Jumaat lepas (3 Ogos) kami bertiga bertolak pulang ke kampung di Terengganu untuk meluangkan sedikit masa menziarahi kedua orang tua, adik-adik serta saudara-mara. Tambahan pula, sudah agak lama kami tidak pulang.
Perjalanan kami lancar dan Alhamdulillah selepas 5 jam (sekitar jam 3.30 petang) kami selamat tiba ke Durian Kassim. Pembukaan laluan baru Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dari Dungun/Bukit Besi ke Ajil dan Kuala Terengganu banyak membantu mengurangkan jumlah kenderaan di "jalan lama" Jerangau - Ajil, membolehkan saya memandu laju dan selesa sekali.
Harapnya, menjelang hari raya nanti lebih banyak kenderaan akan bersesak menggunakan LPT dan biarlah pemandu berkhemah berhemah seperti saya menggunakan jalan lama terus ke muka pintu rumah kedua orang tua.
Kami juga tiba sehari lebih awal berbanding adik-beradik lain kerana perlu pulang lebih awal kerana urusan kerja dan kuliah. Esoknya (Sabtu) barulah keluarga Fendy dan adik Ain pula tiba.
Adik saya yang ini (Ain) baru sahaja tamat pengajian dan kini hanya bekerja kilang, di Malaysia Milk sebagai Junior Microbiologist.
Sebaik tiba, saya tidak menunggu lama dan terus membantu Mok di dapur menyediakan hidangan berbuka puasa (walaupun ketika itu masih lambat lagi nak berbuka). Bukannya apa, hari ini Mok menyajikan Ayam Percik dan bubur lambuk ikan (pucuk Midin).
Setelah teruk kena leter (blebe) oleh Mok kerana mengganggu territory (aka kawasan dapur dia), saya kemudiannya berjalan-jalan ke sekeliling rumah. Masihkah anda ingat posting saya berkenaan aktiviti bercucuk-tanam cili di rumah kami di Klang? Rujuk kisah tersebut di sini: KLIK.
Melihatkan pokok-pokok cili yang ditanam Mok, yang seusia dengan cili yang saya tanam, memanglah saya ini seorang penanam cili yang gagal kerana bukan sahaja saiz pokok cili Mok yang jauh lebih besar, malah buahnya lebih 4 kali ganda daripada cili yang saya tanam.
Selain menanam cili, Mok juga "memenuhkan" sekitar kawasan rumah dengan pelbagai tanaman seperti kacang panjang, terung, kobis, kunyit, lengkuas, 'tene'/petola, ubi kayu dan banyak lagi.
Saya kira dari segi bekalan sayur, Mok sudah self-sustain (mapan), bahkan minat sebegini membolehkan beliau mendapat wang lebih dengan menjual hasil cilinya (cili padi ini mahal harganya, beberapa biji sahaja sudah RM1).
Buat sekian lamanya keluarga saya telah terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan. Malah, duit menjual ayam daging inilah yang menyekolahkan kami 9 beradik dan sehingga menjadi insan seperti hari ini. "Skrip" Mok sudah boleh kami semua hafal "nok berenti doh, lama doh meniaga, nok rilek pulok". Itulah ayat dia sejak berpuluh tahun yang lalu.
Memang, dengan keadaan keluarga sekarang Mok sudah boleh pencen dan berjalan-jalan. Kami-kami yang sudah bekerja ini tentunya boleh "chip-in" menampung kewangan kedua mereka.
Saya secara jujur dapat rasa yang Mok dan Ayoh kerja berniaga inipun, adalah kerana "kesukaan" dan sayangkan pelanggan-pelanggan tetap mereka. Sebab kalau nak dikira untung tu tidaklah banyak sangat kerana saingan hari ini begitu sengit dengan kemunculan ramai peniaga lain yang menawarkan harga "sikit lagi nak rugi".
Akan tetapi, sebagai "orang lama" yang berniaga di kawasan tersebut, Mok melihat potensi untuk meneroka pasaran baru dengan menerapkan strategi "Blue Ocean" (secara tak sengaja barangkali).
Caranya adalah dengan memperkenalkan penjualan ikan air tawar segar, Tilapia (terbukti segar). Asalnya, ikan hanya menjadi sumber tambahan, tetapi akhir-akhir ini menyumbang secara signifikan kepada pendapatan. Saya kira, tolak modal makanan ikan, kesemuanya adalah 'pure profit' kerana ikan tilapia ini "dibiak sendiri dan diternak sendiri" hasil usahasama Ayoh dan adik no. 4 yang bekerja sebagai pegawai perikanan di Unit Hatceri dan Air Tawar, UMT (laki-bini sama kelulusan, sama minat).
Malah, sumbangan bawang dan rempah-ratus daripada anak-anaknya yang telah bekerja juga turut dimanfaatkan Mok dengan menjual ikan berempah pula (dapat jual lebih mahal berbanding dijual segar).
Di rumah juga terdapat kucing. Saya tidak bilang berapa ekor tetapi yang selalu bermain di kaki ada 2 ekor. Tidak ramai orang yang minat kucing di rumah itu kecuali si Ain (aka tuan kucing). Bermacam ragam kucing 2 ekor ini yang turut menarik minat Mawaddah dan Irdina bermain sama.
Hari Sabtunya, kami meluangkan masa ke Bandar Dungun yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari kampung. Kami mengunjungi kedai-kedai kain Kemboja yang terletak di stesen bas lama di Dungun. Ramailah orang yang keluar ber-shopping, hingga tidak dapat saya cam yang mana satu pemilik gudang kain tersebut.
Menurut cerita, asal kedatangan warga Kemboja ke daerah ini hanya sebagai penjaja kain (yang dibungkus dan dijunjung di kepalanya). Kemudian berjalanlah dia (seorang sahaja waktu itu) dari kampung ke kampung menjual kain. Kemudian disewa rumah dan tanah untuk tempat tinggal.
Apabila perniagaan berkembang di atas sokongan orang kampung, rezeki si Kemboja itu telah bertambah sehingga kini semakin ramai warga Kemboja yang datang berniaga kain. Jadilah mereka penduduk tetap (PR), anak-anak semua lahir di sini dan bantu kembangkan perniagaan.
Daripada hanya menyewa, sedikit demi sedikit tanah orang kampung dibeli (hasil duit berniaga kain) dan akhirnya banyak tanah yang asalnya milik orang kampung, kini menjadi milik si Kemboja. Dan sekarang, saya berdiri di hadapan deretan kedai kain milik mereka yang sesak dengan orang Melayu yang selama ini banyak membantu memperkayakan si Kemboja itu. Statement saya tadi bukannya bukan rasis, sekadar luahan hati, sebab bukan salah mereka pun. Siapa rajin dan cerdik, maka merekalah yang berjaya. Siapa malas dan nak duit mudah, meloponglah di kemudian hari.
Saya tidak marah dengan si Kemboja itu kerana mereka kaya melalui kerja keras membanting tulang mencari rezeki. Tambahan pula, ramai orang kampung dapat membeli kain dengan harga yang lebih murah sebagai persiapan Hari Raya nanti.
Dalam perjalanan pulang, saya perhatikan air Sungai Jerangau telah surut dengan begitu ketara sekali. Sepanjang ingatan saya, tidak pernah lagi air sungai besar Jerangau surut sebegitu rupa. Patutlah krisis air di kawasan kampung saya semakin kronik sejak kebelakangan ini.
Walaupun pelbagai aduan telah dibuat penduduk, dan jambatan Jerangau "naik biru" dengan kibaran bendera BN, sehingga kini masih belum ada hasilnya. Pihak akhbar seperti Sinar Harian sekalipun dilihat "kerap" turun padang menyemak aduan penduduk, tetapi isu air ini tidak pernah masuk berita. Entah di manakah silapnya.
Tiada pihak selain penduduk yang tahu mengenai isu ketiadaan air ini. Memanglah isu air di daerah Hulu ini tidaklah "menguntungkan" seperti isu air di Selangor, tetapi hal bersabit kebajikan rakyat perlu ditangani secara adil dan beramanah.
Saya juga mendapat tahu, sebelum ini, ada penduduk kampung yang dimarahi JKKK kerana membuat aduan kepada surat khabar mengenai jambatan ke padang ragut yang runtuh tidak lama dahulu. Alasan JKKK adalah penduduk masih boleh mengangkut guni-guni rumput cerut mereka dengan motosikal, walaupun sebelum ini para penternak lembu dan kambing menggunakan van atau wagon bagi memudahkan urusan mengangkut rumput-rumput tersebut.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bekalan air di kawasan Hulu ini disediakan oleh dua sumber iaitu Tasik Kenyir dan Sungai Jerangau. Bagi pengguna paip sebelah Kenyir, mereka tidak mengalami gangguan ini. Situasi tambah buruk bagi penduduk yang tinggal di kawasan agak tinggi dari aras jalan raya (tekanan air lemah). Jika SATU (Syarikat Air Terengganu) yang mengendalikan kedua-dua sumber ini, mengapa tidak mereka sambung (tap) salur paip Kenyir dengan Jerangau sebagai langkah kontigensi? Aneh.
Antara aktiviti yang "menggembirakan" saya apabila berada di kampung adalah solat berjemaah, terutama Maghrib bersama adik-adik dan Ayoh. Kali ini saya diberi penghormatan meng-Imamkan solat.
Untuk Tarawih, saya mengikuti Pengerusi Masjid (aka Ayoh) ke Masjid. Dapatlah "bertemu muka" dengan orang-orang kampung yang saya yakin mereka tidak mengenai saya pun (haha). Keadaan sudah jauh berbeza terutama dari segi jumlah yang hadir bertarawih. Mungkin golongan muda ramai yang telah berhijrah, mencari kehidupan di bandar-bandar. Tinggal beberapa kerat orang yang tua dan seusia dengan Ayoh menghuni dan menghidupkan kampung.
Alhamdulillah, percutian singkat kali ini dipenuhi dengan bermacam kegiatan yang bermanfaat dan lebih rileks, sesuai dengan fizikal yang berpuasa. Akan kembali lagi untuk berhari raya, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment