Friday 27 January 2012

Penanda Aras Amalan Berpolitik di Malaysia

Sedang dijadikan rujukan/bahan untuk salah sebuah artikel yang sedang saya siapkan, insyaAllah. 


Tanda Aras 

Dalam Islam kita diajar agar mencontohi yang baik, bahkan yang terbaik. Jika kita ingin mencapai sesuatu kualiti yang baik, maka kita mestilah mengambil bench-mark atau penanda aras yang terpilih. Justeru itu kita disuruh mencontohi para nabi dan pengikut mereka yang terbukti benar-benar berjaya mempertahankan prinsip kebenaran.

Ini seperti firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (Nabi) Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik..” (Surah Mumtahanah, ayat 4).
Firman Allah juga: (maksudnya)
Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak” (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Nabi Muhammad itu sendiri pun diperintah oleh Allah s.w.t agar menuruti langkah dan teladan para nabi sebelum baginda. Firman Allah:
“Mereka (nabi-nabi) tersebut adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka..” (Surah al-An’am, ayat 90).
Demikianlah banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah arahkan agar kita mencontohi teladan yang baik sebagai penanda aras dalam perjalanan hidup kita. 

Malang sekali, ‘orang parti’ apabila kita mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ‘parti lawan lebih teruk’, atau parti lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh?!’, ‘kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara yang sama?!’ atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah diukur dengan parti lawan mereka.

Pada masa yang sama mereka kata parti lawan mereka buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang. Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan politik mereka.

Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil rasuah, mereka akan jawab: “pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?!”.

Mereka menghalalkan tindakan mereka kerana parti lain pun buat. Jika begitu, kita tidak perlu buat pilihanraya untuk sebarang pemilihan kerena tahap ukuran atau penanda aras mereka itu sama!

Mungkin ada yang berkata; kita guna kaedah ‘memilih mudarat yang paling ringan’ seperti yang diajar dalam qawa ‘id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fekah). Kaedah ini mengajar bahawa apabila bertentangan antara dua mudarat atau bahaya, seseorang muslim diperintahkan agar memilih yang paling kurang bahaya atau mudarat antara keduanya.

Kaedah ini digunakan apabila tiada lagi di hadapan seseorang pilihan yang lain. Namun jika di sana ada jalan keluar dari bahaya atau mudarat tersebut, maka kita hendaklah mendapatkannya. Pihak yang layak untuk melaksanakan kaedah ini ialah para pengundi apabila mereka mendapati kesemua parti-parti ini adalah bahaya dan mudarat, mereka terpaksa memilih yang paling ringan mudaratnya.

Soalannya, apakah parti-parti ini hanya mampu menjadi ‘yang paling ringan mudarat’, bukan yang mampu membawa sesuatu yang baik atau terbaik?! Juga, apakah parti-parti politik ini kesemuanya merupakan bahaya dan mudarat yang kita tiada pilihan, atau mampu mencari jalan keluar?! Atau, apakah sekadar itu sahaja tahap kualiti dan pemikiran kita...

No comments: