Tuesday 30 June 2009

Bersantai di belakang rumah

Huh! Sungguh berbahang hari ini, hinggakan kami tidak senang untuk duduk di dalam rumah. Dah bukak semua tingkap pun masih terasa panasnya.

Justeru, kami bertiga telah berpakat untuk melepak dan bersantai di luar rumah.

Setelah "set-up" kawasan pendaratan dengan menghampar tikar, bantal, alat permainan dan laptop dan air mineral, kami pun berbaringlah sambil menikmati udara luar rumah (yang juga panas...huhu...).

Mawaddah tengah berborak ape ntah ngan ibu dia (diputihkan kerana posisi kureng sesuai).

"Panas kan hari ni ye Ibu?" (Aah, macam goreng pisang panas).

Pisang goreng? A.B.Cendollah best Ibu...Ape bende kat kaki tuh?

Ade sotong tengah pegang kaki saya...tolong...

Panas betullah, nak tidur pun susah.

Sambil bersantai, sambil buat kerja.

Sedih, sebab orang dah tak layan dia...huuuu

Bile sedih pun orang tak layan, ni yang rase nak mengamok je nih!

Ok, Ok, ini Ayah bawakkan "ubat" untuk orang mengamuk..Lalala..

Sotong yang tadi dok pegang kaki Mawaddah sekarang cuba pula bersembunyi kat dalam chair si Mawaddah.

Sekarang dah pukul 1.30pm, dan bahang kepanasan masih terasa, cuma agak OK dengan mendung sekali-sekala. Bila duduk berbaring-baring ni, mulalah rasa macam nak lelap aje...

Zzzzzzz......zzzzzzzzzz.....kita sambung lagi di lain masa.

Sunday 28 June 2009

Pendapat orang: Mengapa nak SPM 10 subjek?

Sila klik sini untuk bacaan sepenuhnya artikel berkaitan.

Pada saya, selagi pendekatan belajar di peringkat SPM tidak diolah daripada sistem "hafalan" dan "mengingat dan luah semula", langkah menghadkan jumlah matapelajaran tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

Saya bukan bias (berat sebelah), tetapi sebagai pensyarah yang telah mengajar para pelajar lepasan SPM, inilah realiti sehari-harian yang saya serta rakan-rakan yang lain alami.

Kami tidak salahlah para pelajar, kerana inilah sistem yang mereka perlu ikut untuk lulus di peringkat SPM. Tetapi yang penatnya, kami yang mengajar inilah.

Bayangkan, kami para pensyarah perlu lakukan dalam tempoh 1 semester bagi membetulkan "kesilapan" selama 11 tahun belajar (sekolah rendah + sekolah menengah).

Mengapa 1 semester? Kerana kalau pelajar tidak dapat menyesuaikan diri dengan kaedah belajar di universiti, gagal Semester 1, bolehlah pulang ke kampung.

Bagi anda yang belum "bertemu" dengan kelompok sebegini, Alhamdulillah, rezeki anda begitu baik.

Sebagai pendidik, saya tidak sewenang ingin memburukkan sesiapa, tetapi mana yang tidak kena itu, perlulah kita tegur kerana yang rugi, yang terseksa, yang terkial-kial nanti adalah anak bangsa kita sendiri.

Perlu difahami bahawa saya tidak membantah SPM dijadikan 10 subjek dan menyokong SPM lebih 10 subjek. Apa yang saya persoalkan ialah bilakah pendekatan di peringkat sekolah ingin dianjak/diubah dari berorientasi peperiksaan dan hafalan kepada sistem penilaian berterusan dengan mengambil kira pencapaian akademik dan bukan akademik secara holistik.

Dr. Sepet: Buatlah apa yang patut.

Saturday 27 June 2009

Update mingguan

1- Mandur naik pangkat

Belum terlambat untuk kami sekeluarga mengucapkan syabas dan tahniah buat 3 keluarga OxfordMalaysian yang telah dan bakal menamatkan pengajian dan pulang menyambung khidmat di Tanah Air kelak - depa bermurah hati menganjurkan Majlis Doa Selamat petang semalam.

Moga yang telah berjaya, turut mendoakan kepada rakan-rakan yang sedang dalam proses mendapatkan kejayaan itu. Biar kita semua berjaya, dan semua yang berjaya ini pulang bagi membangunkan negara tercinta.

Selepas majlis semalam juga K. Tik & A. Din turut bermurah hati meminjamkan Mawaddah kerusi untuk budak kecik dan kerusi untuk makan.

Makanya, pagi ini kami cuba melekatkan beliau di kerusi tersebut. Alhamdulillah, buat pertama kali dia selesa dan gembira.

Nampaknya Tuan Mandur sekarang dah naik pangkat menjadi Bos la pulak ye. Makin seronoklah dia mengarah ayah dan ibu dia buat itu dan ini, hanya dari kerusi Bos dia nanti. Hoho..

Best pulak duduk sambil main kat atas kerusi getah ni.

2- Berkebun (selesai tanam)

Minggu ini memang membuahkan hasil yang baik bagi aktiviti berkebun di belakang rumah. Alhamdulillah, telah penuh ruang yang ada ditanam bermacam sayur dan buah.

Tinggal lagi untuk kerja-kerja menyelenggara (buang rumpai, letak racun siput, membaja, etc).

Makanya, waktu hujung minggu ini bolehlah digunakan untuk duduk di belakang rumah sambil baca buku/artikel/novel dan lepak-lepak minum kopi (macam orang pencen pulak!).

Selesai bab tanam-menanam (bahagian kerja berat). Tinggal bab selenggara (bahagian ringan pula). Huh!

Sampai bertemu lagi!

Thursday 25 June 2009

Cuba baca: Hitler Itu Mungkin Ada Benarnya

Sila klik sini untuk membaca artikel penuh.

“Wahai Rasulullah! Kaum Yahudi adalah puak yang paling kuat berdusta. Mereka jika tahu aku menganut Islam mereka akan menuduhku bukan-bukan. Sembunyikanlah aku di sisi engkau dan hantarlah orang bertanya pendapat mereka mengenaiku”. Maka Rasulullah pun menyembunyikannya dan menghantar orang memanggil golongan Yahudi lalu mereka pun datang. Rasulullah s.a.w bertanya mereka: “Apakah kedudukan Abdullah bin Salam pada pandangan kamu?” Jawab mereka: “Dia orang yang terbaik di kalangan kami, anak orang terbaik. Pemimpin kami, anak pemimpin kami. Ulama kami, anak ulama kami”. Sabda Rasulullah: “Apakah jika dia menganut Islam, kamu akan turut menganut Islam?”. Jawab mereka: “Allah lindunginya dari perkara tersebut”. Sabda Rasulullah: “Wahai Abdulullah bin Salam, keluar dan beritahulah kepada mereka”. Abdullah bin Salam pun keluar dan berkata: “Aku menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah”. Lantas mereka berkata: “Dia orang yang paling jahat di kalangan kami, anak orang yang paling jahat. Orang yang paling jahil di kalangan kami dan anak orang paling jahil”. Kata Abdullah bin Salam: “Aku telah beritahu wahai Rasulullah! Bahawa Yahudi adalah kaum yang kuat berdusta”. (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari) - saya petik dari: http://drmaza.com/home/?p=542

Perlu ke panaskan enjin kereta setiap pagi?

Baca lanjut artikel menarik ini sebagai penambah ilmu pengetahuan.

Wednesday 24 June 2009

Berkebun: edisi serius

Alhamdulillah, cuaca sangat baik (cerah, panas dan berangin) petang ini. Makanya, hari yang baik ini eloklah diisi dengan aktiviti yang berfaedah.

Setelah berpenat 2 hari berturut-turut menyerahkan progress penyelidikan, hari ini adalah sedikit masa untuk melapangkan otak (sebenarnya ada lagi yang nak kena hantar, tapi saja malaskan diri dulu).

Pagi tadi juga Mawaddah dibawa ke klinik bagi menerima suntikan imunisasinya yang terakhir (lain kali terima imunisasi ialah pada umur 1 tahun kelak). 3 suntikan - 1 kali peha kiri dan 2 kali di peha kanan.

Mawaddah macam biasa steady saja, menangis sikit dan senyum banyak. Tapi ayah dia pulak yang terlebih-lebih tutup muka sebab takut tengok jarum (sini suntik tiada bius ke hape pun).

Selesai urusan di klinik, kami terus ke Homebase, mencari pokok dan alatan untuk berkebun sikit (sambil bawa Mawaddah berjalan-jalan, elak dia bosan dan biar dia tidak fikir akan sakit disuntik sebentar tadi).

Di Homebase, kami membeli beberapa benda iaitu 3 beg (33 liter) kompos, 1 strawberi, 2 lada, 3 pokok bunga ros (merah, putih dan kuning), 1 beg gravel, 3 pasu besar, 1 bekas tanaman plastik, 1 plot anak sayur (tak tahu nak eja pulak).

Balik rumah, duduk rehat dan buat kerja lain sementara menunggu hari agak petang (lepas Asar) sebelum berkebun.

Petang yang indah, udara yang nyaman...Lalala...

Hooo! Menyanyi banyak senang hati ye. Sini mari...(ye tuan?)

Itu kompos sama bunga, bukan sendiri boleh masuk pasu. Jadinya kenalah ada orang yang tolong buatkan... (baik tuan mandur)

Ooo! Mengomel kat belakang ye.... (Eh, mane ade Boss, Boss baik kan?)

Baik kita cepat-cepat buat kerja ni, nanti tuan mandur bisingla...

Orang rumah saya nak tanam bunga kali ni. Nah! 3 jenis Ros dia borong hari ni.

Bagusnya, hal-hal bunga ni, orang rumah sanggup uruskan sendiri. Saya tolong sikit je...tolong tengok...hoho


Inilah hasilnya setelah siap dipindah ke dalam pasu (harga pasu besar tu kat Homebase 99p saja).

Saya pula buat kerja berat dan lebih serius - susun semula dan perelok plot

Ini batas yang sebelum ini ditanam Coriender, kini diganti dengan Strawberi

Kami cuba menyelamatkan Coriender dengan memasukkannya ke dalam pasu

Gravel (batu kecil) kami gunakan untuk turap ruang antara plot-plot

Kerja-kerja meletakkan gravel sedang berjalan

Inilah 2 pokok strawberi yang selesai dipindahkan

Ini pula pokok lada (2 anak pokok)

Inilah hasil sepetang kami bertiga meluangkan masa memperelok tempat bercucuk tanam.

Apek sesat mana entah ni..

Alhamdulillah, malam ini saya kena telan Panadol untuk kurangkan sakit belakang akibat terbongkok-bongkok (kalah orang mencari duit syiling kat bawah rumah kayu di kampung).

Apapun, kami cuba untuk lebih serius terhadap hobi ini. Alhamdulillah juga kerana kami berdua bersatu pendapat dalam hal-hal berkebun ini.

Kami menerima inspirasi untuk buat benda ini secara betul-betul dari kawan-kawan. Dan harapnya anda yang berada di luar sana, apa yang kami buat ini pula akan dapat serba-sedikit memberikan inspirasi buat anda untuk terus bertekun dalam apa jua hobi yang anda ada.

Bersama menjaga alam sekitar.

Ratah umpan

Murah rezeki

Itulah ungkapan yang sesuai digunakan bagi menggambarkan betapa bahagia dan beruntungnya penduduk Manek Urai ketika ini.

Bukan sahaja yang layak dan medaftar sebagai pengundi, malah anak kecil di sekolah juga dimurahkan rezeki (sumber).

Bagi yang belum mendapat pekerjaan dan ingin menjadi usahawan pula, "pihak-pihak tertentu" dengan ringan tangan menawarkan kursus dan latihan usahawan (sumber), rezekinya.

Syukur juga, golongan yang kurang upaya turut juga dibantu (sumber), syukur, rezeki nih.

Namun, daripada kesemua bantuan kecil-kecilan ini, rakyat di Manek Urai terus dijanjikan ganjaran terbesar dan teristimewa, rujuk sini.

KJ datang lagi

Kehangatan PRK Manek Urai bakal ditambahkan lagi dengan kehadiran menantu Tun Abdullah (mantan PM) yang juga Ketua Pemuda UMNO, KJ (sumber). Kehadiran beliau adalah bagi menjayakan "Program Pemuda Prihatin 2009".

Sesungguhnya KJ dengan Kelantan mempunyai sejarah yang unik. Tentunya ramai antara kita masih ingat bagaimana bersemangatnya anak muda ini (waktu itu Naib Ketua Pemuda) berkempen di Kelantan semasa PRU-12 yang lalu.

Usaha beliau membawa pulang ribuan pengundi muda dan mengagihkan t-shirt percuma dengan mencetak "slogan tertentu" tentunya juga masih diingati ramai orang (Kelantan khasnya).

Kehadiran beliau kali ini sememangnya begitu ditunggu-tunggu, baik oleh barisan kepimpinan Pemuda UMNO negeri, mahupun jentera parti lawan.

Jika di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil (PRK) sebelum ini - Bukit Gantang, Bukit Selambau, (Penanti dah sah tiada), kelibat beliau tidak begitu kelihatan dan kurang menonjol. Namun, Manek Urai nampaknya bakal membuka lembaran baru buat Ketua Pemuda yang baru ini bagi membuktikan sesuatu.

Mungkin KJ belum dapat bebas dari dibelenggu negatif yang mensabitkan beliau dengan tuduhan rasuah semasa pemilihan UMNO yang lepas. Menambahkan persoalan yang ada setelah beliau yang menang tidak dilantik ke peringkat kabinet, sedangkan lawan yang ditewaskannya, malah timbalannya dapat ruang pejabat yang empuk di Putrajaya.

Apapun, itu semua dah berlalu. Jika diungkit sangat-sangat pun bukan membantu apa-apa. Apa yang lebih penting pada saya ialah, inilah ruang dan peluang untuk kita sebagai rakyat, melihat kemampuan beliau membawa pemuda, memimpin perubahan.

Tambah menarik lagi, PAS juga kini memiliki Ketua Pemuda yang baru (yang menang percuma), Ustaz Nasruddin Hassan. Sebagai orang baru, Manek Urai juga bakal dijadikan medan bagi beliau membuktikan sesuatu.

Eloklah, 2 pemimpin pemuda, 1 gelanggang, 1 misi = membuktikan kemampuan!

Modal itu juga

Pejam mata pun sudah dapat diagak - modal a.k.a umpan yang sama juga diguna. Perkara ini telah saya ulas dalam posting di blog ini bulan yang sudah (rujuk sini).

Biarpun menyedari siapalah saya untuk memberikan komen dan teguran kepada pemimpin yang di atas itu, tapi lihat dan belajarlah dari sejarah dan pengalaman tersungkur yang lalu.

Mungkin ulasan saya mengenai perkara ini pada posting yang sebelum ini tidak tepat dan tersilap, tetapi "anjakan pemikiran" rakyat Malaysia kebelakangan ini nampaknya menyokong pendapat saya dalam hal ini.

Jika ingin menggunakan PRK DUN Penanti sebagai perbandingan dengan Manek Urai, begitu jauh sekali bezanya.

Apapun Penanti telah berlalu, dan bukan rezeki penduduk Penanti untuk merasa "ditatang bagai minyak yang penuh" oleh pelbagai agensi kerajaan dan parti-parti politik (BN dan PR), sebagaimana dirasai penduduk Manek Urai waktu ini.

Tak bagi salah, bagi pun salah ke?

Tak salah. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Cuma bila nak memberi macam-macam tu, kenalah tilik-tilik juga ungkapan ini - "bagi gula, kacau; bagi kain pelikat, pakai; bagi undi...?". Hoho...

Terlupa saya, kini ada umpan baru, tapi jaga-jaga kerana kalau tersilap faham, boleh merosakkan akidah (sumber). "Jika tidak pandai menari, jangan pula dikata lantai yang bergoyang" - siapapun (UMNO atau PAS sekalipun, kena cermat dalam berfatwa).

Kenali sasaran

Daripada pemerhatian saya, Pemuda UMNO kali ini nampaknya ada keinginan untuk terkehadapan dalam hal mengenali siapakah sasaran mereka.

Program Pemuda Prihatin di peringkat negeri Kelantan, jika kena gaya penganjurannya, tidak mustahil akan dapat mengubah serba-sedikit persepsi golongan muda Kelantan terhadap UMNO.

Jika dirancang dengan baik, orang muda ada medan untuk beraktiviti dan mempraktikkan idea, pendapat dan bakat di dalam sesuatu perkara (selain hanya duduk mendengar ceramah politik, lepas tu balik tidur), adalah tidak rugi jika program yang sama dapat dikembangkan ke peringkat nasional pula.

Itu kerja yang dicanangkan oleh Pemuda. Apakah pula kerja wanita dan perancangan untuk disasarkan kepada orang dewasa dan golongan tua-tua?

Bagi PR, mudah saja. Bawa saja Anwar Ibrahim berpidato ke Manek Urai, maka melautlah jumlah manusia yang datang untuk mendengar ceramah politik beliau. Muda, tua, wanita, orang PAS, UMNO, semua ada. Yang bezanya, ada yang duduk di depan, ada yang menyorok-nyorok kat belakang.

Tak datang rugi, datang tak dapat wang bantuan.

Seterusnya

Dengan tersimpul matinya isu UG oleh pimpinan tertinggi PR baru-baru ini, serba-sedikit telah memotivasikan jentera kempen PAS dan PR bagi menghadapi tugas berat di Manek Urai, dan meredakan cakap-cakap belakang orang bawahan.

Isu UG ini pada saya, pun agak kelakar, terutama setelah meneliti respon daripada kedua-dua pihak BN dan PR (+ seorang mufti). PR salahkan UMNO di atas "niat jahat" mereka dengan memutar-belit isu dan menimbulkan fitnah. Manakala, UMNO mempersoalkan kewajaran mereka yang cuba "dikambing hitamkan" oleh pimpinan PR mengenai isu ini , walhal idea UG ini timbul dari skrip yang dikarang oleh Presiden PAS sendiri.

Pelik dan kelakar bukan? - Nak ulas pun dah tak relevan sebab isu sudah selesai! - saya masih meletakkan harapan biarlah satu hari ini akan adanya perbincangan untuk perpaduan umat Melayu + Islam ini.

Saya juga menjangka akan adanya isu-isu "kitar semula" yang akan mengambil tempat sehingga ke hari pengundian, seperti yang popular: 1) laporan polis adanya fitnah dan kekacauan, 2) pengisytiharan ahli yang keluar parti - majlis serah borang keahlian, 3) pengundi hantu + mat Bangla, 4) sabotaj poster, 5) etc. Tunggulah sedikit masa lagi untuk kita sama-sama lihat.

Tinggal lagi untuk menunggu pengumuman dari PAS, BN dan (AKIM?) akan calon masing-masing kelak.

Lepas itu, baru lebih meriah untuk buat ulasan. Wassalam.

Lawak 18SX

Memang kreatif, lawak dan berbaur lucah. Tidak sesuai untuk bacaan dan tontonan mereka yang di bawah umur dan sedang menyiapkan kerja-kerja penyelidikan. Lalala...

Klik rajah untuk besarkan

Tuesday 23 June 2009

Tiru buku

Tadi makan di luar (First Floor, Cowley Road). Rasanya sudah agak lama kami tidak berjalan-jalan ke charity shops di sana.

Maka, sementara tempoh meletak kereta di Tesco belum tamat, elok juga kami mencuci mata dan melihat kalau-kalau ada benda yang berguna dan boleh dibeli di charity shops.

Semasa di Oxfarm, kami terpandang satu buku, berkaitan aktiviti bercucuk tanam "growing fruit & vegetables".


Setelah dilihat sepintas lalu, ada perlunya kami mendapatkan buku sebegini, sekurang-kurangnya sebagai panduan dan buat menambah ilmu pengetahuan bagi meneruskan hobi bercucuk tanam di rumah. Maka buku itu kami beli.

Sampai di rumah, terus saja saya menelaah kandungan buku tersebut. Banyak foto dan rajah (amat membantu orang yang malas membaca macam saya), selain penerangan ringkas yang lengkap bermula dengan proses merancang, menyemai, menanam dan menyusun plot, menyelenggara sehinggalah proses menuai.


Selain mengutip idea menerusi perbincangan dan "melawat sambil belajar" ke plot tanaman rakan yang lain, panduan dari buku juga boleh membantu, janji kita ingin cuba "do it yourself".

Atas keinginan terhadap DIY inilah, sepetang ini kami berdua duduk terbongkok-bongkok mengadap laman yang sekangkang kera di belakang rumah, merancang untuk menempatkan plot tanaman yang baru.

Kali ini, kami cuba mengikut petua buku yang menggalakkan pembinaan penghadang (menggunakan bata mahupun kayu) di sekeliling batas bagi menggalakkan tumbesaran sayuran yang ditanam.

Sodok punya sodok (kerana tiada cangkul), gemburkan tanah, potong kayu, pacak kayu, kepung tanah dan selepas setengah jam, siaplah plot tanaman yang baru, dicelah-celah "petempatan setinggan" sedia ada.


Nak tanam apa? Entah! Belum diputuskan lagi. Saya cuma ingin terjemahkan petua buku kepada realiti, itu saja.

Mungkin perlu ke Homebase esok-lusa, melihat-lihat kalau ada sayur atau bunga yang menarik untuk kami tanam di plot baru ini.

LOLZ!

Monday 22 June 2009

STOP! Lampu merah la pulak

Posting saya sebelum ini "Mencari Jalan Tengah?"

Kini masih tinggal pilihan sama ada:
1) teruskan juga
2) tarik balik / tarik diri

Dan hari ini, jawapannya telah kita semua ketahui.

Dengan jawapan tersebut jugalah, secara rasminya berakhirlah "tempoh bersantai" saya.

==========

Sumber: sini, sini, sini, sini dan sini.

Sebarang perbincangan dan perdebatan mengenai idea membentuk Kerajaan Perpaduan a.k.a Unity Government (UG) kini secara rasminya telah ditutup (atau kes selesai), setelah pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan deklarasi bersama untuk tidak meneruskan lagi perbincangan dengan UMNO/BN.

Pernyataan yang dikeluarkan ini semestinya suatu yang diterima baik dan melegakan, di samping dapat meredakan segala khabar angin, cakap tidak betul dan fitnah yang tersebar dengan kencangnya beberapa minggu yang sudah.

Pengumuman ini juga secara rasminya telah menukar "lampu hijau" yang diberikan PM dan Pengerusi BN untuk UMNO/BN mengadakan perbicangan serius bersama para pemimpin PAS dan rakan dalam PR yang lain berkenaan pembentukan UG.

Masam - masam - manis

Susu telah rosak

Biarpun mulut belanga yang terbuka sedang ditutup agar nila tidak lagi tumpah (dengan pengumuman ini), susu di dalamnya (perasaan para penyokong) bagaimanapun telah rosak. Rosak akibat tindakan kurang koordinasi di kalangan pimpinan tertinggi PAS apabila bercakap dan mengulas sesuatu perkara (yang beberapa hari lepas menitiskan nila ke dalamnya).

Selepas pengumuman kini, PAS dan PR kini dapat menghelakan nafas yang sedikit lega kerana isu pokok telah diatasi. Tinggal kini tugas lebih berat iaitu bagi mengangkat kembali kepercayaan para penyokong kepada PAS dan PR yang "berpecah" setelah timbulnya ura-ura UG ini.

Istiqamah, bukan keras kepala

Selepas perjumpaan di antara 3 tokoh utama PAS (Mursyidul Am, Presiden & Timbalan Presiden) - turut hadir Timb. M.A, Naib-naib presiden dan sebagainya - keadaan semakin jernih dan semangat muhibbah bertaut kembali setelah TGNA telah mengeluarkan kenyataan yang mana beliau menarik balik tutur kata beliau tempoh hari yang menggesa TP meletak jawatan dan keluar dari PAS jika beliau begitu sebulu dengan UMNO/BN dalam hal UG ini.

Foto: Sumber

Foto: Sumber

Apabila ditanya wartawan tentang kekerasan hati beliau yang tidak menerima idea UG, TGNA dengan lantang mengingatkan bahawa ada beza di antara istiqamah dengan keras kepala. Ini kerana beliau bukan menentang secara membuta-tuli.

Beliau sebaliknya begitu yakin bahawa isu yang ditimbulkan dan cuba dipromosi merupakan sesuatu yang salah, dijaja tidak kena masa dan tempat (tidak ikut saluran yang betul), yang akhirnya mengucar-kacirkan jemaah sendiri, selain mengeruhkan hubungan sesama rakan dalam PR.

Rugikah Melayu?

Kini timbul pula persoalan "apakah orang-orang Melayu sendiri yang akan rugi jika idea berbentuk cadangan ini ditolak untuk dibincangkan secara serius?".

Bagi yang melihat idea UG ini melangkaui sempadan politik kebangsaan dan keagamaan, mereka pastinya menaruh harapan yang besar untuk melihat Melayu dapat bersepakat, terutama dalam hal melibatkan kepentingan bersama, biarpun berbeza ideologi.

Apapun, bila PM mengeluarkan pernyataan bahawa BN tetap kuat, mampu memerintah, sudah pasti bahawa perpaduan Melayu yang berbeza ideologi ini seperti kembali jauh untuk dirundingkan.

Bersatu atau tidak, jika tidak didasari dengan semangat Islam dan dakwah, tidak membawa kita ke mana-mana. Jika Melayu bersatu dengan meletakkan Islam di bawah yang lain pun tidak menguntungkan. Begitulah juga bilamana Melayu sibuk membawa Islam, tetapi tidak kasih dan tidak rasa ingin membantu sesama rakan sebangsa dan seagama (tidak berdakwah), makanya akan rugi juga.

Kembali asal

Jika gagal bersatu, makanya akan kembali berseteru. Tidak percaya? Lihatlah situasi di Manek Urai dalam jangkamasa terdekat ini.

Bagi UMNO/BN, isu UG ini boleh diibaratkan sebagai "pucuk dicita, ulam mendatang".

"Alang-alang orang sana dah sibuk, takkan kita nak diam. Kenalah sambut tangan yang ingin bersalaman".

Apapun, bagi UMNO/BN, mereka dilihat tidaklah begitu terjejas dengan kegagalan UG ini, berbanding kerosakan (imej dan kepercayaan) yang sedang sibuk diperbaiki oleh para pemimpin PAS dan PR ketika ini.

Saya melihat saingan di Manek Urai kembali terbuka dengan kedua-dua (tiga?) pihak masih mempunyai masa dan berpeluang merangka strategi serta tindakan bagi memancing undi.

Dr. Sepet: masih menunggu berita-berita berkaitan Manek Urai untuk dikupas di masa hadapan.

Sunday 21 June 2009

Update berkebun

Setelah lebih 2 bulan memulakan kerja-kerja bercucuk-tanam di halaman belakang, sayuran dan buah yang ditanam mula menampakkan perkembangan yang positif.

Bagi Coriender dan Lettuce, hasilnya telah banyak kali kami ambil, tomato pula sedang berbunga dan buah-buah strawberi pula mula membesar.

Begitu juga halnya dengan ubi kentang, tumbuh dengan baik, kangkung di dalam rumah juga baik.

Tugas harian hanyalah melakukan siraman pada waktu pagi dan petang, letak racun siput babi, membaja, selain mencabut rumput dan tumbuhan kecil yang mengganggu tumbesaran sayuran tersebut.

Sebenarnya tidak sukar untuk bercucuk-tanam dan menjaga sayuran, asalkan anda mampu memperuntukkan sedikit masa setiap pagi dan petang. Itu saja.

Operasi hujung minggu - membuang rumpai yang tidak berkaitan

Tomato sudah berbunga

Buah strawberi mula merah dan yang lainnya sedang membesar

Ubi kentang dan jagung manis juga makin besar

Batas untuk ubi kentang baru dibaikpulih pagi ini

Coriender dah nampak "tua" - paling awal ditanam

Seronok potong lettuce - cepat dia tumbuh semula

Daun bawang mula tumbuh

Akan update lagi apabila berkesempatan. Wassalam

Jalan-jalan cari setem & syiling

Alhamdulillah kerana cuaca pagi Ahad ini agak baik, menandakan cerahnya peluang kami untuk berkunjung ke carboot.

Hari Ahad merupakan giliran Carboot Oxford di Kassam Stadium. Mengambil masa kira-kira 15-20 minit perjalanan dari rumah (berkereta), hari ini nampaknya kurang meriah kerana kurang orang berniaga.

Carboot ini tidaklah sebaik yang di Bicester tempoh hari, tetapi dalam banyak yang kurang baik itu, ada satu pakcik yang setia bertamu ke Kassam menjual koleksi syiling lama dan setem.

Jika tiada apa-apa yang menarik dan berkualiti untuk dibeli, memang kami tidak melepaskan peluang berkunjung ke meja pakcik ini, membelek-belek buku setem dan bekas pameran syiling beliau.

Seringkali juga, kami diberi potongan harga oleh pakcik tu (orang rumah saya memang jenis tak malu nak tawar-menawar, baguslah).

Saya dan isteri telah berbincang dan bersetuju bahawa apa yang dicari ini merupakan hadiah buat ayah di Malaysia, yang memang gemar mengumpul setem dan syiling.

Makanya buat sementara waktu, kami akan pegang dulu koleksi ayah ini di rumah kami.

Hari ini dua syiling kami berkenan dan dibeli. Syiling India (2 Annas) ini tidaklah begitu berusia, tetapi kami suka bentuknya yang unik.

Syiling kedua ini agak lama (tahun 1863)

Setelah dicetak maklumat, syiling-syiling terbabit kemudiannya dibingkaikan.



Terasa lebih puas bila memerhati syiling yang dibingkaikan, berbanding jika disimpan di dalam album.



Selain syiling lama, kami juga ada mengumpul setem. Yang menariknya, entah dari manalah pakcik itu mendapatkan setem-setem lama Malaysia.

Hari ini kami "rembat" 2 set setem, 1 setem Sarawak (tahun 1955 - sebelum merdeka), dan 1 lagi setem Jepun (1899-1914). Sebelum ini kami turut beli 1 set setem North Borneo (negeri tu sudah tidak wujud).


Setem Sarawak 1955


Setem Jepun 1899 - 1914

Sebenarnya banyak juga duit syiling lama yang kami minat. Ada syiling tahun 1699 dari France, 1700+ dari eropah, namun setelah melihat harganya (mencecah GBP15 - GBP20+), membantutkan niat untuk membelinya.

Apapun, kumpul dululah mana yang termampu. Kalau ada yang berkenan dan harganya "boleh dirunding", adalah berbaloi untuk mendapatkannya.