Saya petik dari artikel beliau yang bertajuk: Kelantan: Sederhana Dan Mendidik (bertarikh: 1 Ogos 2011)
Kelantan Contoh
Sebagai sebuah kerajaan, kepimpinan Kelantan telah mengambil jalan yang yang sederhana. Kelantan –melalui program seperti ini-
memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk aktivis
muslim berinteraksi dengan dunia hiburan. Sekaligus mendekati anak-anak
muda.
Jalannya bukan memerangi hiburan, sebaliknya mencari ruang untuk
dimanfaatkan; maka rakyat dapat berhibur secara terarah dan tidak
melampai batas. Dengan itu Kelantan tidak menjadi kerajaan yang tidak
bertanggungjawab yang membiarkan rakyat bebas lepas dengan hiburan tanpa
bimbingan, tidak juga menjadi jumud sehingga mengharamkan segala bentuk
hiburan; nyanyian, muzik dan filem.
Gambar: Saya membaca puisi saya yang bertajuk ‘Akan Ku Terus Ketuk PintuMU’, Sham bermain gitarnya.
Demikianlah, apabila sesebuah kepimpinan itu ada wawasan yang jelas
dan nurani yang inginkan rakyat berada dalam bimbingan yang betul.
Segala gerakerja diselaraskan antara kehendak rakyat dan peraturan
agama. Sikap yang matang lagi sederhana diperlukan oleh rakyat dan umat
pada setiap ketika. Bukan masanya untuk mengharamkan itu dan ini tanpa
memberikan alternatif yang dapat membimbing rakyat yang pelbagai ragam
dan kehendak.
Janganlah pula jadi seperti kepimpinan yang hanya hendak
‘memberikan keseronokan’ kerana inginkan sokongan mereka rakyat tanpa
memikirkan kesan dan masa depan.
Cumanya, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Kita perlukan
pembikinan karya-karya seni dalam pelbagai bidang yang berkualiti dan
mendidik. Ada gabungan antara unsuran hiburan dan bimbingan secara
terancang. Ada ikatan antara seni dan kehidupan insani secara berkesan.
Ini memerlukan satu perancangan jangka panjang dan pendek. Semoga
Kelantan mampu melangkah lebih jauh.
Tahniah YB Baihaki Atiqullah
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
sahabat yang saya kasihi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah yang
bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Beliau anak tuan guru
pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang
agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak
pihak.
Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di
Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat.
Sangkaan bahawa kepimpinan agama akan mengharamkan hiburan dan seni ke
atas rakyat adalah tidak benar jika dikaitkan dengan kepimpinan
Kelantan.
YB Ahmad Baihaqi masih muda. Beliau dua tahun lebih muda dari
saya. Sama-sama belajar di Jordan dahulu. Hari ini menjadi pemimpin yang
makin matang. Apa yang masih perlu untuk semua insan, termasuk beliau
adalah terus mendedahkan diri kepada maklumat yang pelbagai, aliran
fikir yang semakin rencam dan mencari kesederhanaan di sebalik itu
semua. Tahniah YB Baihaqi atas usaha membuka minda dan mencari
alternative. Tahniah Kelantan!
Gambar: YB Baihaqi menyampai cenderahati kepada saya.
No comments:
Post a Comment