Tuesday, 24 January 2012

Mengapa hendak merampas Kelantan?

Persoalan motif

Setelah membaca laporan di bawah, rasanya masih belum jelas kepada saya apakah motif sebenar parti UMNO ingin merampas Kelantan daripada tangan kerajaan PAS pimpinan Dato Nik Aziz pada PRU13 yang akan datang.


Apakah yang menjadi pendorong keinginan yang tidak kunjung padam di kalangan pimpinan UMNO negeri dan persekutuan terhadap negeri Kelantan?

1) Apakah disebabkan Kelantan itu memiliki timbunan kekayaan sama seperti di negeri Selangor, mahupun di Pulau Pinang?

Rasanya tidak. Dan kalau bukan faktor 'negeri yang kaya', maka apakah yang menjadi buruan para pemimpin UMNO terbabit? Barangkali kuasa dan pengaruh?

2) Mungkinkah kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Nik Aziz yang telah lama memerintah itu kini telah terkena sindrom rasuah dan korupsi yang kronik sehingga perlu 'diselamatkan' dan seterusnya 'dibersihkan' kekotoran rasuah itu oleh pihak UMNO dengan cara menawan semula negeri tersebut?

Sumber foto: google image

Setakat yang saya tahu, belum ada lagi pemimpin PAS Kelantan yang disabit secara bukti terlibat dengan amalan korupsi (mungkin ada, mungkin saya tidak tahu). Apapun yang selalu saya dengar dan baca, ketika ini hanyalah beberapa Menteri UMNO yang masih dok 'bersilat' menepis tuduhan ke atas mereka yang dikaitkan dengan beberapa isu yang semua rakyat Malaysia sudah sedia maklum.

3) Atau mungkinkah UMNO merasakan kerajaan PAS Kelantan masih belum cukup Islamik, atau gagal menerapkan ruh Islam yang sebenar ke dalam kerangka pentadbiran negeri?

Justeru mereka merasakan PRU13 inilah peluang untuk UMNO tampil menggantikan PAS dan seterusnya membawa syiar Islam yang sebenarnya ke bumi Kelantan. Barangkali juga.

Sumber foto: google image

Jujurnya, mungkin rakyat Kelantan yang tinggal di negeri Kelantan sendiri lebih maklum akan isu-isu dan perkembangan semasa di negeri mereka, dan mungkin boleh menghadirkan penjelasan yang lebih tepat.

Kita perlukan orang jujur untuk urus wang rakyat

Saya secara peribadi berpandangan dari segi integriti dan akauntabiliti pentadbiran, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Dato Nik Aziz terus menunjukkan kualiti dan juga kebolehpercayaan.

Saya setakat ini belum nampak adanya pemimpin UMNO Kelantan yang dapat menandingi amalan kesederhanaan sebagaimana ditunjukkan Nik Aziz, baik sebagai pemimpin mahupun sebagai seorang Muslim. Dari segi 'siapa lebih bersih daripada rasuah' juga saya lihat UMNO tiada point yang kuat untuk menyerang kerajaan PAS di Kelantan. 

Sumber foto: google image

Justeru, apa yang sebenarnya masih kurang di bawah pemerintahan PAS? Apakah kerana tiadanya projek pembangunan fizikal yang berskala mega? Ataupun kerana masih banyak kawasan luar bandar di Kelantan belum dilengkapi kemudahan asas terutamanya bekalan air bersih? 

Sumber foto: google image

Seandainya kekurangan pembangunan dan penyediaan kemudahan asas ini dijadikan alasan, masih, apakah perlu sehingga rakyat Kelantan menukar kerajaan yang sedia ada? 

Semua pihak tentunya maklum kekangan kewangan di pihak kerajaan negeri. Justeru, mengapa mereka tidak dibantu dengan penyaluran kewangan sewajarnya. Berikanlah bantuan sewajarnya buat kerajaan negeri secara berpandukan semangat Federalisme serta tanpa pilih kasih. 

Rasanya, rakyat juga akan lebih lega jika mengetahui wang mereka diurustadbir secara baik oleh pemimpin yang jujur, berbanding peruntukkan ratusan juta ringgit wang rakyat yang akhirnya gagal memanfaatkan rakyat sendiri.

Saya tidak menuduh mana-mana pemimpin. Tetapi sebagai seorang rakyat biasa, saya melihat masih ada kewajaran bagi rakyat Kelantan menyokong pemerintahan yang sedia ada, iaitu selagi mana pemimpin mereka mengamalkan sikap sederhana, jujur dan amanah di dalam menguruskan negeri dan wang rakyat.

Sekian.

No comments: