Saturday, 17 December 2011

Pendapat: DAP mempelopori kerangka politik baru yang “lebih Malaysia”?


Masa Depan Politik Perkauman

Saya tidak berkesempatan meneliti perkembangan yang berlaku di Persidangan Agung UMNO (PAU) 2011 melainkan hanya berpeluang membaca beberapa laporan yang berkaitan di akhbar dalam talian (online). 

Manakala blog-blog bicara politik pula tidak banyak yang menceritakan apa agenda yang dibincangkan di PAU, melainkan hanya menjual berita-berita sensasi terutamanya isu NFC, ucapan yang rasis dan teka-teki bila pilihanraya.

Saya hanya sempat menonton rakaman ucapan TS Muhyiddin di Youtube, di mana saya sifatkan hadirnya beliau dan berucap pada malam itu adalah di atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO, dan bukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri mahupun Menteri Pelajaran.

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Namun begitu, apa yang telah beliau ungkapkan itu telah secara langsung mewakili pendirian beliau, baik sebagai Melayu yang memimpin parti, mahupun Melayu di dalam kerajaan.

Anda yang mungkin turut mendengar ucapan Muhyiddin tentunya boleh membuat penilaian dan tafsiran masing-masing. 

Pada saya, apa yang beliau perkatakan itu bukan hanya ditujukan kepada DAP, malah dituju langsung kepada orang-orang Cina di Malaysia.

Boleh anda bayangkan apakah perasaan para Menteri, mahupun Timbalan Menteri berbangsa Cina yang hadir sebagai tetamu pada malam itu, yang duduk sekali mendengar ucapan TS Muhyiddin? 

Kalau saya-lah, boleh panas cuping telinga. Bayangkan kalau saya hadir perhimpunan parti politik Cina, mendengar ucapan pemimpin Cina yang tanpa berselindung mengherdik dan mengutuk bangsa Melayu, sekalipun dia tahu yang saya hadir di majlis tersebut.

Jadi, soalan cepu emas di sini, apakah makna di sebalik ucapan Muhyiddin itu?

Sekalipun banyak pihak selepas mendengar ucapan itu mengutuk dan mengecam Muhyiddin dan UMNO seluruhnya kerana berterusan meniupkan sentimen perkauman dan boleh menggugat perpaduan, (saya tidak kata saya bersetuju dengan Muhyiddin), dari satu sudut, saya melihat UMNO sebagai sebuah “Parti Tua” telah berjaya sampai ke satu tahap di mana mereka (UMNO) mampu bercakap secara terbuka dan tegas mengenai pendirian mereka (mengenai Melayu-UMNO).

Selama inipun UMNO sememangnya begitu.

UMNO, pada PAU kali ini nampaknya tidak lagi memberi muka atau cakap berlapik demi menjaga hati pemimpin MCA, MIC dan lain-lainnya. 

Segala isi hati UMNO telah diluah secara direct, dan mahu tidak mahu, para pemimpin Cina dan India terpaksa juga mendengar ucapan tersebut.

Tentulah cara UMNO ini sama sekali tidak disenangi oleh orang-orang Cina di dalam BN mahupun DAP. Bagi saya 'mesej' itu mungkin diterima mereka (yang bukan Melayu).

Bagi saya juga, mungkin itulah kunci UMNO berjaya mendominasi dan terus memimpin BN untuk memerintah Negara ini selama lebih 50 tahun.

Dan kini, timbul persoalan berikut di kepala saya:

Q: Mampukah pula PAS (yang bercakap nak ganti UMNO) menyampaikan pendirian parti (mengenai ideologi dan agenda umat Islam) secara tegas kepada DAP sepertimana yang UMNO telah lakukan? (Apakah PAS boleh capai tahap seperti UMNO di dalam menyatakan pendirian mereka?)

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Anda mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini, atau mempunyai pendapat yang berbeza. Mungkin di sini kita boleh bersetuju untuk berbeza pendapat.

“Apakah ada masa depan untuk politik perkauman di Malaysia?” Tanya saya kepada 'sahabat' sewaktu beliau saya jemput makan di rumah malam tadi.

