Thursday 20 August 2009

Permatang Pasir: Giliran calon BN kena bubuh

Sudah terang lagi bersuluh

Pendedahan bekas rakan kongsi Rohaizat, saudara Yusri di dalam satu sidang akhbar hari ini sebagaimana laporan Berita Harian Online (sumber) terhadap usaha 'mengambing-hitamkan' beliau berkenaan kes pembatalan lesen guaman calon BN itu, telah merungkai satu lagi 'krisis imej dan persepsi' calon yang menjadi pilihan UMNO/BN.

Pendedahan ini dilihat semakin menghangatkan lagi bahan dan modal kempen pada PRK kali ini. PR pastinya sedang 'penuh saku' menjaja 'durian runtuh' ini kepada para pengundi di Permatang Pasir. Sementara BN pula boleh diibaratkan sedang 'kepanasan' akibat 'mabuk durian'.

Walau apapun alasan, jawapan dan maklumbalas oleh para pemimpin UMNO terutama melalui Ketua Penerangannya, persepsi para pengundi di Permatang Pasir khususnya dan rakyat terbanyak amnya terhadap imej dan keperibadian calon BN pastinya telah terjejas/berubah.

Para pengundi (sama ada yang membaca akhbar, mahupun yang menghadiri ceramah / kempen) kini terdedah kepada pelbagai maklumat yang kesemuanya akan menyediakan input kepada mereka untuk membuat keputusan 'yang rasional' pada hari pengundian kelak.

Bagaimana mungkin kes sebesar ini boleh 'terlepas pandang' semasa proses pemilihan dan penentuan calon?

Rasa saya, jika Timbalan Presiden UMNO sendiri yang mengetahuinya lebih awal, pastinya Rohaizat tidak akan diumumkan sebagai calon. Rasa sayalah...

Label

Sebagaimana telah saya kupas pada dua posting sebelum ini, iaitu berkenaan 'pengurusan persepsi' - dalam posting PRK Manek Urai dan Demo anti-ISA.

Seperti Manek Urai, timbul tagline 'Profesional vs Penjual Ikan'. Bagitu juga ianya ditimbulkan pada awalnya di PRK Permatang Pasir 'Peguam vs Peniaga'.

Namun, akhirnya menjadi 'bekas peguam' yang kontroversi. Dan ini telah mengubah persepsi ramai orang terhadap beliau.

Biarpun hal dan pendedahan ini boleh saja dianggap sebagai provokasi murahan yang cuba untuk memburukkan peribadi beliau, Rohaizat tidak dapat tidak, perlu menginsafi diri dan melihat bahawa perubahan persepsi telah berlaku kepadanya.

Calon UMNO dan partinya tidak boleh terus berada dalam penafian, selain segera menyediakan jawapan yang 'rasional, jujur, tepat, berfakta dan bersaksi' bagi menguruskan persepsi para pengundi di Parmatang Pasir (PP) dan rakyat keseluruhannya secara yang betul.

Jika tidak dijawab dengan jujur (atau lebih teruk lagi, cuba buat-buat lupa nak jawab), bukan sahaja peluang untuk menang di PP nampak kelam, tetapi hal ini juga boleh memberikan 'selesema' baru terhadap imej dan ketelusan parti yang memerintah kerajaan persekutuan ketika ini, yang baru hendak kebah dari hal Manek Urai tempoh hari.

Buat kerja rumah

Kepentingan pengurusan persepsi nampaknya semakin membuka mata banyak pihak yang terlibat kali ini.

Bukan sahaja pimpinan PR yang memberikan komen, malah 'orang dalam' UMNO seperti Ku Li sendiri turut bercakap mengenainya.

Pengajarannya, pihak yang dipertanggungjawabkan baik di peringkat bawah, mahupun paling tinggi, tidak terlepas daripada keperluan untuk melakukan kerja rumah (homework) dan siasatan yang terperinci.

Hendak menyesal pun sudah tidak berguna kerana nasi telah menjadi bubur. Apa boleh buat?

1) MUNGKIN: Kenalpasti apa kekuatan diri/parti dan bagaimana untuk 'memanipulasikan' (dengan cara yang betul?) kekuatan dan juga kelebihan ini untuk memikat hati para pengundi.

2) MUNGKIN: Menjauhi permainan sentiman yang berbentuk 'melaga-lagakan' masyarakat berbilang agama dan kaum. Ini kerana silap haribulan, permainan ini boleh 'makan tuan' - seperti sekarang?

3) MUNGKIN: Mengamalkan sikap yang jujur, benar dan rendah diri dalam sebarang tindakan dan percakapan - biarpun sukar, atau biarpun tidak berminat. Ini kerana sepahit manapun yang benar itu, ianya tetap manis. Manakala, semanis manapun yang palsu itu, ianya tetap pahit jua.

Penutup

Apapun, PRK kali ini nampaknya menyediakan 'rencahnya' yang tersendiri. Dan inilah yang menjadikannya menarik untuk diikuti setiap rakyat yang prihatin tidak kira di mana kita berada.

Pastinya banyak yang akan beroleh 'nikmat' dari pesta pilihanraya kecil ini terutama para peniaga kecil, pembekal kelengkapan PRK, orang-orang lapar projek mee segera, golongan miskin dan anak yatim, pelajar sekolah, petani dan pekebun kecil, etc.

Tidak kurang juga ramai yang 'terkorban' hasil penipuan, janji palsu, khianat, projek tidak siap, bantuan sekerat jalan, etc.

Masa masih ada, dan nampaknya masih banyak 'perencah' yang bakal ditambah untuk menyedapkan lagi proses PRK PP kali ini. Menunggulah kita dengan sabar.

Wassalam.

No comments: