Saya tertarik dengan perkembangan yang berlaku dalam barisan kepimpinan UMNO negeri Terengganu baru-baru ini sebagaimana dilaporkan kedua akhbar arus perdana dan akhbar alternatif.
Kepada PR: "Mahu tapi malu" - ada sesetengah bloggers yang melabelkan begitulah sikap yang masih terpancar melalui percakapan wakil-wakil ADUN UMNO Terengganu mengenai hal ini.
Kepada BN: "Benci tapi rindu" - ada juga bloggers yang melihat begitu mereka masih sayangkan UMNO demi kepentingan mereka, tetapi gagal mencari damai dengan menteri besar mereka, yang juga pemimpin UMNO.
Melihatkan arus pergolakan masih belum reda di kalangan ADUN pro-Idris dan pro-Mat Said, sebagaimana ADUN Ajil, Rosol Wahid nyatakan dalam rakaman temubual beliau di Youtube (biarpun dinafikan Dato' MB dan D.S. Hisham), maka timbul ura-ura untuk 'membawa' ADUN-ADUN terlibat 'menyeberang lari' ke PR (baca: PKR).
Aktiviti memujuk dan 'membantu' ADUN yang bermasalah untuk keluar parti ini bukanlah sesuatu yang asing dan tidak pernah kita dengar.
Telah banyak kes dilaporkan dengan yang terbaru adalah kes ADUN Lunas (Kedah) yang mengumumkan keluar PKR untuk menjadi ADUN 'Bebas'.
Setakat ini, banyak kes ADUN keluar parti adalah untuk menjadi Ahli Yang Berhormat 'Bebas'.
ADUN 'Bebas'
Terma ADUN Bebas ini pada saya sering diguna secara bebas, luwes tanpa kita sendiri benar-benar faham mengenainya.
Adakah 'Bebas' ini bermaksud mereka tidak langsung cenderung kepada mana-mana pihak?
Rasanya tidak begitu.
Ini kerana wujud kecenderungan di kalangan ADUN Bebas ini untuk berkelakuan 'tidak bebas' dengan menyatakan sokongan (minat menyokong) pihak-pihak tertentu.
Justeru, mereka-mereka (ADUN Bebas) ini sebenarnya 'Bebas dalam Tidak Bebas' kerana masih bergantung dan menggantung harap kepada pihak yang lain juga.
Namun sampai bila ADUN 'Bebas' ini ingin hidup di bawah bayang-bayang orang lain dan selama mana mereka ini dapat mempertahankan 'kebebasan' mereka itu?
Ajak lawan jadi kawan
Tidak dapat tidak, kita semua telah melihat bahawa usaha menarik keluar ADUN BN kepada PKR telah gagal. Dan di masa yang sama juga, usaha memperkukuh dan memperkuatkan kembali UMNO negeri juga gagal (sebagaimana komen YB. Rosol).
Timbul persoalan kepada saya, apakah PR atau BN tidak memiliki set kriteria @ garis panduan bagaimana untuk menerima seseorang pemimpin itu menyertai mereka?
Adakah setiap kali krisis berlaku (tidak kira PR atau pun BN), ADUN-ADUN mereka senang-senang saja dipelawa menyertai parti lawan mereka?
Bagaimana pula jika 'lawan' yang ingin dijadikan 'kawan' itu mereka-mereka yang 'berpenyakit' dan 'ada rekod' (akhlak buruk, makan rasuah, suka melawan ketua, etc).
Mungkinkah kemasukan mereka-mereka ini akan 'menyebarkan penyakit' berbahaya mereka kepada pemimpin yang sedia ada?
Dan akhirnya, rakyat dan pengundi sendiri akan melihat bahawa parti yang mereka dokongi itu 'tidak lagi suci' dari segi matlamat perjuangannya, dan lebih teruk lagi, parti kesayangan mereka itu sendiri semakin hari semakin menampakkan 'cerminan' sikap, imej dan prilaku parti lawan yang selama ini mereka duduk tolak setiap kali tibanya PRU dan PRK.
Buat kira-kira
Setiap kita, setiap hari dan setiap masa, perlu membuat keputusan - apa nak masak hari ini, baju apa nak pakai hari ini, nak keluar beli barang makan ke tidak petang ini, etc.
Membuat keputusan telah menjadi 'darah daging' setiap kita sama ada secara sedar atau tidak.
Namun di peringkat yang lebih tinggi adalah wajar pertimbangan yang lebih diberikan kerana kesan atau implikasinya lebih besar lagi.
Makanya, jika setiap kali muncul lagi kisah 'ada ADUN akan keluar parti' - harapnya akan adalah suatu bentuk set kriteria atau garis panduan yang akan digunapakai di dalam membantu membuat pilihan sama ada ingin menerima atau tidak.
Kita bukan sahaja ingin bersih secara luaran (jasmani), tetapi lebih penting kebersihan dalaman (rohani) juga perlu ditekankan.
Rosak rohani, rosaklah jasmani dan akal, akhirnya rosaklah keputusan yang dibuat dan huru-haralah parti dan pentadbiran negara secara keseluruhannya.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment