Thursday 11 June 2009

Dah berakhir, tapi belum selesai

UG lagi

Nampaknya kekeliruan saya berkenaan idea Unity Government (UG) turut sama dikongsi ramai orang di luar sana.

Semua orang masih menantikan respon atau maklum balas lanjut daripada TGHH dan Ustaz Nasha berkenaan isu UG ini. Sayangnya, hingga kini masih belum nampak sebarang perkembangan yang memuaskan.

Respon segera yang saya terima ialah idea UG adalah "mengarut" pada pandangan TGNA , manakala Setiausaha Agung PAS yang baru, Mustafa Ali pula mahukan perbincangan dan perdebatan mengenai UG ini dihentikan - tetapi TGNA jawab balik pada kenyataan Mustafa: "mulut orang bukan boleh kita tutup!".

Nganga lagi hamba rakyat yang menantikan jawapan.

Sedihnya, mengapa mereka-mereka ini boleh cuba "mengelak" daripada menjawab isu ini. Bagaimana untuk menutup ruang perdebatan dan perbincangan mengenainya memandangkan hampir setiap hari ada saja usul berkaitan UG yang dilapor oleh pelbagai - media arus perdana, bloggers dan akhbar alternatif yang lainnya.

Natijahnya, masyarakat yang membaca bahan-bahan dan penulisan dari pelbagai sumber ini akan mula keliru dan mungkin juga akan mula berprasangka yang bukan-bukan kepada pimpinan parti PAS dan mereka-mereka di luar PAS yang telah mencetuskan isu UG ini.

Muktamar yang berakhir 4 hari yang sudah nampaknya masih terpalit dengan pelbagai isu yang belum dapat diselesaikan.

KPP

Saya tertarik dengan syarahan oleh Vincent Lee, pengerusi Kelab Penyokong PAS (KPP) pada muktamar yang lepas di mana beliau mahukan PAS menyatakan pendirian yang tegas mengenai isu UG ini.

KPP secara dasarnya menolak sebarang usaha membawa PAS atau UMNO untuk kembali bersama dalam bentuk kerjasama. Ini kerana ahli-ahli dalam KPP memilih PAS sebagai wadah perjuangan, adalah disebabkan mereka menolak kepimpinan BN/UMNO.

Justeru, jika para pemimpin tertinggi PAS masih ingin berdamping semula dengan UMNO, makanya jangan terperanjat menurut Vincent, jika ahli KPP akan beramai-ramai berpaling dari PAS dan mencari wadah perjuangan yang lain pula.

Baki jawatan

Selang sehari selepas keputusan perebutan jawatan TP parti diumumkan, saya melihat di dalam banyak blog, kemenangan Nasha nampaknya belum memuaskan hati banyak pihak dan sebahagiannya masih mempersoalkan kemenangan Ustaz Nasha.

Malah saya sendiri ada menyaksikan video temubual wartawan dengan Nasha sebaik beliau menang TP (rujuk sini).

(Komen ikhlas dari saya, Ustaz Nasha kenalah perbaiki kemahiran berbahasa Inggeris anda kerana (saya sendiri pun) "segan' eh orang luar tengok pemimpin tertinggi dalam parti besar macam PAS jawab soalan wartawan macam itu.)

Betullah apa yang saya telah cakap sebelum ini, kemenangan Nasha tidak membawa bersama penyatuan kembali kumpulan-kumpulan dan pengikut pihak yang kalah bertanding di dalam PAS (lihat sini).

Jika bukan parti itu bukan bertunjangkan perjuangan Islam, saya secara peribadi tidak begitu ambil kisah. Mereka nak berebut pengaruh ke, jawatan ke, nak berpuak-puak, nak berpecah-belah ke, itu bukan perkara yang asing.

Sekarang timbul pula usul terbuka oleh 2 Naib Presiden agar yang tewas semasa merebut jawatan TP (Husam dan Mat Sabu) diberi jawatan khas dalam Dewan Harian atau sebagai AJK tambahan.

Mengapa pula urusan dalaman ini pun hendak dihebohkan kepada media? Adakah Mahfuz dan Salahuddin ingin muncul sebagai pemimpin yang prihatin di saat-saat ini? Atau mereka merasakan sukar untuk Husam dan Mat Sabu dimasukkan semula melalui proses dalaman parti, hingga media perlu dihebohkan? Entahlah!

Sister in Islam

Masih ingat saya sewaktu PAS memerintah negeri saya, Terengganu beberapa tahun yang sudah.

Di awal pembentukan kerajaan PAS Terengganu, pelbagai premis hiburan, panggung wayang, kedai 4 nombor ekor setan laknat, kedai arak telah diharamkan dan ditutup ketika itu.

Alhamdulillah, kerana aktiviti yang "haram lagi bersuluh" itu telah diambil tindakan sewajarnya. Makanya ramailah kaki judi di Terengganu yang terpaksa memesan tikat 4 nombor mereka kepada rakan yang ingin ke Kuantan.

Namun, disebalik keghairahan kerajaan PAS mengharamkan itu dan ini, ramai belia yang tinggal di kampung, pekan mahupun di bandar merasakan hidup mereka bagai "hilang serinya".

Secara jujurnya, pimpinan PAS waktu itu lambat respon kepada tuntutan belia di mana penekanan kepada pembangunan rohani tidak selari dengan keperluan menyediakan keperluan jasmani.

Adalah bagus bilamana masjid dan surau-surau kembali diimarahkan dengan kelas-kelas pengajian agama dan mengaji. Tetapi sayangnya, aktiviti sukan dan rekreasi untuk belia kurang ditekankan. Sedangkan di negeri jiran, Kelantan, TGNA sendiri merasmikan pusat Snooker di Kota Bharu.

Memang hiburan perlu ada hadnya dalam Islam. Tetapi masalah sebenar bukan hiburan itu yang perlu disekat, tetapi bagaimana satu pendekatan mendidik secara terbaik dapat disemai terhadap masyarakat supaya mereka faham, dan seterusnya dapat menimbang mana yang baik dan mana yang buruk untuk diikuti.

Demikian jugalah halnya dengan Sister in Islam (SIS) yang mendapat tempat dalam perbahasan semasa muktamar PAS baru-baru ini.

Usul yang dikeluarkan adalah ingin menyekat, kemudian disiasat dan jika terbukti SIS telah menyelewengkan ajaran Islam, ia hendaklah diharamkan.

Saya bukanlah peminat SIS, namun setelah melihat begitu komitednya PAS ingin mengharamkan SIS membuatkan saya terpanggil untuk melontarkan pandangan.

Pandangan "kosong" ini tidak disandarkan pada apa-apa bukti yang mengaitkan SIS dengan penyelewengan ajaran Islam (jika PAS ada menyimpan bukti tersebut, anggaplah pandangan saya ini tertolak sama sekali).

Memang ada agenda perjuangan SIS yang saya secara peribadi tidak bersetuju, terutama dalam bab faraid (pembahagian harta pusaka) dan bab berpoligami.

Namun, apakah SIS kini sudah tidak boleh "diubat" lagi sehingga PAS menggesa ianya segera disiasat dan diharamkan?

Soalan saya: Adakah melalui pengharaman SIS ini akan menyelesaikan aduan dan rintihan masalah kaum wanita Islam yang inginkan pembelaan?

Mampukah PAS, mahupun UMNO sebagai parti yang core business nya ialah politik membela hak golongan wanita di kala berlakunya kes penceraian - hak penjagaan anak, tuntutan nafkah, penderaan, tempoh perbicaraan dan pengangguhan kes di Mahkamah Syariah dan sebagainya?

Saya secara peribadi belum yakin adanya NGO atau parti politik yang terkehadapan membela golongan wanita apabila wujudnya isu dan keadaan sebegini.

Apakah isu pengharaman ini tidak sewajarnya ditimbulkan, kerana apa yang lebih utama ialah memperbetulkan pendekatan dan pemahaman di kalangan ummat Islam mengenai ajaran Islam yang sebenar (sebagaimana contoh hiburan yang telah saya sebutkan).

Jika PAS, UMNO dan pihak yang berkepentingan memainkan peranan untuk menyalurkan kefahaman Islam yang sebenar, datanglah SIS ke, SARS ke, SHUS ke, yang mana perjuangan dan ideologi mereka menyimpang dari ajaran Islam, mereka ini akan ditolak dengan sendirinya oleh masyarakat, kerana masyarakat telah dididik memahami apa itu ajaran Islam yang sebenar.

Namun, melihat kepada situasi sekarang ini, mampukah PAS (muslimat) berperanan membela hak golongan wanita sebagaimana yang diperjuangkan oleh SIS?

Komen oleh Dr. Lo' Lo' pada muktamar baru-baru ini saya kira wajar dijadikan renungan oleh sesiapa sahaja yang bekerja di atas landasan dakwah Islam.

Lo' Lo' menegur sikap sesetengah muslimat PAS yang memandang "lain macam" terhadap wanita moden a.k.a "belum bertudung" yang hadir semasa muktamar - ada yang dihalang untuk membuat liputan, tidak boleh masuk ke tempat tertentu, etc., wajar direnung kembali.

Mungkin juga wanita moden itu tergerak hati untuk mendekati Islam, dan dia sedar dari PAS dia dapat belajar sesuatu. Muktamar padanya mungkin peluang untuk dia lebih kenal dekat dengan muslimat PAS. Tetapi apabila hendak dekat sahaja, terus dihalau dan disekat oleh muslimat kerana dilihat mereka ini moden dan kurang Islamik seperti mereka. Sayanglah!

Daripada timbul minat terhadap Islam, terus sahaja tertutup akibat layanan sedemikian dan mereka akhirnya merasa senang dengan kehidupan yang asal.

Perbetulkan persepsi ini. Dalam kerja-kerja dakwah perlu ada kesabaran, kebijaksanaan dan kemampuan melihat ke hadapan. Jika sinar hidayah itu pun sudah sah bukan milik kita, bayangkan pula usaha kita berdakwah, diterima atau tidak juga belum ada jaminannya.

Di hadapan masih mencabar

Isu UG, muqabalah, SIS, Manek Urai pastinya akan terus mewarnai dada-dada akhbar dan laman blog bagi beberapa minggu yang akan datang.

Bagi PAS, muktamar kali ini biarpun berjaya menghadirkan beberapa perubahan, namun perjalanan mereka sebenarnya baru saja bermula.

Jalan di depan masih jauh. Kemenangan yang digapai pada PRU yang lalu serta di dalam beberapa siri PRK juga seharusnya menambahkan "sesak di dada" para pemimpin mereka.

"Berfikirlah sebelum bercakap dan berbincanglah sebelum bertindak" adalah peringatan yang perlu sentiasa diingati setiap mereka.

Jika bercakap tanpa berfikir, atau bertindak tanpa berbincang, itulah yang menimbulkan suasana kelam-kabut dan kekeliruan dalam jemaah. Contoh paling sensasi ialah UG.

Bila sudah terlanjur kata, manakan boleh diundur. Buat baik berpada-pada, tersilap bercakap 1 kali pun sudah cukup buat orang ingat sampai sudah.

Selesaikan mana yang masih belum selesai.

No comments: