangunkan satu prototaip pada tahun 1978.
Hanya setahun selepas itu, pemain kaset mudah alih - berwarna biru dan perak dan diberi nama Walkman TPS-L2 telah berada di rak-rak kedai elektronik di Jepun. Alat ini kemudiannya segera dipasarkan ke seluruh dunia di bawah jenama Soundabout.
Sumber foto: google image (the first Sony Walkman)
Gajet
ini dengan segera mencetuskan fenomena dan minat di kalangan penggemar
muzik dan teknologi. Sepanjang 1980an, Sony telah menghasilkan pelbagai
model baru bermatlamat mengekalkan dominasi syarikat tersebut sebagai
peneraju utama teknologi ini.
Begitupun, waktu itu produk Walkman turut menerima saingan hebat dari pengeluar barangan elektrik terkenal lain seperti Aiwa dan Panasonic yang aktif menghasilkan variasi Walkman mereka sendiri.
Sungguhpun
produk Walkman lain mungkin ditawarkan pada harga yang lebih murah,
Sony Walkman tetap dianggap sebagai satu jenama yang paling berprestij,
selain lebih berkualiti dan tahan lama.
Pada tahun 1984, syarikat tersebut turut mengadaptasi teknologi baru dengan mengeluarkan pemain CD peribadi dipanggil "Discman"
- namun kemudiannya kembali menggunakan nama ikonik "walkman" bagi
produk-produk yang selepas itu termasuklah pemain disk mini dan produk
terbaharu MP3 dan MP4 Sony.
Sejak
kemunculan Walkman pada tahun 1980an, pelbagai syarikat telah berlumba
mencipta sistem alat pemain muzik mudah alih dengan rekabentuk dan
pilihan yang lebih canggih. Maka terhasillah apa yang kita lihat hari
ini seperti Apple iPod pada saiz yang jauh lebih kecil berbanding
Walkman yang asal, dilengkapi pula teknologi menyimpan lagu pada
kapasiti yang besar.
Sumber foto: google image (Apple i-Pod)
Malah,
gajet yang terbaharu juga nampaknya bukan sahaja boleh menyimpan lagu,
malah turut dilengkapi teknologi menyimpan video dan foto, malah
dilengkapi kamera video.
Namun
secanggih manapun teknologi sistem hiburan peribadi hari ini, sejarah
telah membuktikan bahawa semuanya bermula dengan teknologi kreatif yang
dirintis oleh Sony Walkman.
---------------------------
Baca lanjut:
Heatley, M. and Howard, M. J. (2010) Events that changed the world. Igloo Books Ltd, UK.
No comments:
Post a Comment