“Cohort-nya sentiasa ada”, jawab beliau ringkas.

Daripada apa yang saya faham, sahabat saya itu cuba memberitahu saya bahawa politik perkauman sentiasa mempunyai ‘pasaran’ dan ‘pengikut setia’-nya di Malaysia.

Makanya, untuk saya katakan bahawa UMNO akan ditolak para pengundi pada PRU13 nanti disebabkan UMNO mengamalkan politik perkauman, adalah suatu kesimpulan yang kurang tepat.

Bahkan, jika sekalipun pihak pembangkang berupaya mewujudkan sentimen keraguan/kebencian rakyat terhadap UMNO disebabkan amalan perkauman Melayu-nya, saya masih yakin banyak kawasan (di Parlimen mahupun di DUN), yang pasaran dan golongan hardcore supporters-nya masih kuat, hingga boleh menjamin kemenangan calon-calon parti yang pro-perkauman ini.

Perihal DAP dan Calon Melayu

Pada saya, DAP adalah sebuah parti yang proaktif dari segi gerak kerja bagi menarik sokongan dan penyertaan orang-orang Melayu supaya menjadi ahli mereka, seterusnya ingin menghakis label parti yang ‘ke-Cinaa-an’ yang dikatakan begitu sinonim dengan mereka.

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Barangkali saya ini orang yang buta politik jika berpendapat DAP itu bebas perkauman. Lihat dan nilaikanlah sendiri ucapan-ucapan pemimpin mereka terutama Kit Siang dan Karpal Singh sebelum 'bersahabat karib' dengan PAS. Apa yang mereka tidak kata mengenai orang Melayu dan Islam.

Namun bukan itu yang menarik perhatian saya mengenai DAP.

Saya sebenarnya lebih tertarik dengan gagasan baru yang cuba diketengahkan oleh kelompok 'generasi baru' dalam DAP terutamanya di Pulau Pinang (PP) hari ini, yang merasakan bahawa inilah saat yang terbaik untuk memulakan perubahan amalan berpolitik di Malaysia.

Sekadar hiasan, sumber foto - sini

Dengan kuasa yang ada memerintah PP, usaha telah dan sedang giat digerakkan DAP bagi menjadikan negeri tersebut tapak mula ke arah membina suatu kerangka politik baru yang “lebih Malaysia”.

Maka, DAP telah me-mobilisasi-kan orang-orang mereka supaya mendekati para pemimpin politik dan masyarakat, profesional, hatta agamawan Melayu, memujuk mereka agar bersama-sama DAP merintis perubahan ini.

Mungkin benar tanggapan sesetengah pihak bahawa DAP melihat kerangka politik yang ‘lebih Malaysia’ adalah masa depan politik Malaysia.

Maka di sini mereka perlu membuat langkah yang berani (atau mungkin boleh diganggap ‘gila’), seperti memujuk orang agama untuk bersama-sama dengan mereka. 

Timbul lagi soalan kepada saya:

Q1: Mengapakah DAP kelihatannya begitu optimistik dengan idea politik yang ‘lebih Malaysia’ ini? 

Q2: Atau mungkinkah mereka sebenarnya telah 'betul-betul gila' dengan idea memujuk lebih ramai orang Melayu supaya menjadi ahli DAP?

Apapun, jika DAP sendiri dilihat proaktif memujuk orang Melayu menyertai mereka, makanya 'tidak gila’ jika pada PRU13 nanti kita akan melihat DAP juga akan mengetengahkan calon-calon Melayu untuk bertarung melawan UMNO-BN bagi kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang majoriti pengundinya adalah orang-orang Melayu sendiri.

Sekian.

Nota: Terima kasih kepada 'sahabat' di atas buah fikiran dan pandangan. 

5 comments:

Badrul Hisham Abdul Kahar said...

Satu kupasan berani, namun topeng DAP itu terbuka bila seorg pemimpin mereka di Perak melontarkan ucapan rasis terhadap MB yg secara langsung backfire terhadap agenda yg saudara gelarkan 'gila2 utk lebih Malaysia'. But mari kita sedar apa yg mereka mahu....

encik alang said...

pada saya, saya tidak nampak DAP sebagai pelopor politik baru. ini kerana semua kita patut sedar dan insafi bahawa tulang belakang politik Malaysia adalah kaum Melayu.

dalam konteks pemerintahan negara Malaysia,kuasa pemerintahan adalah diperolehi melalui pilihanraya.

maka sekiranya DAP mahu menjadi pelopor mereka perlu mendapat sekurang2nya 50 kerusi parlimen.

namun dari PRU-12 DAP hanya mempunyai 28 kerusi (terdiri daripada MP kaum Cina dan India).

malah,jika kerusi tradisi kaum Cina yang lain turut dimenangi oleh DAP,DAP masih tidak dapat memenuhi minima 50 kerusi kerana MCA dan Gerakan masing hanya mempunyai 15 dan 2 kerusi parlimen.

bagi pecahan kerusi kaum Melayu, UMNO (77), PBB (9) dari BN manakala PR 44 dimana PAS (23), PKR (20) dan Bebas seorang.

maka disini,faktor tertumpu kepada PAS yang dikatakan mempunyai potensi mengambil alih kedudukan UMNO selaku parti dominan kaum Melayu.

namun harus diingat, PAS turut bertanding di beberapa kawasan yang majoriti pengundi Melayu namun,mereka berhadapan dengan calon bukan Melayu dari parti komponen BN hasil tindakan UMNO 'menggadai' suara Melayu.

PAS dengan dasar Islam yang dibawa bepayungkan panji keadilan dan kebajikan.Islam tidak ditegak atas dasar puak dan golongan tertentu.namun realiti politik tanah air sedikit sebanyak telah mencorakkan warna-warni politik PAS.

maka,dengan runtuhnya kuasa 2/3 majoriti BN dlm PRU-12 yg lalu,sebenarnya politik baru yang "lebih Malaysia" telah pun terbentuk.

PAS dilihat lebih terkehadapan dengan beberapa strategi baru seperti 'tahaluf siyasi',kelahiran 'dewan perhimpunan PAS' utk menaungi ahli2 non-muslim, calon yang terdiri dari non-muslim,dan lain-lain.

encik alang said...

Premis "UMNO kalah Melayu lemah." sudah tidak relevan.

----------------------------------------------------------
----------------------------------------------------
Pecahan kerusi BN PRU-11
Wakil Melayu = 115 (58%)
Wakil Bukan Melayu = 83 (42%)

Pecahan kerusi BN PRU-12
Wakil Melayu = 86(63%)
Wakil Bukan Melayu = 51(37%)
----------------------------------------------------------
----------------------------------------------------------
Pecahan kerusi Pembangkang PRU-11
Wakil Melayu = 8 (38%)
Wakil Bukan Melayu = 13 (62%)

Pecahan kerusi Pembangkang PRU-12
Wakil Melayu = 44 (52%)
Wakil Bukan Melayu = 41 (48%)
----------------------------------------------------------
----------------------------------------------------------
Pecahan kerusi BN+Pembangkang PRU-11
Wakil Melayu = 123 (56%)
Wakil Bukan Melayu = 96 (44%)

Pecahan kerusi BN+Pembangkang PRU-12
Wakil Melayu = 130 (59%)
Wakil Bukan Melayu = 92 (41%)
----------------------------------------------------------

Dr Sepet said...

Terima kasih di atas kesungguhan, sungguh terperinci analisa dan angka yang dibentangkan En Alang. Tentunya angka dan track record itu tidak menipu kita. Apapun saya akan ulas sikit sahaja lagi mengenai komen no.2 En Alang itu pada entri terbaharu saya. InsyaAllah.

encik alang said...

Terima kasih kembali kepada Dr Sepet.
Saya pun bukanlah ahli dalam bidang ni,cuma sebagai manusia merdeka,saya lebih senang mengambil tahu agar tidak dicucuk hidung macam lembu.

artikel terbaru Dr juga sudah saya selesai hadami.:)

p/s: tak sangka,komen saya mendapat respon selaku entri baru.