1) Pagi ini saya terbaca satu berita ucapan PM berkaitan perlunya parti UMNO melakukan perubahan terhadap pemikiran, politik, pendekatan; termasuk cara berkomunikasi dengan rakyat (pengundi) untuk kekal relevan memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
2) Ucapan beliau turut menyentuh pentingnya para pemimpin serta ahli UMNO berfikir dalam konteks yang lebih luas, dan tidak hanya bercakap dan mengungkit hal berkaitan sentimen perkauman di dalam mendapatkan sokongan pengundi.
3) Isu yang lazimnya dijaja setiap kali pimpinan UMNO turun bertemu rakyat dan bahan berkempen semasa pilihanraya terutama isu ketuanan Melayu, dan mengungkit tentang jasa serta pengorbanan yang telah dicurahkan UMNO sejak awal kemerdekaan hingga terbinanya Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, dilihat tidak lagi memberikan kredit yang lebih buat UMNO.
4) Rakyat begitu menyedari bakti yang telah dicurahkan oleh para pemimpin terdahulu. Tetapi zaman sekarang, kita tidak boleh hidup dengan hanya berharap kepada nostalgia zaman dulu. Kita perlu terus bergerak ke hadapan. Rakyat sekarang inginkan kerajaan buat apa yang dijanjikan, bukan berterusan membuat janji.
5) Kepada pimpinan terdahulu, terima kasih rakyat ucapkan. Biarlah pimpinan yang baru ini meneruskan legasi dan perjuangan untuk membawa imaginasi kepada realiti. Jangan biarkan minda terus terperangkap dengan kisah silam. Lihat dan belajar untuk membetulkan kesilapan daripada yang silam, namun berpijaklah di bumi realiti hari ini.
6) PM juga menegaskan bahawasanya persekitaran politik sekarang telah jauh berubah dan berbeza dengan politik semasa awal penubuhan UMNO. Generasi muda yang kurang berpendidikan tidak minat berpolitik. Jika adapun, tiada jiwa dan penghayatan yang padu.
7) Anak-anak muda sekarang lebih sukakan hiburan dan perkara yang seronok-seronok daripada beratkan kepala memikirkan hal-hal politik, pentadbiran dan sebagainya. Baik duduk depan TV tengok orang menyanyi.
8) Bagi yang berminat dengan kuasa dan ingin hidup kaya, kenal dengan orang politik dan menjadi pendokong sesetengah pemimpin, UMNO boleh menjadi platform mendapatkan kontrak dan projek-projek kerajaan.
9) Namun, untuk salahkan mereka-mereka inipun tidak boleh juga, kerana mereka kenal UMNO melalui cara itu, dan mereka tidak diajar, dipupuk dan didik untuk memahami jiwa dan semangat UMNO yang sebenar, sebagaimana diharapkan oleh orang-orang yang duduk di atas.
10) Bagi golongan yang terlebih pendidikan pula, mereka boleh menilai UMNO dari pelbagai sudut. Mereka terlebih berfikir dan sentiasa skeptikal terhadap sesuatu benda, sehinggalah ada bukti untuk menidakkannya.
11) Ramai juga melihat kepada realiti semasa yang melanda UMNO, bukan dari media pembangkang, tetapi daripada komen, luahan dan rintihan bekas pemimpin tertinggi UMNO sendiri terhadap sesuatu isu.
12) UMNO boleh kuat, jika sanggup berubah dan bukannya ingin berubah. Keinginan tanpa kesanggupan tidak membawa apa-apa erti.
13) UMNO perlu berubah untuk nampak bersih. Saya sendiri beranggapan bukan semua orang di dalam PAS itu bersih, tetapi dengan kesanggupan PAS untuk berubah (terutama melalui slogan PAS FOR ALL) dan dengan penampilan dan tindakan yang betul, PAS nampak lebih bersih. Akhirnya PAS menjadi parti berbilang kaum yang boleh duduk sebumbung menyokong Islam.
14) Sedangkan UMNO masih parti untuk kaum Melayu (bukan Melayu boleh pilih parti-parti komponen yang lain), dengan motif khusus bagi memperjuangkan hak Melayu (hak kaum lain diperjuangkan oleh parti wakil masing-masing dan melalui kesepakatan BN).
15) Saranan PM ini saya kira masih belum terlewat dan wajar diambil iktibar dan tindakan oleh para pemimpin dan juga setiap ahli UMNO. Mendidik mat-mat rempit itu penting, namun hati dan minat profesional muda juga perlu dipikat (dijadikan pelapis) jika mahu hayat UMNO sebagai tunjang pemerintahan negara terus kekal.
No comments:
Post a Comment