Alhamdulillah, sudah 2 hari berturut-turut menikmati suasana melihat kebun sayur dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Hari Sabtu (semalam), kebetulan si Saiful datang dari Reading, dan kami ambil masa hujung minggu a.Din dan k.Tik dengan menziarahi mereka dan plot tanaman mereka di Wolfson College.
Sebahagian kecil spesis sayur yang ditanam di plot k.Tik & a.Din - banyak juga yang telah ditanam dan hidup subur
Hari ini pula (sayangnya si Saiful balik hari semalam), kami berkelah pula di Millets Farm, Abingdon. Cantik tempat tu.Apapun kedua-dua kisah hari Sabtu dan Ahad ini akan ditulis oleh orang rumah di dalam blog beliau dalam tempoh terdekat ini.
Ambik semangat
Bagus juga masa di hujung minggu diluangkan dengan berjalan-jalan, menziarah rakan-rakan di sekitar Oxford dan berkelah di kala cuaca yang cukup cantik hari ini. Di samping dapat melapangkan sedikit kepala, boleh meningkatkan motivasi kami berdua untuk bercucuk tanam (biarpun hanya tanam sayur di belakang rumah saja).
Biarpun plot tanaman kami di rumah tidaklah begitu teratur seperti orang lain, sekurang-kurangnya apabila melihat orang lain yang datang belajar di sinipun boleh melakukan banyak kerja, termasuklah menanam sayur, maka mengapa tidak kami mencuba? Harapnya bertambah lagilah semangat kami terhadap hobi ini.
Maka, selepas saja pulang dari Millets Farm, dan berehat seketika, saya kembali menyingsing lengan (ini metafora saja, sebab saya pakai baju lengan pendek pun), menyiapkan batas-batas untuk ditanam beberapa jenis sayuran lagi.
Seperti biasalah, mandur Mawaddah akan menyelia segala tugas saya pada petang ini. Lihat sajalah bagaimana bersemangatnya beliau mengerah saya buat itu dan ini.
Inilah hasil usaha kami yang baru berjinak-jinak dengan perusahaan tanaman sayur. Bila tengok cara orang lain tanam herbs dan salad semalam, baru kami tahu kaedah yang betul. (kami main bantai tanam rapat-rapat) Tapi dah terlambat, kerana sayur yang kami tanam ini sudah boleh hidup sendiri dan sukar dicabut untuk disusun atur semula.
Inilah plot tanaman yang sekangkang gorila tu. Yang ditutup dengan plastik panjang ala-ala setinggan Kg. Kerinchi tu ialah Coriander (sejenis herbs) dan di sebelah kanannya yang ala-ala setinggan Kg. Dalam tu pula Lettuce (sejenis salad).
Yang hitam seketul ini bukan tahi lembu, tapi kompos yang ditambah di atas batas bawang merah yang baru ditanam petang tadi.
Secara keseluruhannya, kami telah selesai menanam:
1) Salad - Lettuce
2) Herbs - Coriander dan Basil
3) Sayur - Ubi kentang, bawang merah, tomato, cili, kacang botol dan kangkung
4) Buah - Jagung manis dan strawberi
5) Bunga - Chrysantimum
Mood mandur hari ini agak baik, maka dia tidak banyak berceloteh. Mungkin penat dibawa ibu dan ayah berjalan-jalan selama 2-3 hari kebelakangan ini. Sedang saya sedang "buat-buat" bertekun menyodok dan menyiram tanaman, nampaklah wajah "mengantuk nak tidur" beliau.
Hadooooo...Wassalam.
No comments:
Post a Comment