Wednesday, 28 December 2011

Mari ambil tahu mengenai 'Climate Change' (Siri 1) - Fenomena Pencairan Ais

Terdapat dua tempat di Bumi ini yang dianggap oleh para saintis sebagai wilayah atau benua yang amat sensitif terhadap perubahan iklim, kesan oleh pemanasan global iaitulah Artik (Kutub Utara) dan Antartik (Kutub Selatan).

Di kedua wilayah sejuk-beku ini, para saintis hari ini telah melihat bukti yang nyata berlakunya perubahan yang drastik kesan oleh perubahan iklim. Perubahan ini telah disifatkan amat membimbangkan dan jauh lebih buruk, berbanding perubahan di mana-mana tempat lain di dunia ini.

Pertamanya, mari kita lihat secara ringkas perbezaan lapisan ais di antara benua Artik dan Antartik. Ketebalan lapisan/bongkah ais. Secara puratanya, bongkah ais yang terdapat di wilayah Antartik memiliki ketebalan sehingga 10,000 kaki. Sedangkan di Artik, purata ketebalan bongkah ais hanyalah sekitar 10 kaki.

Sebab wujudnya perbezaan yang ketara ini berpunca daripada senario yang berlaku "di bawah" lapisan ais kedua-dua benua ini iaitu:

"Antartik adalah tanah/pulau yang dikelilingi oleh laut. Manakala Artik pula adalah laut yang dikelilingi oleh tanah/pulau."

Ini menjadikan Artik sebagai "pulau ais yang terapung". Manakala lapisan ais dan tanah yang wujud di kepulauan yang mengelilingi Artik seperti Alaska, Greenland, Russia dan negara Nordik mendedahkan benua Artik kepada ancaman kenaikan suhu.

Peningkatan suhu di darat (tanah yang serap haba) mewujudkan "kubah haba" di sekitar Artik, seterusnya memanaskan Artik dan hasilnya pencairan ais menjadi semakin pantas. 

Pemantauan para saintis juga mendapati suhu di Artik telah meningkat secara mendadak, dengan kadar tertinggi berbanding mana-mana tempat di Bumi.


Sekarang, sila perhatikan rajah yang saya sediakan di atas. 

Seperti yang telah saya jelaskan, sebab utama yang mempercepatkan kadar pencairan ais di Artik adalah kerana lapisan aisnya yang jauh lebih nipis berbanding Antartik.

Perhatikan Senario A di mana permukaan berais di Artik sebelum bumi mengalami pemanasan global yang ketara. Permukaan bersalji dan berais yang berwarna putih sebenarnya berfungsi sebagai "cermin besar" yang akan memantulkan kebanyakan haba, radiasi dan cahaya dari matahari kembali ke atmosfera, dan seterusnya mengekalkan suhu di wilayah Artik. 

Mengekalkan suhu juga bermaksud melambatkan proses pencairan ais. Hasilnya lebih banyak permukaan berais dikekalkan berbanding permukaan laut (berair).

Permukaan laut bertindak sebagai penyerap haba, seterusnya menaikkan suhu air laut. Sekarang lihat Senario B. Permukaan laut yang semakin bertambah menyebabkan kadar penyerapan haba oleh permukaan laut semakin meningkat. Ia seterusnya meingkatkan suhu air laut dan seterusnya mempercepatkan proses pencairan ais/bongkah-bongkah ais.

Seterusnya, rujuk Senario C. Bilamana peningkatan suhu permukaan laut berterusan menyebabkan lebih banyak kawasan berais (atau bongkah ais) mulai cair dan "hilang", dan laut mula mendominasi wilayah Artik. 

Permukaan laut yang semakin membesar akan menyerap haba dengan lebih pantas dan banyak, membuatkan proses pencairan ais lebih pantas dan kawasan yang dilitupi ais mulai berkurangan dengan drastik

Inilah realiti yang telah dan sedang diperhati oleh para saintis di Artik hari ini.

Justeru, ke mana "hilangnya" berbillion kubik meter ais yang telah cair ini jika ianya tidak mencair dan menambahkan volume air laut?


Lihat contoh paling mudah yang diberikan di atas. Gelas yang dipenuhi ketulan ais nampak "kering". Namun setelah ais cair, gelas nampak "ditenggelami".

Itulah implikasi yang bakal kita dan generasi anak cucu kita hadapi akibat perubahan iklim, kesan pemanasan global yang membawa pencairan ais pada kadar yang amat membimbangkan ketika ini.

Nota: entri ini dibuat hasil pembacaan karya "an inconvenient truth" oleh Al Gore, wikipedia dan lain-lain sumber berkaitan.

No comments: