Tuesday 10 January 2012

Pendapat: Anwar menang, Pakatan perlu kerja lebih kuat

901 tentunya mencatat sejarah manis buat DS Anwar, calon Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat di mana tarikh 9.01.2012 "membebaskan" Anwar, penyokong PKR khasnya dan PR amnya, setelah lebih 3 tahun menunggu bagi mengetahui keputusan perbicaraan tuduhan Liwat 2 membabitkan Anwar dan Saiful.

Pembebasan Anwar telah dirayakan sebagai kemenangan besar di pihak PR. Mana tidaknya, Anwar (2-0). Bahkan persoalan yang melingkari calon PM sudahpun terjawab jika mereka berpeluang menang PRU 13 dan membentuk kerajaan baru Malaysia kelak.

Keputusan membebaskan Anwar daripada tuduhan juga berjaya (buat masa ini) menyekat penularan gelombang "the Arab Spring" daripada memasuki iklim politik tempatan.

Keputusan 901 juga seperti dilaporkan dipandang positif pelbagai pihak (dalam dan luar negara) yang beranggapan "adanya usaha" untuk memperbaiki ketelusan badan kehakiman negara, yang sebelum ini sering digambarkan menjadi alat kepada kerajaan yang memerintah.


Komen oleh Jabatan Negara AS yang baik dengan Anwar dan kerajaan Malaysia, seperti laporan di atas, turut menzahirkan sokongan kepada keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar, selain membayangkan "ada harapan" untuk badan kehakiman yang lebih telus dan berintegriti.

Bagi Anwar sendiri, beliau mengharapkan semua pihak menerima dengan hati terbuka keputusan mahkamah dan tidak lagi menimbulkan isu liwat ini bagi menyerang peribadi beliau di masa hadapan. 

Tambahan pula, pelbagai program penting dan padat perlu "bebas gangguan" dan digerakkan PR untuk menghadapi PRU13 yang dikatakan akan berlangsung tidak lama lagi.

Sini untung, sana pun untung

Tidak dapat dinafikan, keputusan penghakiman ke atas Anwar telah dituai sebagai "political mileage" baik PR mahupun BN.

Bagi PR, keputusan mahkamah membuktikan bahawa selama ini Anwar adalah mangsa kepada "pembunuhan karektor" yang cuba dicetuskan perancangan jahat pihak lawan.

Bagi BN pula (beberapa pemimpinnya, khusus UMNO), telah tampil mendakwa yang dibuat mahkamah (membebaskan Anwar), membuktikan bahawa kerajaan (dan pemimpin UMNO) tidak campur tangan dan mempengaruhi badan kehakiman negara. 

Dengan erti kata yang lain, kerajaan yang ada sekarang mengamalkan ketelusan selain mendokong amalan pengasingan kuasa. 

Sepertimana harapan Anwar setelah dibebaskan, pemimpin UMNO di dalam kerajaan juga turut mengharapkan masyarakat Malaysia "nampak BN ada harapan untuk berubah" seterusnya menepis dakwaan yang kerajaan berkomplot sama di dalam usaha menganiaya Anwar.

Tiada kemenangan tanpa kerja keras

Mungkin anda ada pandangan sendiri, tetapi bagi saya, kemenangan Anwar ini bukanlah penentu bahawa rakyat Malaysia manya telah berubah mood mereka untuk menyokong PR. Keputusan ini perlu dinilai dari segi Pro dan Kontranya juga.

Saya sempat menjengah tweet beberapa ilmuan dan pemimpin Malaysia, termasuklah sahabat saya di Oxford, Dr MAZA yang mengutuskan tweet berikut:


Mungkin sesetengah pihak akan mempersoalkan "siapakah mereka yang memandai di luar sana itu nak mengulas perkara ini?" Memang mereka (termasuklah saya) mungkin tiada maklumat yang "sebenar" untuk memahami apa yang berlaku kerana hanya membaca beberapa laporan di berita portal. 

Begitupun, bagaimana pula dengan para pengundi di 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, dan di 43 kerusi Parlimen kawasan Felda dan penduduk luar bandar? Apakah mereka juga telah menerima maklumat yang "sebenar"? 

Atau apa yang mereka tahu adalah "baiknya kerajaan bebaskan Anwar"?

Di sinilah perlunya PR meningkatkan kerja keras mendekati mereka kerana "pembebasan" Anwar pasca 901 bukan sahaja dirayakan oleh penyokong PR, bahkan turut dialu-alukan pemimpin dan penyokong BN sendiri (seperti dilaporkan di atas).

Bagusnya, semua pihak "nampak" gembira dan lega.

No comments: