Berkabus tebal, suhu pula mencecah 3 degree, saya meredah malam ke Masjid Madinah, Stanley Road, Oxford bagi menunaikan solat Isya'.
Sehari sebelumnya, Syeikh Arfian ada menghubungi saya memaklumkan ketibaan 5 orang jemaah Tabligh dari Malaysia ke Oxford.
Mereka ber-5 (2 cikgu, 2 peniaga dan 1 pesara) sebenarnya telah 2 bulan menjelajah UK dan hari ini akan berada di markas di London sebelum menamatkan kerja-kerja dakwah mereka selama 1 bulan lagi di Ireland. InsyaAllah.
Seronok dapat berjumpa orang-orang Tabligh ni. Mereka tidak sembang dan bergurau merapu. Hanya bercakap mengenai kebesaran Allah dan bagaimana dengan keyakinan ini dapat membantu kita mengkoreksi (memperbetul) diri dan amal kita agar lebih dekat dengan Allah Taala.
Selepas mendengar 'bayan' yang disampaikan Cikgu dan beberapa jemaah lain memberi nama untuk keluar 3 hari dan 40 hari (saya hanya berazam tetapi belum mampu berikan komitmen kerana banyak urusan dunia yang mengejar), kami ke tingkat atas menjamah roti canai 'original' dari pengusaha restoran Roti Canai dari Pulau Pinang (salah seorang jemaah).
Ditebar secara 'live' di dapur masjid, ramai juga jemaah yang pertama kali melihat orang tebar roti dan kagum dengan 'skill' beliau kerana maklumlah di Oxford ini tiada kedai mamak atau warung roti canai.
Apapun, terima kasih di atas nasihat dan kata-kata perangsang yang cikgu berikan;
"Manusia ni lebih gemarkan sesuatu yang nampak (bayaran tunai). Tidak seperti kerja dakwah yang dijanjikan ganjarannya oleh Allah di akhirat kelak. Bayaran tidak nampak (seperti hutang dulu, bayar nanti) inilah yang tidak menarik minat dan kesanggupan kita untuk bekerja di jalan Allah....seperti orang bekerja 2-3 bulan tidak dibayar gaji, lazimnya akan cabut lari, cari kerja lain".
Moga perjalanan saudara-saudara seterusnya didalam naungan rahmat dan kasih sayang Allah.
No comments:
Post a Comment