Tuesday 3 November 2009

MCA: 1Parti, 2 Timbalan Presiden

Krisis dalaman MCA (parti komponen ke-2 terbesar dalam BN) kini kian menarik untuk diikuti. Semalan, Pendaftar Pertubuhan atau ROS mengeluarkan surat pengesahan bahawa D.S. Chua Soi Lek masih merupakan Timbalan Presiden (TP) MCA yang sah.

Surat pengesahan tersebut telah dilihat oleh pelbagai pihak sebagai telah 'mengebom' pelan damai, atau pelan perpaduan yang dirintis selepas EGM MCA minggu yang sudah di antara Tee Keat (Presiden) dan Soi Lek (yang ketika itu tidak berjawatan dalam MCA).

Dan turut menjerut kedudukan seorang lagi 'Timbalan Presiden' MCA yang baru dilantik selepas keputusan EGM, D.S. Leow Tiong Lai.

Berita lanjut dari Astro Awani juga menyebut bahawa 4 anggota jawatankuasa kerja pusat (CC) yang rapat dengan Tiong Lai turut dipecat dari parti.

Empat anggota CC yang dipecat oleh Presiden
Foto (sumber)

Reaksi

Keputusan ROS tersebut telah menimbulkan pelbagai rekasi dan maklum balas.

Dari dalam parti:

- Presiden, Tee Keat menerima keputusan ROS dan dengan itu telah mengembalikan semula jawatan TP kepada Soi Lek, kerana menganggap ianya selaras dengan tuntutan perlembagaan parti.

- TP (ROS), Soi Lek ketika diserbu wartawan menyatakan bahawa selama ini beliau sememangnya memiliki hak untuk terus menjalankan tugas sebagai TP parti dan keputusan ROS tersebut adalah tepat dan mengikut perjalanan perlembagaan parti.

- TP (EGM), Tiong Lai pula turut tidak berganjak daripada kerusi TP parti kerana menganggap pelantikan beliau adalah di atas kesepakatan dan persetujuan anggota MCA sendiri, sebagai menuruti keputusan resolusi EGM baru-baru ini. Malah, beliau akan memfailkan kes / rayuan di mahkamah terhadap keputusan terbaru ROS tersebut.

Dari luar parti:

- TP BN (T.S. Muhyiddin) menyifatkan keputusan ROS itu adalah berpandukan undang-undang dan sewajarnya ahli MCA menerimanya, selaras dengan peruntukan yang termaktub pada perlembagaan parti mereka.

Taufan dalam cawan

Jika akhbar sebelum ini begitu riuh dengan 'EGM' PAS (yang kemudiannya ditukar kepada Seminar politik), kini krisis kepimpinan MCA kembali 'menenggelamkan' perkembangan terbaru dalam PAS.

Jika sebelum EGM MCA, krisis dalaman ini hanya dianggap sebagai 'ribut dalam cawan' - jangan masuk campur kepada MCA mampu selesaikan sendiri masalah mereka.

Dan sangkanya, selepas EGM dan 'perdamaian' yang dicapai kononnya, telah mengakhiri 'ribut tersebut, namun dalam diam rupanya ia merupakan detik bermulanya 'taufan' dalam MCA.

Jika selepas EGM Soi Lek masam mencuka dan Tiong Lai bertambah ceria, kini keadaan sebaliknya berlaku. Tiong Lai pula nampaknya perlu bekerja keras untuk sedaya mungkin mempertahankan 'kuasa' yang (sementara) dinikmatinya.

Tapi perlu diingat, salah percaturan, bukan sahaja karier politik beliau akan pupus, sebagaimana nasib 4 'kawan baik' beliau dalam CC semalam, malah tidak dinafikan boleh mengheret MCA ke kancah perpecahan yang lebih teruk.

Lebih teruk lagi, MCA dan kesemua calon yang diletakkannya dalam Pilihanraya kelak akan ditolak pengundi.

Lemah membawa rebah

Sebagaimana merumus kata-kata Tun M, EGM ke-2 MCA tidak lebih hanya akan terus melemahkan parti, dan parti yang lemah akan mudah goyah dan akhirnya rebah akibat kehilangan dokongan dan sokongan ahli dari akar umbi.

Simpton penyakit kudis buta (gila nak kekalkan juga kuasa dan kedudukan) dalam MCA ini jika terus dibiarkan (oleh pengerusi BN) kelak akan turut berjangkit dan dideritai seluruh susuk tubuh yang dipanggil Barisan Nasional (BN).

Waktu itu jugalah, semua ahli politik dan menteri-menteri akan sibuk 'bersilat' mempertahankan kedudukan dan hayat politik masing-masing (diri didahulukan).

Dan akhirnya, rakyat akan kembali merenung apakah perancangan dalam Bajet 2010 dan Rancangan Malaysia ke-10 (2010-2015) akan terlaksana dan mencapai apa yang diikrarkan memanda Perdana Menteri bersama barisan 1Malaysia-nya sebagai "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Sekian.

No comments: