Wednesday 22 August 2012

Proton


Projek Proton kononnya bertujuan memajukan perindustrian negara.

google image

Perkilangan kereta dijangka akan membawa kemajuan teknologi, kemahiran kejuruteraan dan industri potensi eksport.

Selepas kerugian selama 4 tahun, Proton pulih mulai 1989 apabila permintaan domestik meningkat dan harga yang dibayar EON lebih tinggi.

Akibat perlindungan dan subsidi tidak langsung, Proton untung sejak tahun 1990-an. Kereta import dikenakan cukai sebanyak 300 peratus. Keuntungan tahunan meningkat melebihi RM1billion bagi tiga tahun kemudian (2003-2005).

Perlindungan bagi Proton telah meningkatkan harga semua kereta. Ramai pembeli kereta merungut bahawa perlindungan demikian menyebabkan mereka terpaksa menerima kekurangan mutu Proton dan juga pilihan model kereta yang terhad dalam pasaran tempatan.

Hasil kerajaan daripada cukai kereta import juga menurun kerana pembeli kereta ‘terpaksa’ membeli Proton kerana perbezaan harga yang begitu besar.

Mitsubishi berminat terhadap projek kereta Malaysia kerana dapat mengaut keuntungan lumayan, terutama daripada perlindungan pasaran tempatan untuk Proton.

Selain keuntungan daripada jualan kereta, Mitsubishi memperoleh pendapatan besar daripada komponen kereta, bantuan pengurusan dan teknikal. Maka, Mitsubishi mendapat keuntungan, walaupun projek kereta Proton menyebabkan kerugian kepada HICOM pada tahun-tahun awal.

Dengan pelaburan hanya RM54juta, Mitsubishi menawan sebahagian besar pasaran kereta Malaysia. Sebelumnya, Mitsubishi menyandang tempat ke-5 dalam pasaran Malaysia, dengan hanya 8 peratus dalam 1982.

Proton menguasai lebih 70 peratus pasaran kereta awal tahun 1990-an dan 60 peratus sedekad kemudian setelah pengenalan Perodua, iaitu kereta nasional kedua.

Sementara projek kereta Proton membebankan ekonomi, tidak terdapat bukti bahawa projek kereta telah menjadi asas kukuh tahap baru perindustrian berat di Malaysia yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa, meskipun industri kereta pernah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri Amerika dan Jepun.

Pada 1991, Mahathir mengumumkan rancangan bagi kereta nasional kedua, yang lebih kecil, dengan kemampuan enjin kurang daripada 1000cc dengan harga dan kos kurang daripada Proton Saga, bersama syarikat Jepun Daihatsu, yang bersekutu dengan Toyota.

Projek Perodua memulakan pengeluaran pada 1994 dengan keistimewaan yang sama seperti Proton.

Pada ketika itu, jelas bahawa Mahathir MARAH dengan Mitsubishi atas beberapa sebab, termasuk pemindahan teknologi perlahan, pengurusan yang lemah dan pergantungan teknologi berterusan kepada Mitsubishi di Jepun.

Proton Iswara direka jurutera British, bukan Mitsubishi. Proton juga bekerjasama dengan Citroen dan Diversified Resources Berhad (DRB), sebuah syarikat Bumiputra, untuk mengeluarkan dua model baru.

Apabila perlaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) tidak boleh ditunda lagi pada 2006, cukai import ke atas komponen kereta dipotong kurang daripada 5 peratus menjadi 40 peratus.

Proton sudah ketinggalan setelah kemunculan industri kereta di negara Thailand.

Kemunculan industri kereta di negeri Thai di sekitar Rayong – sekarang digelar ‘Detroit Timur’ – berjaya menjadikannya tapak pengeluaran global. Jumlah pelaburan dalam industri kereta di negeri Thai jauh melebihi Malaysia.

Pada pertengahan 2003, Proton menyiapkan kilang kereta baru dalam masa setahun atas 4000 ekar tanah di bandar Proton, berdekatan Tanjung Malim, sebelum persaraan Mahathir pada bulan Oktober.

Kilang baru mempunyai kapasiti dua kali ganda kilang yang terdapat di Batu Tiga, yang masih tidak digunakan sepenuhnya selepas beroperasi 18 tahun.

Selepas Mahathir bersara pada Oktober 2003, Proton kurang diberi keistimewaan seperti dahulu, apa lagi dengan AFTA. Namun, usaha pemerintah menjadikan Proton kilang pemasangan bagi syarikat kereta gergasi antarabangsa terus ditentang Mahathir.

Dengan kapasiti berlebihan yang terdapat dalam industri global kereta, pilihan yang masih terbuka bagi mengurangkan kerugian akibat projek Proton agak terhad.

-------------- 
Dipetik dari:

Jomo, K. S (2010). Warisan Ekonomi Mahathir. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (pp. 89-91).

No comments: