Tuesday, 11 August 2009

Jonestown cult: Bahana gila kuasa & ketaksuban melampau

Suatu hari dalam minggu lepas (saya dah lupa apa hari dia), saya menonton satu dokumentari di saluran Discovery: UK Premiere (Saluran 520 SKYtv).

Dokumentari yang amat menarik dan penuh pengajaran, tetapi penuh tragis itu bertajuk "Jonestown Cult".

Saya tidak ingin menyenaraikan fakta dan kisah terperinci mengenainya, cuma sekadar menghuraikan apa yang termampu saya ingat dan intipati pengajaran di sebalik paparan dokumentari ini.

Fakta dan kisah terperinci boleh para pembaca yang budiman dapati dengan mudah dengan mengaksessnya melalui carian di Google .

Pada tahun 1970an hingga awal 1980an, kehidupan masyarakat di Amerika masih diselubungi konflik perkauman. Biarpun pada ketika itu, pengaruh klan (klu-klak-k) semakin merosot, namun situasi pengasingan kaum minoriti (kulit berwarna - hitam, latin, asia, etc) dan perbezaan layanan masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Namun, di sesetengah tempat telah muncul kesedaran di pihak penduduk kulit putih untuk memulihkan layanan mereka kepada rakyat kelas-2 ini. Seorang Pastor (a.k.a ustaz dalam ajaran Kristian) bernama Jones muncul untuk menjadi pemimpin yang berperanan menyatu-padukan masyarakat berbilang kaum di bawah gereja rakyat (the people church) yang diasaskannya di Indianapolis.

Idea perpaduan tanpa mengira bangsa dan kaum menerima sokongan kumpulan minoriti dan kulit putih sendiri dan pengaruh gereja rakyat semakin berkembang sehingga menjangkau keluar negeri asal hingga ke San Francisco dan beberapa bandar lagi.

Malah, di atas usaha berterusan itu, Jones telah dianugerahkan 'the Martin Luther King Jr Humanitarian Award'. Pengaruh Jones juga turut membangkitkan minat yang luar biasa di kalangan pemimpin politik.

Namun, disebabkan rimas dengan kritikan media Amerika terhadap 'ajaran' kumpulan dan gereja beliau (method pengajaran beliau sering dipersoal dan dikritik), Jones dan para pengikut fanatiknya telah berpindah, mencari 'dunia baru' dengan meneroka hutan di pedalaman Guyana, Selatan Amerika.

Petempatan ini dinamakan Jonestown bersempena nama pemimpin agung mereka itu. Di sana, di dunia yang serba terasing tetapi dianggap sebagai 'syurga yang sempurna' buat klan mereka. Menyewa tanah hutan dari kerajaan Guyana dan menanam pisang sebagai makanan asasi, mereka hidup dengan aturan yang dibawa pemimpin mereka.

Pada awalnya, Jones begitu disanjung oleh para pengikutnya, sehinggalah segala tindakan dan keputusan beliau wajib tidak boleh disanggah. Beliaulah yang paling benar.

Malah, apabila ada di kalangan pengikut yang bertanya 'lebih sikit' para pembantu Jones akan mengugut dan mengherdik pihak yang berbeza pendapat. Manakala, yang lain begitu fanatik dengan fahaman klan mereka.

Sifat diktator paderi Jones semakin jelas di mana pengikutnya dilarang untuk bersuara dengan bebas. Malah, orang-orang tertentu yang dilihat sering membangkang arahan beliau mula diperhati secara dekat oleh pengikut kanannya.

Lebih parah lagi, semua penduduk Jonestown perlu menandatangani surat akuan bahawa anak-anak mereka bukanlah dari perkongsian hidup dengan bapa mereka, tetapi menjadi milik Jones.

Setelah lama keluar dari tanah Amerika, perkembangan Jones serta para pengikutnya menimbulkan tanda tanya terutama di kalangan ahli keluarga yang masih di US, serta Senator US.

Ditakdirkan, Senator tersebut ingin ke Guyana melihat situasi kemanusiaan di Jonestown. Kehadiran beliau disambut baik dan dibawa ke 'kem' Jones - kira-kira 7 batu melalui jalan berlumpur ke dalam hutan.

Segalanya berjalan baik, sehinggalah di hari Senator tersebut ingin bertolak pulang, seorang penduduk di kem tersebut secara diam-diam telah menyelitkan satu nota ke dalam poket (lupa saya, poket Senator atau pembantunya) tertulis "tolonglah bawa kami keluar dari tempat ini".

Senator telah menanya Jones perihal nota terbabit dan hasil rundingan, Jones membenarkan pengikut yang 'tidak serasi' untuk dibawa pulang ke US.

Tetapi prosesnya bukan mudah. Apabila masuk kuasa, segalanya perlu digunakan untuk meneruskan cengkaman. Hasilnya, ibu terpaksa berpisah dengan anak (menjadi milik Jones).

Rombongan Senator kembali ke tempat pendaratan, dan sebaik ingin menaiki kapal terbang, satu traktor penuh dengan 'penembak' mula melepaskan tembakan ke arah rombongan senator terbabit.

Ramai terkorban, termasuklah Senator US itu, wartawan dan jurugambar stesen TV NBC, manakala yang lainnya lari bersembunyi di hutan (tahun 1978).

Merasakan bahana bakal muncul kerana mengatur tindakan membunuh Senator tersebut, Jones tiada jalan lain melainkan mengeluarkan pernyataan kepada para pengikut fanatiknya bahawa telah tiada tempat selamat dan aman buat klan mereka.

Justeru, sebagai reaksi kepada dunia yang tidak aman dan dapat menerima cara hidup klan mereka, tindakan seterusnya adalah dengan membunuh diri.

Namun, di hati pengikut fanatik Jones, mati bersama Jones pun matilah. Lari dari ketidakadilan dunia ini.

Kawasan hutan dan ladang pisang kesemuanya dibakar dan Jones serta para pengikutnya berkumpul di gereja mereka di tengah Jonestown.

Jones menerangkan bagaimana cara mereka bakal mati, iaitu dengan meminum air yang dicampur Potasium Cyanide dan kanak-kanak pula akan disuntik @ dipancut picagari ke dalam mulut mereka.

Pada awalnya, kanak-kanak telah dikorbankan, dirampas dari dakapan ibu masing-masing, disusun di atas tikar beramai-ramai sebelum disuntik racun Cyanide. Maka berbarislah mayat kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa.

Waktu itu, timbul bangkangan. Bagi yang rasional, mereka berhak untuk memilih jalan hidup dan bukan Jones yang berkuasa menentukan. Maka, tidak kurang juga mereka yang degil ini mati ditembak, dan sedikit yang hidup dengan lari ke dalam hutan.

Racun Cyanide ini dibancuh ke dalam tong air (macam air ceduk kat pasar malam) untuk diminum oleh semua pengikut fanatiknya.

'Kelebihan' Cyanide ini ialah setelah meminumnya, mereka akan merasa lemah dan mengatuk, dan jatuh 'tertidur' di tanah dan mati tanpa rasa sakit (macam mati dalam tidur).

Kumpulan penyiasat kemudiannya datang ke Jonestown apabila mendapat berita kematian Senator dari mereka yang sempat lari. Dari jauh, mereka seperti melihat satu padang yang penuh dengan kain-baju.

Namun, semakin dekat, imej kain-baju tersebut makin jelas. Ianya memang kain dan baju, cumanya ia masih terlekat pada tubuh badan para pengikut fanatik Jones.

Bergelimpangan mayat-mayat tersebut. Bayi dan kanak-kanak dapat dilihat pada tikar di dewan, bagi orang tua mereka dipaksa meminum racun, segalanya ibarat bencana kemanusiaan yang begitu besar.

Siasatan awal menunjukkan 300 mayat, namun kemudiannya bertambah kepada 500, dan kemudian menjadi 700. Namun, jumlah yang dilaporkan akhbar adalah melebihi 900 orang (918 mayat)!

Kisah tentang bagaimana sifat seorang paderi yang asalnya bertujuan menyatukan pelbagai kaum, bertukar menjadi medan membina kekuasaan dan pengaruh.

Akhirnya menjadi 'terlalu agung dan suci' dan menghapuskan amalan demokrasi, melahirkan sistem diktator.

Ada banyak pengajaran berguna dari dokumentari ini.

Ketaksuban melampau para pengikut telah menjadikan pemimpin begitu kebal, begitu mulia malah sanggup mati bersama.

Pemimpin pula, sanggup berbuat apa saja bagi mengekalkan kuasa dan pengaruh, sehingga cara yang salah sekalipun, sanggup digunapakai.

Apabila melihat situasi di tanah air hari ini, gerun juga rasanya. Tidak kiralah sesiapa jua, nampaknya mereka-mereka ini demi mendapat kuasa @ demi mengekalkan kuasa, pelbagai cara dan sentimen telah, sedang dan bakal menunggu giliran untuk dimainkan.

Bagi para pengikut pula, janganlah demi pemimpin yang ingin mencapai matlamat kekuasaan mereka, hilang kemampuan untuk bersuara, berfikir, dan gagal untuk membuat pilihan yang terbaik buat diri sendiri.

1 comment:

SaifulAzri said...

Artikel ni mmg best. Tapi dlm situasi skrg ni bukan negara kita sahaja malah di negara negara lain pun kebanyakkannya pun macam tu. Manusia....macam tu laa