Sunday 20 February 2011

Mendermalah


Alhamdulillah, di sebalik pelbagai kemelut ekonomi yang melanda UK waktu ini, komitmen para kariah terhadap kerja-kerja penyiapan Masjid di Manzil Way tetap tinggi.

Nampaknya kutipan mingguan £1800+ berterusan manakala progress jualan tempat solat telah melepasi 50%. Kos menyiapkan ruang solat utama (tempat solat merangkumi kos permaidani dan kos pemasangan) telah dianggarkan sebanyak £30,000 hingga £45,000.

Bagi membuka peluang kepada setiap ahli kariah melakukan amal jariah (dengan membeli lot ruang solat ini untuk diri sendiri, anggota keluarga sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia) dengan ditetapkan harga satu lot adalah sebanyak £60.

Tempoh guna atau jangka hayat permaidani solat ini pula dijangkakan boleh bertahan sehingga 30-35 tahun (selama itulah juga si polan beroleh untung daripada 'pelaburan' akhiratnya ini).

Jumaat lepas, Maulana Imam ada berceloteh (kali pertama saya lihat) menyatakan kegembiraan pihak pengurusan masjid dengan progress semasa. Cumanya, dalam ramai-ramai orang yang menderma dengan membeli ruang solat itu, baik untuk diri sendiri, anak-isteri dan orang tua mereka, tiada seorangpun yang tampil membeli ruang solat untuk Imam dan Bilal.....

Kata Maulana Imam, mengapa kita sanggup keluarkan wang beratus-ratus pound untuk membeli seunit TV plasma, flat screen bersaiz besar untuk ruang tamu rumah, sedangkan kita sendiri tidak pasti sampai bila kita dapat tengok TV itu.

Justeru, mengapa tidak boleh kita menyedekahkan sedikit daripada wang kita demi menyiapkan Rumah Allah, yang mana sedekah kita itu telah dijanjikan sendiri ganjaran jangka panjang oleh Allah Taala sendiri?

Benar juga. Jika kita lihat sendiri di dalam rumah kita, atau apabila kita bertandang ke rumah rakan-rakan kita, mewah sebenarnya rezeki yang Allah Taala kurniakan, tanpa perlu kita bayar apa-apa.

Sungguhpun menderma itu bukanlah mandatori atau wajib, tetapi ianya amat digalakkan. Tambahan pula jika kita bekerja, menjana wang dan inginkan keberkatan pada setiap sen wang yang kita perolehi.

Hidup di Malaysia barangkali lebih baik kerana masjid disediakan dan setelah lengkap dengan segala macam kemudahan, landskap dan CF, barulah ianya dibuka kepada para jemaah.

Di Oxford ini, segala usaha membina masjid adalah diatas inisiatif mereka-mereka yang komited dalam komuniti untuk melihat terbinanya sebuah tempat solat. Malah, ada sebahagian komuniti di sini yang bersolat di pusat komuniti yang mana hari Jumaat digunakan untuk Solat Jumaat, dan Ahad di jadikan gereja bagi orang Kristian. Itulah cabaran yang perlu dihadapi demi meneruskan praktis Islam di tempat orang. 

Melihat dan merasai sendiri kesusahan dan cabaran untuk beribadat di tempat orang membuatkan saya terfikir, adalah amat malang jikalau anda yang tinggal di Malaysia, yang dibinakan masjid dengan segala kemudahan, gagal dibangunkan dengan pengisian-pengisian bagi menyatupadukan ummah.

Sekian, dan mendermalah sedaya mungkin!

No comments: