Saturday 16 May 2009

Berita dari kampung

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Durian Kassim, Ajil, Terengganu. Waktu kecil bapa membawa kami berpindah ke Cerol, bapa menjadi peserta @ peneroka FELDA waktu itu. FELDA Cerol waktu itu baru dibuka, seperti "new frontier" yang lain, tiada apa-apa yang istimewa, padang botak macam kawasan gurun pun ada. Tandas pula ada 'besar dan panjang' di belakang rumah.

Saya sempat merasa juga bersekolah tadika di sana, sebelum bapa memutuskan keluar dari FELDA atas sebab kesihatan. Selepas itu kami kembali ke kampung.

Saya bersekolah rendah di SK Peroh. Disebabkan keputusan UPSR kurang baik, saya meneruskan persekolahan di kampung juga di SM Ajil. Waktu itu, keinsafan muncul dalam diri dan berkat doa keluarga di samping sedikit usaha, saya memperoleh keputusan agak baik dalam PMR. Selepas itu, saya angkat punggung ke negeri Darul Takzim, bersekolah di MRSM Muar.

Lama juga rasanya saya meninggalkan kampung. Bermula tahun 1997 di Muar, kemudian terus menapak di Johor sehingga tamat pengajian Master dari UTM pada 2005/06 - hampir 9 tahun di Johor, hanya ada bayang di kampung, tuan punya diri kat tempat lain.

Di kala cuti semester, saya akan pulang dan ada kalanya ikut sama membantu kerja gotong-royong di kampung. Pernah sekali saya disapa orang kampung sewaktu membersihkan kubur yang tidak mengenali saya. Saya pun tidak mengenalinya (malunye aku).

Walhal bapa saya pengerusi masjid di kampung. Tapi anak-anak macam kera sumbang, suka buat hal masing-masing apabila pulang bercuti. Duduk di rumah dan menghabiskan masa dengan beraktiviti sesama adik-beradik.

Mana tidaknya, saya ada 9 adik-beradik dan saya yang sulung. Kami bertujuh lelaki dan hanya 2 orang perempuan. Main sepak takraw? Kami boleh buat 2 team (3 lawan 3), itu belum termasuk bapa saya sendiri!

Begitu jugalah rutin yang dituruti adik-adik yang lain apabila masing-masing pulang bercuti semester. Ada balik dari IKM Pasir Tumbuh (sekarang tinggal dan bekerja di Ampang), dari UM - sekarang sedang buat degree di UMT, dari Poli dungun - sekarang pun tengah buat degree di UMT, dari UIAM pun ada, dari UMT - sekarang pun kerja di UMT juga. Hanya nampak orang kampung semasa solat di masjid, dan jika keluar menghantar ayam dan membeli barang yang dipesan ibu di kedai.

Orang-orang muda dan rakan sebaya ramai juga telah angkat kaki meninggalkan kampung. Desakan mencari kerja dan seronok tengok orang lain kerja di KL membuatkan kampung lengang. Maka tinggallah orang-orang tua, segelintir kecil belia, budak sekolah dan mat-mat hantu yang berpeleseran tak tentu hala.

Bagi yang bijak akal, tanah-tanah pusaka yang luas telah ditanam dengan kelapa sawit. Jika ada 10 ekar tanah, selepas 3 tahun dah boleh merasa hasil sawit. Dengan harga minyak sawit yang semakin stabil ketika ini, merasalah RM1000/ekar tuaian buah kasar.

Kalau tanam 10 ekar = RM10,000.00 sebulan (buah sawit dipotong 2 kali sebulan). Jikapun harga minyak sawit turun hingga pendapatan terjejas kepada RM500.00/ekar, masih lagi dapat menjana RM5,000.00/bulan.

Itu bagi orang-orang tua di kampung yang banyak tanah dan tak tahu nak buat apa, selain tanamkan ia dengan kelapa sawit, daripada dibiarkan naik hutan. Bagi yang muda sikit, kudrat masih kuat, belilah ia akan lori kecil untuk digunakan ambil upah angkut buah sawit ke kilang.

Katakan beli 1 lori, angkut sawit 4 trip sehari (2 kali trip pagi dan 2 trip petang). Upah untuk 1 trip RM50.00 (mungkin lebih sebab kerajaan baik, bagi minyak petrol naik). 4 trip dah RM200.00 sehari. Tolak kos petrol, dalam RM50.00. Busuk-busuk sebulan dapat juga RM 4,500.00.

Tapi bagi orang muda yang akal panjang sikit, dan ada tanah pusaka yang luas, mereka turut ada ladang sawit sendiri. Dah cakap tadi kalau tanam sawit 10 ekar boleh dapat di antara RM5,000.00 hingga RM10,000.00 sebulan. Campur dengan upah angkut buah sawit di ladang orang lain, dapatlah di antara RM9,500.00 hingga RM14,500.00 sebulan.

Duduk di Hulu Terengganu bukan macam di KL yang ada class, ada standard, cakap baku (orang KL lah katakan!). Duduk di kampung tak perlu handphone ada GPS sebab line tak berapa clear. Duduk di kampung tak perlu makan di luar sebab dekat Hulu, bukan tepi laut yang ada banyak gerai seafood. Duduk di kampung hanya dekat dengan masjid, sungai yang dah mengecil dan padang bola kat belakang rumah kami.

Duduk di KL kena ada class, duduk rumah tinggi, nun 44 tingkat (pangsa), tak kira kerja apa sekalipun. Balik kampung kurang-kurang pun nak kena naik Waja. Pakai iPOD dan baju Polo Ralph Lauren. Duit dalam akaun Bank Simpanan Nasional tah berapa pun kita tak tahu.

Member di kampung yang duduk rumah kayu, naik motor cabuk, naik lori bila nak ke pekan, tapi tiap bulan lebih tinggi pendapatan dia. Dia tak belanja banyak. Cukup beli ikan, ayam (sayur tanam tepi rumah), belanja sekolah. Baki dia masuk kat Tabung Haji, katanya nak cepat-cepat pegi Mekah. Manalah tahu, umur kita bukan kita yang pilih lama mana nak hidup.

Waktu amat cepat berlalu. Sedar tak sedar, saya telah bekerja dan berumah tangga. Begitu juga adik-adik saya. Nombor 2 dah kerja dengan kompeni telekomunikasi yang saya tak tahu di mana pejabatnya (KL ke Trg, ke Kelantan, ke Pahang, kerja merata). Nombor 3 baru habis belajar dari UIAM (sambung balik belajar di UPSI), nombor 4 dah jadi pegawai perikanan (Unit Hatceri Air Tawar) di UMT dua di bawah juga di UMT, yang bawah lagi di Politeknik Ipoh, bawah lagi dan si bongsu, sekolah di kampung.


Kampung saya fizikalnya tidak banyak berubah. Kampung. Yang berubah ialah ramai generasi awal @ pengasas kampung telah tiada a.k.a kembali menemui pencipta. Ada kalanya apabila berhubung dengan ibu, ada saja orang-orang lama di kampung yang meninggal dunia. Datuk sebelah ibu telah pergi, begitu juga nenek betul dan datuk tiri sebelah ayah. Jiran-jiran orang lama di sepanjang 'Jalan Besar' Durian Kassim siapa yang masih ada? Rasanya semua dah tiada.

Golongan tua 'Dalam Kampung' pun tak tinggal tak berapa orang. Maka tinggal yang mengganti ialah generasi yang sebaya bapa saya (awal 50an - 60an). Kadang-kala terkenang kisah masa kecil. Kini apa pula sumbangan kami adik-beradik kepada kampung kami? Tinggal dan bekerja di luar sampai pencen @ tua, entahlah.

Jemaah solat tarawih di musim Ramadhan saban tahun makin berkurang. Dari 5-7 saf, dah tinggal 1-2 saf. Nak harapkan hantu-hantu kampung, haram nak jejak tangga masjid. Kami yang balik 'celang-celup' ni pun tak bantu apa-apa. Sekejap ada, lama tiada...

Itu berita yang tak berapa baik.

Tapi ada juga berita yang baik. Orang muda-muda yang masih tinggal di kampung, yang buat kerja-kerja kampung, kerja kilang papan, ikut orang buat rumah, jaga ladang, duduk goyang kaki tolong ayah dan datuk jaga kebun sawit, kini nampak trend kawin jiran dekat-dekat.


Nampaknya, kekayaan orang-orang kampung ni dah tak mengalir keluarlah, pusing-pusing kut tu jugalah! Asalkan bahagia. Sekurang-kurangnya mereka masih duduk di kampung, mengerjakan tanah menghidupkan aktiviti kemasyarakatan di kampung berbanding kami yang belajar tinggi tapi dah lama tinggalkan kampung sendiri.

Saya dah lama tinggalkan kampung, tinggalkan keluarga dan adik-adik. Rindu pada ibu dan bapa, pada nenek, pada adik-adik dan pada suasana riuh-rendah, di teratak kayu tempat saya menumpang kasih dan sayang. Apabila lama tidak bersama, timbul rasa rindu dan 'kehilangan' itu (tambahan pula saya yang sulung - anak sulung dan cucu sulung, kini Mawaddah pula jadi cicit sulung). Mohon Allah SWT panjangkan umur dan diberikan ruang, peluang dan kekuatan untuk suatu hari nanti pulang berbakti buat keluarga dan kampung halaman sendiri.

3 comments:

SaifulAzri said...

Waduhhh..hang Grrindu kat kampung ni. PhD x lama lagi habis la. 4-5 kali musim lepas pokok strawbery ko berbuah, balik la ko Malaysia. hehehee...

Dr. Sepet said...

haha...pasal dah terperap lama sangat kat sinilah kot aku macam tak sabar-sabar nak balik ni...nt aku balik, ko pulak take over pokok stoberi aku tuh ye? Huhuu

DK Desaku said...

Durian Kassim amat berbangga bila ada koloninya berjaya mengibarkan benderanya di negeri orang putih...