Tuesday, 24 November 2009

Khabar kepulangan

Menyampaikan pesanan rakan-rakan dan bekas pelajar buat sesiapa yang mungkin melayari dan membaca blogspot ini.

Pada 22/11/09 jam 11.49 malam, saya menerima satu s.m.s memaklumkan bekas guru / rakan seperjuangan Dr. Amiruddin Abu Bakar (Bapak) telah dijemput pulang Allah SWT.

Sumber foto: sini

Sebagai salah seorang daripada anak murid yang pernah menerima didikan bapak kira-kira 7 tahun yang sudah, dan dengan ilmu yang beliau curahkan sehingga saya menjadi manusia (dan akhirnya berjuang bersama bapak sebagai pendidik anak bangsa), kepulangan bapak begitu saya rasai.

Tambah mendukacitakan saya kerana saya kini telah pulang (seketika) ke tanah air, dan hajatnya memang ingin menziarah rakan-rakan (bekas guru), namun dek kesibukan tugas, banyak perkara perlu dianjak-anjak hingga beginilah kesudahannya.

Apapun, pesan dan nasihat serta segala tunjuk ajar bapak akan saya ingat, kenang dan amalkan. Mudah-mudahan ilmu yang bermanfaat ini akan terus tercatat dalam buku amalan kebaikan dan pahalanya sampai buat bekalan bapak di alam sana.

Al-fatihah....

nota:

Semalam (malam Rabu selepas Isya, kami sekeluarga menghadiri majlis tahlil yang dibuat di kediaman arwah - bantuan Pn Azina dan suami. Di majlis tersebut juga saya sempat meluangkan masa bertemu dan berbual dengan beberapa guru (kini jadi kawan) termasuklah Dr Ibrahim, Hj Mahadi (Pengarah Jab. Perancangan Bandar DBKL), Prof. Mansur Ibrahim (UIAM) dan beberapa tetamu yang lain.

Begitu cepat masa berlalu dan kelihatannya guru-guru saya mula meniti waktu 'lama'. Apapun di kesempatan yang singkat itu pelbagai isu dan input terkini berkaitan bidang PBW dan IPT telah dikongsi dan banyak nasihat serta motivasi telah saya terima.

Bak kata pelajar saya di blog beliau, pemergian Bapak bukanlah untuk berterusan kita tangisi, tetapi gunakanlah segala ilmu yang kita dapat sepanjang mendapat tunjuk ajar arwah untuk dipraktikkan bagi manfaat ummah. Itu yang menjamin kebahagiaan dan manfaat yang berkekalan.

Wassalam.

No comments: