Tuesday 23 June 2009

Tiru buku

Tadi makan di luar (First Floor, Cowley Road). Rasanya sudah agak lama kami tidak berjalan-jalan ke charity shops di sana.

Maka, sementara tempoh meletak kereta di Tesco belum tamat, elok juga kami mencuci mata dan melihat kalau-kalau ada benda yang berguna dan boleh dibeli di charity shops.

Semasa di Oxfarm, kami terpandang satu buku, berkaitan aktiviti bercucuk tanam "growing fruit & vegetables".


Setelah dilihat sepintas lalu, ada perlunya kami mendapatkan buku sebegini, sekurang-kurangnya sebagai panduan dan buat menambah ilmu pengetahuan bagi meneruskan hobi bercucuk tanam di rumah. Maka buku itu kami beli.

Sampai di rumah, terus saja saya menelaah kandungan buku tersebut. Banyak foto dan rajah (amat membantu orang yang malas membaca macam saya), selain penerangan ringkas yang lengkap bermula dengan proses merancang, menyemai, menanam dan menyusun plot, menyelenggara sehinggalah proses menuai.


Selain mengutip idea menerusi perbincangan dan "melawat sambil belajar" ke plot tanaman rakan yang lain, panduan dari buku juga boleh membantu, janji kita ingin cuba "do it yourself".

Atas keinginan terhadap DIY inilah, sepetang ini kami berdua duduk terbongkok-bongkok mengadap laman yang sekangkang kera di belakang rumah, merancang untuk menempatkan plot tanaman yang baru.

Kali ini, kami cuba mengikut petua buku yang menggalakkan pembinaan penghadang (menggunakan bata mahupun kayu) di sekeliling batas bagi menggalakkan tumbesaran sayuran yang ditanam.

Sodok punya sodok (kerana tiada cangkul), gemburkan tanah, potong kayu, pacak kayu, kepung tanah dan selepas setengah jam, siaplah plot tanaman yang baru, dicelah-celah "petempatan setinggan" sedia ada.


Nak tanam apa? Entah! Belum diputuskan lagi. Saya cuma ingin terjemahkan petua buku kepada realiti, itu saja.

Mungkin perlu ke Homebase esok-lusa, melihat-lihat kalau ada sayur atau bunga yang menarik untuk kami tanam di plot baru ini.

LOLZ!

No comments: